Amsal
27 Jangan bercakap besar tentang hari esok,
Kerana kamu tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok.+
2 Biarlah orang lain yang memujimu, dan bukannya mulutmu sendiri;
Biarlah orang asing yang memujimu, dan bukannya bibirmu sendiri.+
3 Batu dan pasir memang berat,
Tetapi kesusahan yang disebabkan oleh orang bodoh lebih berat daripada kedua-duanya.+
4 Keberangan itu kejam dan kemarahan itu seperti banjir,
Tetapi siapakah yang dapat bertahan dengan orang yang cemburu?+
5 Teguran yang terus terang lebih baik daripada kasih yang tidak diungkapkan.+
6 Teguran yang diberikan oleh sahabat yang setia mungkin menyakitkan,+
Tetapi lebih baik daripada kebaikan hati seorang musuh yang tidak ikhlas.
7 Bagi orang yang kenyang, madu asli pun ditolaknya,
Tetapi bagi orang yang lapar, yang pahit pun terasa manis.
8 Orang yang terpaksa melarikan diri dari rumahnya
Umpama burung yang terpaksa meninggalkan sarangnya.
9 Minyak dan kemenyan menyenangkan hati,
Begitu juga dengan sahabat yang memberikan nasihat yang ikhlas.+
10 Jangan mengabaikan sahabatmu atau sahabat bapamu,
Dan jangan memasuki rumah saudara kandungmu ketika kamu berada dalam kesusahan;
Sahabat yang dekat lebih baik daripada saudara kandung yang jauh.+
11 Hai anakku, jadilah bijak dan gembirakanlah hatiku,+
Supaya aku dapat menjawab dia yang mencela aku.+
12 Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya,+
Tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.
13 Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang yang tidak dikenali, ambillah jubahnya;
Dan jika dia menjalin hubungan dengan perempuan asing, rampaslah harta miliknya sebagai jaminan.+
14 Salam yang diteriakkan oleh seseorang pada awal pagi
Akan dianggap sebagai suatu kutukan.
15 Isteri yang suka bertikam lidah* bagaikan atap yang selalu bocor pada hari hujan.+
16 Sesiapa yang dapat mengawalnya dapat mengawal angin
Dan dapat menggenggam minyak dengan tangan kanannya.
17 Sebagaimana besi diasah oleh besi,
Demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.+
18 Orang yang memelihara pokok ara akan makan buahnya,+
Dan orang yang menjaga tuannya akan dihormati.+
19 Sepertimana air mencerminkan wajah seseorang,
Demikian juga hati seseorang mencerminkan hati seorang yang lain.
21 Sebagaimana perak dimurnikan dengan menggunakan tembikar dan emas dimurnikan dengan menggunakan relau,+
Seseorang diuji menurut sikapnya terhadap pujian yang diterimanya.
22 Meskipun kamu menumbuk orang bodoh dengan batu giling
Seperti menghancurkan bijirin di dalam lesung,
Kebodohannya tidak akan lenyap.
23 Kamu harus memelihara* bebirimu dengan sungguh-sungguh.+
Kamu harus mengenali kawananmu dengan baik,
24 Kerana kekayaan tidak berkekalan,+
Dan mahkota tidak akan terus diwarisi turun-temurun.
25 Rumput yang hijau layu lalu rumput yang baharu muncul,
Dan tumbuh-tumbuhan di pergunungan dikumpulkan.
26 Kamu dapat memperoleh pakaian daripada bulu bebiri muda,
Dan kamu dapat membayar harga ladang dengan kambing-kambing jantanmu.
27 Kamu juga dapat memperoleh susu kambing yang mencukupi
Untuk menyara rumah tanggamu dan hamba-hamba perempuanmu.