BAB 84
Tanggungjawab sebagai Murid Kristus
TANGGUNGJAWAB YANG HARUS DIPIKUL
Yesus telah mengajarkan beberapa perkara penting di rumah seorang ketua orang Farisi. Sekarang Yesus meneruskan perjalanan ke Yerusalem, dan ramai orang mengikutnya. Mengapa? Adakah mereka ingin menjadi pengikutnya yang sejati dan sudi membuat pengorbanan yang diperlukan?
Dalam perjalanan, Yesus berkata kepada mereka, “Sesiapa yang datang kepadaku mesti mengasihi aku lebih daripada bapa, ibu, isteri, anak, adik-beradik, dan bahkan diri sendiri. Jika tidak, dia tidak boleh menjadi muridku.”—Lukas 14:26.
Yesus tidak berkata bahawa para pengikutnya tidak boleh mengasihi saudara-mara mereka. Tetapi Yesus sedang menunjukkan bahawa mereka harus mengasihinya lebih daripada saudara-mara mereka. Jika tidak, mereka akan menjadi seperti lelaki dalam perumpamaannya yang menolak jemputan yang diberikan semata-mata kerana dia baru berkahwin.—Lukas 14:20.
Yesus juga mengatakan bahawa pengikutnya yang sejati harus ‘mengasihinya lebih daripada diri sendiri.’ Hal ini bermaksud bahawa mereka bahkan harus bersedia untuk mengorbankan nyawa sendiri jika perlu. Ya, jelaslah bahawa menjadi murid Yesus merupakan tanggungjawab yang serius. Orang perlu berfikir masak-masak sebelum mengambil langkah ini.
Pengikut Yesus harus bersedia untuk menghadapi kesusahan dan penganiayaan. Yesus berkata, “Sesiapa yang tidak memikul tiang seksaannya dan terus mengikut aku tidak boleh menjadi muridku.” (Lukas 14:27) Seperti Yesus, pengikut Yesus yang sejati mesti rela menderita, bahkan rela mati dalam tangan musuh.
Oleh itu, orang ramai yang mengikut Yesus ke Yerusalem perlu berfikir secara mendalam tentang tanggungjawab sebagai murid Yesus. Yesus menegaskan hal ini dengan perumpamaan berikut: “Siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu untuk melihat sama ada wangnya cukup untuk menyiapkan pembinaan itu atau tidak? Jika tidak, dia mungkin meletakkan asasnya tetapi tidak dapat menyiapkan kerja pembinaannya.” (Lukas 14:28, 29) Maka sebelum menjadi murid Yesus, mereka sepatutnya sudah bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai murid Yesus. Yesus menegaskan hal ini dengan memberikan satu lagi perumpamaan:
“Jika seorang raja akan berperang dengan seorang raja yang lain, tidakkah raja itu akan duduk dan berbincang dengan para penasihatnya terlebih dahulu untuk melihat sama ada 10,000 orang askarnya dapat melawan 20,000 orang askar yang akan menyerangnya? Jika dia tahu bahawa dia tidak dapat menang, dia akan mengutus duta-dutanya untuk minta berdamai semasa pihak musuh masih jauh. Dalam cara yang sama, ingatlah bahawa kamu tidak boleh menjadi muridku selagi kamu tidak meninggalkan semua harta kamu.”—Lukas 14:31-33.
Semua yang ingin menjadi murid Yesus harus rela memikul tanggungjawab sebagai orang Kristian. Mereka mesti rela mengorbankan segala-gala yang dimiliki oleh mereka, termasuk nyawa sendiri. Mereka harus berdoa dan berfikir secara mendalam tentang hal ini.
Semasa Yesus memberikan Ceramah Di Atas Gunung, dia mengibaratkan murid-muridnya sebagai “garam dunia.” (Matius 5:13) Garam ialah bahan pengawet, maka maksud Yesus ialah bahawa murid-muridnya dapat membantu orang untuk mengekalkan kesucian rohani dan moral. Yesus tahu bahawa masanya di bumi semakin singkat, maka dia berkata, “Garam memang baik. Tetapi jika garam hilang rasa masinnya, apakah yang akan digunakan untuk memulihkan rasanya?” (Lukas 14:34) Para pendengar Yesus tahu bahawa ada garam yang tidak tulen dan dicampuri dengan bahan-bahan lain. Garam sebegitu tidak boleh digunakan lagi.
Mereka yang telah lama menjadi murid Yesus juga mesti berhati-hati agar tekad mereka untuk mengikut Yesus tidak menjadi lemah. Jika hal itu berlaku, mereka akan menjadi tidak berguna seperti garam yang sudah hilang rasa masinnya. Mereka akan kehilangan perkenan Tuhan dan bahkan mencela nama-Nya. Selain itu, mereka mungkin diejek orang. Yesus mahu pengikutnya terhindar daripada perkara itu. Dia berkata, “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”—Lukas 14:35.