Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
6-12 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 KORINTUS 4-6
“Kita Tidak Berputus Asa”
(2 Korintus 4:16) Itulah sebabnya kita tidak berputus asa. Walaupun tubuh kita beransur-ansur reput, hati dan minda kita dibaharui setiap hari.
w04 15/8 25 per. 16-17
Letih tetapi Tidak Berputus Asa
16 Adalah penting untuk menjaga kerohanian kita. Jika kita mempunyai hubungan yang akrab dengan Tuhan Yehuwa, kita tidak akan berputus asa dan berhenti menyembah-Nya biarpun kita letih secara fizikal. Yehuwalah yang “menguatkan orang yang lelah dan memberikan tenaga yang secukupnya kepada orang yang lemah.” (Yesaya 40:28, 29) Rasul Paulus sendiri pernah merasakan bantuan sedemikian dalam hidupnya. Dia berkata, “Itulah sebabnya kita tidak berputus asa. Walaupun tubuh kita beransur-ansur reput, hati dan minda kita dibaharui setiap hari.”—2 Korintus 4:16.
17 Ungkapan “setiap hari” bererti kita harus memanfaatkan persediaan daripada Yehuwa setiap hari. Seorang mubaligh yang telah berkhidmat selama 43 tahun berkata, “Saya akan bangun awal supaya saya ada masa untuk berdoa kepada Yehuwa dan membaca Bible. Rutin ini telah membantu saya tetap bertabah sehingga hari ini.” Jadi walaupun dia berasa penat dan kecewa, hal ini tidak membuatnya berputus asa. Kita juga boleh mendapatkan kekuatan daripada Yehuwa jika kita berdoa “setiap hari” dan merenungkan sifat-sifat-Nya serta janji-Nya.
(2 Korintus 4:17) Kesengsaraan yang kita hadapi hanyalah sementara dan tidak seberapa berat, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang sangat unggul, besar, dan kekal.
it-2 1004
Tabah, Ketabahan
Harapan Kristian, iaitu kehidupan abadi dalam keadaan yang sempurna, harus terpahat di minda dan hati kita. Bahkan kematian di tangan musuh tidak akan menghalang harapan ini daripada menjadi kenyataan. (Rm 5:4, 5; 1Te 1:3; Why 2:10) Apabila harapan indah yang kita miliki menjadi nyata, segala keperitan hari ini akan lenyap dari fikiran kita. (Rm 8:18-25) Walaupun kita mengalami cabaran yang teruk, kita sedar bahawa semua ini “hanyalah sementara dan tidak seberapa berat” kerana kita memiliki kehidupan kekal. (2Ko 4:16-18) Ya, cubaan yang melanda kita hanyalah sementara. Dengan mengingati hal ini dan terus berpegang pada harapan Kristian, kita tidak akan berputus asa dan menjadi tidak setia.
(2 Korintus 4:18) Kita menumpukan perhatian kepada hal-hal yang tidak kelihatan dan bukannya kepada hal-hal yang kelihatan. Hal ini demikian kerana hal-hal yang kelihatan hanyalah sementara, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan kekal selama-lamanya.
Mencari Permata Rohani
(2 Korintus 4:7) Walaupun kami seperti bekas tanah liat, tugas suci yang bagaikan harta karun telah diberikan kepada kami. Maka jelaslah bahawa kuasa luar biasa yang kami miliki berasal daripada Tuhan dan bukannya daripada kami sendiri.
“Mengukir Senyuman di Wajah Yehuwa”
Saudara David Splane, seorang anggota Badan Pimpinan, telah menjelaskan erti tema ini. (2 Korintus 4:7) Apakah maksud “harta karun”? Adakah ini ilmu pengetahuan atau kebijaksanaan? “Tidak,” jawab Saudara Splane. “Harta yang disebutkan oleh Rasul Paulus merujuk kepada ‘tugas suci’ untuk ‘membuat kebenaran terserlah.’” (2 Korintus 4:1, 2, 5) Dia mengingatkan para lulusan bahawa latihan selama lima bulan itu akan melengkapi mereka untuk tugasan yang istimewa dalam kerja penyebaran. Tugasan itu tidak harus diremehkan.
Saudara Splane menyambung bahawa “bekas tanah liat” merupakan tubuh kita. Dia membandingkan bekas tanah liat dengan bekas yang diperbuat daripada emas. Bekas yang diperbuat daripada emas jarang digunakan berbanding bekas tanah liat. Jika harta disimpan dalam bekas emas, bekas itu turut menjadi tumpuan orang. Saudara Splane menyambung, “Para lulusan sekalian, halakanlah perhatian bukan kepada diri sendiri, tetapi kepada Yehuwa. Tunjukkan kerendahan hati dan anggap diri seperti bekas tanah liat.”
(2 Korintus 6:13) Aku bercakap kepada kamu seperti bercakap kepada anak-anakku. Lakukanlah hal yang sama terhadap kami, dan bukalah hati kamu lebar-lebar untuk kami.
w09 15/11 21 per. 7
Terus Memupuk Kasih Persaudaraan
7 Bagaimanakah kita dapat ‘membuka hati lebar-lebar’ dan menunjukkan kasih persaudaraan Kristian? Orang yang sebaya atau sama bangsa mungkin senang bergaul bersama. Mereka yang ada cita rasa yang sama pula sering meluangkan banyak masa bersama-sama. Jika hal-hal seperti ini menyekat pergaulan kita dengan sesetengah rakan Kristian, kita perlu ‘membuka hati kita lebar-lebar.’ Tanyalah diri, “Adakah saya jarang menginjil atau bergaul dengan saudara saudari yang bukan kawan rapat saya? Di Dewan Perjumpaan, adakah saya jarang bergaul dengan orang baharu kerana saya rasa mereka perlu ‘memenangi hati’ saya dulu? Adakah saya bercakap dengan ahli sidang yang tua dan muda?”
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Pertanyaan Pembaca
Di 2 Korintus 6:14, siapakah “orang yang tidak percaya” yang disebut oleh Paulus?
Dua Korintus 6:14 berkata, “Janganlah memikul kuk bersama orang yang tidak percaya.” Jelaslah dalam konteks ayat ini, Paulus sedang merujuk kepada orang dunia yang bukan sebahagian daripada sidang Kristian. Pemahaman ini disokong oleh ayat Bible lain, di mana Paulus juga menggunakan ungkapan “orang yang tidak percaya.”
Contohnya, Paulus menegur orang Kristian kerana meminta diadili di mahkamah oleh “orang yang tidak percaya.” (1 Korintus 6:6) Dalam konteks ini, “orang yang tidak percaya” merujuk kepada para hakim dalam sistem perundangan Korintus. Dalam suratnya yang kedua pula, Paulus menyatakan bahawa “mereka yang tidak percaya telah dibutakan” oleh Syaitan. Maka selubung ini menghalang berita baik daripada menyinari mereka. Nampaknya, mereka tidak mengambil langkah untuk mencari Yehuwa, kerana Paulus pernah berkata, “Selubung itu ditanggalkan apabila seseorang berpaling kepada Yehuwa.”—2 Korintus 3:16; 4:4.
Sesetengah orang yang tidak percaya mengamalkan perbuatan jahat atau penyembahan berhala. (2 Korintus 6:15, 16) Tetapi, bukan semua antara mereka menentang umat Yehuwa. Ada juga yang berminat tentang kebenaran. Contohnya, seseorang yang tidak menyembah Yehuwa mungkin mempunyai pasangan Kristian dan ingin terus hidup bersamanya. (1 Korintus 7:12-14; 10:27; 14:22-25; 1 Petrus 3:1, 2) Namun, ungkapan “orang yang tidak percaya” yang digunakan oleh Paulus merujuk khas kepada mereka yang bukan sebahagian daripada sidang yang “percaya kepada Tuan Yesus.”—Kisah 2:41; 5:14; 8:12, 13.
Sememangnya, prinsip di 2 Korintus 6:14 dapat membimbing orang Kristian dalam pelbagai aspek hidup, terutamanya semasa memilih pasangan. (Matius 19:4-6) Seorang Kristian yang sudah dibaptis tidak akan mencari pasangan dalam kalangan orang yang tidak percaya. Hal ini kerana nilai moral, matlamat, dan kepercayaan mereka adalah sangat berbeza.
Bagaimana pula jika orang tersebut sedang belajar Bible dan bergaul dengan sidang Kristian? Ataupun seorang penyiar yang belum dibaptis? Adakah mereka tergolong sebagai orang yang tidak percaya? Tidak. Hal ini kerana mereka sudah menerima berita baik dan sedang membuat kemajuan untuk dibaptis. (Roma 10:10; 2 Korintus 4:13) Sebelum Kornelius dibaptis, dia dipanggil sebagai seorang yang “takut akan Tuhan dan menyembah Tuhan.”—Kisah 10:2.
Jadi, adakah bijak bagi seorang yang sudah dibaptis untuk berdating dengan seorang penyiar yang belum dibaptis? Perbuatan ini adalah tidak bijak. Mengapa? Sebab Paulus telah memberikan arahan ini kepada balu Kristian: “Dia bebas berkahwin dengan sesiapa sahaja yang diingininya, asalkan orang itu pengikut Tuan kita.” (1 Korintus 7:39) Jadi, seorang Kristian yang sudah dibaptis harus mencari bakal teman hidup dalam kalangan “pengikut Tuan.”
Siapakah “pengikut Tuan” yang dimaksudkan oleh Paulus? Dia menjelaskannya di Roma 16:8-10 dan Kolose 4:7. Jika anda membaca ayat-ayat itu, anda akan dapati bahawa “pengikut Tuan” merujuk kepada umat Tuhan yang “bekerja bersama-sama kita,” orang yang “setia kepada Kristus,” ‘saudara yang dikasihi,’ orang yang “berkhidmat kepada Tuan dengan setia,” dan para “hamba Tuan.”
Bilakah seseorang boleh digelar sebagai “hamba Tuan”? Apabila dia dengan rela melakukan kerja seorang hamba dan mengetepikan keinginan dirinya. Yesus berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Matius 16:24) Sewaktu seseorang membaktikan diri kepada Tuhan, dia mula menjadi pengikut Kristus dan merelakan diri untuk melakukan kehendak Tuhan. Kemudian, dia akan dibaptis sebagai penyebar yang dilantik oleh Yehuwa dan yang mendapat perkenan-Nya. Jadi, arahan untuk berkahwin hanya dengan “pengikut Tuan kita” bermaksud mengahwini seseorang yang sudah membaktikan diri untuk menjadi “hamba Tuhan dan hamba Tuan Yesus Kristus.”—Yakobus 1:1.
Orang yang sedang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan membuat kemajuan harus dipuji. Namun, dia belum lagi membaktikan diri kepada Yehuwa dan mengabdikan diri untuk melakukan kehendak Tuhan. Haluan hidup ini memerlukan pengorbanan besar. Selain itu, dia masih sedang membuat perubahan. Usaha ini perlu berterusan sehingga dia sedia untuk dibaptis. Setelah itu barulah sesuai bagi dia untuk membuat satu lagi perubahan besar dalam kehidupannya, iaitu mempertimbangkan perkahwinan.
Adakah sesuai bagi seorang Kristian untuk mula berdating dengan seorang pelajar Bible yang nampaknya sedang membuat kemajuan, dan ingin berkahwin dengannya setelah dia dibaptis? Tidak. Sebab motif pelajar Bible itu mungkin tersimpang jika dia sedar bahawa penyiar yang sudah dibaptis itu hanya akan berkahwin dengannya setelah dia dibaptis.
Sebenarnya, jangka masa dari waktu seseorang menjadi penyiar belum dibaptis sehingga dia mengambil langkah untuk dibaptis biasanya tidak begitu lama. Jadi arahan untuk berkahwin dengan pengikut Tuan bukanlah sesuatu yang tidak munasabah. Bagaimana pula jika seseorang sudah bersedia untuk berumah tangga, dibesarkan dalam keluarga Kristian, dan merupakan penyiar belum dibaptis selama beberapa tahun? Apakah yang menghalangnya daripada dibaptis? Mengapakah dia masih tidak mengambil langkah ini? Adakah dia mempunyai apa-apa keraguan? Dalam situasi ini, walaupun dia tidak digolongkan sebagai “orang yang tidak percaya,” dia masih belum lagi menjadi “pengikut Tuan.”
Nasihat Paulus tentang perkahwinan adalah demi kebaikan kita. (Yesaya 48:17) Jika dua orang yang ingin berkahwin sudah membaktikan diri kepada Yehuwa, ikatan perkahwinan mereka mempunyai asas yang kuat. Mereka mempunyai matlamat dan nilai moral yang sama. Sudah tentu ini akan membawa kebahagiaan. Tambahan pula, apabila kita berkahwin dengan “pengikut Tuan” kita, ini menunjukkan kita setia kepada Yehuwa. Berkat-Nya pasti akan melimpah kerana Dia “setia kepada orang yang setia.”—Mazmur 18:25.
13-19 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 KORINTUS 7-10
“Tugas ‘untuk Membantu Umat Suci Tuhan’”
(2 Korintus 8:1-3) Saudara-saudara, kami ingin kamu tahu tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul yang telah diberikan kepada sidang-sidang di Makedonia. 2 Semasa diuji dengan kesusahan yang amat berat, mereka masih sangat bersukacita. Biarpun mereka amat miskin, mereka sangat murah hati. 3 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi mengikut kemampuan mereka, bahkan melebihi kemampuan mereka.
w98 1/11 25 per. 1
“Tuhan Mengasihi Orang yang Memberi dengan Senang Hati”
Pertama, Paulus memberitahu sidang di Korintus tentang bantuan yang diberikan orang di Makedonia. Paulus menulis, “Semasa diuji dengan kesusahan yang amat berat, mereka masih sangat bersukacita. Biarpun mereka amat miskin, mereka sangat murah hati.” Ya, mereka tidak perlu disuruh memberi, sebaliknya Paulus berkata bahawa mereka “merayu kepada kami dengan bersungguh-sungguh supaya diberi penghormatan untuk memberikan sumbangan.” Pemberian mereka memang luar biasa kerana mereka memberi dengan senang hati biarpun “mereka amat miskin.”—2 Korintus 8:2-4.
Mencari Permata Rohani
(2 Korintus 10:17) Ada tertulis, “Sesiapa yang berbangga, hendaklah dia berbangga kerana Yehuwa.”
g99 8/7 20
Adakah Salah untuk Bersikap Bangga?
Dalam Kitab Yunani Kristian, kata kerja kau·khaʹo·mai, yang diterjemahkan sebagai “berbangga, bersukacita, bermegah,” boleh digunakan secara positif atau negatif. Contohnya, Paulus berkata bahawa kita boleh “bersukacita atas harapan untuk menerima kemuliaan Tuhan.” Dia juga menambah, “Sesiapa yang berbangga, hendaklah dia berbangga kerana Yehuwa.” (Roma 5:2; 2 Korintus 10:17) Kita berbangga kerana Yehuwa ialah Tuhan kita, dan nama serta reputasi-Nya yang mulia membuat kita berasa sukacita.
20-26 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 KORINTUS 11-13
“‘Duri dalam Daging’ Paulus”
(2 Korintus 12:7) dan bukan semata-mata kerana perkhabaran luar biasa yang telah aku terima. Maka, aku diberi sesuatu seperti duri dalam daging, iaitu malaikat Syaitan, untuk terus menampar aku supaya aku tidak terlalu meninggikan diri.
w08 15/6 3
Menjadi Kuat meskipun Lemah
Sebanyak tiga kali Rasul Paulus telah merayu Yehuwa untuk menyingkirkan suatu cabaran yang berterusan, yang bagaikan “duri dalam daging.” Tidak kira apa cabarannya itu, sudah pasti masalah yang seperti duri itu menyusahkan Paulus dan dapat meragut sukacitanya. Dia berasa seperti ditampar berulang kali. Namun, apakah jawapan Yehuwa? Tuhan berkata, “Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu, kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” Ya, masalah Paulus tidak dilenyapkan. Walaupun dia perlu melalui dugaan itu, dia berkata, “Apabila aku lemah, aku menjadi kuat.” (2 Kor. 12:7-10) Apakah maksudnya?
(2 Korintus 12:8, 9) Aku merayu kepada Tuan kita sebanyak tiga kali agar duri tersebut disingkirkan daripadaku. 9 Namun Dia berkata kepada aku, “Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu, kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” Maka, dengan besar hati, aku akan berbangga dengan kelemahanku, supaya kuasa Kristus terus melindungi aku seperti sebuah khemah.
w06 15/12 24 per. 17-18
Yehuwa “Memberikan Kuasa Suci-Nya kepada Mereka yang Meminta daripada-Nya”
17 Tuhan menjawab doa Paulus dengan kata-kata ini: “Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu, kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” Paulus berkata, “Maka, dengan besar hati, aku akan berbangga dengan kelemahanku, supaya kuasa Kristus terus melindungi aku seperti sebuah khemah.” (2 Korintus 12:9; Mazmur 147:5) Melalui Kristus, Paulus merasai perlindungan dan kuasa Tuhan yang menaunginya seperti khemah. Hari ini, Yehuwa juga menjawab doa kita dalam cara yang serupa. Dia akan memberikan perlindungan kepada umat-Nya.
18 Sudah tentu sebuah khemah tidak dapat menghentikan hujan atau ribut yang melanda. Tetapi, kita boleh mendapat perlindungan daripadanya. Begitu juga, perlindungan yang kita dapat melalui “kuasa Kristus” tidak akan menghalang cabaran daripada menimpa kita. Namun, hal itu memayungi kita dan dapat menangkis ancaman rohani yang dilontarkan oleh Syaitan dan dunia ini. (Wahyu 7:9, 15, 16) Jika anda sedang bergelut dengan masalah yang berlanjutan, anda boleh yakin bahawa Yehuwa tahu akan kesusahan anda, dan Dia sudah pun “menjawab seruan” anda. (Yesaya 30:19; 2 Korintus 1:3, 4) Paulus menulis, “Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.”—1 Korintus 10:13; Filipi 4:6, 7.
Mencari Permata Rohani
(2 Korintus 13:12) Sambutlah satu sama lain dengan ciuman.
it-1 510
Cium, Mencium
“Ciuman Suci.” Pada abad pertama, orang Kristian memberikan “ciuman suci” (Rm 16:16; 1Ko 16:20; 2Ko 13:12; 1Te 5:26; nota kaki) atau “ciuman sebagai tanda kasih” (1Pt 5:14). Barangkali, orang yang sama jantina akan memberikan salam dalam cara ini. Amalan mencium semasa bersalaman ini mungkin serupa dengan cara sapaan orang Yahudi zaman kuno. Walaupun Bible tidak mengandungi perincian tentang hal ini, “ciuman suci” atau “ciuman sebagai tanda kasih” menunjukkan kasih dan perpaduan yang wujud dalam sidang Kristian.—Yoh 13:34, 35.
27 MEI–2 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | GALATIA 1-3
“Aku Bersemuka dengannya dan Menentangnya”
it-2 295 per. 2
Paulus
Setelah beberapa waktu, Petrus datang ke Antiokhia di Siria dan bergaul bersama orang Kristian yang bukan berbangsa Yahudi. Tetapi, apabila sesetengah orang Yahudi dari Yerusalem tiba, Petrus menjauhkan diri daripada orang yang bukan berbangsa Yahudi. Barangkali Petrus takut akan manusia dan hal itu menyebabkannya bertindak dalam cara yang bertentangan dengan bimbingan kuasa suci dan pandangan Tuhan yang tidak berat sebelah. Bahkan Barnabas terikut-ikut dengan perbuatan Petrus. Maka, Paulus dengan tegas menegur Petrus di hadapan orang ramai kerana sikapnya dapat menghalang perkembangan sidang Kristian.—Ga 2:11-14.
w10 15/6 17-18 per. 12
12 Kita tidak hairan apabila masalah sebegitu berlaku dengan orang duniawi. Kita sedar bahawa dunia Syaitan sering kali tidak adil. Jadi kita tidak mahu membiarkan perbuatan orang jahat membuat kita naik marah. (Mzm. 37:1-11; Pkh. 8:12, 13; 12:13, 14) Tetapi, apabila masalah timbul antara saudara saudari, kita mungkin berasa sangat sakit hati. Seorang Saksi mengimbas kembali, “Halangan yang terbesar bagi saya semasa belajar tentang kebenaran ialah, saya perlu terima hakikat bahawa umat Yehuwa adalah tidak sempurna.” Dunia ini memang bersikap mementingkan diri. Jadi apabila kita menyertai sidang Kristian, kita berharap semua saudara saudari akan melayan satu sama lain dengan baik. Jadi, apabila seorang rakan Kristian, terutamanya saudara yang memikul tanggungjawab, menyakiti hati kita, kita mungkin berasa marah atau kecewa. Barangkali kita fikir, “Kenapa perkara ini boleh berlaku dalam kalangan umat Tuhan?” Sebenarnya, perselisihan sebegitu juga berlaku dalam kalangan orang Kristian terurap pada abad pertama. (Gal. 2:11-14; 5:15; Yak. 3:14, 15) Apakah reaksi kita apabila kita disakiti?
Mencari Permata Rohani
(Galatia 3:1) Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menipu kamu? Yesus Kristus telah dipakukan pada tiang, dan bukankah hal ini sudah digambarkan dengan jelas kepada kamu?
it-1 755
Galatia, Surat kepada Sidang-Sidang di
Paulus berkata, “Wahai orang Galatia yang tidak berakal.” Sebenarnya, dia tidak menujukan kata-kata ini kepada orang keturunan Gaul di bahagian utara Galatia. (Ga 3:1) Sebaliknya, Paulus sedang menegur sesetengah orang dalam sidang di Galatia. Ada antara mereka yang telah dipengaruhi oleh ahli sidang yang masih berpegang pada Hukum Musa. Beberapa orang Yahudi mengajar bahawa mereka harus mendapat perkenan Tuhan dengan mengikut Hukum Musa dan bukannya melalui iman, seperti yang dituntut dalam perjanjian baharu. (2:15–3:14; 4:9, 10) “Sidang-sidang di Galatia” (1:2) yang mendapat surat Paulus terdiri daripada orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. Ada antara mereka yang sudah disunat, dan ada yang belum, dan sesetengah pula daripada keturunan Celt. (Kis 13:14, 43; 16:1; Ga 5:2) Mereka dipanggil sebagai orang Galatia kerana itulah nama kawasan tersebut. Maka, surat Paulus dituju kepada rakan-rakannya di bahagian selatan wilayah Roma, dan bukannya penduduk di bahagian utara, sebuah kawasan yang belum dilawatnya.