PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w26 Disember ms. 20-26
  • Bersedia Sekarang untuk Mengekalkan Keneutralan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bersedia Sekarang untuk Mengekalkan Keneutralan
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2026
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • YEHUWA AKAN MEMBANTU ANDA TETAP NEUTRAL
  • BERSEDIA SEKARANG JIKA ANDA AKAN DIKERAH UNTUK MENJADI ASKAR
  • BERSEDIA SEKARANG JIKA ANDA AKAN DIPENJARAKAN
  • MENYOKONG MEREKA YANG MENGHADAPI UJIAN IMAN
  • Tetap Neutral dalam Dunia yang Berpecah Belah
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Seperti Yesus, Percayalah kepada Kerajaan Tuhan!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2026
  • Cara untuk Lebih Menikmati Kerja Penyebaran
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Apakah Maksud Berpendirian Neutral?
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2026
w26 Disember ms. 20-26

22-28 FEBRUARI 2027

LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah

Bersedia Sekarang untuk Mengekalkan Keneutralan

“Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.”—YOH. 18:36.

FOKUS

Belajar mengapa kita perlu bersedia sekarang untuk menghadapi hal-hal yang menguji keneutralan kita dan bagaimana kita dapat melakukannya.

1-2. Mengapakah kita harus bersedia untuk menghadapi hal-hal yang menguji keneutralan kita?

APAKAH yang akan anda lakukan jika anda mendengar amaran bahawa ribut bakal melanda? Sudah tentu, anda akan membuat persiapan untuk menghadapinya. Anda akan menyediakan bekalan yang diperlukan, memindahkan harta benda anda ke tempat yang selamat, dan bersedia untuk berpindah apabila diarahkan.

2 Hari ini, semangat kebangsaan adalah seperti ribut yang boleh mempengaruhi kita semua. Sudah tentu, kita mahu bersedia untuk menghadapinya. Mengapa? Kerana kita mungkin akan diberi tekanan untuk terlibat dalam hal-hal politik. Tetapi seperti Yesus, kita mahu berpendirian neutral dalam soal politik. Bahkan sekarang pun, sebilangan saudara saudari kita dianiaya dan dipenjarakan kerana berpendirian neutral. Memandangkan kesengsaraan besar sudah di ambang pintu, kita menjangkakan bahawa kita akan menghadapi lebih banyak tekanan untuk berkompromi.—Mat. 24:​9, 21; Yoh. 15:19.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk bersedia menghadapi situasi yang menguji keneutralan kita. Kita akan lihat dua situasi yang spesifik, iaitu apabila kita dikerah untuk menyertai khidmat tenteraa dan apabila kita dipenjarakan. Mula-mula, mari kita lihat mengapa kita yakin bahawa kita dapat tetap setia kepada Yehuwa biarpun menghadapi situasi yang mencabar.

YEHUWA AKAN MEMBANTU ANDA TETAP NEUTRAL

4. Bagaimanakah orang Kristian abad pertama dapat tetap setia kepada Yehuwa biarpun menghadapi situasi yang mencabar?

4 Oleh sebab kita menyokong Kerajaan Tuhan, kita berpendirian neutral dalam hal-hal politik dunia ini. Yehuwa berjanji untuk memberi kita kekuatan, maka kita yakin bahawa kita dapat tetap setia kepada-Nya. (Yes. 41:10; 2 Kor. 4:7) Yehuwa telah membantu banyak penyembah-Nya agar tidak menjadi “sebahagian daripada dunia” ini. (Yoh. 17:14) Contohnya, orang Kristian abad pertama enggan terlibat dalam perang. (Mat. 26:52) Mereka juga tidak terlibat dalam penyembahan maharaja. Oleh itu, mereka dilayan dengan buruk dan bahkan dibunuh. Namun, Yehuwa memberi mereka kekuatan untuk tetap setia kepada-Nya.

5. Apakah perasaan Yehuwa terhadap umat-Nya yang tetap neutral?

5 Hari ini, kita juga menderita dan dilayan dengan buruk kerana kita tetap neutral.b Yehuwa pasti memberkati kesetiaan kita di dunia baharu kelak. (Mzm. 18:25) Namun sekarang pun, Dia senang hati dengan kita dan menghargai kesetiaan kita.—Mzm. 5:12; Rm. 5:​3-5.

6. Apakah yang harus anda lakukan?

6 Yehuwa berjanji untuk membantu anda tetap “teguh dan tidak tergoyah” biarpun anda dianiaya. (1 Kor. 15:58) Tetapi Dia juga mahu anda membuat persediaan yang diperlukan. Para penatua dan orang lain juga dapat membantu anda. Namun, semasa anda membaktikan diri kepada Yehuwa, anda telah membuat keputusan peribadi untuk tetap setia kepada-Nya. Maka, anda harus bersedia untuk menjelaskan kepercayaan anda dan tetap berpendirian neutral.

BERSEDIA SEKARANG JIKA ANDA AKAN DIKERAH UNTUK MENJADI ASKAR

7. Mengapakah orang Kristian tidak terlibat dalam hal-hal politik? (Yohanes 18:36)

7 Kita masing-masing diberi penghormatan untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Jika anda akan dikerah untuk menjadi askar, ingatlah pandangan Yehuwa terhadap kerajaan manusia. Buatlah penyelidikan tentang hal ini. (Lihat kotak “Rujukan yang Berguna.”) Dari masa ke masa, anda boleh mengkaji semula rencana ini dan rencana yang sebelumnya. Ayat-ayat Bible dalam kedua-dua rencana ini dapat membantu anda untuk mencerminkan pandangan Yehuwa. Kita menghormati pihak berkuasa dan berusaha menjadi rakyat yang baik. (Rm. 13:​1, 7; Tit. 3:1; 1 Ptr. 2:​13, 14, 17) Namun, oleh sebab kita menyokong Kerajaan Tuhan, kita tetap neutral dalam hal-hal politik. (Baca Yohanes 18:36.) Selepas berdoa dan membuat penyelidikan tentang topik keneutralan, anda dapat membuat keputusan yang bijak jika anda dikerah untuk menjadi askar. Dengan itu, anda akan memuliakan Yehuwa, iaitu “Raja yang kekal,” dan Anak-Nya, Yesus, iaitu “Tuan atas segala tuan dan Raja atas segala raja.”—Why. 15:3; 17:14.

Rujukan yang Berguna

  • Ayat Bible untuk Kehidupan Kristian, “Kerajaan”

  • Buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!​, pelajaran 45, “Apakah Maksud Berpendirian Neutral?”

  • Menara Pengawal Oktober 2023, rencana pembelajaran “Adakah Anda ‘Sedia Mematuhi’ Arahan?”

  • Video Keneutralan Kristian—Maksudnya, Caranya, dan Sebabnya Kita Berpendirian Neutral di jw.org

  • Rencana “Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Mengambil Bahagian dalam Peperangan” di jw.org

  • Rencana “Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Berpendirian Neutral dalam Hal Politik?” di jw.org

  • Video Kembali dengan Suka Duka di jw.org

8. Mengapakah orang Kristian tidak menyertai atau menyokong peperangan? (Yohanes 17:16)

8 Kita tidak menyertai mana-mana organisasi yang menyokong keganasan dan perang kerana kita percaya hanya Kerajaan Tuhan yang layak memerintah bumi. (Mat. 6:10) Sebagai rakyat dan penyokong Kerajaan Tuhan, kita tidak akan terlibat dalam hal-hal politik dunia ini. (Baca Yohanes 17:16.) Firman Tuhan juga mengutuk perbuatan ganas dan perang. (Yes. 2:4; Kis. 5:29) Selain itu, Yesus mengajar kita untuk mengasihi orang lain, termasuk musuh kita. (Mat. 5:44) Yesus juga mahu kita mengasihi rakan seiman kita dengan mendalam. (Yoh. 13:​34, 35; 1 Ptr. 4:8) Dapatkah kita mengatakan bahawa kita mengikut ajaran Yesus jika kita menyertai atau menyokong peperangan? (Lihat kotak “Khidmat Awam Alternatif.”) Sudah pasti tidak! Jika kita menyertai perang, kita akan berhutang darah kerana membunuh rakan seiman kita.

Khidmat Awam Alternatif

Pihak berkuasa mungkin mengizinkan orang yang menolak khidmat tentera untuk melakukan khidmat awam alternatif atau kerja tertentu. (Mat. 5:41; Mrk. 12:17) Seorang Kristian perlu membuat keputusan peribadi dalam soal ini. (Rm. 14:10; Gal. 6:5) Untuk membantu kita, pertimbangkanlah beberapa hal yang berikut:

  • Adakah kita perlu menyertai organisasi yang tidak neutral, terlibat dalam hal-hal politik, menyertai parti politik, atau mengundi?—Yoh. 17:16; 18:36; Yak. 1:27.

  • Adakah kerja yang ditugaskan itu melanggar hukum atau prinsip Bible? Kita tidak patut terlibat dalam apa-apa kerja yang bercanggah dengan ajaran Bible.—Yes. 2:4; Mat. 26:52; Kis. 5:29.

  • Adakah kerja yang ditugaskan itu mengganggu hati nurani saudara saudari di sidang dan menyebabkan mereka tersandung?—1 Kor. 10:​31-33.

9. Apakah hal lain yang dapat anda lakukan jika anda akan dikerah untuk menjadi askar?

9 Setelah anda mengetahui prinsip Bible yang asas mengenai keneutralan, tanyalah diri, “Dapatkah saya menjelaskan pendirian saya?” (1 Ptr. 3:15) Anda mungkin diminta untuk memberi penjelasan yang singkat dan padat atau yang panjang dan terperinci. Jadi, bersedialah untuk menghadapi kedua-dua situasi ini. Pastikan penjelasan anda adalah berdasarkan Bible. Jelaskan bahawa anda enggan terlibat dalam perang kerana anda menyokong Kerajaan Tuhan, bukannya kerana anda takut. Seperti Paulus, bercakaplah dengan hormat, jelas, dan penuh yakin. (Kis. 26:​1, 28, 29) Namun, janganlah terlalu risau tentang apa yang akan anda katakan. Ingatlah, Yehuwa akan memberi anda kuasa suci-Nya dan kebijaksanaan yang diperlukan untuk membela nama-Nya. (Luk. 21:​12-15) Dia juga akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penganiayaan dengan tabah. (1 Kor. 10:13) Selain itu, tanyalah rakan seiman yang pernah dikerah untuk menjadi askar tentang cabaran yang dihadapi oleh mereka dan apa yang membantu mereka.—Ams. 20:18.

10. Apakah hasil baik yang mungkin anda raih?

10 Anda mungkin meraih hasil yang baik semasa anda menjelaskan pendirian anda kepada pihak berkuasa. Barangkali, ada antara mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Inilah pengalaman sesetengah rakan seiman kita. Namun, bagaimana pula jika anda dijatuhkan hukuman penjara? Hal itu mungkin membuat anda berasa risau. Apakah yang dapat anda lakukan?

BERSEDIA SEKARANG JIKA ANDA AKAN DIPENJARAKAN

11. Apakah yang patut kita lakukan jika kita dipenjarakan? (Wahyu 2:10)

11 Pada zaman Bible, ramai penyembah Yehuwa dilayan dengan tidak adil dan dipenjarakan. Hal ini juga berlaku kepada kita hari ini. (Kej. 39:20; Kis. 8:3; Flp. 1:7) Maka, kita harus menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa dan tetap setia kepada-Nya. Ingatlah, apabila kita menderita kerana “melakukan apa yang benar,” kita menyumbang kepada penyucian nama Yehuwa dan menyokong kedaulatan-Nya. (Mat. 5:​10, 11; Ayb. 2:​4, 5; 1 Ptr. 3:17) Yakinlah bahawa Yehuwa mahu anda berjaya. Jadi, janganlah dicengkam perasaan takut. Yehuwa akan membantu anda tetap setia kepada-Nya.—Baca Wahyu 2:10.

12. Mengapakah penting bagi kita untuk memupuk tabiat pembelajaran Bible yang baik mulai sekarang?

12 Pupuklah tabiat-tabiat yang baik sekarang untuk membantu anda tetap setia kepada Yehuwa jika anda dipenjarakan. Contohnya, pupuklah tabiat pembelajaran Bible yang baik. Takis, seorang penyelia litar, pernah dipenjarakan selama setahun setengah. Dia berkata, “Sebelum dipenjarakan, saya meluangkan masa berjam-jam untuk pembelajaran peribadi. Semasa dalam penjara, saya juga terus melakukannya.” Bagaimana pula jika anda tidak diizinkan untuk membaca Bible semasa di penjara? Kuasa suci Yehuwa dapat membantu anda untuk mengingat kembali kebenaran Bible, janji Yehuwa, dan prinsip-Nya. Hal ini akan menguatkan iman anda.c (Yoh. 14:26) Ya, sekaranglah masanya untuk memupuk tabiat pembelajaran yang baik.

13. Apakah persediaan yang dapat anda lakukan sekarang untuk menjadi orang yang suka mewujudkan kedamaian?

13 Sedihnya, sesetengah rakan seiman kita yang dipenjarakan tidak mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain. Jadi, apakah persediaan yang dapat anda lakukan untuk menghadapi situasi seperti itu? Mulai sekarang, pupuklah sifat-sifat Kristian yang dapat membantu anda menjadi orang yang suka akan kedamaian. (Mat. 5:9; Rm. 12:18) Berusahalah untuk menjadi kawan dengan orang yang mempunyai keperibadian atau latar belakang yang berbeza daripada anda. Jika sesuatu hal tidak melanggar prinsip Bible, berusahalah untuk mengalah atau rela membuat pengorbanan. Jadilah orang yang suka akan kedamaian sekarang. Dengan itu, anda dapat menggalakkan kedamaian dan perpaduan jika anda dipenjarakan.

14. Apakah cabaran yang biasa dihadapi oleh rakan seiman yang dipenjarakan? Apakah yang telah membantu mereka?

14 Dari masa ke masa, saudara saudari kita yang dipenjarakan akan berasa tawar hati. Apakah yang dapat anda lakukan untuk menghadapi situasi itu? Mulai sekarang, berusahalah untuk mengambil berat terhadap orang lain, terutamanya rakan seiman anda. Apabila anda membantu orang lain, anda tidak akan bertumpu kepada masalah sendiri dan anda akan berasa lebih gembira. Semasa dipenjarakan, Paulus menulis, “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.” (Flp. 2:4) Ho-Seon, seorang penatua dan perintis, mengenang kembali masanya dia dipenjarakan. Dia berkata, “Saya akan berdoa untuk keluarga, sahabat, dan rakan seiman yang menghadapi pelbagai cabaran.” Bagaimana pula jika anda dipenjarakan bersama rakan seiman anda? Takis, yang disebut sebelum ini, berkata, “Oleh sebab saya ingin membantu rakan seiman saya, hal itu memberi saya kekuatan dan dorongan untuk tetap setia kepada Yehuwa.” Jadi, semasa anda dipenjarakan, carilah cara untuk menggalakkan dan membantu rakan seiman anda. Dengan itu, anda akan berasa lebih gembira.

15. Mengapakah penting bagi anda untuk memupuk tabiat berdoa mulai sekarang? (Yakobus 1:5) (Lihat kotak “Apabila Situasi yang Mengelirukan Timbul.”)

15 Apakah hal lain yang dapat anda lakukan? Tanyalah rakan seiman tentang cabaran mereka semasa di penjara dan cara mereka menanganinya. Namun ingatlah, anda tidak dapat menjangkakan setiap hal yang mungkin berlaku. Seorang penatua yang pernah dipenjarakan berkata, “Situasi yang mengelirukan mungkin timbul secara tiba-tiba dan tanpa dijangka.” Semasa dia perlu menjawab soalan, membuat keputusan, atau menangani cabaran, hal pertama yang dilakukan olehnya ialah berdoa. (Rm. 12:12; Flp. 4:6) Jadi mulai sekarang, pupuklah tabiat untuk berdoa kepada Yehuwa dan meminta kebijaksanaan untuk menangani situasi yang mencabar.—Baca Yakobus 1:5.

Apabila Situasi yang Mengelirukan Timbul

Kadangkala, saudara saudari di penjara mungkin berasa keliru tentang apa yang patut dilakukan. Contohnya, sekumpulan saudara diizinkan untuk membawa Bible ke penjara. Tetapi pegawai penjara tidak membenarkan mereka untuk membawa Bible semasa mereka ditugaskan kerja. Sesetengah daripada mereka menganggap hal itu sebagai ujian iman dan berkeras untuk membawa Bible mereka semasa kerja. Yang lain pula tahu bahawa perintah pegawai penjara tidak bercanggah dengan standard Bible. Mereka menerapkan prinsip Bible di Roma 13:1 yang menyatakan bahawa kita patut taat kepada “pihak berkuasa.” Pengajarannya? Doa dan tabiat pembelajaran Bible yang baik dapat membantu orang Kristian untuk membuat keputusan yang bijak dalam situasi yang mengelirukan.

16. Apakah yang dapat dilakukan oleh ramai saudara saudari di penjara? (Lihat juga gambar.)

16 Semasa di penjara, anda masih dapat memberikan kesaksian melalui kata-kata dan tingkah laku anda. (Mat. 28:​19, 20; Kis. 10:42; 1 Ptr. 2:12) Jika anda giat menginjil sekarang, adalah lebih mudah bagi anda untuk menginjil kepada orang semasa anda dipenjarakan. Ramai saudara saudari di penjara dapat mengadakan perjumpaan untuk aktiviti penyebaran, memberi kesaksian kepada banduan lain, menulis surat, menjadi perintis sokongan, dan mengendalikan pembelajaran Bible.d Kadangkala, saudara saudari kita telah membantu banduan lain dan pengawal penjara untuk belajar kebenaran. Jika anda mengasah kemahiran menginjil anda sekarang, anda dapat mengajar kebenaran dengan baik semasa di penjara. (Kis. 17:​1-4) Selain itu, belajarlah untuk meniru sifat-sifat Yehuwa sekarang agar anda dapat terus menunjukkan sifat-sifat itu semasa di penjara. Apabila anda baik hati, lemah lembut, rajin, dan menghormati semua orang, termasuk para penentang, orang lain mungkin tertarik untuk belajar tentang Yehuwa.—Mat. 5:16; Tit. 3:​1, 2.

Kolaj: Seorang saudara yang dipenjarakan mengekalkan rutin rohani yang baik. 1. Dia membaca Bible di dalam sel penjara. 2. Dia berdoa sebelum makan di kafeteria. 3. Dia menginjil kepada seorang banduan.

Di penjara, berusahalah untuk tetap giat dalam aktiviti rohani (Lihat perenggan 16)


17. Mengapakah penting untuk mengekalkan hubungan yang kuat dengan Yehuwa semasa di penjara? (1 Petrus 1:​6, 7)

17 Banyak saudara saudari yang keluar dari penjara terus menyembah Yehuwa dengan iman yang kuat. (Yak. 1:​2-4; baca 1 Petrus 1:​6, 7.) Mereka juga dapat menguatkan iman orang lain. Namun sedihnya, sesetengah saudara saudari berhenti menyembah Yehuwa selepas mereka dibebaskan kerana mereka tidak mempunyai hubungan yang kuat dengan Yehuwa semasa di penjara. Dengan menerapkan nasihat dalam rencana ini, anda dapat mengekalkan hubungan yang erat dengan Yehuwa semasa di penjara.

MENYOKONG MEREKA YANG MENGHADAPI UJIAN IMAN

18. Apakah satu cara anda dapat membantu kaum muda yang menghadapi cabaran kerana dikerah untuk menjadi askar?

18 Adakah ahli keluarga atau rakan seiman anda akan dikerah untuk menjadi askar? Jika ya, apakah yang dapat anda lakukan? Seorang bapa menggunakan sedikit masa semasa penyembahan keluarga untuk mengajar dua anak lelakinya cara mempertahankan pendirian neutral mereka. Dia juga mengadakan sesi latihan dan berpura-pura menjadi pegawai tentera. Anak-anaknya akan berlatih untuk menjelaskan pendirian mereka. Dapatkah anda juga melakukan hal yang serupa?

19. Apakah persediaan yang dapat anda lakukan jika salah seorang ahli keluarga anda akan dipenjarakan?

19 Jika salah seorang ahli keluarga anda akan dipenjarakan, seluruh keluarga anda pasti berasa risau. Apakah yang dapat anda lakukan? Berdoalah dan kekalkan rutin penyembahan keluarga yang baik. Katakan anda ialah seorang isteri dan suami anda akan dipenjarakan. Sebagai ketua keluarga, dia pasti sangat risau tentang keadaan anda dan anak-anak anda. Mulai sekarang, bincanglah sebagai sebuah keluarga apa yang anda semua akan lakukan semasa dia dipenjarakan. Contohnya, bincangkan cara anda akan mengurus kewangan keluarga, cara keluarga anda dapat mengekalkan rutin rohani yang baik, dan bagaimana para penatua dapat menyokong dan menggalakkan keluarga anda. Selain itu, buat rancangan agar anda dan anak-anak anda dapat melawat suami anda sekerap yang mungkin. Dengan membuat persiapan yang baik sekarang, anda dapat membantu ahli keluarga anda yang dipenjarakan untuk tidak begitu risau dan tetap bertabah.

20. Bagaimanakah para penatua dan orang lain di sidang dapat menyokong mereka yang dipenjarakan dan ahli keluarga mereka?

20 Paulus menulis, “Ingatlah akan orang yang dipenjarakan, seolah-olah kamu juga dipenjarakan bersama-sama mereka.” (Ibr. 13:3) Semasa kita melawat, menelefon, dan menulis surat kepada mereka yang dipenjarakan, kita dapat menguatkan mereka. Mereka juga mungkin memerlukan wang, makanan yang berkhasiat, dan barang keperluan yang dapat membuat hidup mereka di penjara lebih selesa. (Yak. 2:16; 1 Yoh. 3:17) Ingatlah juga ahli keluarga mereka. Mereka mungkin memerlukan kunjungan penggembalaan dan bantuan praktikal. Selain itu, selepas saudara saudari keluar dari penjara, mereka mungkin memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan yang biasa dan mempunyai rutin rohani yang baik.

21. Apakah tekad anda seraya semangat kebangsaan semakin berkobar-kobar?

21 Seraya semangat kebangsaan semakin berkobar-kobar, ujian keneutralan kita juga akan semakin bertambah. Namun ujian sebegini hanyalah sementara. Semasa Armagedon, Yehuwa akan memusnahkan semua kerajaan manusia. (Dan. 2:44) Selepas itu, kita akan masuk ke dunia baharu yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. Pada masa itu, kita tidak akan dipenjarakan atau dilayan dengan buruk. Sehingga masa itu, semoga kita terus bertekad untuk mengekalkan keneutralan kita. Semoga kita juga terus menginjil tentang Kerajaan Tuhan dengan penuh semangat.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah kita dapat bersedia sekarang untuk mempertahankan keneutralan Kristian kita?

  • Bagaimanakah kita dapat bersedia sekarang untuk menghadapi situasi di mana kita mungkin dikerah untuk menjadi askar atau dipenjarakan?

  • Bagaimanakah kita dapat menyokong rakan seiman yang dipenjarakan dan keluarga mereka?

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

a MAKSUD UNGKAPAN: Dikerah untuk menyertai khidmat tentera ialah tindakan yang mewajibkan orang untuk menjadi askar bagi negara mereka. Sesetengah negara mewajibkan kerahan tentera untuk kedua-dua lelaki dan wanita.

b Anda dapat membaca pengalaman sebegini di bahagian Berita di jw.org.

c Ada saudara saudari yang menghafal ayat-ayat Bible dan lagu rohani sebagai persediaan untuk menghadapi situasi di mana mereka dilarang untuk menggunakan Bible atau bahan bacaan kita.

d Jika saudara saudari yang dipenjarakan langsung tidak dapat menginjil, mereka dapat membayangkan situasi di mana mereka bercakap dengan penghuni rumah dan menginjil kepada mereka. Dengan itu, mereka dapat menguatkan iman mereka dan mengasah kemahiran mereka untuk menginjil.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi