CERITA 102
Penglihatan yang Diterima oleh Yohanes
Rasul Yohanes dipenjarakan di Pulau Patmos. Di sana, Yesus telah menunjukkan gambaran tentang masa depan kepadanya melalui 16 penglihatan. Yohanes melihat kedatangan Kerajaan Tuhan, cara nama Yehuwa disucikan, dan kehendak-Nya terjadi di bumi seperti di syurga.
Dalam satu penglihatan, Yohanes melihat Yehuwa duduk di atas takhta-Nya yang mulia. Yehuwa dikelilingi 24 penatua yang berpakaian putih. Di atas kepala mereka terdapat mahkota emas. Kilat dan guruh keluar dari takhta Tuhan. Dua puluh empat penatua itu tunduk di hadapan Yehuwa dan menyembah-Nya. Dalam satu lagi penglihatan, Yohanes melihat kumpulan besar manusia daripada pelbagai bangsa, kaum, dan bahasa, menyembah Yehuwa. Mereka dibimbing ke mata air kehidupan oleh Anak Bebiri, iaitu Yesus. Dalam penglihatan yang lain, dia melihat Yesus mula memerintah sebagai Raja di syurga bersama dengan 24 orang penatua. Dalam penglihatan yang seterusnya, Yesus berlawan dengan seekor naga, iaitu Syaitan, serta malaikat-malaikat yang jahat. Kemudian, Yesus melemparkan mereka dari syurga ke bumi.
Selepas itu, Yohanes melihat Anak Bebiri di Gunung Sion bersama dengan 144,000 orang yang dipilih. Dia juga melihat satu malaikat terbang ke seluruh dunia untuk memberitahu orang supaya takut kepada Tuhan dan memuliakan-Nya.
Seterusnya, perang Armagedon tercetus. Yesus dan tenteranya mengalahkan Syaitan dan konco-konconya. Penglihatan yang terakhir pula menunjukkan kedamaian yang dinikmati di syurga dan di bumi. Pada masa itu, Syaitan dan pengikutnya telah dimusnahkan. Nama Yehuwa dihormati, dan hanya Dialah yang disembah di seluruh alam semesta.
“Aku akan membuat engkau dan wanita itu bermusuhan, dan Aku akan membuat keturunanmu dan keturunannya bermusuhan. Dia akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan mencederakan tumitnya.”—Kejadian 3:15