Yoel
3 “Hal ini demikian kerana pada masa itu,
Aku akan membawa kembali orang Yehuda dan Yerusalem yang ditawan.+
2 Aku akan mengumpulkan semua bangsa
Demi umat Israel yang merupakan milik-Ku,
Aku akan menghakimi semua bangsa itu di sana,+
Kerana mereka mencerai-beraikan umat-Ku dalam kalangan bangsa-bangsa lain,
Dan membahagi-bahagikan tanah-Ku untuk diri mereka sendiri.+
3 Mereka membuang undi untuk mendapatkan umat-Ku.+
Mereka menjual budak lelaki supaya dapat membayar pelacur,
Dan menjual budak perempuan supaya dapat membeli wain.
4 Hai Tirus, Sidon, dan seluruh wilayah Filistia,
Alangkah beraninya kamu melawan Aku!
Adakah kamu mencuba membalas dendam terhadap-Ku?
Jika kamu berbuat demikian,
Aku akan segera membalas kamu setimpal dengan perbuatan kamu.+
5 Kamu telah merampas emas dan perak-Ku,+
Dan membawa harta-Ku yang bernilai ke dalam kuil-kuil kamu.
6 Kamu telah menjual penduduk Yehuda dan Yerusalem kepada orang Yunani,+
Supaya mereka berada jauh dari negeri mereka.
7 Tetapi sekarang Aku akan membawa mereka kembali dari tempat-tempat kamu menjual mereka.+
Aku akan membalas kamu setimpal dengan perbuatan kamu.
8 Aku akan menjual anak lelaki dan anak perempuan kamu kepada orang Yehuda.+
Orang Yehuda pula akan menjual mereka kepada orang Syeba yang tinggal di tempat yang sangat jauh.
Aku, Yehuwa, telah berfirman.
9 Isytiharkanlah perkara ini kepada semua bangsa:+
‘Bersiaplah untuk berperang! Bangkitkanlah semangat para pahlawan kamu!
Hendaklah para askar maju dan bersedia untuk menyerang!+
10 Tempalah mata bajak untuk dijadikan pedang dan juga sabit untuk dijadikan tombak.
Hendaklah orang yang lemah berkata, “Aku sangat kuat!”
11 Hai bangsa-bangsa di sekitar, berkumpullah dan bantulah satu sama lain!’”+
Ya Yehuwa, utuslah para pahlawan-Mu ke tempat mereka berkumpul.
12 “Hendaklah bangsa-bangsa bangkit dan datang ke Lembah* Yehosafat,
Kerana di situ, Aku akan duduk dan menghakimi semua bangsa di sekitar.+
13 Ayunkanlah sabit kerana tuaian sudah masak.
Datanglah untuk memeras anggur kerana tempat pemerasan sudah penuh.+
Tempayan wain sudah melimpah kerana kejahatan semua bangsa itu bertimbun-timbun.
14 Begitu banyak orang yang akan berkumpul di Lembah* Penghakiman.
Di situ orang akan dihakimi, kerana hari Yehuwa sudah dekat.+
15 Matahari dan bulan akan menjadi gelap,
Dan bintang-bintang tidak akan bercahaya lagi.
16 Di Sion, suara-Ku akan kedengaran seperti ngauman singa,
Dan di Yerusalem, Aku, Yehuwa, akan berseru dengan suara yang lantang.
Langit dan bumi akan bergoncang,
Tetapi Aku, Yehuwa, akan menjadi tempat perlindungan bagi umat-Ku,+
Dan Aku akan menjadi kubu pertahanan bagi umat Israel.
17 Sesungguhnya, kamu akan mengetahui bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, dan bahawa Aku berada di Sion, gunung suci-Ku.+
18 Pada hari itu, gunung-gunung akan diliputi wain manis,+
Bukit-bukit akan melimpah dengan susu,
Dan sungai-sungai di Yehuda akan penuh dengan air.
19 Namun, Mesir akan menjadi terlantar,+
Dan Edom akan menjadi padang belantara yang terbiar,+
Kerana keganasan yang dilakukan oleh mereka terhadap orang Yehuda.+
Mereka telah membunuh orang yang tidak bersalah di negeri orang Yehuda.+
20 Tetapi, dari generasi ke generasi,
Yerusalem dan Yehuda akan sentiasa dihuni.+