BAB 3
Apakah Tujuan Tuhan bagi Manusia?
1. Apakah tujuan Tuhan bagi manusia?
TUJUAN Tuhan bagi manusia sangat menakjubkan. Dia menciptakan Adam dan Hawa, manusia yang pertama, dan memberi mereka sebuah firdaus, atau taman yang cantik, sebagai tempat tinggal. Tuhan mahu mereka beranak cucu, menjadikan seluruh bumi firdaus, dan menjaga binatang.—Kejadian 1:28; 2:8, 9, 15; lihat Penjelasan 6.
2. (a) Mengapakah kita yakin bahawa tujuan Tuhan pasti berjaya? (b) Tuhan mahu siapa tinggal di bumi dan untuk berapa lama?
2 Adakah bumi akan menjadi firdaus? Yehuwa berkata, “Tujuan yang Aku tetapkan, pasti Aku laksanakan.” (Yesaya 46:9-11; 55:11) Tujuan Tuhan pasti berjaya, dan tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya. Yehuwa “menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan.” (Yesaya 45:18) Dia menciptakan bumi untuk didiami manusia. Tuhan mahu siapa tinggal di bumi dan untuk berapa lama? Bible menyatakan, “Orang yang melakukan apa yang benar [atau orang yang taat] akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”—Mazmur 37:29; Wahyu 21:3, 4.
3. Setelah melihat masalah dunia ini, apakah yang mungkin anda tanya?
3 Kini, manusia jatuh sakit dan mati. Di banyak negara, ada peperangan dan pembunuhan. Semua itu bukan tujuan Tuhan. Jadi, apakah yang telah berlaku? Hanya Bible ada jawapannya.
MUSUH TUHAN
4, 5. (a) Siapakah yang menggunakan ular untuk bercakap kepada Hawa di Taman Eden? (b) Mengapakah orang yang jujur dapat berubah menjadi pencuri?
4 Bible memberitahu kita bahawa musuh Tuhan “dipanggil Iblis dan Syaitan.” Di Taman Eden, Syaitan menggunakan seekor ular untuk bercakap dengan Hawa. (Wahyu 12:9; Kejadian 3:1) Dia membuat ular itu kelihatan seperti dapat bercakap.—Lihat Penjelasan 7.
5 Adakah Tuhan yang menciptakan Syaitan Si Iblis? Tidak! Satu malaikat, yang sudah berada di syurga semasa Tuhan menciptakan bumi, berubah lalu menjadi Si Iblis. (Ayub 38:4, 7) Bagaimanakah hal itu terjadi? Fikirkan contoh seorang yang jujur, yang kemudiannya menjadi pencuri. Dia bukanlah pencuri sejak lahir. Tetapi dia mahu sesuatu yang bukan miliknya. Dia asyik berfikir tentang benda itu, dan keinginannya menjadi semakin kuat. Akhirnya, apabila ada kesempatan, dia pun mencuri barang itu. Demikianlah orang yang jujur berubah menjadi pencuri.—Baca Yakobus 1:13-15; lihat Penjelasan 8.
6. Bagaimanakah satu malaikat menjadi musuh Tuhan?
6 Itulah yang berlaku kepada malaikat itu. Selepas menciptakan Adam dan Hawa, Tuhan menyuruh mereka beranak cucu dan ‘memenuhi bumi.’ (Kejadian 1:27, 28) Malaikat itu mungkin berfikir, “Lebih baik mereka menyembah aku dan bukannya Yehuwa!” Apabila dia asyik berfikir tentang hal itu, dia semakin mahu disembah, padahal hanya Yehuwa yang patut disembah. Jadi malaikat itu menipu Hawa dan menyesatkannya. (Baca Kejadian 3:1-5.) Kerana itu, malaikat tersebut menjadi Syaitan Si Iblis, iaitu musuh Tuhan.
7. (a) Mengapakah Adam dan Hawa mati? (b) Mengapakah kita akan menjadi tua dan mati?
7 Adam dan Hawa melanggar perintah Tuhan dan memakan buah larangan. (Kejadian 2:17; 3:6) Mereka berdosa terhadap Tuhan dan akhirnya mati, seperti yang dikatakan oleh Yehuwa. (Kejadian 3:17-19) Anak cucu Adam dan Hawa juga berdosa, jadi mereka pun mati. (Baca Roma 5:12.) Mengapakah mereka juga ada dosa? Fikirkan contoh ini: Jika anda menggunakan acuan yang berlekuk untuk membuat kuih, kuih itu juga akan berlekuk. Semasa Adam melanggar perintah Tuhan, dia menjadi pendosa. Oleh sebab kita ialah keturunannya, kita juga pendosa. Oleh itu, kita akan menjadi tua dan mati.—Roma 3:23; lihat Penjelasan 9.
8, 9. (a) Syaitan mahu Adam dan Hawa percaya apa? (b) Mengapakah Yehuwa tidak segera menghapuskan ketiga-tiga pemberontak itu?
8 Semasa Syaitan menggoda Adam dan Hawa untuk melanggar perintah Tuhan, dia sedang memberontak. Syaitan mahu Adam dan Hawa percaya bahawa Yehuwa ialah penipu yang tidak mementingkan kebahagiaan mereka. Syaitan juga mendakwa bahawa Adam dan Hawa tidak perlu mendengar cakap Tuhan dan patut membuat keputusan sendiri tentang apa yang betul dan salah. Jadi, apakah yang dilakukan Yehuwa? Dia mampu memusnahkan Adam, Hawa, dan Syaitan, dan pemberontakan itu akan berakhir. Tetapi dapatkah itu membuktikan bahawa Syaitan sedang menipu? Tidak.
9 Jadi, Yehuwa tidak segera menghapuskan mereka. Sebaliknya Dia memberi manusia masa untuk memerintah diri sendiri. Tindakan itu akan membuktikan bahawa Syaitan ialah penipu dan bahawa Yehuwa tahu apa yang terbaik untuk manusia. Kita akan membincangkan hal itu dalam Bab 11. Namun, apakah pandangan anda tentang perbuatan Adam dan Hawa? Patutkah mereka mempercayai Syaitan dan melawan cakap Tuhan? Yehuwa telah memberi mereka segala-galanya, seperti tempat tinggal yang cantik, kerja yang baik, dan peluang untuk hidup kekal. Syaitan pula tidak pernah memberi mereka apa-apa yang baik. Jika anda ialah Adam atau Hawa, apakah yang akan anda lakukan?
10. Apakah pilihan penting yang perlu kita buat?
10 Hari ini, kita perlu memilih sama ada untuk mengikut Syaitan atau Yehuwa. Jika kita taat kepada Yehuwa sebagai Raja, kita membuktikan bahawa Syaitan ialah pembohong. Tetapi jika kita taat kepada Syaitan sebagai pemerintah, kita akhirnya akan mati. (Mazmur 73:28; baca Amsal 27:11.) Hanya sedikit orang di dunia yang mentaati Tuhan. Sebenarnya Tuhan bukanlah penguasa dunia ini. Jadi, siapakah yang sedang memerintah?
SIAPAKAH YANG MEMERINTAH DUNIA?
11, 12. (a) Tawaran Syaitan kepada Yesus menunjukkan apa? (b) Apakah ayat Bible yang menunjukkan bahawa Syaitan ialah pemerintah dunia?
11 Yesus tahu siapa sebenarnya pemerintah dunia. Pernah sekali, Syaitan “menunjukkan kepadanya semua kerajaan dunia serta kegemilangannya.” Kemudian, Syaitan berjanji kepada Yesus: “Semua ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sujud dan menyembah aku.” (Matius 4:8, 9; Lukas 4:5, 6) Jika semua kerajaan itu bukan milik Syaitan, dapatkah dia menawarkannya kepada Yesus? Tentu tidak. Jadi, semua kerajaan dunia dikuasai Syaitan.
12 Anda mungkin bertanya, “Kenapa Syaitan ialah pemerintah dunia? Bukankah Yehuwa Tuhan Yang Maha Kuasa dan Pencipta alam semesta?” (Wahyu 4:11) Memang betul, tetapi Yesus berkata bahawa Syaitan ialah “pemerintah dunia.” (Yohanes 12:31; 14:30; 16:11) Rasul Paulus memanggil Syaitan Si Iblis “tuhan sistem dunia ini.” (2 Korintus 4:3, 4) Rasul Yohanes juga menulis, “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.”—1 Yohanes 5:19.
BAGAIMANAKAH DUNIA SYAITAN AKAN DIMUSNAHKAN?
13. Mengapakah kita memerlukan dunia baharu?
13 Dunia ini semakin teruk. Peperangan, rasuah, dan keganasan berlaku di merata tempat, dan ada banyak pemimpin yang cakap tak serupa bikin. Manusia tidak mampu menyelesaikan semua masalah itu. Tetapi semasa perang Armagedon, Tuhan akan melenyapkan dunia jahat ini dan menggantikannya dengan dunia baharu yang adil dan aman.—Wahyu 16:14-16; lihat Penjelasan 10.
14. Tuhan memilih siapa sebagai Raja Kerajaan-Nya? Apakah yang dikatakan Bible tentang Yesus?
14 Yehuwa memilih Yesus Kristus sebagai Raja Kerajaan-Nya di syurga. Ribuan tahun dahulu, Bible menyatakan bahawa Yesus akan menjadi “Pemimpin Kedamaian” dan pemerintahannya akan kekal selama-lamanya. (Yesaya 9:6, 7) Yesus mengajar muridnya untuk berdoa tentang Kerajaan Tuhan. Dia berkata, “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Matius 6:10) Dalam Bab 8, kita akan belajar bagaimana Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua kerajaan manusia. (Baca Daniel 2:44.) Selepas itu, Kerajaan Tuhan akan mengubah bumi menjadi firdaus yang indah.—Lihat Penjelasan 11.
DUNIA BAHARU SUDAH DEKAT!
15. Apakah “bumi baharu”?
15 Bible berkata, “Kita menantikan apa yang sudah dijanjikan Tuhan, iaitu langit baharu dan bumi baharu. Di situ perkara-perkara yang baik akan berkekalan.” (2 Petrus 3:13; Yesaya 65:17) Dalam Bible, perkataan “bumi” ada kalanya bermaksud manusia. (1 Tawarikh 16:31) Jadi, “bumi baharu” itu ialah semua orang yang mentaati Tuhan dan yang diberkati-Nya.
16. Apakah yang akan diberikan Tuhan kepada orang di dunia baharu? Apakah yang mesti kita buat untuk menerima kurniaan itu?
16 Yesus berkata bahawa orang di dunia baharu Tuhan akan diberi “kehidupan yang kekal.” (Markus 10:30) Apakah yang mesti kita buat untuk menerima kurniaan itu? Sila baca Yohanes 3:16 dan 17:3 untuk mengetahui jawapannya. Sekarang, mari kita membaca gambaran Bible tentang kehidupan di bumi Firdaus.
17, 18. Bagaimanakah kita tahu bahawa seluruh bumi akan aman dan selamat?
17 Tiada lagi kejahatan, peperangan, jenayah, dan keganasan. Semua orang jahat di bumi akan lenyap. (Mazmur 37:10, 11) Tuhan akan “menghentikan peperangan di seluruh dunia.” (Mazmur 46:9; Yesaya 2:4) Bumi akan dipenuhi orang yang mencintai dan mentaati Tuhan. Seluruh bumi akan aman damai selama-lamanya.—Mazmur 72:7.
18 Umat Yehuwa akan berasa selamat. Dahulu, Tuhan melindungi orang Israel yang taat kepada-Nya. (Imamat 25:18, 19) Di Firdaus, kita tidak perlu takut lagi. Kita akan selalu selamat.—Baca Yesaya 32:18; Mikha 4:4.
19. Mengapakah dunia baharu Tuhan pasti ada makanan yang banyak?
19 Makanan akan berlimpah-limpah. “Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.” (Mazmur 72:16) Yehuwa, “Tuhan kita, akan memberkati kita,” dan “bumi akan mengeluarkan hasilnya.”—Mazmur 67:6.
20. Bagaimanakah kita tahu bahawa bumi akan menjadi firdaus?
20 Seluruh bumi akan menjadi firdaus. Semua orang akan memiliki rumah dan taman yang cantik. (Baca Yesaya 65:21-24; Wahyu 11:18.) Seluruh bumi akan indah seperti Taman Eden. Yehuwa akan memuaskan segala keperluan kita. Bible berkata, “Engkau membuka tangan-Mu dan memuaskan keinginan semua makhluk hidup.”—Mazmur 145:16.
21. Bagaimanakah kita tahu bahawa manusia dan binatang akan hidup damai?
21 Manusia dan binatang akan hidup damai. Binatang tidak akan mencederakan manusia lagi. Kanak-kanak juga tidak perlu takut semasa bersama binatang yang sekarang dianggap berbahaya.—Baca Yesaya 11:6-9; 65:25.
22. Bagaimanakah Yesus akan membantu orang yang sakit?
22 Orang tidak akan jatuh sakit. Semasa di bumi, Yesus menyembuhkan banyak orang. (Matius 9:35; Markus 1:40-42; Yohanes 5:5-9) Tetapi sebagai Raja, Yesus akan menyembuhkan semua orang. Tiada sesiapa pun akan berkata, “Aku sakit.”—Yesaya 33:24; 35:5, 6.
23. Bagaimanakah Tuhan akan membantu orang mati?
23 Orang mati akan hidup semula. Tuhan sudah berjanji untuk membangkitkan jutaan orang mati. “Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.”—Baca Yohanes 5:28, 29; Kisah 24:15.
24. Apakah perasaan anda tentang kehidupan di Firdaus?
24 Kita masing-masing diberi pilihan, sama ada kita mahu belajar tentang Yehuwa dan menyembah-Nya, atau kita mahu bertindak sesuka hati sahaja. Jika kita memilih untuk menyembah Yehuwa, masa depan kita cerah. Apabila seorang lelaki yang hampir mati meminta Yesus untuk mengingatinya, Yesus berkata, “Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” (Lukas 23:43) Mari kita belajar lebih banyak tentang Yesus dan bagaimana dia akan menunaikan janji-janji Tuhan.