Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
4-10 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ZEFANYA 1–HAGAI 2
Mencari Permata Rohani
(Zefanya 1:8) Yehuwa berfirman, “Pada hari pembantaian itu, Aku akan menghukum para pembesar, putera-putera raja, dan semua orang yang mengamalkan adat resam bangsa asing.
w07-IN 15/11 11 per. 3
Sorotan daripada Buku Nahum, Habakuk, dan Zefanya
1:8. Beberapa orang yang hidup pada zaman Zefanya mengamalkan adat resam bangsa asing agar diterima oleh bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Umat Yehuwa dewasa ini tidak akan mencuba mengikut cara hidup dunia ini semata-mata ingin diterima oleh dunia.
(Hagai 2:9) Rumah-Ku yang baru akan lebih cantik daripada yang dahulu, dan di situlah Aku memberi umat-Ku kemakmuran dan kedamaian.” Demikianlah firman Yehuwa Yang Maha Kuasa.
w07-IN 1/12 9 per. 1
Sorotan daripada Buku Hagai dan Zakharia
2:9—Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa ‘Rumah Tuhan yang baru lebih cantik [“mulia,” NW] daripada yang dahulu’? Terdapat tiga aspek yang membuatkan ‘Rumah Tuhan yang baru’ lebih agung: Tempoh masa bangunan itu telah didirikan, siapa yang mengajar di sana, dan jumlah orang yang berkumpul untuk menyembah Yehuwa. Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo berusia 420 tahun, iaitu dari 1027 SM hingga 607 SM. Tetapi, ‘Rumah Tuhan yang baru’ telah digunakan selama 580 tahun, iaitu dari 515 SM sehingga bangunan itu dimusnahkan pada 70 M. Lagipun, Mesias, iaitu Yesus Kristus, mengajar di Rumah Tuhan ini, dan lebih ramai orang yang datang ke sini untuk beribadat berbanding Rumah Tuhan yang dahulu.—Kisah 2:1-11.
18-24 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ZAKHARIA 9-14
Mencari Permata Rohani
(Zakharia 12:3) Pada masa itu kelak, Aku akan menjadikan Yerusalem seperti batu yang berat. Mana-mana bangsa yang cuba mengangkatnya akan cedera. Semua bangsa di bumi ini akan bersekutu untuk menyerang Yerusalem.
w07-IN 15/12 22-23 per. 9-10
Tiada Senjata yang Dapat Mencederakan Kamu
9 Nubuat Zakharia menjelaskan sebabnya bangsa-bangsa akan menentang orang Kristian sejati. Zakharia 12:3 berkata, “Pada masa itu, Aku akan menjadikan Yerusalem seperti batu yang berat.” Apakah Yerusalem yang disebutkan dalam nubuat ini? Kata-kata Nabi Zakharia sebenarnya ditujukan kepada “Yerusalem di syurga,” atau Kerajaan di syurga, iaitu tempat di mana kaum terurap akan pergi. (Ibrani 12:22) Kaum terurap yang masih berada di bumi pula bekerja bersama “biri-biri lain” untuk membantu orang berpihak kepada Kerajaan Tuhan selagi akhir belum tiba. (Yohanes 10:16; Wahyu 11:15) Apakah reaksi bangsa-bangsa terhadap mesej itu? Apakah bantuan yang disediakan oleh Yehuwa bagi umat-Nya hari ini? Mari kita mengkaji kandungan Zakharia bab 12 dengan lebih teliti. Dengan itu, kita dapat terus yakin bahawa “tiada senjata yang dapat mencederakan” kaum terurap dan rakan-rakan mereka yang seiman.
10 Zakharia 12:3 menunjukkan bahawa bangsa-bangsa akan cedera. Bagaimanakah hal ini terjadi? Tuhan menghendaki agar berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan. Saksi-Saksi Yehuwa memandang kerja penyebaran sebagai suatu kewajipan dan mereka giat mengumumkan bahawa Kerajaan Tuhan merupakan satu-satunya harapan bagi umat manusia. Namun, kegiatan mereka telah menjadi “batu yang berat” kepada bangsa-bangsa. Oleh itu, bangsa-bangsa cuba mengangkat batu tersebut dengan menghalang kegiatan para penginjil. Tetapi, mereka hanya mencederakan diri sendiri. Reputasi mereka rosak kerana usaha mereka telah gagal dengan teruk. Mereka tidak dapat membungkam para penyembah sejati yang mengisytiharkan “berita baik yang kekal” tentang Kerajaan Mesias. (Wahyu 14:6) Di sebuah negara di Afrika, seorang pengawal penjara telah melihat umat Yehuwa diperlakukan dengan ganas. Dia berkata, “Sia-sia saja kamu menganiaya mereka. Mereka tidak akan menyerah. Sebaliknya, bilangan mereka akan semakin bertambah.”
(Zakharia 12:7) Aku, Yehuwa, akan memberikan kemenangan kepada tentera Yehuda terlebih dahulu, supaya kemuliaan yang akan diterima oleh keturunan Daud dan penduduk Yerusalem tidak akan melebihi kemuliaan yang diterima oleh penduduk Yehuda yang lain.
w07-IN 15/12 25 per. 13
Tiada Senjata yang Dapat Mencederakan Kamu
13 Baca Zakharia 12:7, 8. Pada zaman Israel kuno, kebanyakan orang menggunakan khemah, termasuk para gembala dan petani. Merekalah yang paling memerlukan perlindungan jika musuh datang untuk menyerang kota Yerusalem. Ungkapan khemah orang Yehuda merujuk kepada kaum terurap yang seolah-olah berada di kawasan yang terbuka dan bukannya terlindung di kota yang berkubu. Namun, mereka mempertahankan kepentingan Kerajaan Mesias dengan berani. Yehuwa akan menyelamatkan mereka dahulu kerana merekalah sasaran utama Syaitan.
25-31 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MALEAKHI 1-4
Mencari Permata Rohani
(Maleakhi 1:10, NW) “Jika tidak dibayar, siapakah antara kamu yang sudi menutup pintu atau menyalakan api di atas mazbah-Ku? Aku tidak berkenan kepada kamu, dan semua pemberian kamu langsung tidak menyenangkan hati-Ku.”
w07-IN 15/12 27 per. 1
Sorotan daripada Buku Maleakhi
1:10. Yehuwa tidak memperkenankan pemberian daripada para imam yang tamak. Mereka mengenakan bayaran untuk khidmat mereka, bahkan untuk hal-hal yang kecil seperti menutup pintu atau menyalakan api di mazbah. Jadi, hal ini mengingatkan kita bahawa ibadat kita, termasuk kerja penyebaran, harus dilakukan dengan motif yang betul, iaitu kasih kepada Tuhan dan orang lain, dan bukannya untuk mengaut keuntungan!—Matius 22:37-39; 2 Korintus 11:7.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w07-IN 15/12 28 per. 1
Sorotan daripada Buku Maleakhi
3:10—Adakah ungkapan ‘membawa semua persepuluhan’ bermaksud bahawa kita harus memberikan segala milik kita kepada Yehuwa? Selepas Yesus mengorbankan nyawanya, Hukum Musa termasuk aturan persepuluhan tidak lagi berkuat kuasa. Namun, pemberian persepuluhan mempunyai makna kiasan. (Efesus 2:15) Aturan persepuluhan yang ditetapkan dalam Hukum Musa perlu dibawa setiap tahun. Tetapi hari ini, kita hanya perlu melakukannya sekali sahaja, iaitu melalui pembaktian dan pembaptisan kita. Sejak saat itu, semua milik kita ialah milik Yehuwa. Namun, Dia tidak mewajibkan kita untuk memberikan segala milik kita kepada-Nya. Sebaliknya, Dia mengizinkan kita untuk menentukan apa yang ingin kita berikan mengikut keinginan dan kemampuan kita. Itulah persepuluhan kiasan yang kita persembahkan kepada Yehuwa. Hal ini termasuk masa, tenaga, dan harta milik kita yang digunakan untuk kerja penyebaran. Selain itu, pemberian kita juga termasuk menghadiri perjumpaan, melawat rakan seiman yang sakit dan lanjut usia, dan memberikan sokongan kewangan untuk ibadat sejati.