BAB ENAM
Bantu Remaja Anda untuk Berjaya dalam Hidupnya
1, 2. Apakah cabaran dan sukacita yang mungkin dirasai pada zaman remaja?
ANAK remaja jauh berbeza dengan anak yang berumur lima atau sepuluh tahun. Seorang remaja menghadapi banyak cabaran dan masalah, tetapi dia juga boleh menuai berkat dan sukacita. Yusuf, Daud, Yosia, dan Timotius membuktikan bahawa kaum muda boleh memikul tanggungjawab dan memupuk hubungan yang baik dengan Yehuwa. (Kejadian 37:2-11; 1 Samuel 16:11-13; 2 Raja-Raja 22:3-7; Kisah 16:1, 2) Anda mungkin mengenali beberapa remaja pada hari ini yang meniru teladan baik mereka.
2 Namun, sesetengah orang mengharungi zaman remaja yang penuh dengan onak duri. Lazimnya, emosi anak remaja tidak menentu. Mereka ingin berdikari dan mungkin tidak suka akan sekatan yang dikenakan oleh ibu bapa. Tetapi mereka masih tidak cukup pengalaman dan memerlukan bantuan daripada ibu bapa yang pengasih dan sabar. Sememangnya, zaman remaja menyeronokkan, tetapi zaman ini juga amat mengelirukan bagi ibu bapa dan anak remaja. Bagaimanakah ibu bapa boleh membantu anak remaja mereka?
3. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak remaja mereka hidup dengan jayanya?
3 Ibu bapa yang mengikut nasihat Bible sedang membantu anak remaja mereka dalam cara yang terbaik. Nasihat Bible dapat membantu anak-anak mengharungi cubaan dan menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab. Tidak kira bila atau di mana mereka berada, ibu bapa dan remaja yang menerapkan prinsip Bible dapat hidup dengan jayanya.—Mazmur 119:1.
KOMUNIKASI YANG JUJUR DAN TERBUKA
4. Mengapakah komunikasi penting terutamanya pada zaman remaja?
4 Bible menyatakan, “Rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan,” atau perbincangan. (Amsal 15:22) Ibu bapa perlu berbincang, atau berkomunikasi, dengan anak mereka secara jujur dan terbuka semasa dia masih kecil, dan terutamanya apabila dia mencapai usia remaja. Anak remaja suka menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan sekolah atau orang lain. Jikalau ibu bapa tidak terus berkomunikasi dengannya, hubungan mereka boleh renggang. Bagaimanakah ibu bapa boleh terus berkomunikasi dengan anak remaja mereka?
5. Dalam soal komunikasi, apakah yang harus diingati oleh kaum muda?
5 Dalam soal komunikasi, anak remaja dan ibu bapa mesti memainkan peranan masing-masing. Tidak seperti masa kecil, kaum muda kini berasa lebih sukar untuk bercakap dengan ibu bapa. Namun begitu, ingatlah bahawa “bangsa akan jatuh jika tidak ada pemimpin yang bijak, tetapi selamat jika mendapat banyak penasihat.” (Amsal 11:14, ABB) Ayat Bible ini sesuai baik untuk orang dewasa mahupun remaja. Seorang remaja yang menyetujui kata-kata ini sedar bahawa dia masih memerlukan pimpinan kerana dia kini menghadapi masalah yang lebih rumit. Dia patut sedar bahawa ibu bapa Kristian layak menasihatinya meskipun mereka tidak pernah bersekolah. Ini adalah kerana mereka lebih berpengalaman. Mereka juga menyayangi serta mengambil berat tentangnya sejak kecil lagi. Maka, remaja yang bijak tidak akan menolak nasihat ibu bapanya.
6. Dalam soal komunikasi, apakah yang harus dilakukan oleh ibu bapa yang bijak dan pengasih?
6 Ibu bapa pula perlu meluangkan masa untuk mendengar apabila anak remaja ingin meluahkan isi hatinya. Pastikan bahawa anda tidak terlalu sibuk untuk berkomunikasi. Hal ini tidak mudah. Bible berkata bahawa ada “waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur.” (Pengkhutbah 3:7) Sewaktu anak anda ingin “bertutur,” anda mungkin ingin “berdiam diri.” Anda mungkin sudah merancang untuk berehat, membuat pembelajaran peribadi, atau melakukan kerja rumah. Namun, jika remaja anda ingin berbual, bolehkah anda memberinya keutamaan? Jika tidak, dia mungkin keberatan untuk mencuba lagi. Pernah sekali, Yesus ingin berehat, tetapi orang ramai datang kepadanya. Jadi, dia pun mula mengajar mereka. (Markus 6:30-34) Kebanyakan remaja tahu bahawa ibu bapa mereka sangat sibuk, tetapi mereka masih berharap agar ibu bapa akan berada di sisi mereka apabila mereka memerlukan bantuan. Jadi, luangkanlah masa untuk remaja anda dan cuba memahaminya.
7. Ibu bapa harus menghindari apa?
7 Anda pun pernah mengharungi zaman remaja suatu ketika dahulu. Maka janganlah terlalu tegas dengan anak remaja anda. Ibu bapa perlu suka meluangkan masa bersama anak-anak mereka. Jika anda mempunyai masa lapang, bagaimanakah anda menggunakannya? Anak remaja akan perasan jika ibu bapa asyik menggunakan masa lapang untuk melakukan perkara yang tidak melibatkan keluarga. Masalah tentu timbul jika anak remaja menyimpulkan bahawa rakan sekolah lebih mengambil berat tentang mereka berbanding dengan ibu bapa sendiri.
BERKOMUNIKASI TENTANG APA?
8. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak memahami pentingnya untuk bersikap jujur, rajin, dan berkelakuan baik?
8 Jika ibu bapa belum memupuk semangat kejujuran dan kerajinan dalam diri anak, mereka patut melakukannya semasa anak meningkat remaja. (1 Tesalonika 4:11; 2 Tesalonika 3:10) Mereka juga mesti memastikan bahawa anak mereka sedar betapa pentingnya mengekalkan kebersihan moral dalam kehidupan. (Amsal 20:11) Teladan ibu bapa sangat berkesan dalam aspek ini. Sebagaimana ‘kelakuan isteri menyebabkan suami percaya,’ kelakuan ibu bapa juga boleh membantu anak remaja menerapkan prinsip yang betul. (1 Petrus 3:1) Namun, teladan sahaja tidak memadai memandangkan anak-anak terdedah kepada banyak pengaruh buruk dan godaan di luar rumah. Oleh itu, ibu bapa yang prihatin perlu berkomunikasi dengan anak remaja untuk mengetahui pandangannya tentang apa yang dilihat dan didengar.—Amsal 20:5.
9, 10. Mengapakah ibu bapa perlu mengajar anak-anak tentang seks? Apakah caranya?
9 Ibu bapa perlu mendengar pandangan anak khususnya tentang seks. Adakah anda segan untuk membincangkan seks dengan anak anda? Meskipun anda segan, anda perlu berbuat demikian kerana lambat-laun mereka akan belajar tentang topik ini. Jika mereka tidak mempelajarinya daripada anda, mereka mungkin mendapat maklumat yang salah daripada orang lain. Di dalam Bible, Yehuwa tidak mengelak daripada membincangkan seks, jadi ibu bapa harus meniru teladan-Nya.—Amsal 4:1-4; 5:1-21.
10 Sebenarnya, Bible memberikan bimbingan yang jelas tentang kelakuan seksual, dan Saksi-Saksi Yehuwa telah menerbitkan banyak maklumat praktikal yang menunjukkan bahawa pedoman Bible masih sesuai untuk dunia moden ini. Adakah anda memanfaatkan bantuan ini? Misalnya, anda boleh menggunakan buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan untuk membincangkan seks dan moral dengan anak anda. Anda mungkin menuai hasil yang baik.
11. Apakah cara yang paling berkesan untuk mengajar anak-anak anda menyembah Yehuwa?
11 Apakah perkara terpenting yang harus dibincangkan dengan anak anda? Rasul Paulus menjawab, “Didiklah [anak-anak] dengan ajaran dan nasihat Tuhan.” (Efesus 6:4) Jadi, anak-anak perlu terus belajar tentang Yehuwa, khususnya untuk mengasihi-Nya. Mereka juga patut berhasrat untuk berkhidmat kepada-Nya. Dalam aspek ini, ibu bapa perlu mengajar melalui teladan. Jika anak remaja melihat ibu bapa mengasihi Tuhan dengan ‘sepenuh hati, segenap jiwa dan seluruh akal,’ dan ibu bapa diberkati kerana berbuat demikian, mereka mungkin terdorong untuk mengikut teladan ibu bapa. (Matius 22:37) Begitu juga, jika ibu bapa mempunyai pandangan yang seimbang tentang harta benda dan mendahulukan Kerajaan Tuhan, anak remaja mungkin akan memupuk sikap yang sama.—Pengkhutbah 7:11, 12; Matius 6:31-33.
12, 13. Jika anda menginginkan penyembahan keluarga yang bermanfaat, apakah yang harus diingati?
12 Ibu bapa dapat mengajarkan nilai rohani kepada anak remaja mereka semasa penyembahan keluarga mingguan. (Mazmur 119:33, 34; Amsal 4:20-23) Penyembahan keluarga mesti diadakan secara tetap. (Mazmur 1:1-3) Ibu bapa dan anak-anak harus sedar bahawa penyembahan keluarga lebih penting daripada aktiviti lain. Selanjutnya, seisi keluarga perlu mempunyai sikap yang betul agar semua mendapat manfaat. Seorang ayah menyatakan bahawa ibu atau bapa yang mengendalikan penyembahan keluarga memainkan peranan yang penting. Katanya, “Dia harus memastikan pembelajaran keluarga serius tetapi suasananya juga harus tenang dan mesra. Tidak mudah untuk mengekalkan suasana sebegini, dan selalunya sikap anak remaja perlu diubah. Jika anda gagal sekali dua, jangan mudah berputus asa, tetapi cuba lagi.” Ayah ini juga berkata bahawa dia berdoa secara spesifik sebelum setiap pembelajaran dan memohon Yehuwa membantu setiap ahli keluarga memiliki pandangan yang betul.—Mazmur 119:66.
13 Ibu bapa Kristian bertanggungjawab mengadakan penyembahan keluarga. Memang, sesetengah ibu bapa tidak pandai mengajar atau menjadikan penyembahan keluarga menarik. Tetapi jika anda mengasihi anak remaja anda, anda akan ‘membuktikannya dengan perbuatan.’ “Kasih yang sejati” akan mendorong anda untuk bersikap rendah hati dan ikhlas semasa membantu mereka membuat kemajuan rohani. (1 Yohanes 3:18) Walaupun mereka kadangkala merungut, mereka tentu dapat merasai bahawa anda sangat prihatin akan kesejahteraan mereka.
14. Bagaimanakah anda boleh menerapkan Ulangan 11:18, 19 semasa mengajarkan hal-hal rohani kepada anak remaja?
14 Selain daripada masa penyembahan keluarga, anak remaja juga perlu diajar tentang hal-hal rohani pada masa lain. Ingatkah anda perintah Yehuwa kepada ibu bapa? Kata-Nya, “Ingatlah dan hargailah hukum-hukum itu. Ikatkanlah hukum itu pada lengan dan juga pada dahi kamu sebagai peringatan. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.” (Ulangan 11:18, 19, ABB; lihat juga Ulangan 6:6, 7.) Hal ini tidak bermaksud bahawa ibu bapa mesti sentiasa berceramah tentang Bible. Namun, kepala keluarga yang penyayang akan sentiasa mencari peluang untuk membina kerohanian keluarganya.
DISIPLIN DAN HORMAT
15, 16. (a) Apakah itu disiplin? (b) Siapakah yang bertanggungjawab memberikan disiplin? Siapakah yang bertanggungjawab menerima disiplin?
15 Disiplin ialah tunjuk ajar yang membetulkan kesalahan, dan disiplin juga merangkumi komunikasi. Ada kalanya anak perlu dihukum, tetapi disiplin bertujuan untuk membetulkan kesalahan dan bukan sekadar untuk menghukum. Anak anda memerlukan disiplin semasa kecil, dan kini sebagai remaja, dia mungkin lebih memerlukannya berbanding dahulu. Remaja yang bijak tidak akan menolak disiplin.
16 Bible berkata, “Orang yang bodoh mengabaikan ajaran bapa; tetapi orang yang bijak menerima tegur ajar.” (Amsal 15:5, ABB) Ayat ini menunjukkan bahawa tegur ajar, atau disiplin, memang diperlukan. Anak remaja tidak boleh “menerima tegur ajar” jika ibu bapa tidak memberikannya. Yehuwa memberi ibu bapa (terutamanya bapa) tanggungjawab untuk mendisiplinkan anak. Walau bagaimanapun, anak remajalah yang bertanggungjawab menerima disiplin itu. Sekiranya dia mendengar nasihat ibu bapa, dia akan mempelajari banyak perkara dan menghindari banyak kesilapan. (Amsal 1:8) Bible berkata, “Orang yang tidak mahu diajar akan menjadi miskin dan hina, tetapi orang yang mengendahkan nasihat akan dihormati.”—Amsal 13:18, ABB.
17. Bagaimanakah ibu bapa boleh bersikap seimbang semasa memberikan disiplin?
17 Semasa mendisiplinkan anak remaja, ibu bapa perlu bersikap seimbang. Mereka tidak patut terlalu tegas sehingga menyakiti hati anak, dan bahkan memusnahkan keyakinan dirinya. (Kolose 3:21) Pada masa yang sama, ibu bapa tidak mahu membiarkan anak bertindak sesuka hati sehingga dia tidak menerima ajaran yang diperlukan. Sikap terlalu memanjakan anak buruk padahnya. Amsal 29:17 (ABB) berkata, “Didiklah anak-anak kamu; maka mereka akan memberi kamu ketenteraman dan kegembiraan.” Tetapi ayat seterusnya pula berkata, “Hamba yang dimanjakan sejak kecil, akhirnya akan menjadi degil.” (Amsal 29:21; nota kaki) Ibu bapa boleh menerapkan prinsip ayat ini semasa mendisiplinkan remaja mereka.
18. Disiplin membuktikan apa? Apakah yang dapat dihindari jika ibu bapa memberikan disiplin secara tetap?
18 Pada hakikatnya, disiplin membuktikan kasih ibu bapa terhadap anak mereka. (Ibrani 12:6, 11) Sebagai ibu atau bapa, anda tahu bahawa tidak mudah untuk mendisiplinkan anak secara tetap dan munasabah. Demi menjaga ketenteraman keluarga, anda mungkin membiarkan anak remaja yang keras kepala untuk menurut kemahuannya. Namun, anda harus menanggung akibatnya apabila rumah tangga anda menjadi porak-peranda.—Amsal 29:15; Galatia 6:9.
KERJA DAN RIADAH
19, 20. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu remaja mereka memilih rekreasi dengan bijak?
19 Pada zaman dahulu, anak-anak perlu membantu melakukan kerja di rumah atau di kebun. Hari ini pula, ramai remaja tidak diawasi oleh ibu bapa. Mereka ada banyak masa lapang dan memenuhinya dengan hiburan yang disajikan oleh dunia perniagaan. Untuk merumitkan lagi keadaan, dunia ini juga merendahkan taraf moral Bible.
20 Maka, ibu bapa yang bijak akan mempertahankan hak untuk membuat keputusan muktamad tentang rekreasi. Tetapi janganlah lupa bahawa remaja anda kian hari kian dewasa, dan dia ingin dilayan seperti orang dewasa. Jadi, ibu bapa patut memberinya kebebasan untuk memilih aktiviti riadah, asalkan pilihannya mencerminkan kematangan rohani. Ada masanya remaja mungkin membuat pilihan buruk dalam soal muzik, pergaulan, dan sebagainya. Pada masa itu, ibu bapa harus berbincang dengannya agar dia membuat pilihan yang lebih bijak di lain masa.
21. Mengapakah seorang remaja tidak patut menghabiskan semua masanya untuk beriadah?
21 Berapa banyakkah masa yang diperlukan untuk beriadah? Di sesetengah negara, remaja beranggapan bahawa mereka boleh menghabiskan semua masa untuk beriadah. Jadi, seorang remaja mungkin bersuka ria dari pagi hingga malam. Ibu bapa perlu mengajarnya supaya menghabiskan masa untuk perkara lain, seperti keluarganya, pembelajaran peribadi, pergaulan dengan saudara saudari rohani yang matang, perjumpaan Kristian, dan kerja di rumah. Dengan ini, keseronokan atau “kemewahan hidup” tidak akan menghalangnya daripada mengutamakan Firman Tuhan.—Lukas 8:11-15.
22. Remaja harus mengimbangkan rekreasi dengan apa?
22 Raja Salomo berkata, ‘Sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup. Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Tuhan.’ (Pengkhutbah 3:12, 13, ABB) Ya, bersukacita ialah sebahagian daripada kehidupan yang seimbang. Tetapi kerja keras juga diperlukan. Ramai remaja kini tidak sedar bahawa kerja keras mendatangkan kepuasan. Mereka juga tidak sedar bahawa menangani dan menyelesaikan masalah dapat membina keyakinan diri. Sesetengah remaja tidak berpeluang mempelajari kemahiran tertentu untuk menyara diri kelak. Maka ibu bapa sekalian, adakah anda akan memastikan bahawa anak muda anda mendapat peluang sedemikian? Jika anda berjaya mengajar remaja anda untuk menghargai dan menyukai kerja keras, dia akan memupuk pandangan sihat yang membawa manfaat seumur hidup.
REMAJA MENINGKAT DEWASA
23. Bagaimanakah ibu bapa dapat menggalakkan remaja mereka?
23 Remaja anda mungkin menimbulkan masalah, tetapi ingatlah bahawa “kasih itu abadi.” (1 Korintus 13:8, NW) Jangan berhenti menunjukkan kasih yang tersemat di hati anda. Tanyalah diri: “Adakah saya memuji setiap orang anak apabila mereka berjaya menangani masalah atau mengatasi cabaran? Adakah saya merebut setiap peluang untuk meluahkan kasih dan penghargaan saya kepada mereka?” Memang, salah faham tidak dapat dielakkan. Namun, jika anak remaja yakin akan kasih anda terhadap mereka, besar kemungkinan mereka akan membalas kasih anda.
24. Apakah prinsip Bible yang selalunya terbukti benar semasa membesarkan anak? Namun, apakah yang harus diingati?
24 Seraya anak-anak meningkat dewasa, sudah pasti mereka sendiri akan membuat keputusan yang penting. Adakala ibu bapa tidak bersetuju dengan keputusan mereka. Katakan anak mereka tidak mahu menyembah Tuhan Yehuwa lagi. Hal ini tidak menghairankan kerana anak-anak Yehuwa di syurga juga memberontak dan menolak nasihat-Nya. (Kejadian 6:2; Yudas 6) Anak anda bukanlah mesin yang boleh dikawal. Mereka mempunyai kebebasan untuk memilih, dan mereka bertanggungjawab kepada Yehuwa atas keputusan yang dibuat. Namun begitu, kata-kata Amsal 22:6 (ABB) selalunya terbukti benar: “Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian.”
25. Apakah cara terbaik untuk menunjukkan kesyukuran kepada Yehuwa atas penghormatan untuk menjadi ibu bapa?
25 Maka, curahkanlah kasih sayang terhadap anak-anak anda. Cuba sedaya upaya untuk mengikut prinsip Bible semasa membesarkan mereka. Jadilah teladan yang baik. Dengan ini, anda sedang memberi anak anda peluang terbaik untuk menjadi lelaki atau wanita yang bertanggungjawab dan yang takut akan Tuhan. Inilah cara yang terbaik untuk menunjukkan kesyukuran kepada Yehuwa atas penghormatan untuk menjadi ibu bapa.