Keluaran
39 Para pekerja yang mahir telah menggunakan benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu,+ untuk membuat pakaian bermutu tinggi yang digunakan semasa bertugas di tempat suci. Mereka juga membuat pakaian suci untuk Harun,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
2 Mereka membuat efod+ daripada benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. 3 Mereka menempa kepingan emas lalu memotongnya menjadi benang halus untuk disulam pada efod yang dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus. 4 Mereka menyambungkan bahagian depan dan belakang efod dengan menggunakan dua helai kain bahu. 5 Mereka juga menenun pengikat pinggang efod daripada bahan yang sama, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Mereka menjahit pengikat itu pada efod supaya efod dapat diikat dengan rapi pada pinggang.+ Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
6 Mereka menatah batu-batu oniks pada bingkai emas lalu mengukirkan nama anak-anak lelaki Israel pada batu-batu itu. Mereka mengukirnya seperti mengukir meterai.+ 7 Kemudian Bezaleel meletakkan batu-batu itu pada kain bahu efod sebagai tanda peringatan bagi orang Israel,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 8 Setelah itu, dia menyulam sehelai penutup dada+ daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 9 Penutup dada itu berbentuk segi empat apabila dilipat dua dan berukuran 22.2 sentimeter* panjang dan 22.2 sentimeter lebar. 10 Penutup dada itu ditatah dengan empat baris batu permata. Pada baris pertama, batu delima, batu topaz, dan batu zamrud. 11 Pada baris kedua, batu firus, batu nilam, dan batu jasper. 12 Pada baris ketiga, batu leshem,* batu akik, dan batu kecubung. 13 Pada baris keempat, batu krisolit, batu oniks, dan batu jed. Semua batu itu ditatah pada bingkai emas. 14 Para pekerja yang mahir itu mengukirkan nama 12 suku Israel di atas batu-batu itu. Mereka mengukirnya seperti mengukir meterai. Mereka mengukirkan satu nama di atas satu batu. Batu-batu itu berjumlah 12 biji kerana Israel mempunyai 12 orang anak lelaki.
15 Mereka membuat dua utas rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali untuk penutup dada.+ 16 Mereka juga membuat dua gelang emas dan memasangkan gelang-gelang itu pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada. 17 Mereka memasukkan rantai emas ke dalam gelang emas pada kedua-dua sudut penutup dada. 18 Hujung rantai emas itu disambungkan dengan bingkai emas pada kain bahu efod supaya penutup dada berada di bahagian depan efod. 19 Seterusnya, mereka membuat dua gelang emas dan memasangkan gelang-gelang itu pada sudut bahagian bawah penutup dada, yang kena pada efod.+ 20 Kemudian mereka membuat dua gelang emas lagi dan memasangkan gelang-gelang itu di bahagian bawah sebelah depan efod, iaitu di atas pengikat pinggang efod yang ditenun, dekat jahitan yang menyambungkan pengikat pinggang dengan efod. 21 Selepas itu, mereka menggunakan seutas tali biru untuk menyambungkan gelang penutup dada itu dengan gelang yang ada pada efod, supaya penutup dada itu terletak di atas pengikat pinggang dan tidak terlepas daripada efod. Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
22 Bezaleel membuat jubah yang tidak berlengan untuk dipakai di bawah efod. Seluruh jubah itu ditenun daripada benang biru.+ 23 Pinggir lubang leher jubah itu ditenun seperti pinggir pada leher baju zirah, supaya tidak mudah koyak. 24 Di sekeliling hujung jubah itu, para pekerja yang mahir membuat hiasan yang berupa buah delima yang dipintal daripada benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. 25 Mereka juga membuat loceng daripada emas tulen dan memasangkannya di antara buah-buah delima di sekeliling hujung jubah yang tidak berlengan itu. 26 Mereka menyusun buah delima dan loceng emas itu secara berselang-seli di sekeliling hujung jubah yang tidak berlengan. Jubah itu digunakan semasa menjalankan tugas suci. Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
27 Mereka menenun jubah daripada kain linen yang halus untuk Harun dan anak-anak lelakinya.+ 28 Selain itu, mereka membuat serban+ dan pengikat kepala+ yang indah daripada kain linen halus, serta seluar pendek+ daripada kain linen halus yang dipintal. 29 Mereka juga menenun pengikat pinggang jubah daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
30 Mereka membuat tanda pembaktian suci daripada sekeping emas tulen yang berkilat. Mereka mengukirkan perkataan, “Kesucian milik Yehuwa”+ padanya. Mereka mengukirnya seperti mengukir meterai. 31 Mereka mengikatkan kepingan emas itu pada serban dengan seutas tali biru, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
32 Akhirnya, selesailah semua pekerjaan untuk khemah suci, iaitu khemah pertemuan. Orang Israel membuat segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.+ Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan.
33 Kemudian mereka membawa khemah suci+ dan semua peralatannya kepada Musa, termasuk cangkuk,+ rangka,+ kayu lintang,+ tiang, dan alas tiangnya;+ 34 penutup khemah daripada kulit bebiri jantan yang dicelup merah,+ penutup khemah daripada kulit anjing laut, dan tirai pemisah;+ 35 tabut perjanjian dengan kayu pengusung+ dan penutupnya;+ 36 meja dengan semua peralatannya,+ serta roti yang dipersembahkan kepada Tuhan; 37 kaki pelita daripada emas tulen dengan pelita-pelitanya+ yang disusun dalam satu baris dan semua peralatannya,+ serta minyak untuk pelita;+ 38 mazbah+ emas, minyak suci,+ kemenyan yang harum,+ dan tabir+ untuk pintu masuk khemah; 39 mazbah tembaga+ dengan kekisi tembaga, kayu pengusung,+ dan segala peralatannya;+ besen dengan kakinya;+ 40 tirai untuk halaman khemah suci dengan tiang dan alas tiangnya;+ tirai+ untuk pintu masuk halaman khemah; pasak+ dan tali di halaman khemah; semua peralatan yang digunakan untuk khidmat yang dijalankan di khemah suci, iaitu khemah pertemuan; 41 pakaian bermutu tinggi yang digunakan semasa bertugas di tempat suci, dan pakaian suci untuk Harun+ dan anak-anak lelakinya yang berkhidmat sebagai imam.
42 Orang Israel melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.+ 43 Apabila Musa memeriksa segala pekerjaan mereka, dia melihat bahawa mereka telah melakukan semuanya seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, lalu Musa memberkati mereka.