BAB 8
Mereka Lari daripada Pemerintah Jahat
KELUARGA YESUS LARI KE MESIR
YUSUF MEMBAWA KELUARGANYA KE NASARET
Yusuf membangunkan Maria dan memberitahunya bahawa malaikat Yehuwa baru sahaja muncul dalam mimpinya dan berkata, “Cepatlah bangun dan bawa anak kecil itu dengan ibunya ke Mesir. Tinggallah di situ sehingga aku memberimu arahan selanjutnya, kerana Herodes ingin mencari anak kecil itu untuk membunuhnya.”—Matius 2:13.
Pada malam itu juga, Yusuf dan keluarganya melarikan diri ke Mesir. Mereka harus bertindak dengan cepat kerana Herodes sedar bahawa dia telah diperdaya oleh para ahli nujum itu, dan dia sangat marah. Dia ingin membunuh Yesus, maka dia mengutus orang untuk membunuh semua budak lelaki yang berusia dua tahun dan ke bawah di Betlehem dan daerah-daerah yang berdekatan. Dia berbuat demikian berdasarkan maklumat yang diberikan oleh para ahli nujum sebelum itu.
Betapa kejamnya perbuatan Herodes! Kita tidak tahu berapa banyak budak lelaki yang telah dibunuh, tetapi nubuat Yeremia tentang para ibu yang menangisi anak-anak mereka telah menjadi kenyataan.—Yeremia 31:15.
Sementara itu, Yusuf dan keluarganya telah melarikan diri ke Mesir. Kemudian malaikat Yehuwa muncul dalam mimpi Yusuf dan berkata, “Bangunlah dan bawa anak kecil itu dengan ibunya ke negeri Israel, kerana mereka yang ingin mengambil nyawa anak kecil itu sudah meninggal.” (Matius 2:20) Maka Yusuf membawa Maria dan Yesus kembali ke Israel. Dengan demikian, nubuat Bible yang menyatakan bahawa Anak Tuhan akan dipanggil keluar dari Mesir juga menjadi kenyataan.—Hosea 11:1.
Nampaknya Yusuf ingin kembali ke Betlehem di Yudea, tempat tinggal mereka sebelum mereka lari ke Mesir. Tetapi dia mendapat tahu bahawa anak Herodes yang jahat, iaitu Arkelaus, telah menggantikan bapanya sebagai raja Yudea. Tambahan lagi, dia telah mendapat amaran daripada Tuhan dalam mimpi agar tidak pergi ke situ. Maka Yusuf dan keluarganya pergi ke kawasan Galilea lalu menetap di kota Nasaret, yang terletak jauh daripada pusat ibadat orang Yahudi. Dengan demikian, nubuat Bible yang menyatakan bahawa Yesus akan dipanggil orang Nasaret juga menjadi kenyataan.—Matius 2:23.