Mazmur
Untuk pengarah muzik; Yedutun.*+ Lagu yang digubah oleh Daud.
39 Aku berkata, “Aku akan melangkah dengan berhati-hati,
Agar aku tidak berdosa dengan lidahku.+
Aku akan berjaga-jaga dan menutup mulutku+
Selama orang jahat berada di sisiku.”
2 Aku membisu sahaja dan tidak mengatakan apa-apa,+
Bahkan tentang perkara yang baik.
Aku mencuba menahan kesakitan yang aku alami.
3 Tetapi api dalam hatiku kian membara.
Semakin aku memikirkannya,* semakin besar nyala api itu,
Sehingga aku berkata,
4 “Ya Yehuwa, bantulah aku memahami kesudahanku;
Beritahulah aku jumlah hari kehidupanku,+
Agar aku menyedari betapa singkatnya hidupku.*
5 Sesungguhnya, kehidupan yang Engkau berikan kepadaku singkat sahaja;+
Berbanding dengan-Mu, jangka hayatku begitu pendek.+
Walaupun manusia nampaknya kuat, kehidupan mereka hanyalah seperti sehembus nafas.+ (Selah)
6 Hidup manusia berlalu seperti bayang-bayang;
Segala yang diusahakan mereka sia-sia sahaja;
Mereka sibuk menimbunkan kekayaan, tetapi tidak tahu siapa yang akan mewarisinya.+
7 Maka, apakah yang boleh aku harapkan, ya Yehuwa?
Engkau satu-satunya harapanku.
8 Selamatkanlah aku daripada semua dosaku.+
Janganlah biarkan aku menjadi bahan hinaan orang bodoh.
9 Aku tetap berdiam diri,
Dan aku tidak dapat membuka mulutku,+
Kerana semua ini merupakan perbuatan-Mu.+
10 Janganlah hukum aku lagi;
Aku menjadi tidak berdaya kerana Engkau telah meremukkan aku.
11 Engkau menghukum dan membetulkan manusia kerana kesalahan mereka;+
Seperti gegat, Engkau menghancurkan segala milik mereka yang berharga.
Sememangnya, kehidupan manusia hanyalah seperti sehembus nafas.+ (Selah)
12 Ya Yehuwa, dengarkanlah doaku;
Dengarkanlah seruanku meminta tolong.+
Janganlah berpaling daripadaku semasa aku menangis.
13 Janganlah murka lagi, dan palingkanlah pandangan-Mu daripadaku;
Biarlah aku bergembira semula sebelum aku meninggal.”