Hosea
14 Hai Israel, engkau telah tersandung kerana dosamu.
Maka kembalilah kepada Yehuwa, Tuhanmu.+
2 Kembalilah kepada Yehuwa dan ucapkanlah kata-kata ini:
“Ampunkanlah dosa-dosa kami,+ dan terimalah perbuatan baik kami.
Kami akan memberikan puji-pujian kepada-Mu+ sebagaimana kami mempersembahkan lembu jantan sebagai korban kepada-Mu.
3 Assyria tidak dapat menyelamatkan kami.+
Kami tidak akan menunggang kuda-kuda perang+
Dan tidak lagi menganggap buatan tangan kami sebagai tuhan kami,
Kerana Engkaulah yang berbelas kasihan terhadap anak-anak yatim.”+
4 “Aku akan menyembuhkan umat-Ku, dan mereka tidak akan berlaku curang terhadap-Ku lagi.+
5 Aku akan menjadi seperti embun pagi bagi umat Israel.
Mereka akan berkembang seperti bunga bakung yang cantik,
Dan mereka akan menjadi seperti pokok di Lebanon yang dalam akarnya,
6 Yang ranting-rantingnya semakin banyak dan berkembang.
Mereka akan menjadi mulia seperti pokok zaitun,
Dan mereka akan menjadi harum seperti pokok-pokok di Lebanon.
7 Umat-Ku akan berlindung semula di bawah naungan-Ku.
Mereka akan bercucuk tanam, dan seperti pokok anggur, mereka akan berkembang pesat.+
Mereka akan bercerita tentang keagungan-Ku sebagaimana orang bercerita tentang wain di Lebanon.
8 Efraim akan berkata, ‘Apa gunanya berhala-berhala bagiku?’+
Aku akan mendengar kata-katanya dan memeliharanya.+
Aku akan menjadi seperti pokok juniper yang megah dan subur baginya,
Dan Aku akan memberinya pelbagai buah untuk dinikmati.”
9 Semoga orang yang bijaksana memahami semua perkara ini;
Semoga orang yang berpengertian mengetahui segala hal ini,
Kerana haluan Yehuwa ialah haluan yang adil dan benar.+
Orang yang berbuat benar akan mengikuti haluan itu,
Tetapi orang yang berdosa akan menyimpang daripada haluan itu lalu tersandung.