PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w20 November ms. 8-11
  • Menerima Berkat yang Melimpah kerana Sudi Kembali ke Negara Asal

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Menerima Berkat yang Melimpah kerana Sudi Kembali ke Negara Asal
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “TEMPAT YANG BETUL UNTUK MENJALA MANUSIA”
  • BERSUKACITA KERANA DAPAT MEMBANTU ORANG UNTUK DIBAPTIS
  • MERASAI SOKONGAN YEHUWA
  • BERSUKACITA KERANA MEMBANTU ORANG MEMBAKTIKAN DIRI KEPADA YEHUWA
  • “KAMI MEMANG TELAH MEMBUAT KEPUTUSAN YANG BIJAK”
  • “Saya Telah Mempelajari Banyak Hal daripada Orang Lain”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Kehidupan yang Puas dan Bermakna dalam Khidmat Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Mereka Rela Berkhidmat
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • Cara-Cara untuk Meluaskan Khidmat Anda
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
w20 November ms. 8-11
Onésime dan Géraldine menginjil kepada seorang penjaga kedai.

Onésime dan Géraldine

Menerima Berkat yang Melimpah kerana Sudi Kembali ke Negara Asal

BANYAK saudara saudari dari negara yang sedang membangun telah berhijrah ke negara barat untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Namun, oleh sebab mereka mengasihi Yehuwa dan orang lain, mereka kembali ke negara asal mereka untuk berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan penyiar. (Mat. 22:37-39) Apakah pengorbanan yang terlibat, dan apakah berkat yang diraih oleh mereka? Mari kita perhatikan pengalaman beberapa orang rakan seiman dari Cameroon, sebuah negara di Afrika barat.

“TEMPAT YANG BETUL UNTUK MENJALA MANUSIA”

Pada tahun 1998, seorang saudara yang bernama Onésime meninggalkan Cameroon dan berhijrah ke luar negara. Dia tinggal di luar negara selama 14 tahun. Suatu hari, semasa di perjumpaan, dia mendengar sebuah perumpamaan tentang kerja penyebaran. Penceramah yang memberikan perumpamaan itu berkata, “Bayangkan dua orang sahabat memancing di dua tempat yang berbeza. Jika salah seorang mendapat lebih banyak ikan, tidakkah yang seorang lagi berpindah ke tempat yang mempunyai lebih banyak ikan?”

Perumpamaan itu membuat Onésime berfikir jika dia dapat kembali ke Cameroon, kerana di situ terdapat lebih banyak orang yang ingin mempelajari Bible. Namun, dia risau dia tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan di Cameroon. Jadi, dia cuba tinggal di Cameroon selama enam bulan dahulu. Selepas itu, pada tahun 2012, dia berpindah kembali ke Cameroon.

Onésime berkata, “Saya perlu membiasakan diri dengan cuaca panas dan keadaan hidup di situ. Semasa menghadiri perjumpaan, saya perlu membiasakan diri dengan bangku yang keras. Tetapi apabila saya berfokus kepada program perjumpaan,” katanya sambil tersenyum, “saya tidak lagi begitu berfikir tentang kerusi yang berkusyen.”

Pada tahun 2013, Onésime mengahwini Géraldine, seorang saudari yang kembali ke Cameroon setelah tinggal di Perancis selama sembilan tahun. Apakah berkat yang diraih mereka kerana mengutamakan kegiatan rohani? Onésime berkata, “Kami telah menghadiri Sekolah Latihan Penginjil dan berkhidmat di Bethel. Dalam masa satu tahun sahaja, 20 orang pelajar Bible di sidang kami telah dibaptis. Saya rasa saya berada di tempat yang betul untuk menjala manusia.” (Mrk. 1:17, 18) Géraldine menambah, “Berkat yang saya terima lebih banyak daripada apa yang pernah saya bayangkan.”

BERSUKACITA KERANA DAPAT MEMBANTU ORANG UNTUK DIBAPTIS

Judith dan Sam-Castel menginjil kepada seorang lelaki di pantai.

Judith dan Sam-Castel

Judith, yang berhijrah ke Amerika Syarikat, ingin meluaskan khidmatnya. Dia berkata, “Setiap kali selepas melawat keluarga saya di Cameroon, saya menangis kerana terpaksa meninggalkan orang yang mula belajar Bible dengan saya.” Namun, Judith teragak-agak untuk berpindah kembali ke Cameroon kerana dia mempunyai pekerjaan yang bergaji tinggi, yang membolehkannya membayar kos perubatan bapanya di Cameroon. Meskipun begitu, Judith bergantung pada Yehuwa dan kembali ke Cameroon. Selepas kembali ke sana, dia mengaku bahawa dia merindui keselesaan hidup di Amerika Syarikat. Judith berdoa agar Yehuwa membantunya menyesuaikan diri, dan dia telah menerima galakan daripada seorang penyelia litar dan isterinya.

Mengenang kembali kehidupannya di Cameroon, Judith berkata, “Dalam masa tiga tahun, saya amat bersukacita kerana dapat membantu empat orang untuk dibaptis.” Kemudian, Judith telah berkahwin dan mula berkhidmat sebagai perintis khas. Kini, dia dan suaminya Sam-Castel melakukan kerja lawatan. Bagaimana pula dengan bapa Judith? Sebuah hospital di luar negara rela menjalankan pembedahan untuk bapanya dan membiayai kos yang terlibat, dan pembedahan itu berjalan dengan lancar.

MERASAI SOKONGAN YEHUWA

Victor dan Caroline menginjil kepada seorang lelaki di taman.

Caroline dan Victor

Victor, seorang saudara yang berhijrah ke Kanada, telah membaca sebuah rencana Menara Pengawal tentang pendidikan tinggi. Setelah berfikir tentang pendidikannya, dia menghentikan pengajiannya di universiti dan mengambil kursus teknikal jangka pendek. Victor berkata, “Kursus itu membolehkan saya mula bekerja dalam masa yang lebih singkat, dan saya dapat mencapai cita-cita saya selama ini, iaitu merintis.” Kemudian, Victor mengahwini Caroline, dan mereka berdua melawat Cameroon. Semasa melawat pejabat cawangan di situ, mereka digalakkan untuk mempertimbangkan jika mereka dapat berkhidmat di Cameroon. Victor berkata, “Kami tiada alasan untuk menolak. Kami selalu hidup sederhana, jadi kami dapat berkhidmat di Cameroon.” Walaupun Caroline mempunyai masalah kesihatan, mereka telah memutuskan untuk berpindah ke Cameroon.

Di Cameroon, Victor dan Caroline menemui banyak orang yang berminat untuk belajar Bible. Pada mulanya, wang simpanan mereka cukup untuk menampung kehidupan mereka sebagai perintis. Namun selepas itu, mereka bekerja di Kanada untuk beberapa bulan, lalu kembali ke Cameroon untuk merintis lagi. Apakah berkat yang diraih mereka? Mereka telah menghadiri Sekolah Latihan Penginjil, dilantik sebagai perintis khas, dan kini mereka berkhidmat sebagai pembantu pembinaan. Victor berkata, “Kami berpeluang merasai sokongan Yehuwa setelah meninggalkan kehidupan yang selesa.”

BERSUKACITA KERANA MEMBANTU ORANG MEMBAKTIKAN DIRI KEPADA YEHUWA

Stéphanie dan Alain berdiri di sebelah rak kesaksian awam dan menginjil kepada seorang wanita.

Stéphanie dan Alain

Pada tahun 2002, Alain, seorang saudara yang sedang menuntut di sebuah universiti di Jerman, telah membaca risalah “Kehidupan Anda” (Youths​—What Will You Do With Your Life?). Maklumat dalam risalah itu telah mendorongnya untuk mengubah matlamat hidupnya. Jadi, pada tahun 2006, Alain menghadiri Sekolah Latihan Pengorganisasian dan ditugaskan ke Cameroon, tempat dia dilahirkan.

Semasa di Cameroon, Alain bekerja separuh masa. Kemudian, dia mendapat pekerjaan yang gajinya lebih tinggi, tetapi dia risau pekerjaan itu akan mengurangkan masa yang dapat digunakannya untuk menginjil. Maka, apabila dia dijemput untuk menjadi perintis khas, Alain segera menerima jemputan itu. Majikannya menawarkan gaji yang lebih lumayan, tetapi Alain menolak. Kemudian, Alain mengahwini Stéphanie, yang telah tinggal di Perancis selama bertahun-tahun. Apakah cabaran yang dihadapi Stéphanie setelah berpindah ke Cameroon?

Stéphanie berkata, “Saya mula menghadapi alahan dan masalah kesihatan yang tidak begitu serius, namun saya mendapat rawatan secara tetap.” Alain dan Stéphanie diberkati kerana ketabahan mereka. Alain berkata, “Semasa menginjil di Katé, sebuah kampung yang terpencil, kami menemui beberapa orang yang ingin belajar Bible. Jadi, kami mengadakan pembelajaran Bible dengan mereka menerusi telefon. Dua antara mereka telah dibaptis, dan kini, terdapat sekumpulan penyiar di situ.” Stéphanie menambah, “Apabila kita membantu orang membaktikan diri kepada Yehuwa, kita akan merasai sukacita yang tiada bandingannya. Saya dan Alain sering merasai sukacita yang melimpah kerana berkhidmat di sini.” Sekarang, Alain dan Stéphanie berkhidmat dalam kerja lawatan.

Kelebihan Berkhidmat di Negara Asal

“Kami sudah mengetahui budaya dan cara berfikir orang tempatan. Jadi, lebih mudah untuk berkomunikasi dengan mereka, dan mereka kurang mencurigai kami.”—Alain

“Lebih senang untuk pergi ke mana-mana sahaja, bahkan tempat yang biasanya susah dikunjungi oleh orang asing.”—Stéphanie

“KAMI MEMANG TELAH MEMBUAT KEPUTUSAN YANG BIJAK”

Léonce dan Gisèle menginjil kepada seorang wanita di atas jambatan.

Léonce dan Gisèle

Gisèle telah dibaptis semasa dia menuntut di sebuah sekolah perubatan di Itali. Dia sangat kagum dengan pasangan perintis yang mengajarnya Bible kerana mereka hidup sederhana, dan dia terdorong untuk meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil. Maka dia menjadi perintis biasa walaupun pengajiannya belum tamat.

Gisèle ingin kembali ke Cameroon untuk meluaskan khidmatnya kepada Yehuwa. Namun, dia perlu membuat pengorbanan. Dia berkata, “Saya perlu melepaskan hak saya untuk tinggal di Itali, dan saya perlu berpisah dengan kawan-kawan dan keluarga saya di Itali.” Walaupun begitu, Gisèle telah berpindah kembali ke Cameroon pada Mei 2016. Beberapa lama kemudian, dia berkahwin dengan Léonce, dan pejabat cawangan Cameroon mencadangkan agar mereka berpindah ke Ayos, sebuah pekan yang sangat memerlukan penyiar.

Bagaimanakah keadaan hidup di Ayos? Gisèle berkata, “Bekalan elektrik biasanya terputus selama berminggu-minggu, jadi telefon bimbit kami biasanya tidak berfungsi kerana tidak dapat dicas. Saya telah belajar untuk memasak dengan menggunakan kayu api. Kami juga perlu berjalan ke tempat lain untuk mendapatkan air. Biasanya kami pergi pada waktu malam ketika tidak begitu banyak orang di tempat mengambil air. Jadi kami perlu menggunakan lampu suluh dan kereta sorong.” Apakah yang membantu mereka bertabah? Gisèle menjelaskan, “Kuasa suci Yehuwa dan pasangan hidup yang sentiasa memberikan sokongan. Selain itu, sahabat dan keluarga kami memberi kami galakan dan ada kalanya memberikan bantuan kewangan.”

Adakah Gisèle berasa gembira kerana kembali ke negara asalnya? “Sudah pasti!” katanya. “Pada mulanya kami memang menghadapi cabaran dan rasa tawar hati. Tetapi setelah mengatasinya, saya dan suami saya rasa kami memang telah membuat keputusan yang bijak. Sekarang, kami lebih yakin kepada Yehuwa dan hubungan kami dengan-Nya menjadi lebih rapat.” Léonce dan Gisèle telah menghadiri Sekolah Latihan Penginjil, dan kini mereka berkhidmat sebagai perintis khas sementara.

Seperti nelayan yang berani menghadapi pelbagai cabaran untuk mendapat hasil tangkapan yang banyak, banyak saudara saudari sudi membuat pengorbanan agar dapat kembali ke negara asal mereka untuk membantu orang yang berminat. Yehuwa pasti menghargai usaha keras mereka dan kasih yang ditunjukkan oleh mereka demi nama-Nya. (Neh. 5:19; Ibr. 6:10) Maka, jika anda tinggal di luar negara dan terdapat keperluan yang besar di negara asal anda, sudikah anda kembali? Berkat yang melimpah menantikan mereka yang sudi berbuat demikian.​—Ams. 10:22.

Bagaimanakah Mereka Melakukannya?

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk kembali ke negara asal anda, perhatikan apa yang telah membantu saudara saudari yang disebut dalam rencana ini.

  • Apakah cabaran yang mungkin anda hadapi?

    “Keluarga dan sahabat yang berniat baik mungkin memberikan tekanan dan memujuk kita agar tidak berpindah. Jadi kita perlu bergantung pada Yehuwa.”​—Alain

  • Apakah persiapan yang anda buat?

    “Saya banyak berdoa. Saya tidak pernah berdoa begitu banyak kali dalam hidup saya.”​—Gisèle

    “Saya menabung supaya saya tidak perlu bergantung pada orang lain.”—Géraldine

    “Saya membuat pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh.”​—Stéphanie

  • Bagaimanakah anda menyara diri?

    “Pada mulanya saya guna wang simpanan. Kemudian, saya mengajar di sekolah, dan selepas itu saya belajar membuat sabun untuk dijual.”​—Géraldine

    “Untuk memperoleh pendapatan sampingan, kami membuat gula-gula susu dan menjualnya di kedai-kedai.”​—Gisèle

    “Saya bekerja sebagai penterjemah melalui Internet.”​—Onésime

  • Bagaimanakah anda menjaga keselamatan?

    “Saya memilih tempat tinggal di kawasan yang selamat dan berdekatan dengan saudara saudari.”​—Géraldine

    “Semasa menginjil, selalu ada saudari lain bersama saya.”​—Gisèle

    “Saya tidak keluar seorang diri pada waktu malam, dan saya tidak memakai atau membawa barang-barang yang mahal.”​—Stéphanie

    “Saya tidak memberitahu orang lain bahawa saya pernah tinggal di luar negara, dan saya ikut cara hidup orang tempatan supaya tidak kelihatan berbeza.”​—Judith

  • Bagaimanakah anda dapat tetap gembira dan sibuk menginjil?

    “Kami berusaha menyesuaikan diri. Kami berfokus kepada hal yang positif dan selalu ingat sebabnya kami berpindah ke sini.”​—Victor

    “Saya belajar untuk berpuas hati dengan apa yang saya miliki.”​—Alain

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi