-
Robohkan Pelbagai Fikiran yang Bercanggahan dengan Pengetahuan tentang Tuhan!Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019 | Jun
-
-
“MEMBAHARUI CARA KAMU BERFIKIR”
7. Bagaimanakah kita dapat mengubah hati dan minda sendiri?
7 Dapatkah kita mengubah hati dan minda sendiri? Firman Tuhan menyatakan, “Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir, dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar dan setia.” (Ef. 4:23, 24) Ya, kita memang dapat mengubah hati dan minda sendiri, tetapi hal itu tidak mudah. Sekadar menahan nafsu berdosa dan menjauhi perbuatan yang salah tidak memadai. Kita juga perlu mengubah ‘cara kita berfikir,’ yang merangkumi keinginan, kecenderungan, dan niat hati kita. Untuk berbuat demikian, usaha yang berterusan diperlukan.
8-9. Bagaimanakah pengalaman seorang saudara menunjukkan bahawa hati dan minda kita perlu diubah?
8 Mari kita lihat contoh seorang saudara yang dahulunya bersifat ganas. Selepas dia berhenti menjadi kaki botol dan tidak lagi bergaduh dengan orang, dia memenuhi syarat untuk dibaptis. Hal itu menjadi kesaksian yang baik kepada jiran-jirannya. Tetapi tidak lama selepas dibaptis, dia menghadapi cubaan yang tidak terduga. Suatu petang, seorang lelaki yang mabuk datang ke rumahnya dan mencabarnya untuk berlawan. Mula-mulanya, saudara kita menahan keinginannya untuk berlawan. Tetapi apabila lelaki itu mengutuk nama Yehuwa, saudara kita tidak dapat menahan kemarahannya lagi. Dia keluar dari rumah lalu membelasah lelaki tersebut. Apakah masalahnya? Selepas mempelajari Bible, dia memang dapat mengawal keinginan untuk berlawan, tetapi dia belum mengubah ‘cara dia berfikir.’ Sifat yang ganas masih tersembunyi dalam hati dan mindanya.
9 Namun, saudara kita tidak berputus asa. (Ams. 24:16) Dengan adanya bantuan para penatua, dia terus membuat kemajuan dan bahkan dilantik sebagai penatua pada kemudian hari. Tetapi pada suatu petang, di luar Dewan Perjumpaan, dia menghadapi cubaan yang sama, yang dihadapinya bertahun-tahun lalu: Seorang lelaki yang mabuk hendak memukul seorang penatua. Apakah yang dilakukan saudara kita? Dengan tenang dan lembut, dia memujuk lelaki itu, meredakan situasi tersebut, dan membawa lelaki itu pulang. Mengapakah reaksi saudara kita berbeza kali ini? Hati dan mindanya sudah diubah. Dia benar-benar menjadi seorang yang rendah hati dan suka akan kedamaian, dan perubahannya telah membawa pujian kepada nama Yehuwa!
10. Apakah yang diperlukan untuk mengubah hati dan minda kita?
10 Perubahan sebegini tidak berlaku dalam sehari ataupun secara automatik. Seseorang tidak akan berubah hanya kerana dia sudah “lama dalam kebenaran.” Kita perlu “berusaha sedaya upaya” selama bertahun-tahun untuk mengubah hati dan minda kita. (2 Ptr. 1:5) Mari kita lihat beberapa langkah asas yang dapat membantu kita membuat perubahan.
CARA UNTUK MENGUBAH HATI DAN MINDA KITA
11. Bagaimanakah doa dapat membantu kita mengubah hati dan minda kita?
11 Doa ialah langkah yang pertama. Seperti pemazmur, kita harus memohon, “Ya Tuhan, ciptakanlah hati yang murni dalam diriku, dan berilah aku sikap yang baharu agar aku tetap teguh.” (Mzm. 51:10) Kita mesti mengakui bahawa kita perlu mengubah hati dan minda sendiri, dan kita mesti meminta bantuan Yehuwa. Apakah yang meyakinkan kita bahawa Yehuwa pasti membantu kita berubah? Mengenai orang Israel pada zaman Yehezkiel, Yehuwa berjanji, “Aku akan membuat mereka bersatu hati, dan membaharui cara pemikiran mereka. Aku akan menggantikan hati mereka yang keras seperti batu dengan hati yang lembut, [iaitu, hati yang peka terhadap bimbingan Tuhan].” (Yeh. 11:19, nota kaki) Yehuwa rela membantu orang Israel berubah, dan Dia rela membantu kita juga.
12-13. (a) Menurut Mazmur 119:59, apakah yang harus kita renungkan? (b) Apakah soalan-soalan yang patut kita tanya diri?
12 Langkah yang kedua ialah perenungan. Semasa meneliti Firman Tuhan setiap hari, luangkanlah masa untuk membuat perenungan. Cuba kenal pasti fikiran dan perasaan kita yang perlu diubah. (Baca Mazmur 119:59; Ibr. 4:12; Yak. 1:25) Jika kita mendapati bahawa kita tertarik kepada pemikiran dunia, kita mesti mengakui kelemahan sendiri dan bekerja keras untuk mengatasinya.
13 Sebagai contoh, tanyalah diri anda, “Adakah rasa cemburu masih tersembunyi di sudut hati saya?” (1 Ptr. 2:1) “Adakah saya membanggakan diri kerana latar belakang, pendidikan, atau keadaan kewangan saya?” (Ams. 16:5) “Adakah saya memandang rendah kepada bangsa lain atau orang yang berbeza kedudukan?” (Yak. 2:2-4) “Adakah saya suka akan hal-hal yang ditawarkan dunia Syaitan?” (1 Yoh. 2:15-17) “Adakah saya tertarik dengan hiburan yang ganas dan tidak bermoral?” (Mzm. 97:10; 101:3; Amo. 5:15) Jawapan kepada soalan-soalan itu mungkin menunjukkan perkara yang perlu kita usahakan. Apabila kita berjaya mencabut fikiran dan perasaan buruk yang sudah “berurat berakar,” kita pasti menggembirakan hati Bapa kita yang di syurga.—Mzm. 19:14.
14. Mengapakah kita harus memilih pergaulan yang baik?
14 Memilih pergaulan yang baik ialah langkah yang ketiga. Sama ada kita menyedarinya atau tidak, pergaulan memberikan pengaruh yang besar kepada diri kita. (Ams. 13:20) Orang di tempat kerja atau di sekolah biasanya tidak akan membantu kita memupuk fikiran Tuhan. Namun, kita boleh mendapat pergaulan yang terbaik di perjumpaan. Di situlah kita akan didorong untuk “memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.”—Ibr. 10:24, 25.
-