Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus
10 Kemudian Yesus bertolak dari situ dan pergi ke kawasan-kawasan sekitar sempadan Yudea di seberang Sungai Yordan. Sekali lagi, orang ramai berkumpul di sekeliling Yesus, dan seperti biasa dia mula mengajar mereka.+ 2 Ketika itu, orang Farisi datang kepada Yesus untuk mengujinya. Mereka bertanya sama ada seseorang yang menceraikan isterinya melanggar hukum atau tidak.+ 3 Yesus menjawab, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?” 4 Mereka berkata, “Musa membenarkan orang yang mahu menceraikan isterinya untuk menulis surat cerai.”+ 5 Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu+ kerana hati kamu degil.+ 6 Tetapi sejak awal penciptaan, ‘Tuhan menciptakan lelaki dan perempuan.+ 7 Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya,+ 8 lalu mereka berdua akan menjadi satu.’+ Dengan demikian, mereka bukan lagi dua tetapi satu. 9 Oleh itu, mereka yang telah disatukan* oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”+ 10 Setelah mereka berada di dalam rumah, murid-murid Yesus mula bertanya kepadanya tentang hal itu. 11 Jadi dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia berzina+ dan berlaku curang terhadap isterinya, 12 dan jika seorang wanita menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, dia pun berzina.”+
13 Kemudian orang mula membawa kanak-kanak kepada Yesus agar dia meletakkan tangannya ke atas mereka, tetapi murid-muridnya memarahi mereka.+ 14 Ketika Yesus nampak hal itu, dia naik marah lalu berkata, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan mencuba menghalang mereka, kerana Kerajaan Tuhan akan menjadi milik orang seperti mereka.+ 15 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang tidak menerima Kerajaan Tuhan seperti seorang kanak-kanak, tidak akan masuk ke dalamnya.”+ 16 Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ dan mula memberkati mereka sambil meletakkan tangannya ke atas mereka.+
17 Semasa Yesus meneruskan perjalanannya, seorang lelaki berlari ke arahnya dan berlutut di depannya sambil bertanya, “Guru yang Baik, apakah yang mesti aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?”+ 18 Yesus berkata, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.+ 19 Kamu tahu hukum-hukum yang berikut: ‘Jangan membunuh,+ jangan berzina,+ jangan mencuri,+ jangan memberikan kesaksian palsu,+ jangan menipu,+ dan hormatilah ibu bapa kamu.’”+ 20 Lelaki itu berkata, “Guru, aku sudah mematuhi semua hukum ini sejak muda.” 21 Yesus memandang lelaki itu dengan penuh kasih dan berkata, “Terdapat satu lagi perkara yang perlu kamu lakukan: Pergilah dan juallah harta milik kamu lalu berikanlah wang itu kepada orang yang miskin. Dengan demikian, kamu akan mempunyai harta di syurga. Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.”+ 22 Tetapi lelaki itu berasa susah hati setelah mendengar jawapan itu. Dia pergi dari situ dengan sedih kerana dia memiliki banyak harta.+
23 Yesus memandang sekelilingnya lalu berkata kepada murid-muridnya, “Alangkah susahnya bagi orang yang kaya untuk masuk dalam Kerajaan Tuhan!”+ 24 Selepas mendengar kata-kata Yesus, murid-muridnya berasa hairan. Jadi Yesus berkata, “Hai anak-anakku, alangkah susahnya untuk masuk dalam Kerajaan Tuhan! 25 Adalah lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”+ 26 Mereka berasa semakin hairan dan berkata kepadanya,* “Jika demikian, siapakah yang dapat diselamatkan?”+ 27 Yesus memandang mereka lalu berkata, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Tuhan kerana tidak ada apa-apa yang mustahil bagi-Nya.”+ 28 Maka Petrus berkata kepadanya, “Lihatlah! Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.”+ 29 Yesus berkata, “Ketahuilah: Sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak, atau tanah, demi aku dan demi berita baik,+ 30 akan menerima seratus kali ganda pada zaman ini—rumah, adik-beradik, ibu, anak, dan tanah, serta penganiayaan+—dan pada sistem yang akan datang,* dia akan menerima kehidupan yang kekal. 31 Tetapi ramai orang yang pertama akan menjadi yang terakhir, manakala orang yang terakhir akan menjadi yang pertama.”+
32 Semasa mereka dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus berjalan di hadapan mereka. Murid-muridnya berasa hairan, tetapi orang lain yang mengikut di belakang mula berasa takut. Sekali lagi dia membawa 12 orang rasulnya ke tepi dan mula memberitahu mereka tentang perkara-perkara yang akan berlaku kepadanya. Dia berkata,+ 33 “Lihatlah! Kita sedang menuju ke Yerusalem. Di situ, Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan para jurutulis hukum. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati atasnya dan menyerahkannya kepada orang daripada bangsa lain 34 supaya dia diperolok-olokkan, diludahi, dicambuk, dan dibunuh. Namun, dia akan dibangkitkan tiga hari kemudian.”+
35 Selepas itu, Yakobus dan Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus,+ datang kepadanya lalu berkata, “Guru, tunaikanlah apa sahaja permintaan kami.”+ 36 Dia bertanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” 37 Mereka menjawab, “Izinkanlah kami untuk duduk bersama Guru semasa Guru dimuliakan, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri.”+ 38 Tetapi Yesus berkata, “Kamu tidak tahu apa yang sedang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang aku minum, atau menerima pembaptisan yang aku terima?”+ 39 Mereka berkata kepadanya, “Kami sanggup.” Yesus pun berkata, “Kamu akan minum daripada cawan yang aku minum, dan kamu akan menerima pembaptisan yang aku terima.+ 40 Namun, aku tidak berhak untuk menentukan siapa yang akan duduk di sebelah kanan atau kiriku. Mereka yang akan duduk di situ ditentukan oleh Bapaku.”
41 Semasa 10 orang murid yang lain mendengar tentang hal ini, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes.+ 42 Oleh itu, Yesus memanggil mereka semua dan berkata, “Kamu tahu bahawa orang yang dianggap sebagai raja dan pembesar bangsa-bangsa lain menguasai dan mengawal rakyat mereka.+ 43 Hal seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan kamu. Sebaliknya, jika sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu.+ 44 Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kepada semua. 45 Hal ini demikian kerana Anak Manusia pun tidak datang untuk dilayani,+ tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”+
46 Kemudian mereka tiba di Yerikho. Semasa Yesus dan murid-muridnya meninggalkan Yerikho bersama ramai orang, terdapat seorang pengemis buta yang sedang duduk di tepi jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus.+ 47 Ketika dia mendengar bahawa Yesus, orang Nasaret itu, sedang lalu di situ, dia mula berseru, “Hai Yesus, Anak Daud,+ kasihanilah aku!”+ 48 Ramai orang dengan tegas menyuruhnya diam. Tetapi dia berseru dengan lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah aku!” 49 Jadi Yesus berhenti dan berkata, “Panggillah dia ke sini.” Lalu mereka memanggil lelaki buta itu sambil berkata, “Teguhkanlah hatimu! Bangunlah, dia sedang memanggilmu.” 50 Maka lelaki buta itu membuang jubah luarnya dan segera bangun lalu pergi kepada Yesus. 51 Yesus berkata kepadanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Lelaki buta itu berkata, “Rabboni,* pulihkanlah penglihatanku.” 52 Maka Yesus berkata kepadanya, “Pergilah. Kamu sembuh kerana kamu beriman.”+ Dengan serta-merta penglihatannya pulih,+ lalu dia mula mengikut Yesus dalam perjalanannya.