PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bt bab 11 ms. 96-104
  • “Dipenuhi Sukacita dan Kuasa Suci Tuhan”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Dipenuhi Sukacita dan Kuasa Suci Tuhan”
  • ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • ‘Dipilih Khusus untuk Kerja yang Ditetapkan’ (Kis. 13:1-12)
  • “Kata-Kata Galakan” (Kis. 13:13-43)
  • “Kami Akan Pergi kepada Bangsa-Bangsa Lain” (Kis. 13:44-52)
  • “Orang yang Membawa Kelegaan Hati”
    Sembahlah Tuhan dengan Berani
  • ‘Dengan Kuasa Yehuwa, Mereka Bercakap dengan Berani’
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Barnabas dan Paulus Membantu Orang di Merata Tempat Menjadi Pengikut Yesus
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2018
  • Ajaran Kristian Tersebar ke Banyak Tempat
    Belajar daripada Cerita-Cerita Bible
Lihat Selanjutnya
‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
bt bab 11 ms. 96-104

BAB 11

“Dipenuhi Sukacita dan Kuasa Suci Tuhan”

Teladan baik Paulus semasa berhadapan dengan para penentang dan sambutan yang dingin

Berdasarkan Kisah 13:1-52

1, 2. Apakah yang berbeza tentang perjalanan yang bakal diadakan oleh Barnabas dan Saulus? Bagaimanakah kerja mereka akan memenuhi nubuat di Kisah 1:8?

INI hari yang menggembirakan bagi sidang Antiokhia. Antara semua nabi dan guru, Barnabas dan Saulus telah dilantik oleh kuasa suci Tuhan untuk menyebarkan berita baik ke tempat-tempat yang jauh.a (Kis. 13:1, 2) Memang, lelaki yang layak pernah diutus sebagai mubaligh sebelum ini. Mereka pergi ke kawasan yang sudah ada orang menerima ajaran Kristian. (Kis. 8:14; 11:22) Namun kali ini, Barnabas dan Saulus diutus ke tempat-tempat di mana kebanyakan orang belum pernah mendengar tentang berita baik. Yohanes yang dipanggil Markus juga pergi bersama untuk membantu mereka.

2 Lebih kurang 14 tahun sebelum itu, Yesus pernah memberitahu para pengikutnya, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Maka, pelantikan Barnabas dan Saulus sebagai mubaligh akan membantu nubuat Yesus menjadi kenyataan!b

‘Dipilih Khusus untuk Kerja yang Ditetapkan’ (Kis. 13:1-12)

3. Mengapakah perjalanan jauh pada abad pertama mencabar?

3 Hari ini, kita bersyukur kerana ada kenderaan dan kapal terbang yang membolehkan orang pergi ke tempat yang jauh dalam hanya satu atau dua jam. Namun, hal itu berbeza pada abad pertama M. Pada zaman itu, cara utama untuk mengadakan perjalanan melalui darat adalah dengan berjalan kaki di laluan yang biasanya mencabar. Perjalanan sehari mungkin hanya sejauh 30 km dan sangat memenatkan!c Jadi, walaupun Barnabas dan Saulus tidak sabar-sabar mahu memulakan tugasan mereka, mereka sedar bahawa hal itu memerlukan banyak usaha dan pengorbanan.​—Mat. 16:24.

PERJALANAN PADA ZAMAN KUNO

Pada zaman kuno, perjalanan darat mengambil lebih banyak masa, lebih memenatkan, dan mungkin lebih mahal berbanding berlayar. Namun, satu-satunya cara untuk pergi ke banyak tempat adalah dengan berjalan kaki.

Seorang pengembara mungkin dapat berjalan kira-kira 30 km sehari. Dia akan terdedah kepada matahari, hujan, cuaca panas dan sejuk, dan juga menghadapi bahaya dirompak. Rasul Paulus mencatatkan, “Dalam perjalananku, aku diancam perompak dan menghadapi bahaya kerana sungai-sungai.”​—2 Kor. 11:26.

Banyak tempat di Empayar Roma dihubungkan dengan jalan berturap. Di sepanjang jalan utama, pengembara dapat menemui tempat penginapan dalam setiap jarak perjalanan sehari. Di antara tempat-tempat penginapan, ada kedai-kedai yang menjual keperluan asas yang diperlukan oleh pengembara. Penulis sekular pada zaman dahulu menggambarkan tempat penginapan dan kedai sebagai tempat yang kotor, sesak, lembap, dan penuh dengan kutu. Tempat sebegini mendapat reputasi yang buruk kerana selalu dikunjungi oleh orang yang dibenci masyarakat. Penjaga tempat penginapan pula sering merompak pengembara dan menyediakan perkhidmatan pelacuran.

Orang Kristian pasti akan mengelakkan tempat seperti itu. Namun, jika mereka tidak mempunyai sanak saudara atau kawan di tempat yang ditujui, mereka mungkin tiada pilihan lain.

4. (a) Bagaimanakah Barnabas dan Saulus dilantik, dan apakah reaksi rakan seiman yang lain? (b) Bagaimanakah kita dapat menyokong rakan seiman yang menerima tugasan teokratik?

4 Mengapakah kuasa suci Tuhan secara spesifik ‘memilih Barnabas dan Saulus khusus untuk kerja’ itu? (Kis. 13:2) Bible tidak memberitahu sebabnya. Namun, kita tahu bahawa kuasa suci Tuhanlah yang membimbing pemilihan itu. Bible juga tidak menyatakan bahawa para nabi dan guru-guru di Antiokhia menentang keputusan itu. Sebaliknya, mereka menyokong sepenuhnya pelantikan itu. Bayangkan perasaan Barnabas dan Saulus semasa saudara-saudara Kristian tidak berasa cemburu. Sebaliknya, mereka berpuasa dan berdoa serta “meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saulus lalu mengutus mereka.” (Kis. 13:3) Kita juga patut menyokong rakan seiman yang menerima tugasan teokratik, termasuk para saudara yang dilantik sebagai penyelia di sidang. Daripada berasa iri hati terhadap orang yang menerima tugasan sebegitu, kita sepatutnya menunjukkan “hormat dan kasih yang lebih mendalam kepada mereka kerana kerja yang dilakukan oleh mereka.”​—1 Tes. 5:13.

5. Gambarkan apa yang perlu dilakukan oleh Barnabas dan Saulus supaya dapat menginjil di Pulau Siprus.

5 Selepas mereka tiba di Seleukia, sebuah pelabuhan berdekatan Antiokhia, Barnabas dan Saulus berlayar ke Pulau Siprus. Perjalanan itu kira-kira 200 km.d Memandangkan Barnabas berasal dari Siprus, dia pasti tidak sabar-sabar ingin mengongsi berita baik kepada orang di kampung halamannya. Sejurus selepas mereka tiba di Salamis, sebuah kota di pantai timur pulau itu, “mereka mula mengkhabarkan firman Tuhan di rumah-rumah ibadat orang Yahudi.”e (Kis. 13:5) Barnabas dan Saulus menjelajah dari satu hujung ke hujung yang lain di Pulau Siprus. Barangkali, mereka menginjil di kota-kota utama di sepanjang perjalanan mereka. Bergantung pada jalan yang digunakan, mereka mungkin telah berjalan sejauh kira-kira 160 km!

RUMAH IBADAT ORANG YAHUDI

Perkataan asal untuk “rumah ibadat” membawa maksud “mengumpulkan.” Pada mulanya, istilah ini digunakan untuk perhimpunan atau sidang orang Yahudi. Tetapi kemudiannya, istilah ini sering digunakan untuk merujuk kepada bangunan atau tempat orang Yahudi berkumpul.

Rumah ibadat dikatakan telah didirikan semasa pembuangan orang Yahudi ke Babilon selama 70 tahun atau sejurus selepas mereka dibebaskan. Rumah ibadat digunakan untuk menyampaikan arahan, beribadat, membaca Ayat-Ayat Suci, dan memberikan galakan rohani. Pada abad pertama M, setiap pekan di Palestin mempunyai rumah ibadat sendiri. Kota yang besar mempunyai lebih daripada satu rumah ibadat, dan Yerusalem mempunyai banyak rumah ibadat.

Namun, selepas orang Yahudi dibebaskan dari Babilon, bukan semua orang kembali ke Palestin. Banyak yang pergi ke negara lain untuk urusan perniagaan. Seawal abad kelima SM, komuniti Yahudi sudah tersebar ke 127 daerah Empayar Persia. (Est. 1:1; 3:8) Seraya masa berlalu, komuniti Yahudi juga mula wujud di kota-kota di sekitar Laut Mediterranean. Orang Yahudi yang tercerai-berai ini mendirikan rumah ibadat di mana-mana sahaja mereka menetap.

Pada setiap hari Sabat, Hukum akan dibacakan dan dijelaskan di rumah ibadat. Pembacaan akan disampaikan dari atas pentas. Di sebelah kiri, kanan, dan hadapan pentas terdapat tempat duduk. Mana-mana lelaki Yahudi yang alim boleh mengambil bahagian untuk membaca, menginjil, atau memberikan galakan kepada hadirin.

6, 7. (a) Siapakah Sergius Paulus? Mengapakah Bar-Yesus cuba menghalangnya daripada mendengar berita baik? (b) Bagaimanakah Saulus menangani tentangan daripada Bar-Yesus?

6 Siprus pada abad pertama penuh dengan ibadat palsu. Hal ini jelas kelihatan semasa Barnabas dan Saulus tiba di Pafos, di pantai barat pulau itu. Di sana, mereka berjumpa dengan seorang lelaki bernama Bar-Yesus. “Dia seorang ahli sihir dan nabi palsu. Dia bekerja untuk Sergius Paulus, seorang lelaki cerdik yang merupakan gabenor daerah itu.”f Pada abad pertama, banyak orang Roma yang berpendidikan tinggi, bahkan “lelaki cerdik” seperti Sergius Paulus, biasanya akan mencari ahli sihir atau ahli nujum untuk mendapatkan bantuan semasa membuat keputusan yang penting. Meskipun demikian, Sergius Paulus tertarik dengan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan “benar-benar mahu mendengar firman Tuhan.” Namun, hal ini tidak disukai oleh Bar-Yesus. Dia juga dikenali dengan gelaran Elimas yang bermaksud “Ahli Sihir.”​—Kis. 13:6-8.

7 Bar-Yesus menentang berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Jadi satu-satunya cara dia dapat mengekalkan kedudukannya sebagai penasihat Sergius Paulus adalah dengan “menghalang gabenor daerah itu daripada percaya kepada Tuan Yesus.” (Kis. 13:8) Namun, Saulus tidak akan membiarkan ahli sihir ini memadamkan minat Sergius Paulus. Jadi, apakah yang dilakukan oleh Saulus? Bible berkata, “Saulus, yang juga dipanggil Paulus, dipenuhi kuasa suci Tuhan. Dia menatap ahli sihir itu dan berkata, ‘Hai kamu yang penuh dengan segala jenis tipu daya dan kejahatan, anak Iblis dan musuh kepada segala sesuatu yang benar, mengapakah kamu tidak berhenti memutarbelitkan haluan Yehuwa yang benar? Lihatlah! Tangan Yehuwa akan menghukum kamu. Kamu akan menjadi buta dan tidak dapat melihat cahaya matahari buat suatu jangka waktu.’ Pada saat itu juga, kabus tebal dan kegelapan menimpanya. Dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang untuk menuntunnya.”g Apakah hasil daripada mukjizat ini? “Setelah gabenor daerah itu melihat apa yang berlaku, dia mula percaya kerana dia sangat mengagumi ajaran Yehuwa.”​—Kis. 13:9-12.

Seorang saudara memegang sebuah Bible yang terbuka sambil mempertahankan kebenaran di hadapan seorang hakim di mahkamah.

Seperti Paulus, kita mempertahankan kebenaran dengan berani walaupun menghadapi tentangan

8. Bagaimanakah kita dapat meniru keberanian Paulus hari ini?

8 Paulus tidak gentar kepada Bar-Yesus. Begitu juga, kita tidak patut menjadi takut dan berdiam diri semasa para penentang cuba melemahkan iman orang yang berminat terhadap berita baik. Sudah tentu, kita mahu memastikan kata-kata kita “sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam.” (Kol. 4:6) Pada masa yang sama, kita tidak mahu menahan diri daripada memberikan kesaksian hanya untuk mengelakkan konflik. Kita juga tidak mahu teragak-agak untuk mendedahkan ajaran agama palsu yang terus “memutarbelitkan haluan Yehuwa yang benar,” seperti yang dilakukan oleh Bar-Yesus. (Kis. 13:10) Semoga kita meniru Paulus dengan terus berani menyebarkan kebenaran dan berusaha menarik minat orang yang berhati jujur. Ingatlah juga bahawa walaupun kita tidak nampak sokongan Tuhan seperti dalam kisah Paulus, kita dapat yakin bahawa Yehuwa pasti menggunakan kuasa suci-Nya untuk membimbing orang yang berhati jujur kepada kebenaran.​—Yoh. 6:44.

“Kata-Kata Galakan” (Kis. 13:13-43)

9. Bagaimanakah Paulus dan Barnabas menetapkan teladan yang baik bagi saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang hari ini?

9 Kemudian, para saudara itu meninggalkan Pafos dan berlayar ke Perga, yang terletak di persisiran pantai Asia Kecil. Jarak perjalanan mereka adalah kira-kira 250 km. Nampaknya, suatu perubahan berlaku pada masa itu. Kisah 13:13 menggunakan ungkapan “Paulus dan rakan-rakannya.” Hal ini menunjukkan bahawa kini Pauluslah yang mengambil pimpinan dalam kumpulan itu. Namun, Bible tidak menyatakan bahawa Barnabas berasa cemburu terhadap Paulus. Sebaliknya, dua saudara ini terus bekerjasama untuk melaksanakan kehendak Tuhan. Paulus dan Barnabas sememangnya menetapkan teladan baik bagi para saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang hari ini. Daripada bersaing untuk mendapatkan kedudukan, orang Kristian harus ingat kata-kata Yesus ini: “Kamu semua bersaudara. . . . Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”​—Mat. 23:8, 12.

10. Gambarkan perjalanan dari Perga ke Antiokhia di Pisidia.

10 Apabila tiba di Perga, Markus meninggalkan Paulus dan Barnabas lalu kembali ke Yerusalem. Bible tidak menjelaskan sebabnya Markus meninggalkan mereka. Namun, Paulus dan Barnabas meneruskan perjalanan mereka dari Perga ke Antiokhia di Pisidia, sebuah kota di wilayah Galatia. Perjalanan ini tidak senang kerana Antiokhia di Pisidia terletak kira-kira 1,100 m di atas aras laut. Laluan di kawasan pergunungan ini juga bahaya kerana ada banyak perompak. Bukan itu sahaja, Paulus mungkin sudah mengalami masalah kesihatan ketika itu.h

11, 12. Semasa bercakap di rumah ibadat itu, bagaimanakah Paulus membangkitkan minat pendengarnya?

11 Di Antiokhia di Pisidia, Paulus dan Barnabas masuk ke dalam rumah ibadat pada hari Sabat. Bible menceritakan, “Setelah Hukum dan Ajaran Para Nabi selesai dibaca di hadapan umum, ketua-ketua rumah ibadat mengutus orang untuk berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, jika kamu ada kata-kata galakan, beritahulah semua orang di sini.’” (Kis. 13:15) Maka, Paulus pun berdiri untuk bercakap.

12 Paulus memulakan ucapannya dengan berkata, “Hai orang Israel dan kamu yang takut kepada Tuhan.” (Kis. 13:16) Pendengar Paulus terdiri daripada orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi. Namun, mereka tidak sedar peranan Yesus dalam kehendak Tuhan. Jadi, bagaimanakah Paulus membangkitkan minat pendengarnya? Mula-mula, Paulus menceritakan secara ringkas tentang sejarah bangsa Yahudi. Dia menjelaskan bagaimana Yehuwa “meninggikan mereka semasa mereka tinggal sebagai orang asing di tanah Mesir.” Selepas mereka dibebaskan, Yehuwa telah ‘bersabar terhadap mereka di padang belantara’ selama 40 tahun. Paulus juga menyebut bagaimana orang Israel dapat menakluki Tanah yang Dijanjikan dan bagaimana Yehuwa “membahagikan negeri itu dan memberikannya kepada mereka sebagai warisan.” (Kis. 13:17-19) Ada yang menyatakan bahawa Paulus mungkin telah memetik beberapa Ayat-Ayat Suci yang baru dibaca pada hari Sabat itu. Jika demikian, ini merupakan satu lagi contoh yang menunjukkan bahawa Paulus “melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang.”​—1 Kor. 9:22.

13. Bagaimanakah kita dapat menarik minat pendengar kita?

13 Dalam kerja penyebaran, kita juga mahu berusaha untuk membangkitkan minat pendengar kita. Contohnya, dengan mengetahui latar belakang agama seseorang, kita dibantu untuk memilih topik yang diminatinya. Selain itu, kita boleh memetik ayat Bible yang dikenali oleh pendengar kita. Kita juga boleh menggalakkan pendengar kita untuk membaca daripada Biblenya sendiri. Ya, berusahalah untuk mencari cara agar dapat mencapai hati pendengar anda.

14. (a) Bagaimanakah Paulus memperkenalkan berita baik tentang Yesus? Apakah amaran yang diberikannya? (b) Apakah reaksi orang ramai terhadap ucapan Paulus?

14 Seterusnya, Paulus membincangkan bagaimana ‘seorang penyelamat, iaitu Yesus,’ telah datang melalui garis keturunan raja Israel dan Yohanes Pembaptis telah membuka jalan baginya. Paulus menceritakan bagaimana Yesus telah dibunuh dan dibangkitkan daripada kematian. (Kis. 13:20-37) Dia menyatakan, ‘Oleh itu, aku memberitakan kepada kamu bahawa Tuhan akan mengampunkan dosa kamu melalui lelaki ini. Melalui lelaki ini, sesiapa sahaja yang percaya akan dinyatakan tidak bersalah.’ Kemudian, rasul ini memberikan amaran berikut kepada pendengarnya, “Berwaspadalah supaya kata-kata berikut yang dinyatakan dalam Ajaran Para Nabi tidak menimpa kamu: ‘Perhatikanlah, hai orang yang suka menghina! Kamu akan hairan dan kamu akan lenyap. Hal ini demikian kerana walaupun ada orang yang memberitahu kamu secara terperinci apa yang akan Aku lakukan pada zaman kamu, kamu pasti tidak akan percaya.’” Apakah reaksi orang terhadap ucapan Paulus? Bible melaporkan, ‘Orang ramai merayu Paulus dan Barnabas untuk bercakap tentang perkara-perkara itu pada hari Sabat yang berikutnya.’ Selain itu, selepas hadirin di rumah ibadat itu bersurai, “banyak orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang menyembah Tuhan mengikut Paulus dan Barnabas.”​—Kis. 13:38-43.

“Kami Akan Pergi kepada Bangsa-Bangsa Lain” (Kis. 13:44-52)

15. Selepas ucapan Paulus, apakah yang berlaku pada hari Sabat yang berikut?

15 Pada hari Sabat yang berikutnya, “hampir semua orang di kota itu” berkumpul untuk mendengar ucapan Paulus. Hal ini membuat sesetengah orang Yahudi marah dan mereka “mula menentang kata-kata Paulus, dan dengan itu mereka menghina Tuhan.” Maka dengan berani, Paulus dan Barnabas berkata kepada mereka, “Firman Tuhan memang perlu disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Tetapi memandangkan kamu menolak firman Tuhan, kamu menjadikan diri sendiri tidak layak untuk menerima kehidupan kekal. Jadi kami akan pergi kepada bangsa-bangsa lain kerana inilah perintah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kami, ‘Aku sudah melantik engkau untuk menjadi cahaya bagi bangsa-bangsa lain, dan engkau akan membawa penyelamatan sampai ke hujung bumi.’”​—Kis. 13:44-47; Yes. 49:6.

Para penentang yang bengis mengusir Paulus dan Barnabas dari Antiokhia di Pisidia.

‘Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas. Murid-murid Yesus terus dipenuhi sukacita dan kuasa suci Tuhan.’​—Kisah 13:50-52

16. Apakah reaksi orang Yahudi terhadap kata-kata para mubaligh yang terus terang? Bagaimanakah Paulus dan Barnabas menghadapi tentangan itu?

16 Orang bukan Yahudi bersukacita dan “semua orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal mula menjadi pengikut Yesus.” (Kis. 13:48) Tidak lama kemudian, firman Yehuwa tersebar di seluruh negeri itu. Namun, reaksi orang Yahudi jauh berbeza. Para mubaligh itu berkata kepada mereka bahawa walaupun firman Tuhan telah disampaikan kepada mereka terlebih dahulu, mereka telah memilih untuk menolak Mesias. Maka, mereka akan berdepan dengan penghakiman Tuhan. Kemudian, orang Yahudi menghasut wanita-wanita terkemuka dan para pemimpin kota “sehingga mereka mula menganiaya dan membuang Paulus dan Barnabas ke luar kota.” Apakah reaksi Paulus dan Barnabas? Mereka “mengebaskan debu daripada kaki mereka sebagai amaran lalu pergi ke Ikonium.” Adakah agama Kristian di Antiokhia di Pisidia berakhir begitu sahaja? Sudah tentu tidak! Murid-murid di kota itu “terus dipenuhi sukacita dan kuasa suci Tuhan.”​—Kis. 13:50-52.

17-19. Bagaimanakah kita dapat meniru Paulus dan Barnabas, dan bagaimanakah hal itu membantu kita terus bersukacita?

17 Cara para rasul yang setia ini menghadapi tentangan memberi kita pengajaran yang penting. Kita tidak akan berhenti menginjil bahkan semasa orang yang berpengaruh cuba menghentikan kita. Perhatikan juga bahawa semasa orang di Antiokhia menolak mesej Bible, Paulus dan Barnabas “mengebaskan debu daripada kaki mereka.” Perbuatan mereka tidak menunjukkan mereka marah. Sebaliknya, ini menunjukkan bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap apa yang akan berlaku kepada penduduk di situ. Para mubaligh ini sedar bahawa mereka tidak dapat mengawal reaksi orang. Tetapi, apa yang mereka dapat buat ialah meneruskan kerja menginjil, dan itulah yang mereka lakukan di Ikonium!

18 Bagaimana pula dengan murid-murid di Antiokhia? Memang, di situ mereka menghadapi banyak tentangan. Tetapi, sukacita mereka tidak bergantung pada sambutan orang. Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!” (Luk. 11:28) Itulah tekad murid-murid di Antiokhia, Pisidia.

19 Seperti Paulus dan Barnabas, semoga kita juga sentiasa ingat bahawa tanggungjawab kita adalah untuk menginjil tentang berita baik. Keputusan untuk menerima atau menolak mesej Bible ada dalam tangan pendengar kita. Jika orang enggan menerima mesej kita, ingatlah pengajaran daripada murid-murid abad pertama. Dengan terus menghargai kebenaran dan membiarkan diri dibimbing oleh kuasa suci Tuhan, kita akan bersukacita walaupun menghadapi tentangan.​—Gal. 5:18, 22.

BARNABAS​—“ORANG YANG MEMBAWA KELEGAAN HATI”

Di sidang Yerusalem masa awal, terdapat seorang saudara yang mengambil pimpinan bernama Yusuf. Dia keturunan Lewi dari Siprus. Para rasul memberinya satu lagi nama yang menggambarkan keperibadiannya, iaitu Barnabas, yang bererti “Orang yang Membawa Kelegaan Hati.” (Kis. 4:36) Semasa melihat rakan seimannya memerlukan bantuan, dia segera menolong mereka.

Barnabas memberikan dua kantung wang sebagai sumbangan.

Pada Pentakosta 33 M, sebanyak 3,000 orang murid baharu dibaptis. Barangkali, banyak antara mereka membuat perjalanan ke Yerusalem untuk menghadiri perayaan dan tidak merancang untuk tinggal lama di situ. Maka, sidang memerlukan bekalan dan wang untuk menjaga mereka. Oleh itu, Barnabas menjual sebidang tanah dan dengan murah hati menyumbangkan wang itu kepada para rasul.​—Kis. 4:32-37.

Sebagai penyelia Kristian yang matang, Barnabas membantu orang dengan bersemangat. Apabila Saulus dari Tarsus menjadi pengikut Kristus, murid-murid lain takut kepadanya kerana dia dikenali sebagai seorang penganiaya. Tetapi ketika itu, Barnabaslah yang membantunya. (Kis. 9:26, 27) Selain itu, Barnabas bersikap rendah hati semasa Paulus dengan tegas menegurnya dan Petrus tentang cara orang Yahudi dan bukan Yahudi harus melayan satu sama lain. (Gal. 2:9, 11-14) Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa Barnabas hidup selaras dengan namanya, iaitu “Orang yang Membawa Kelegaan Hati.”

a Lihat kotak “Barnabas​—‘Orang yang Membawa Kelegaan Hati.’”

b Ketika itu, sudah ada sidang yang ditubuhkan di tempat yang jauh seperti di Antiokhia di Siria, yang terletak sekitar 550 km di utara Yerusalem.

c Lihat kotak “Perjalanan pada Zaman Kuno.”

d Pada abad pertama, sebuah kapal dapat berlayar sejauh kira-kira 160 km sehari jika cuaca baik. Jika keadaan cuaca kurang baik, masa belayar yang lebih panjang diperlukan.

e Lihat kotak “Rumah Ibadat Orang Yahudi.”

f Siprus berada di bawah pemerintahan Senat Roma. Pentadbir utama pulau ini ialah gabenor daerah.

g Sejak masa itu, Saulus dikenali sebagai Paulus. Sesetengah orang berpendapat bahawa dia mula menggunakan nama Roma tersebut demi menghormati Sergius Paulus. Namun selepas dia meninggalkan Siprus, dia masih menggunakan nama itu. Hal ini menunjukkan bahawa pendapat sebegitu tidak benar. Dia menggunakan nama Romanya kerana dia ialah “rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain.” Dia juga mungkin menggunakan nama Paulus kerana sebutan Yunani bagi nama Ibraninya, Saulus, hampir sama dengan suatu perkataan Yunani yang maksudnya kurang baik.​—Rm. 11:13.

h Surat Paulus kepada sidang Galatia ditulis beberapa tahun kemudian. Dalam suratnya, Paulus menulis, “Aku berpeluang untuk mengkhabarkan berita baik kepada kamu buat kali pertama kerana penyakitku.”​—Gal. 4:13.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi