-
Para Penatua, Adakah Anda Melatih Saudara Lain?Menara Pengawal—2015 | 15 April
-
-
Para Penatua, Adakah Anda Melatih Saudara Lain?
“Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—EF. 5:16.
1, 2. Apakah yang didapati oleh penyelia litar mengenai banyak sidang?
PERJUMPAAN penyelia litar bersama penatua hampir tamat. Penyelia litar sangat menghargai kerja keras yang dilakukan oleh para penatua. Ada di antara mereka yang sebaya dengan umur bapanya. Namun, terdapat satu lagi persoalan dalam mindanya. Dia bertanya, “Jadi, apakah yang sudah kamu lakukan untuk melatih saudara lain di sidang ini?” Pada lawatan yang sebelumnya, dia menggalakkan penatua di sini untuk melatih saudara lain supaya mereka dapat memikul lebih banyak tanggungjawab. Akhirnya, seorang penatua berkata, “Sebenarnya, kami belum buat apa-apa lagi.” Penatua lain pun mengangguk kepala.
2 Jika anda seorang penatua, anda mungkin pernah menghadapi situasi yang sama. Ramai penyelia litar mendapati bahawa penatua perlu meluangkan lebih banyak masa untuk melatih saudara yang muda dan tua untuk memikul tanggungjawab di sidang. Namun, hal ini memang mencabar. Mengapa?
3. (a) Apakah yang dikatakan Bible mengenai kepentingan mengajar orang lain? Mengapakah kita semua harus berminat akan maklumat dalam rencana ini? (Lihat nota kaki.) (b) Mengapakah mencabar bagi sesetengah penatua untuk melatih saudara lain?
3 Para penatua, anda tahu bahawa latihan perlu diberikan kepada saudara lain.a Anda juga tahu bahawa lebih ramai saudara diperlukan untuk membantu menguatkan sidang dan untuk menubuhkan sidang baru. (Baca Yesaya 60:22.) Bible berkata bahawa kita perlu “mengajar orang lain.” (Baca 2 Timotius 2:2.) Namun, mungkin susah untuk berbuat demikian. Anda perlu menyara keluarga dan menjaga keperluan mereka. Anda juga perlu mengurus hal-hal sidang yang penting. Memandangkan para penatua sangat sibuk, mari kita bincangkan mengapa penting untuk mencari masa bagi melatih saudara lain.
LATIHAN MEMANG PENTING
4. Apakah yang mungkin menyebabkan para penatua menangguhkan masa untuk melatih para saudara?
4 Mengapakah sesetengah penatua berasa susah untuk meluangkan masa bagi melatih para saudara? Mereka mungkin berfikir, “Walaupun saya tidak melatih orang lain dengan serta-merta, aktiviti sidang masih dapat berjalan lancar. Hal-hal sidang lebih penting daripada melatih saudara lain.” Adakah hal ini benar? Terdapat perkara yang memang perlu diberikan perhatian dengan segera. Namun, jika anda menangguhkan masa untuk melatih saudara lain, anda mungkin membahayakan sidang.
5, 6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara pemandu menjaga keretanya? Bagaimanakah contoh ini membantu para penatua dalam hal melatih saudara lain?
5 Fikirkan contoh ini. Seorang pemandu tahu bahawa dia perlu menukar minyak enjin supaya keretanya dalam keadaan yang baik. Namun, dia mungkin berasa bahawa mengisi petrol lebih penting sebab tanpa petrol, kereta tidak dapat bergerak. Dia mungkin berfikir, “Kalau saya tidak tukar minyak enjin, kereta masih dapat jalan.” Tetapi apakah bahayanya? Jika pemandu itu selalu tidak menukar minyak enjin, lambat laun keretanya akan rosak. Akhirnya dia perlu menggunakan banyak masa dan wang untuk membaiki kereta itu. Apakah pengajarannya?
6 Para penatua perlu melaksanakan tugas yang penting dengan segera. Jika tidak, hal ini akan memberikan kesan kepada sidang. Sepertimana pemandu harus selalu mengisi petrol, para penatua juga harus “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Flp. 1:10) Namun, sesetengah penatua mungkin sangat sibuk dan tiada masa untuk melatih saudara lain. Mereka seperti pemandu yang tidak menukar minyak enjin kereta. Jika penatua selalu menangguhkan masa untuk melatih saudara lain, lambat laun sidang akan kekurangan saudara yang terlatih untuk mengendalikan segala keperluan sidang.
7. Apakah sepatutnya tanggapan kita terhadap penatua yang meluangkan masa untuk melatih saudara lain?
7 Jadi, jangan berfikir bahawa melatih saudara kurang penting. Para penatua yang mengambil berat terhadap masa depan sidang akan meluangkan masa untuk melatih saudara lain. Para penatua sebegini sangat dihargai. (Baca 1 Petrus 4:10.) Apakah manfaatnya bagi sidang?
GUNAKAN MASA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA
8. (a) Apakah beberapa sebab penatua harus melatih saudara muda? (b) Apakah tugas penting bagi penatua yang berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan? (Lihat kotak “Tugas yang Penting.”)
8 Penatua yang berpengalaman tahu bahawa apabila usia mereka meningkat, mereka tidak boleh menjalankan tanggungjawab seperti dahulu. (Mi. 6:8) Selain itu, kita ‘tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kita hari esok.’ Mungkin sesuatu akan berlaku yang menyebabkan penatua tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa. (Yak. 4:13, 14; Pkh. 9:11, 12) Oleh sebab mereka mengambil berat dan mengasihi umat Tuhan, para penatua berusaha berkongsi pengalaman mereka dengan saudara muda.—Baca Mazmur 71:17, 18.
9. Mengapakah penting untuk melatih para saudara mulai hari ini?
9 Penatua yang melatih saudara lain sedang mengukuhkan sidang. Saudara-saudara yang dilatih akan membantu menyatupadukan sidang. Perpaduan ini penting pada hari-hari terakhir, lebih-lebih lagi semasa kesengsaraan besar yang bakal berlaku. (Yeh. 38:10-12; Mi. 5:4, 5) Jadi para penatua yang dikasihi, luangkanlah masa yang secukupnya untuk melatih saudara lain mulai hari ini.
10. Apakah yang mungkin perlu dilakukan oleh para penatua supaya mereka ada masa untuk melatih saudara lain?
10 Para penatua sangat sibuk kerana perlu menjaga keperluan sidang. Maka para penatua, anda mungkin perlu meluangkan sebahagian daripada masa yang digunakan untuk keperluan sidang bagi melatih saudara lain. (Ef. 5:16) Dengan demikian, anda sedang menggunakan masa anda dengan bijak dan akan membawa manfaat kepada sidang pada masa depan.
SEDIAKAN HATI MEREKA
11. (a) Apakah yang menarik tentang nasihat yang diberikan oleh penatua dari pelbagai tempat? (b) Menurut Amsal 15:22, mengapakah penting untuk membincangkan nasihat mereka?
11 Baru-baru ini, beberapa penatua yang berjaya melatih saudara lain telah ditanya bagaimana mereka melakukannya.b Semua penatua ini memberikan nasihat yang serupa walaupun mereka tinggal di tempat yang sangat berbeza. Apakah yang dibuktikan oleh hal ini? Latihan yang diberikan berdasarkan Alkitab memang bermanfaat bagi pelajar di setiap “sidang di merata tempat.” (1 Kor. 4:17) Jadi, dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan membincangkan nasihat-nasihat yang diberikan oleh para penatua ini. (Ams. 15:22) Mereka yang memberikan latihan akan dipanggil sebagai “guru” dan mereka yang menerima latihan akan dipanggil sebagai “pelajar.”
12. Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang guru, dan mengapa?
12 Pertama, seorang guru harus menyediakan hati pelajar. Mengapakah hal ini penting? Sepertimana seorang pekebun menyediakan tanah sebelum menanam benih, guru harus menyediakan hati pelajar sebelum mengajarnya kemahiran yang baru. Jadi bagaimanakah guru dapat menyediakan hati pelajar? Dia boleh mengikut contoh guru yang mahir pada masa lampau, iaitu nabi Samuel.
13-15. (a) Apakah tugas yang diberikan oleh Yehuwa kepada Samuel? (b) Bagaimanakah Samuel menyediakan hati Saul? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (c) Mengapakah kisah Bible ini penting kepada para penatua hari ini?
13 Pada suatu hari, lebih daripada 3,000 tahun dahulu, Yehuwa memberitahu nabi Samuel yang sudah berusia: “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel.” (1 Sam. 9:15, 16) Samuel faham bahawa dia tidak akan memimpin bangsa Israel lagi. Yehuwa ingin Samuel mengurapi seorang pemimpin yang baru. Jadi, bagi menyediakan hati lelaki itu untuk tanggungjawab barunya, Samuel mendapat satu idea lalu menyediakan satu rancangan.
14 Pada hari yang seterusnya, Samuel bertemu dengan Saul. Yehuwa memberitahunya: “Inilah orang yang Kukatakan itu.” Samuel pun bertindak mengikut apa yang telah dirancangnya. Dia menjemput Saul untuk makan bersama supaya mereka ada peluang untuk berbual-bual. Samuel memberi Saul dan hambanya tempat duduk dan daging yang terbaik. Samuel berkata, “Inilah bahagian yang sudah aku simpan untukmu . . . Silalah makan.” Selepas menjamu selera, Samuel menjemput Saul ke rumahnya. Mereka berjalan sambil menikmati perbualan bersama. Selepas tiba di rumah Samuel, mereka pergi ke bahagian atas rumah. Di sana Samuel “berkata-kata dengan Saul” sehingga mereka tidur. Pada keesokan hari, Samuel mengurapi Saul, menciumnya, dan memberikan perintah kepadanya. Selepas itu, Saul pergi dan hatinya sudah bersedia untuk apa yang akan berlaku.—1 Sam. 9:17-27, nota kaki; 10:1.
15 Samuel mengurapi Saul untuk menjadi pemimpin sebuah negara. Sudah tentu hal ini sangat berbeza dengan latihan yang diberikan kepada saudara untuk menjadi penatua atau pembantu sidang. Namun, para penatua boleh belajar beberapa perkara daripada Samuel. Mari kita lihat dua pengajaran.
GURU YANG RELA DAN SAHABAT YANG BAIK
16. (a) Apakah perasaan Samuel apabila orang Israel menginginkan seorang raja? (b) Apakah yang dilakukan oleh Samuel apabila Yehuwa menyuruhnya untuk mengurapi Saul?
16 Relakan diri, jangan keberatan. Apabila Samuel mendengar bahawa orang Israel menginginkan seorang raja, Samuel berasa kecewa. (1 Sam. 8:4-8) Yehuwa telah memberitahu Samuel sebanyak tiga kali untuk menunaikan permintaan orang Israel. (1 Sam. 8:7, 9, 22) Walaupun Samuel berasa kecewa, dia tidak menjadi iri hati atau marah terhadap lelaki yang akan mengambil tempatnya sebagai pemimpin. Apabila Yehuwa menyuruh Samuel untuk mengurapi Saul, Samuel tidak keberatan untuk berbuat demikian. Samuel mentaati Tuhan kerana dia benar-benar mengasihi Tuhan, bukannya kerana terpaksa.
17. Bagaimanakah penatua hari ini meniru teladan Samuel? Apakah perasaan mereka?
17 Hari ini, ramai penatua yang berpengalaman meniru teladan baik Samuel. (1 Ptr. 5:2) Penatua sebegini tidak mementingkan diri, rela mengajar saudara lain, dan sudi untuk mengongsi tanggungjawab sidang dengan mereka. Sebaliknya, penatua ini memandang pelajar sebagai “rakan sekerja” yang membantu mereka menjaga keperluan sidang. (2 Kor. 1:24; Ibr. 13:16) Penatua yang baik hati ini gembira melihat pelajar menggunakan kemahiran mereka untuk membantu umat Yehuwa.—Kis. 20:35.
18, 19. Bagaimanakah penatua boleh menyediakan hati pelajarnya? Mengapakah hal ini penting?
18 Jadilah kawan, bukan sekadar seorang guru. Apabila Samuel berjumpa dengan Saul, Samuel boleh terus mengurapinya sebagai raja. Namun, Saul mungkin belum bersedia untuk memimpin umat Tuhan. Sebaliknya, Samuel mengambil masa untuk menyediakan hati Saul. Sebelum Samuel mengurapi Saul, mereka telah makan bersama, berjalan bersama, berbual-bual bersama, malah mereka ada masa untuk berehat. Samuel telah menunggu sehingga masa yang sesuai untuk mengurapi Saul.
19 Begitu juga hari ini. Sebelum seorang guru mengajar pelajarnya, mereka harus menjadi kawan dahulu. Apakah langkah-langkah yang harus diambil? Hal ini bergantung pada keadaan dan budaya tempatan. Namun, tidak kira di mana anda tinggal, anda harus meluangkan masa bersama pelajar anda. Dengan demikian, pelajar akan tahu bahawa dia penting bagi anda. (Baca Roma 12:10.) Sudah tentu pelajar juga akan bersyukur atas perhatian dan bimbingan yang diterima.
20, 21. (a) Apakah sifat-sifat seorang guru yang baik? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
20 Seorang guru yang baik biasanya suka mengajar orang. Namun dia juga harus mengasihi pelajarnya. (Bandingkan Yohanes 5:20.) Mengapa? Kerana apabila pelajar berasa bahawa gurunya mengambil berat tentangnya, dia akan lebih rela belajar. Maka para penatua, jangan sekadar menjadi guru kepada saudara lain, jadilah sahabat mereka juga.—Ams. 17:17; Yoh. 15:15.
21 Selepas menyediakan hati pelajar, seorang guru boleh mula mengajarnya. Apakah kaedah-kaedah yang bagus digunakan? Hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.
a Rencana ini dan rencana seterusnya ditujukan khasnya kepada para penatua. Namun maklumat di sini bermanfaat bagi semua. Mengapa? Kerana semua saudara perlu tahu bahawa mereka harus dilatih. Jika lebih banyak saudara dilatih untuk memikul tanggungjawab di sidang, setiap ahli sidang akan meraih manfaat.
b Para penatua ini tinggal di Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Bangladesh, Belgium, Brazil, Guiana Perancis, Jepun, Korea, Mexico, Namibia, Nigeria, Perancis, Réunion, dan Rusia.
-
-
Bagaimana Penatua Boleh Melatih Saudara LainMenara Pengawal—2015 | 15 April
-
-
Bagaimana Penatua Boleh Melatih Saudara Lain
“Berkenaan perkara-perkara yang telah kamu dengar daripadaku . . . amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia.”—2 TIM. 2:2.
1. (a) Apakah pandangan umat Tuhan terhadap latihan? Bagaimana pula dengan hari ini? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
UMAT Tuhan tahu bahawa latihan memang penting. Contohnya, untuk menyelamatkan Lot, Abram mengumpulkan lelaki yang terlatih untuk berperang. (Kej. 14:14-16) Pada zaman Raja Daud, “ahli muzik yang terlatih” menyanyikan lagu untuk memuji Yehuwa. (1 Taw. 25:7) Hari ini, kita perlu melawan Syaitan dan dunianya. (Ef. 6:11-13) Selain itu, kita berusaha untuk bercakap tentang Yehuwa kepada orang lain. (Ibr. 13:15, 16) Seperti umat Tuhan pada zaman lampau, untuk berjaya, kita memerlukan latihan. Di sidang, Yehuwa memberikan tanggungjawab kepada para penatua untuk melatih saudara lain. (2 Tim. 2:2) Mari kita lihat bagaimana sesetengah penatua melatih para saudara agar mereka boleh menjaga umat Yehuwa.
MENGUATKAN KASIH PELAJAR KEPADA YEHUWA
2. Apakah yang boleh dilakukan oleh penatua sebelum mengajarkan kemahiran yang baru kepada pelajarnya? Mengapa?
2 Penatua digambarkan sebagai pekebun. Sebelum menanam benih, pekebun harus menambahkan nutrien ke dalam tanah supaya tumbuhan itu boleh bertumbuh dengan sihat. Begitu juga, sebelum seorang penatua mengajarkan kemahiran yang baru, dia boleh mengongsi prinsip Bible dengan pelajarnya. Dengan demikian, pelajar itu akan bersedia untuk menerapkan apa yang dipelajari.—1 Tim. 4:6.
3. (a) Bagaimanakah kata-kata di Markus 12:29, 30 boleh digunakan semasa berbual dengan pelajar? (b) Apakah kesan daripada doa penatua ke atas pelajarnya?
3 Adalah penting untuk mengetahui bagaimana kebenaran mempengaruhi hati dan pemikiran pelajar. Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan? Anda boleh menanya dia, “Bagaimanakah pembaktian kamu kepada Yehuwa mempengaruhi keputusan yang kamu buat?” Soalan ini boleh membuka peluang untuk berbual tentang cara menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. (Baca Markus 12:29, 30.) Anda juga boleh berdoa bersamanya dan meminta supaya Yehuwa memberikan daya aktif kepadanya. Doa sebegini akan menggalakkannya!
4. (a) Berikan contoh kisah Bible yang dapat membantu seorang pelajar untuk membuat kemajuan. (b) Apakah matlamat seorang penatua semasa dia melatih saudara lain?
4 Semasa memulakan latihan, adalah baik untuk membincangkan kisah Bible yang menekankan sifat rela membantu, boleh dipercayai, dan rendah hati. (1 Raj. 19:19-21; Neh. 7:2; 13:13; Kis. 18:24-26) Sebagaimana nutrien menjadikan tanah lebih subur, sifat sebegini akan membantu pelajar membuat kemajuan yang lebih pesat. Jean-Claude, seorang penatua dari Perancis, berkata bahawa matlamatnya semasa melatih saudara lain adalah untuk membantu mereka membuat keputusan yang bijak berdasarkan prinsip Bible. Dia berkata, “Saya mencari peluang untuk membaca ayat Bible bersama pelajar supaya ayat itu ‘membuka matanya’ dan dia dapat ‘melihat ajaran yang mengagumkan’ dalam Alkitab.” (Mzm. 119:18) Apakah cara lain untuk menguatkan seorang pelajar?
CADANGKAN MATLAMAT DAN BERIKAN SEBAB
5. (a) Mengapakah penting untuk bercakap tentang matlamat rohani dengan seorang pelajar? (b) Mengapakah para penatua harus melatih saudara semasa mereka masih muda? (Lihat nota kaki.)
5 Tanyalah pelajar anda, “Apakah matlamat rohani kamu?” Jika dia belum mempunyai matlamat, anda boleh membantunya untuk menetapkan matlamat yang sesuai. Ceritakanlah dengan bersemangat matlamat yang pernah anda tetapkan dan kegembiraan yang diraih apabila mencapai matlamat itu. Kaedah ini mudah dan berkesan. Victor, seorang penatua di Afrika berkata, “Semasa saya muda, seorang penatua bertanya tentang matlamat saya. Soalan-soalannya membuat saya berfikir dengan lebih serius tentang khidmat saya kepada Yehuwa.” Sesetengah penatua yang berpengalaman juga berkata bahawa adalah penting untuk mula melatih saudara ketika mereka berumur sekitar belasan tahun. Anda boleh memberikan tugas yang sesuai dengan umur mereka. Hal ini akan membantu mereka apabila mereka dewasa nanti. Walaupun terdapat banyak perkara yang dapat mengalihkan perhatian mereka, mereka dapat tetap berfokus kepada hal-hal rohani.—Baca Mazmur 71:5, 17.a
6. Bagaimanakah Yesus melatih pengikutnya?
6 Untuk menggalakkan seorang pelajar, anda perlu memberitahu apa yang harus dilakukan dan menjelaskan mengapa penting untuk melakukan hal itu. Contohnya, Guru yang Agung, Yesus, menyuruh para rasul untuk menginjil. Dia juga menjelaskan mengapa mereka harus mentaatinya. Dia berkata, “Aku sudah diberikan kuasa ke atas segala sesuatu di syurga dan di bumi. Maka, pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.” (Mat. 28:18, 19) Bagaimanakah anda dapat mengikut cara Yesus melatih pengikutnya?
7, 8. (a) Bagaimanakah penatua hari ini dapat meniru cara Yesus memberikan latihan? (b) Mengapakah kata-kata pujian sangat penting bagi seorang pelajar? (c) Apakah cadangan yang dapat membantu para penatua melatih saudara lain? (Lihat kotak “Cara Melatih Saudara Lain.”)
7 Apabila anda meminta seorang saudara melakukan sesuatu, jelaskan kepadanya berdasarkan Alkitab mengapa tugas itu penting. Dengan demikian, anda mengajarnya untuk melakukan sesuatu berdasarkan prinsip Bible, bukan berdasarkan peraturan. Misalnya, jika anda meminta seorang saudara untuk memastikan laluan masuk ke Dewan Perjumpaan bersih dan selamat, anda boleh menunjukkan ayat di Titus 2:10. Jelaskan bagaimana tugasnya itu akan “menghiasi ajaran Tuhan.” Anda juga boleh menyuruh dia untuk berfikir tentang bagaimana tugasnya dapat membantu saudara saudari yang sudah berusia. Perbualan sebegini akan membantunya untuk mengutamakan kepentingan orang lain, bukannya peraturan. Apabila dia memahami bahawa tugasnya membawa manfaat kepada saudara saudari, dia akan berpuas hati dengan khidmatnya di sidang.
8 Pastikan anda memberikan pujian kepada pelajar kerana dia berusaha mengikut cadangan anda. Mengapakah hal ini penting? Sebagaimana air membantu tanaman untuk bertumbuh dengan sihat, kata-kata pujian membantu pelajar membuat kemajuan dengan pesat dalam khidmatnya kepada Yehuwa.—Bandingkan Matius 3:17.
CABARAN TAMBAHAN
9. (a) Mengapakah para penatua di negara yang maju berasa susah untuk melatih saudara lain? (b) Mengapakah khidmat Yehuwa tidak diutamakan oleh sesetengah pemuda?
9 Para penatua di negara yang maju mungkin berasa susah untuk menggalakkan saudara dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an untuk memikul tanggungjawab di sidang. Penatua di lebih daripada 20 negara telah ditanya mengapa hal ini terjadi. Menurut mereka, semasa saudara-saudara ini masih muda, ibu bapa tidak menggalakkan mereka untuk menetapkan matlamat rohani. Sebenarnya, ada dalam kalangan mereka yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti sidang, tetapi ibu bapa menggalakkan mereka untuk mengejar pendidikan tinggi dan kerjaya di dunia. Maka, khidmat Yehuwa tidak pernah diutamakan dalam kehidupan mereka.—Mat. 10:24.
10, 11. (a) Bagaimanakah penatua dapat beransur-ansur membetulkan pandangan saudara? (b) Apakah ayat Bible yang boleh digunakan untuk menggalakkan saudara-saudara, dan mengapa?
10 Jika seorang saudara tidak berminat untuk memikul tanggungjawab di sidang, penatua harus bersabar semasa membetulkan pandangannya. Walaupun memerlukan banyak usaha, hal ini boleh dilakukan. Seorang pekebun dapat perlahan-lahan membantu tumbuhan untuk tumbuh secara lurus. Begitu juga, anda dapat beransur-ansur membetulkan sikap saudara itu agar dia lebih rela menerima tanggungjawab di sidang. Apakah caranya?
11 Luangkanlah masa bersamanya dan jadilah kawannya. Beritahu dia bahawa sidang memerlukan bantuannya. Lama-kelamaan, apabila ada peluang, bincanglah beberapa ayat Bible dan galakkan dia untuk berfikir tentang pembaktiannya kepada Yehuwa. (Pkh. 5:3; Yes. 6:8; Mat. 6:24, 33; Luk. 9:57-62; 1 Kor. 15:58; 2 Kor. 5:15; 13:5) Cubalah capai hatinya dengan bertanya: “Apakah yang kamu janjikan kepada Yehuwa semasa kamu membaktikan diri kepada-Nya? Pada pendapat kamu, apakah perasaan Yehuwa semasa Dia melihat kamu dibaptis?” (Ams. 27:11) “Bagaimana pula dengan perasaan Syaitan?” (1 Ptr. 5:8) Ayat Alkitab berkuasa dan dapat menyentuh hati saudara itu.—Baca Ibrani 4:12.b
PELAJAR, TUNJUKKAN KESETIAAN
12, 13. (a) Apakah sikap baik yang ditunjukkan oleh Elisa sebagai seorang pelajar? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati kesetiaan Elisa?
12 Saudara-saudara muda, sidang memerlukan bantuan anda! Apakah sikap yang anda perlukan untuk berjaya dalam khidmat anda kepada Yehuwa? Mari kita kaji kisah seorang pelajar pada zaman dahulu yang bernama Elisa.
13 Sekitar 3,000 tahun dahulu, nabi Elia meminta Elisa untuk menjadi pembantunya. Elisa setuju dan rela melakukan kerja yang dipandang remeh. (2 Raj. 3:11) Elia melatih Elisa selama kira-kira enam tahun. Kemudian, apabila tugas Elia hampir selesai di Israel, Elia memberitahu Elisa bahawa dia boleh berhenti menjadi pembantunya. Namun, sebanyak tiga kali Elisa berkata kepadanya: “Saya tidak akan meninggalkan tuan.” Dia bertekad untuk bersama gurunya selama yang mungkin. Yehuwa memberkati kesetiaan Elisa dengan membenarkannya menyaksikan Elia diangkat oleh angin puting beliung.—2 Raj. 2:1-12.
14. (a) Bagaimanakah pelajar hari ini dapat meniru teladan Elisa? (b) Mengapakah seorang pelajar harus setia menjalankan tugas?
14 Sebagai pelajar, bagaimanakah anda dapat mengikut teladan Elisa? Janganlah keberatan apabila menerima tugas, walaupun tugas itu nampaknya remeh. Ingatlah bahawa guru anda ialah kawan anda. Beritahu dia bahawa anda menghargai apa yang dilakukannya dan tunjukkan bahawa anda ingin terus belajar daripadanya. Yang penting sekali, anda harus setia menjalankan tugas. Mengapa? Apabila para penatua melihat bahawa anda boleh dipercayai dan setia menjalankan tugas, mereka akan yakin bahawa Yehuwa ingin anda memikul lebih banyak tanggungjawab.—Mzm. 101:6; baca 2 Timotius 2:2.
HORMATI PENATUA YANG BERPENGALAMAN
15, 16. (a) Bagaimanakah Elisa menunjukkan hormat kepada gurunya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah nabi-nabi lain juga yakin terhadap Elisa?
15 Kisah Elisa menunjukkan betapa pentingnya untuk menghormati para penatua. Selepas Elia dan Elisa berjumpa dengan sekumpulan nabi di Yerikho, mereka pergi ke Sungai Yordan. Di sana, “Elia menanggalkan jubahnya, menggulungnya, lalu memukul air sungai dengan gulungan itu. Kemudian air sungai itu terbelah dua.” Selepas menyeberangi sungai, mereka “bercakap-cakap sambil meneruskan perjalanan.” Elisa mendengar dengan teliti dan terus belajar daripada gurunya. Elisa tidak berfikir bahawa dia sudah mengetahui segala-galanya. Selepas Elia diangkat oleh angin puting beliung, Elisa kembali ke Sungai Yordan. Di sana, dia memukul sungai itu menggunakan jubah Elia dan berkata, ‘Di manakah Yehuwa, Tuhan Elia?’ Sekali lagi, air sungai terbelah dua.—2 Raj. 2:8-14.
16 Adakah anda sedar bahawa mukjizat pertama Elisa sama dengan mukjizat terakhir Elia? Apakah pengajarannya? Selepas diberikan tanggungjawab, Elisa tidak berasa bahawa dia sudah berkuasa untuk melakukan perkara yang berbeza daripada Elia. Sebaliknya, dia meniru cara Elia. Dengan ini dia menunjukkan hormat kepada gurunya. Nabi-nabi yang lain pun berasa yakin terhadapnya. (2 Raj. 2:15) Elisa berkhidmat lebih daripada 60 tahun sebagai seorang nabi. Yehuwa telah memberikannya kuasa untuk melakukan lebih banyak mukjizat daripada Elia. Jadi, apakah pengajarannya?
17. (a) Bagaimanakah pelajar hari ini dapat meniru sikap Elisa? (b) Jika seorang saudara di sidang terus belajar dengan setia, Yehuwa mungkin mendorongnya untuk melakukan apa?
17 Selepas menerima tanggungjawab di sidang, anda tidak perlu mengubah cara sesuatu dilakukan. Ingatlah, perubahan berlaku mengikut keperluan sidang atau kerana terdapat arahan daripada organisasi Tuhan. Perubahan tidak harus dilakukan kerana keinginan sendiri. Elisa telah mengikut cara yang digunakan oleh Elia. Hal ini menunjukkan bahawa dia menghormati gurunya, dan para nabi yang lain pun mempercayainya. Begitu juga, anda boleh menghormati penatua yang berpengalaman dengan menggunakan kaedah mereka yang berdasarkan Bible. Dengan ini, saudara saudari di sidang akan mempercayai anda. (Baca 1 Korintus 4:17.) Apabila pengalaman anda bertambah, anda akan membuat perubahan di sidang, selaras dengan arahan daripada organisasi Yehuwa. Sepertimana Yehuwa membantu Elisa, Yehuwa mungkin mendorong anda untuk melakukan kerja yang lebih hebat daripada guru anda.—Yoh. 14:12.
18. Mengapakah penting untuk melatih saudara di sidang?
18 Semoga cadangan dalam rencana ini dan rencana sebelumnya mendorong para penatua untuk meluangkan masa yang secukupnya untuk melatih saudara lain. Semoga lebih banyak saudara ingin dilatih supaya mereka dapat menjaga umat Yehuwa dengan baik. Hal ini akan menguatkan sidang di serata dunia dan membantu kita untuk tetap setia kepada Yehuwa tidak kira apa jua yang berlaku.
a Jika seorang saudara muda menunjukkan bahawa dia matang, rendah hati, dan mempunyai sifat-sifat yang melayakkannya untuk berkhidmat di sidang, para penatua boleh mencadangkan supaya dia dilantik sebagai pembantu sidang walaupun dia belum mencapai umur 20 tahun.—1 Tim. 3:8-10, 12; lihat The Watchtower terbitan 1 Julai 1989, muka surat 29.
b Anda juga boleh membincangkan isi-isi daripada Menara Pengawal 15 April 2012, muka surat 14-16, perenggan 8-13; dan buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, bab 16, perenggan 1-3.
-