BAB 16
“Datanglah ke Makedonia”
Berkat kerana menerima satu tugasan dan menghadapi penganiayaan dengan sukacita
Berdasarkan Kisah 16:6-40
1-3. (a) Bagaimanakah Paulus dan rakan-rakannya merasai bimbingan kuasa suci Tuhan? (b) Apakah beberapa peristiwa yang akan kita kaji?
SEKUMPULAN wanita telah bertolak dari kota Filipi di Makedonia. Tidak lama kemudian, mereka tiba di sebuah sungai kecil bernama Gangites. Seperti biasa, mereka duduk di tebing sungai untuk berdoa kepada Tuhan Israel, dan Yehuwa memerhatikan mereka.—2 Taw. 16:9; Mzm. 65:2.
2 Sementara itu, lebih daripada 800 km di sebelah timur Filipi, sekumpulan lelaki meninggalkan kota Listra di selatan Galatia. Beberapa hari kemudian, mereka tiba di jalan besar Roma yang menghala ke arah barat. Jalan itu menuju ke sebuah kawasan yang paling padat dengan penduduk di wilayah Asia. Lelaki-lelaki itu, iaitu Paulus, Silas, dan Timotius, bersemangat pergi ke Efesus dan kota-kota lain untuk menyebarkan berita tentang Kristus kepada ribuan orang di sana. Namun, sebelum mereka dapat memulakan perjalanan itu, kuasa suci Tuhan menghalang mereka dalam cara yang tidak dinyatakan dalam Bible. Mereka tidak dibenarkan untuk menginjil di Asia. Mengapa? Menerusi kuasa suci Tuhan, Yesus mahu membimbing Paulus dan rakan-rakannya untuk merentasi Asia Kecil, kemudian menyeberangi Laut Aegean, dan pergi ke Sungai Gangites itu.
3 Cara Yesus membimbing Paulus dan rakan-rakannya dalam perjalanan yang luar biasa ke Makedonia mengandungi pengajaran yang penting bagi kita hari ini. Maka, mari kita mengkaji beberapa peristiwa yang berlaku semasa perjalanan mubaligh Paulus yang kedua, yang bermula sekitar tahun 49 M.
“Tuhan Telah Memanggil Kami” (Kis. 16:6-15)
4, 5. (a) Apakah yang berlaku kepada Paulus dan rakan-rakannya semasa berdekatan Bitinia? (b) Apakah keputusan yang dibuat oleh murid-murid Yesus itu, dan apakah hasilnya?
4 Setelah Paulus dan rakan-rakannya dihalang untuk menginjil di Asia, mereka bertolak ke arah utara untuk menginjil di kota-kota Bitinia. Untuk pergi ke sana, mereka mungkin berjalan selama berhari-hari di jalan yang tidak berturap antara wilayah Frigia dan Galatia. Kawasan itu mempunyai sedikit penduduk. Namun, apabila mereka sudah dekat dengan Bitinia, Yesus sekali lagi menggunakan kuasa suci Tuhan untuk menghalang mereka. (Kis. 16:6, 7) Pada masa itu, lelaki-lelaki ini pasti kebingungan. Mereka tahu apa yang perlu disebarkan dan cara untuk melakukannya, tetapi mereka tidak tahu di mana mereka harus menginjil. Mereka seolah-olah mengetuk pintu untuk masuk ke Asia, tetapi tidak berjaya. Kemudian mereka mengetuk lagi pintu untuk masuk ke Bitinia, tetapi gagal juga. Namun, Paulus bertekad untuk terus mengetuk sehingga dia jumpa pintu yang akan dibuka. Lelaki-lelaki ini kemudiannya membuat keputusan yang nampaknya tidak masuk akal. Mereka bertolak ke arah barat dan berjalan sejauh 550 km tanpa singgah di mana-mana kota sehinggalah mereka tiba di Pelabuhan Troas, yang dapat menghubungkan orang ke Makedonia. (Kis. 16:8) Di sana, Paulus mengetuk untuk kali ketiga dan akhirnya ada sebuah pintu yang dibuka dengan lebar-lebar bagi mereka!
5 Lukas yang menyertai rombongan Paulus di Troas melaporkan: “Pada malam itu, Paulus mendapat suatu penglihatan. Dia nampak seorang lelaki dari Makedonia berdiri sambil merayu kepadanya, ‘Datanglah ke Makedonia dan bantulah kami.’ Sebaik sahaja Paulus mendapat penglihatan itu, kami membuat kesimpulan bahawa Tuhan telah memanggil kami untuk menyebarkan berita baik kepada orang di situ. Oleh itu, kami pun mencari jalan untuk pergi ke Makedonia.”a (Kis. 16:9, 10) Akhirnya, Paulus tahu di mana mereka harus menginjil. Betapa gembiranya Paulus kerana dia tidak berputus asa semasa perjalanan mereka! Dengan segera, empat lelaki itu berlayar ke Makedonia.
“Kami belayar dari Troas.”—Kisah 16:11
6, 7. (a) Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada peristiwa yang berlaku semasa perjalanan Paulus? (b) Apakah keyakinan yang kita terima melalui pengalaman Paulus?
6 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada peristiwa ini? Perhatikan bahawa Yesus menggunakan kuasa suci Tuhan untuk membimbing Paulus hanya selepas dia bertolak ke Asia dan hanya selepas dia hampir sampai di Bitinia. Akhirnya, hanya selepas dia tiba di Troas, barulah dia menerima arahan untuk pergi ke Makedonia. Sebagai Kepala sidang, Yesus juga mungkin membimbing kita dalam cara yang sama. (Kol. 1:18) Sebagai contoh, kita mungkin berfikir untuk berkhidmat sebagai perintis atau berpindah ke kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar. Namun, mungkin hanya selepas kita mengorak langkah untuk mencapai matlamat itu, barulah Yesus menggunakan kuasa suci Tuhan untuk membimbing kita. Mengapa? Fikirkan contoh ini: Seorang pemandu dapat belok ke kiri atau ke kanan hanya jika keretanya sedang bergerak. Begitu juga, Yesus membimbing kita hanya jika kita sedang bergerak, iaitu apabila kita mencurahkan usaha untuk meluaskan khidmat kita.
7 Namun, bagaimana pula jika usaha kita tidak segera membuahkan hasil? Patutkah kita berputus asa dan berfikir bahawa kuasa suci Tuhan tidak membimbing kita? Tidak. Ingatlah bahawa Paulus juga menghadapi cabaran, namun dia terus mengetuk sehingga dia jumpa pintu yang terbuka. Kita juga boleh yakin bahawa usaha kita akan diberkati jika kita tidak putus asa untuk mencari ‘pintu besar yang mempunyai banyak peluang untuk menjalankan kerja penyebaran.’—1 Kor. 16:9.
8. (a) Gambarkan kota Filipi. (b) Apakah hasil baik yang diraih daripada kerja penyebaran Paulus di “tempat orang berdoa”?
8 Selepas tiba di daerah Makedonia, Paulus dan rakan-rakannya pergi ke Filipi. Penduduk di kota itu bangga menjadi rakyat Roma. Kota Filipi mempunyai banyak persamaan dengan Roma. Jadi bagi askar Roma yang sudah bersara, kehidupan di Filipi adalah sama seperti di Roma. Di luar gerbang kota, bersebelahan dengan sebatang sungai, para mubaligh menemui “tempat orang berdoa.”b Pada hari Sabat, mereka pergi ke sana dan menemui beberapa wanita yang berkumpul untuk beribadat kepada Tuhan. Mereka duduk dan bercakap dengan wanita-wanita itu. Seorang wanita yang bernama Lidia mendengar kata-kata yang diucapkan, dan ‘Yehuwa membuka hatinya dengan sepenuhnya.’ Lidia sangat tersentuh dengan apa yang disampaikan oleh para mubaligh, lalu dia dan seluruh rumah tangganya dibaptis. Kemudian, dia menjemput para mubaligh itu untuk datang dan tinggal di rumahnya.c—Kis. 16:13-15.
9. Bagaimanakah banyak saudara saudari hari ini meniru teladan Paulus? Apakah berkat-berkat yang diraih mereka?
9 Bayangkan sukacita yang dirasai semasa Lidia dibaptis! Paulus pasti berasa sangat gembira kerana dia telah menerima jemputan untuk ‘datang ke Makedonia’ dan kerana Yehuwa menggunakan mereka untuk menjawab doa wanita-wanita yang rendah hati itu! Hari ini, banyak saudara saudari yang muda atau tua, yang bujang atau berkahwin, juga berpindah ke kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar. Memang, mereka menghadapi banyak cabaran. Namun, semua itu tidak dapat dibandingkan dengan kepuasan yang dinikmati mereka apabila menemui orang yang menerima kebenaran Bible seperti Lidia. Dapatkah anda membuat penyesuaian untuk berkhidmat di kawasan yang memerlukan lebih banyak bantuan? Berkat-berkat sedang menantikan anda! Sebagai contoh, seorang saudara yang bernama Aaron berpindah ke Amerika Tengah semasa dia muda. Seperti perasaan kebanyakan orang, dia berkata, “Berkhidmat di negara lain membantu saya bertumbuh secara rohani dan menjadi semakin akrab dengan Yehuwa. Saya juga menikmati kerja penyebaran dan saya ada lapan orang pelajar Bible!”
Bagaimanakah kita dapat ‘pergi ke Makedonia’ hari ini?
‘Orang Ramai Bangkit Menyerang Mereka’ (Kis. 16:16-24)
10. Apakah muslihat yang digunakan roh-roh jahat agar orang tersimpang daripada mesej yang dibawa oleh Paulus dan rakan-rakannya?
10 Syaitan pasti sangat berang kerana berita baik mula tersebar kepada penduduk di kawasan yang dikuasainya dan roh-roh jahat. Maka, tidak hairanlah roh-roh jahat terlibat dalam tentangan yang dialami oleh Paulus dan rakan-rakannya! Seraya para mubaligh terus mengunjungi tempat orang berdoa itu, seorang hamba perempuan yang dirasuk roh jahat asyik mengikut mereka. Perempuan itu membawa banyak keuntungan kepada pemilik-pemiliknya dengan meramalkan masa depan. Dia berseru, “Mereka hamba Tuhan Yang Maha Tinggi, yang memberitahu kamu bagaimana kamu dapat diselamatkan.” Roh jahat mungkin membuat perempuan itu mengucapkan kata-kata tersebut supaya ramalannya dan ajaran Paulus kedengaran seperti berasal daripada sumber yang sama. Dengan itu, perhatian orang ramai akan tersimpang daripada pengikut Kristus yang sejati. Namun, Paulus membungkam perempuan itu dengan mengusir roh jahat tersebut.—Kis. 16:16-18.
11. Selepas roh jahat diusir dari perempuan itu, apakah yang berlaku kepada Paulus dan Silas?
11 Pemilik-pemilik hamba perempuan itu mengamuk apabila sumber mereka untuk mendapat keuntungan telah hilang. Mereka mengheret Paulus dan Silas ke tempat awam untuk diadili oleh para pemerintah yang mewakili Roma. Para pemilik itu membangkitkan sikap prasangka dan semangat patriotisme hakim-hakim. Mereka berkata, ‘Orang Yahudi ini mencetuskan kekacauan dengan menyebarkan adat istiadat yang tidak boleh kita terima kerana kita orang Roma.’ Dengan serta-merta, “orang ramai [di tempat awam] pun bangkit menyerang mereka [Paulus dan Silas].” Pemerintah-pemerintah kota itu memerintahkan agar “mereka dipukul dengan kayu.” Kemudian, Paulus dan Silas diheret ke dalam penjara. Penjaga penjara memasukkan mereka ke bilik penjara yang paling dalam dan mengenakan pasung pada kaki mereka. (Kis. 16:19-24) Selepas pintu penjara ditutup, keadaan begitu gelap sehingga Paulus dan Silas tidak dapat melihat satu sama lain. Namun, Yehuwa memerhatikan apa yang sedang berlaku.—Mzm. 139:12.
12. (a) Bagaimanakah pengikut Kristus memandang penganiayaan, dan mengapa? (b) Apakah cara-cara yang masih digunakan oleh Syaitan dan konco-konconya hari ini?
12 Beberapa tahun sebelumnya, Yesus memberitahu pengikutnya, “Mereka akan menganiaya kamu.” (Yoh. 15:20) Maka apabila Paulus dan rakan-rakannya pergi ke Makedonia, mereka bersedia untuk menghadapi tentangan. Semasa dianiaya, mereka tidak menganggap bahawa Yehuwa tidak berkenan kepada mereka. Sebaliknya, mereka tahu bahawa Syaitan sedang melampiaskan kemarahannya. Hari ini, konco-konco Syaitan masih menggunakan cara yang sama seperti di Filipi. Tidak kira di sekolah atau tempat kerja, para penentang yang licik membuat tuduhan yang palsu atau yang kurang tepat supaya kita ditentang. Di sesetengah tempat, para penentang menuduh kita di mahkamah dan seolah-olah berkata, “Saksi-Saksi ini mencetuskan kekacauan dengan menyebarkan adat istiadat yang tidak boleh diterima oleh orang tempatan.” Di tempat lain pula, rakan seiman kita dipukul dan dipenjarakan. Namun, Yehuwa memerhatikan apa yang sedang berlaku.—1 Ptr. 3:12.
‘Dibaptis Tanpa Membuang Masa’ (Kis. 16:25-34)
13. Apakah yang menyebabkan penjaga penjara itu bertanya, “Apakah yang harus aku lakukan supaya diselamatkan?”
13 Selepas peristiwa mengejutkan pada hari itu, Paulus dan Silas pasti memerlukan masa untuk sembuh secara fizikal dan mental. Namun pada tengah malam, mereka memperoleh semula tenaga sehingga dapat “berdoa dan menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan.” Tiba-tiba, gempa bumi menggegarkan penjara! Penjaga penjara terbangun lalu ternampak pintu-pintu terbuka dan menyangka tahanan sudah melarikan diri. Dia tahu bahawa dia akan dihukum kerana membiarkan mereka terlepas. Maka, “dia menghunuskan pedangnya dan mahu membunuh diri.” Tetapi Paulus berseru dengan kuat, “Janganlah bunuh diri! Kami semua masih di sini.” Penjaga penjara yang sangat tertekan itu bertanya, “Tuan-tuan, apakah yang harus aku lakukan supaya diselamatkan?” Paulus dan Silas tidak dapat menyelamatkannya, tetapi Yesus sahajalah yang dapat melakukannya. Maka mereka menjawab, “Percayalah kepada Tuan Yesus lalu kamu . . . akan diselamatkan.”—Kis. 16:25-31.
14. (a) Bagaimanakah Paulus dan Silas membantu penjaga penjara itu? (b) Apakah berkat yang diraih oleh Paulus dan Silas kerana menghadapi penganiayaan dengan sukacita?
14 Sama ada penjaga penjara ikhlas menanyakan soalan itu atau tidak, Paulus tidak meragui niat hatinya. Penjaga penjara itu ialah orang bukan Yahudi dan tidak mengenal Ayat-Ayat Suci. Sebelum dia dapat menjadi seorang Kristian, dia perlu belajar dan menerima ajaran asas daripada Ayat-Ayat Suci. Maka, Paulus dan Silas meluangkan masa untuk “menyampaikan firman Yehuwa kepadanya.” Oleh sebab mereka begitu asyik mengajar penjaga penjara itu, mereka mungkin lupa kesakitan yang dialami oleh mereka. Namun, penjaga penjara itu nampak luka-luka yang teruk di belakang mereka dan dia pun membasuh luka-luka itu. Kemudian, dia dan seisi rumah tangganya ‘dibaptis tanpa membuang masa.’ Sememangnya, Paulus dan Silas menerima berkat kerana menghadapi penganiayaan dengan sukacita!—Kis. 16:32-34.
15. (a) Bagaimanakah banyak Saksi hari ini mencontohi Paulus dan Silas? (b) Mengapakah kita perlu terus mengunjungi orang di kawasan penyebaran kita?
15 Banyak Saksi hari ini dipenjarakan kerana iman mereka. Namun seperti Paulus dan Silas, mereka terus menyebarkan berita baik dan Yehuwa memberkati mereka. Contohnya, di sebuah kawasan yang mengharamkan kerja kita, pernah sekali terdapat 40 peratus Saksi mendapat kebenaran tentang Yehuwa semasa di penjara! (Yes. 54:17) Perhatikan juga bahawa penjaga penjara itu hanya meminta bantuan selepas gempa bumi berlaku. Begitu juga, sesetengah orang yang tidak menyambut berita Kerajaan Tuhan hari ini mungkin akan menerimanya apabila kehidupan mereka digegarkan oleh peristiwa tertentu. Jadi, dengan terus mengunjungi orang di kawasan penyebaran kita, kita menunjukkan bahawa kita sedia mengajar mereka apabila mereka sudi mendengar.
“Adakah Mereka Mahu Menyuruh Kami Pergi dengan Diam-Diam?” (Kis. 16:35-40)
16. Selepas Paulus dan Silas dipukul, bagaimanakah situasi berubah pada keesokan hari?
16 Keesokan paginya selepas dipukul, para pemerintah mengarahkan agar Paulus dan Silas dibebaskan. Tetapi Paulus berkata, “Mereka telah memukul kami di depan orang ramai lalu memasukkan kami ke dalam penjara tanpa diadili, walaupun kami warganegara Roma. Sekarang, adakah mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam? Tidak! Biarlah mereka sendiri yang datang dan membawa kami keluar.” Selepas mengetahui bahawa Paulus dan Silas ialah warganegara Roma, para pemerintah “menjadi takut” kerana mereka telah mencabuli hak lelaki-lelaki itu.d Nampaknya sekarang situasi telah berubah. Murid-murid itu telah dipukul di khalayak ramai, maka para pemerintah harus memohon maaf di hadapan umum. Kemudian, mereka meminta Paulus dan Silas meninggalkan Filipi. Kedua-dua murid itu bersetuju. Namun, mereka meluangkan masa untuk menggalakkan murid-murid baharu di situ, barulah mereka meninggalkan tempat itu.
17. Apakah pengajaran penting yang dapat diraih oleh murid-murid baharu apabila melihat ketabahan Paulus dan Silas?
17 Jika hak Paulus dan Silas sebagai warganegara Roma diakui sebelumnya, mereka mungkin tidak akan dipukul. (Kis. 22:25, 26) Namun, hal itu akan membuat murid-murid di Filipi berfikir bahawa Paulus dan Silas telah menggunakan status mereka untuk mengelak daripada dianiaya demi Kristus. Bagaimanakah hal itu akan mempengaruhi iman murid-murid yang bukan warganegara Roma? Hukum Roma tidak melindungi mereka daripada dipukul. Maka, apabila Paulus dan rakannya bertabah semasa dihukum, mereka menjadi teladan yang baik bagi murid-murid baharu. Mereka menunjukkan bahawa pengikut Kristus dapat berdiri teguh semasa dianiaya. Selain itu, apabila Paulus dan Silas menuntut agar kewarganegaraan mereka dihormati, para pemerintah terpaksa mengakui di hadapan umum bahawa mereka telah melanggar undang-undang. Hal ini mungkin mencegah mereka daripada melayan rakan seiman Paulus dengan tidak adil dan memberikan perlindungan undang-undang sekiranya serangan sebegitu berlaku pada masa depan.
18. (a) Bagaimanakah penyelia Kristian hari ini meniru Paulus? (b) Bagaimanakah kita “memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik” hari ini?
18 Hari ini, penyelia di sidang Kristian juga memberikan bimbingan menerusi teladan mereka. Jika mereka harap rakan seiman melakukan sesuatu, mereka sendiri akan rela melakukannya juga. Selain itu, kita meniru Paulus dengan mempertimbangkan baik-baik bagaimana dan bila untuk menggunakan hak kita di sisi undang-undang bagi mendapatkan perlindungan. Jika perlu, kita memohon kepada mahkamah tempatan, negara, dan bahkan antarabangsa untuk mendapat perlindungan supaya dapat menjalankan ibadat kita. Tujuan kita bukanlah untuk mengubah atau mempengaruhi kerajaan, sebaliknya untuk “memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.” (Flp. 1:7) Itulah kata-kata yang ditulis Paulus kepada sidang Filipi kira-kira 10 tahun selepas dipenjarakan di sana. Tidak kira apa keputusan mahkamah, seperti Paulus dan rakan-rakannya, kita bertekad “untuk menyebarkan berita baik” ke mana sahaja kuasa suci Tuhan membimbing kita.—Kis. 16:10.
a Lihat kotak “Lukas—Penulis Buku Kisah.”
b Orang Yahudi mungkin tidak dibenarkan mempunyai rumah ibadat di Filipi kerana pengaruh tentera Roma yang bersara di kota itu. Atau, mungkin lelaki Yahudi di kota itu kurang daripada 10 orang, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk menubuhkan rumah ibadat.
c Lihat kotak “Lidia—Penjual Kain dan Pakaian Ungu.”
d Hukum Roma menyatakan bahawa seorang warganegara Roma tidak boleh dihukum di hadapan umum selagi dia tidak dibicarakan terlebih dahulu dan didapati bersalah.