PENJELASAN
1 YEHUWA
Nama Tuhan ialah Yehuwa. Menurut sesetengah pakar, “Yehuwa” bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Yehuwa ialah Tuhan yang maha kuasa dan pencipta segala sesuatu. Dia ada kuasa untuk melakukan apa sahaja yang diingini-Nya.
Nama Tuhan dalam bahasa Ibrani ada empat huruf, yang diterjemahkan sebagai YHWH atau JHVH. Dalam teks Ibrani asal (juga dipanggil Perjanjian Lama), nama Tuhan muncul hampir 7,000 kali. Orang dari seluruh dunia menyebut nama Yehuwa dalam cara yang berbeza-beza menurut gaya bahasa mereka.
▸ Bab 1, per. 15, nota kaki
2 BIBLE “DIILHAMI OLEH TUHAN”
Tuhan ialah Pengarang Bible, tetapi Dia menggunakan manusia untuk menulis Bible, sama seperti seorang bos yang memberitahu keraninya apa yang harus ditaip dalam sepucuk surat. Tuhan menggunakan kuasa suci-Nya untuk membimbing para penulis Bible agar mereka mencatat fikiran-Nya. Kuasa suci Tuhan membimbing mereka dalam pelbagai cara. Ada kalanya, mereka akan mencatat penglihatan atau mimpi yang dilihat mereka.
3 PRINSIP
Prinsip ialah ajaran Bible yang menjelaskan kebenaran asas. Contohnya, prinsip “pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik” mengajar kita bahawa kawan-kawan kita dapat mempengaruhi kita dalam cara yang baik atau buruk. (1 Korintus 15:33) Prinsip “seseorang akan menuai apa yang ditanamnya” pula mengajar kita bahawa kita akan menanggung akibat perbuatan sendiri.—Galatia 6:7.
4 NUBUAT
Nubuat ialah mesej daripada Tuhan untuk menjelaskan kehendak-Nya, mengajarkan atau memerintahkan sesuatu, mengumumkan penghakiman-Nya, atau menyatakan apa yang akan berlaku pada masa depan. Banyak nubuat dalam Bible sudah berlaku.
5 NUBUAT TENTANG MESIAS
Bible ada banyak nubuat tentang Mesias, dan Yesus memenuhi semua nubuat itu. Lihat kotak “Nubuat tentang Mesias.”
▸ Bab 2, per. 17, nota kaki
6 TUJUAN YEHUWA BAGI BUMI
Yehuwa menciptakan bumi sebagai firdaus supaya manusia yang mengasihi-Nya dapat tinggal di situ. Tujuan Tuhan masih sama. Tidak lama lagi, Dia akan melenyapkan kejahatan dan memberi umat-Nya kehidupan kekal.
7 SYAITAN SI IBLIS
Syaitan ialah malaikat yang mula memberontak terhadap Tuhan. Dia dipanggil Syaitan, yang bermaksud “Penentang,” kerana dia menentang Yehuwa. Dia juga dipanggil Iblis, yang bermaksud “Pemfitnah,” kerana dia memburukkan nama Tuhan dan menyesatkan orang.
8 MALAIKAT
Yehuwa menciptakan malaikat lama sebelum Dia menciptakan bumi. Malaikat dicipta untuk tinggal di syurga. Terdapat berjuta-juta malaikat di syurga. (Daniel 7:10) Semua malaikat ada nama dan sifat masing-masing. Malaikat yang setia bersikap rendah hati dan tidak mahu disembah. Malaikat ada pelbagai pangkat dan tugas, seperti berkhidmat berhampiran takhta Yehuwa, menyampaikan pesanan-Nya, membimbing dan melindungi hamba-Nya di bumi, menjalankan penghakiman-Nya, atau membantu kerja penyebaran. (Mazmur 34:7; Wahyu 14:6; 22:8, 9) Pada masa depan, mereka akan berjuang bersama Yesus dalam perang Armagedon.—Wahyu 16:14, 16; 19:14, 15.
9 DOSA
Dosa ialah apa sahaja fikiran, perasaan, atau perbuatan, yang berlawanan dengan kehendak Yehuwa. Dosa merosakkan hubungan kita dengan Tuhan, jadi Dia memberi kita hukum dan prinsip supaya kita tidak sengaja berdosa. Pada mulanya, semua ciptaan Yehuwa sempurna, tetapi apabila Adam dan Hawa sengaja melanggar perintah Yehuwa, mereka berdosa dan tidak sempurna lagi. Mereka akhirnya menjadi tua dan mati. Kita mewarisi dosa Adam, maka kita pun akan menjadi tua dan mati.
10 ARMAGEDON
Perang Tuhan untuk memusnahkan dunia Syaitan dan semua kejahatan.
11 KERAJAAN TUHAN
Kerajaan Tuhan ialah pemerintahan di syurga yang ditubuhkan oleh Yehuwa. Yesus Kristus ialah Raja Kerajaan itu. Pada masa depan, Yehuwa akan menggunakan Kerajaan itu untuk melenyapkan semua kejahatan. Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi.
12 YESUS KRISTUS
Tuhan menciptakan Yesus sebelum menciptakan semua benda dan makhluk yang lain. Yehuwa mengutus Yesus ke bumi untuk mati demi manusia. Selepas Yesus dibunuh, Yehuwa membangkitkannya. Sekarang Yesus memerintah di syurga sebagai Raja Kerajaan Tuhan.
13 NUBUAT TENTANG 70 MINGGU
Awal-awal lagi, Bible sudah mengatakan bahawa Mesias akan muncul selepas suatu tempoh masa yang dipanggil 69 minggu. Tempoh itu bermula pada tahun 455 SM dan berakhir pada tahun 29 M.
Bagaimanakah kita mengiranya? Pada tahun 455 SM, ketika Nehemia tiba di Yerusalem dan mula membina semula kota itu, 69 minggu itu bermula. (Daniel 9:25; Nehemia 2:1, 5-8) Satu minggu ada tujuh hari, tetapi dalam nubuat ini, “hari” yang dimaksudkan bukan hari yang panjangnya 24 jam. Sebaliknya, setiap “hari” ialah satu tahun, seperti yang dinyatakan dalam Bible. (Bilangan 14:34; Yehezkiel 4:6) Maksudnya, panjang setiap minggu ialah 7 tahun, dan 69 minggu bersamaan dengan 483 tahun (69 x 7). Jika kita mengira 483 tahun dari tahun 455 SM, kita akan sampai pada tahun 29 M. Pada tahun itulah Yesus dibaptis dan menjadi Mesias!—Lukas 3:1, 2, 21, 22.
Dalam nubuat yang sama, terdapat satu minggu, atau tujuh tahun lagi. Dalam tujuh tahun itu, pada tahun 33 M, Mesias akan dibunuh, dan mulai tahun 36 M, berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan kepada semua bangsa, dan bukan kepada orang Yahudi sahaja.—Daniel 9:24-27.
14 TRITUNGGAL—AJARAN YANG SALAH
Bible berkata bahawa Tuhan Yehuwa ialah Pencipta, dan Dia menciptakan Yesus sebelum menciptakan semua benda atau makhluk yang lain. (Kolose 1:15, 16) Yesus bukan Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia tidak pernah berkata bahawa kedudukannya sama dengan Tuhan. Sebaliknya dia berkata, “Bapa lebih besar daripada aku.” (Yohanes 14:28; 1 Korintus 15:28) Tetapi sesetengah agama mengajar orang tentang Tritunggal, iaitu Bapa, Anak, dan Roh Tuhan, ialah satu. Perkataan “Tritunggal” tiada dalam Bible dan merupakan ajaran yang salah.
Roh Tuhan, atau roh kudus, ialah kuasa suci Tuhan, yang digunakan-Nya untuk melakukan kehendak-Nya. Kuasa itu bukan satu individu atau peribadi. Contohnya, orang Kristian dahulu “dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan,” dan Yehuwa berkata, “Aku akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang.”—Kisah 2:1-4, 17.
15 SALIB
Mengapakah orang Kristian sejati tidak menggunakan salib untuk menyembah Tuhan?
Salib digunakan dalam agama palsu sejak dulu lagi. Pada zaman lampau, salib digunakan untuk menyembah alam semula jadi dan untuk upacara seks agama kafir. Selama 300 tahun selepas kematian Yesus, orang Kristian tidak menggunakan salib untuk bersembahyang. Lama kemudian, barulah Konstantin, seorang maharaja Roma, menjadikan salib sebagai lambang agama Kristian supaya agama itu lebih popular. Sebenarnya salib langsung tidak berkaitan dengan Yesus Kristus. New Catholic Encyclopedia menjelaskan, “Salib digunakan dalam budaya orang pra-Kristian dan orang bukan Kristian.”
Yesus tidak mati pada salib. Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “salib” bermaksud “sebatang tiang,” “sebatang kayu,” atau “sebatang pokok.” The Companion Bible menjelaskan, “Tiada apa-apa dalam [Perjanjian Baharu] bahasa Yunani yang memberikan gambaran dua batang kayu.” Yesus mati pada sebatang tiang.
Yehuwa tidak mahu kita menggunakan gambar atau lambang untuk beribadat.—Keluaran 20:4, 5; 1 Korintus 10:14.
16 PERINGATAN KEMATIAN YESUS
Yesus menyuruh murid-muridnya menyambut Peringatan kematiannya. Mereka menyambut Peringatan setiap tahun pada 14 Nisan, iaitu pada tarikh orang Israel menyambut Perayaan Paska. Roti dan wain, yang melambangkan tubuh dan darah Yesus, diedarkan kepada semua orang yang hadir. Orang yang akan menjadi raja bersama Yesus di syurga akan makan roti dan minum wain itu. Orang yang berpeluang hidup selama-lamanya di bumi pula akan menghadiri Peringatan dengan penuh hormat, tetapi mereka tidak akan makan roti atau minum wain itu.
17 JIWA
Perkataan Ibrani dan Yunani yang diterjemahkan sebagai “jiwa” dapat bermaksud (1) orang, (2) binatang, atau (3) nyawa orang atau binatang. Lihat contoh-contoh berikut:
Orang. ‘Pada zaman Nuh, beberapa orang, iaitu lapan orang [“jiwa,” nota kaki], selamat mengharungi air bah.’ (1 Petrus 3:20) Lapan “jiwa” itu merujuk kepada Nuh dan isterinya serta tiga anak lelaki mereka dan isteri-isteri mereka.
Binatang. “Tuhan berfirman, ‘Hendaklah air dipenuhi dengan makhluk [“jiwa,” nota kaki] hidup, dan hendaklah makhluk terbang berterbangan di atas bumi melintasi langit.’”—Kejadian 1:20.
Nyawa orang atau binatang. Yehuwa berkata, “Nyawa [“Jiwa,” nota kaki] setiap orang ialah milik-Ku.” (Yehezkiel 18:4) Nabi Yesaya menubuatkan bahawa Kristus akan “menyerahkan nyawanya [“jiwanya,” nota kaki].”—Yesaya 53:12.
Selain itu, apabila seseorang melakukan sesuatu dengan “segenap jiwa,” maksudnya dia rela melakukan hal itu dengan sedaya upaya. (Matius 22:37; Ulangan 6:5) Perkataan “jiwa” juga boleh merujuk kepada keinginan atau selera makhluk hidup, dan ada kalanya merujuk kepada mayat atau bangkai.—Bilangan 6:6; Amsal 16:26; Hagai 2:13.
▸ Bab 6, per. 5, nota kaki; Bab 15, per. 17
18 ROH
Perkataan Ibrani dan Yunani yang diterjemahkan sebagai “roh” ada beberapa maksud, tetapi semuanya merujuk kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh manusia, seperti angin atau nafas manusia dan haiwan. Perkataan itu boleh merujuk kepada makhluk roh dan juga kepada kuasa suci, yang sering dipanggil roh Tuhan. Bible tidak mengajarkan bahawa orang mati ada roh.—Keluaran 35:21; Mazmur 104:29; Matius 12:43; Lukas 11:13.
▸ Bab 6, per. 5, nota kaki; Bab 15, per. 17
19 GEHENA
Gehena ialah nama sebuah lembah berdekatan Yerusalem. Tempat itu digunakan untuk membakar sampah. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa manusia atau binatang diseksa atau dibakar hidup-hidup di situ pada zaman Yesus. Maka Gehena bukanlah tempat roh orang mati diseksa dan dibakar selama-lamanya. Semasa Yesus bercakap tentang orang yang dibuang dalam Gehena, dia bermaksud mereka akan dimusnahkan dengan sepenuhnya.—Matius 5:22; 10:28.
20 DOA BAPA KAMI
Inilah doa yang diucapkan Yesus semasa dia mengajar murid-muridnya cara berdoa. Yesus mengajar kita berdoa:
“Semoga nama-Mu disucikan”
Kita berdoa agar Yehuwa membersihkan nama-Nya daripada segala fitnah. Dengan itu, semua yang di syurga dan di bumi akan menghormati dan memuji nama Tuhan.
“Datanglah Kerajaan-Mu”
Kita berdoa agar Kerajaan Tuhan memusnahkan dunia jahat Syaitan, memerintah bumi, dan menjadikan bumi ini firdaus.
“Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi”
Kita berdoa agar kehendak Tuhan berlaku di bumi. Dengan itu, manusia yang taat dan sempurna dapat hidup kekal di Firdaus. Itulah kehendak Yehuwa semasa Dia menciptakan manusia.
21 TEBUSAN
Yehuwa memberikan tebusan untuk menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian. Tebusan perlu dibayar untuk membeli semula nyawa sempurna yang dihilangkan Adam, manusia yang pertama, dan untuk membaiki hubungan antara manusia dengan Yehuwa. Tuhan mengutus Yesus ke bumi untuk mati bagi semua pendosa. Kematian Yesus memberi semua manusia peluang untuk hidup kekal dan menjadi sempurna.
22 MENGAPAKAH TAHUN 1914 BEGITU PENTING?
Nubuat dalam Daniel bab 4 mengajar kita bahawa Tuhan mendirikan Kerajaan-Nya pada tahun 1914.
Nubuat itu: Yehuwa memberi Raja Nebukadnezar satu mimpi tentang masa depan. Dalam mimpi itu, sebatang pokok besar telah ditebang, dan gelang besi dan tembaga dipasang pada tunggulnya supaya pokok itu tidak dapat tumbuh selama “tujuh waktu.” Selepas itu, pokok tersebut akan tumbuh lagi.—Daniel 4:1, 10-16.
Makna nubuat itu bagi kita: Pokok itu melambangkan pemerintahan Tuhan. Selama ratusan tahun, Yehuwa menggunakan raja-raja di Yerusalem untuk memerintah orang Israel. (1 Tawarikh 29:23) Tetapi mereka kemudiannya tidak setia dan tidak dibenarkan memerintah lagi. Yerusalem dibinasakan pada tahun 607 SM. Peristiwa itu menandakan permulaan “tujuh waktu.” (2 Raja-Raja 25:1, 8-10; Yehezkiel 21:25-27) Semasa Yesus berkata, “Yerusalem akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa lain sehingga waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain genap,” dia sedang bercakap tentang “tujuh waktu” itu. (Lukas 21:24) Maksudnya, “tujuh waktu” itu belum berakhir semasa Yesus berada di bumi. Yehuwa berjanji untuk melantik seorang Raja apabila “tujuh waktu” itu berakhir. Semasa pemerintahan Raja baharu itu, iaitu Yesus, umat Tuhan di seluruh bumi akan menikmati berkat yang besar untuk selama-lamanya.—Lukas 1:30-33.
Panjang “tujuh waktu” itu: Panjang “tujuh waktu” itu ialah 2,520 tahun. Jika kita mengira 2,520 tahun dari tahun 607 SM, kita akan sampai pada tahun 1914. Pada tahun itulah Yehuwa melantik Yesus Kristus sebagai Raja Kerajaan Tuhan di syurga.
Bagaimanakah kita mendapat angka 2,520? Bible mengatakan bahawa tiga waktu setengah bersamaan dengan 1,260 hari. (Wahyu 12:6, 14) Jadi, “tujuh waktu” ialah dua kali ganda 1,260 hari, iaitu 2,520 hari. Namun, dalam nubuat Bible, kita perlu mengira “satu hari untuk satu tahun.” Maka, 2,520 hari itu ialah 2,520 tahun.—Yehezkiel 4:6; Bilangan 14:34.
23 MIKHAEL, KETUA MALAIKAT
Dalam seluruh Bible, hanya satu ketua malaikat disebut. Namanya ialah Mikhael.—Daniel 12:1; Yudas 9.
Mikhael ialah Pemimpin angkatan tentera Tuhan yang terdiri daripada malaikat-malaikat yang setia. Wahyu 12:7 berkata, “Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu . . . dan malaikat-malaikatnya.” Buku Wahyu menyatakan bahawa Yesus ialah Pemimpin angkatan tentera Tuhan. Jadi, Mikhael ialah nama lain bagi Yesus.—Wahyu 19:14-16.
▸ Bab 9, per. 4, nota kaki
24 HARI-HARI TERAKHIR
Ungkapan ini merujuk kepada waktu sejurus sebelum Kerajaan Tuhan memusnahkan dunia Syaitan. Sepanjang waktu itu, hal-hal besar akan berlaku di bumi. Dalam nubuat Bible, waktu itu juga digambarkan dengan beberapa ungkapan yang lain, seperti “penghujung sistem ini” dan “kehadiran Anak Manusia.” (Matius 24:3, 27, 37) “Hari-hari terakhir” bermula semasa Kerajaan Tuhan memerintah di syurga pada tahun 1914 dan akan berakhir semasa dunia Syaitan dimusnahkan di Armagedon.—2 Timotius 3:1; 2 Petrus 3:3.
25 PEMBANGKITAN
Semasa Tuhan menghidupkan semula orang mati, peristiwa itu dipanggil pembangkitan. Terdapat sembilan pembangkitan dalam catatan Bible. Elia, Elisa, Yesus, Petrus, dan Paulus pernah membangkitkan orang mati. Mukjizat ini hanya dapat berlaku dengan adanya kuasa Tuhan. Yehuwa berjanji untuk membangkitkan “orang yang baik dan orang yang tidak baik” supaya mereka dapat hidup di bumi. (Kisah 24:15) Bible juga berkata bahawa sebilangan orang yang dipilih, atau diurapi, oleh Tuhan, akan dibangkitkan ke syurga dan hidup bersama Yesus.—Yohanes 5:28, 29; 11:25; Filipi 3:11; Wahyu 20:5, 6.
26 ILMU SIHIR (SPIRITISME)
Ilmu sihir atau spiritisme ialah usaha untuk menghubungi roh, sama ada secara langsung atau melalui bomoh, dukun, atau orang yang ada kuasa ghaib. Orang yang mengikut perbuatan salah ini percaya bahawa orang mati akan menjadi roh atau hantu yang berkuasa, padahal kepercayaan itu tidak benar. Roh-roh jahat cuba membuat manusia melanggar perintah Tuhan. Astrologi, ilmu ramal, tilik nasib, ilmu ghaib, jampi, dan kepercayaan karut, juga termasuk dalam spiritisme. Hari ini, terdapat buku, majalah, horoskop, wayang, muzik, dan poster yang membuat ilmu sihir, roh jahat, atau kuasa ghaib kelihatan menarik dan tidak berbahaya. Banyak upacara pengebumian juga berkaitan dengan roh-roh jahat, seperti perbuatan mengira hari untuk berkabung, menjaga mayat, menyediakan makanan untuk orang mati, dan pantang larang lain. Orang yang ingin menggunakan kuasa roh-roh jahat sering mengambil dadah.—Galatia 5:20; Wahyu 21:8.
27 KEDAULATAN YEHUWA
Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa, dan Dialah yang menciptakan seluruh alam semesta. (Wahyu 15:3) Itulah sebabnya Dia memiliki segala-galanya dan berhak sepenuhnya untuk memerintah ciptaan-Nya. (Mazmur 24:1; Yesaya 40:21-23; Wahyu 4:11) Yehuwa menetapkan hukum bagi semua ciptaan-Nya, dan Dia berhak untuk melantik pemerintah-pemerintah lain. Jika kita mengasihi Tuhan dan mematuhi-Nya, kita sedang menyokong kedaulatan-Nya, atau hak-Nya untuk memerintah.—1 Tawarikh 29:11.
28 PENGGUGURAN ANAK
Pengguguran anak ialah perbuatan yang sengaja dilakukan untuk membunuh anak yang belum lahir. Pengguguran anak bukanlah kemalangan dan tidak berlaku secara semula jadi. Seorang anak terhasil apabila seorang ibu menjadi hamil, iaitu sebaik sahaja persenyawaan berlaku. Anak itu bukan sahaja sebahagian daripada badan ibunya, tetapi juga seorang manusia yang ada nyawa sendiri.
29 TRANSFUSI DARAH
Transfusi darah ialah kaedah perubatan untuk memasukkan darah atau salah satu daripada empat bahagian utama darah ke dalam tubuh. Darah itu mungkin disalurkan daripada orang lain, atau diambil daripada darah sendiri yang telah disimpan. Empat bahagian utama darah ialah plasma, sel darah merah, sel darah putih, dan platelet.
30 DISIPLIN
Perkataan “disiplin” dalam Bible bukan hanya bermaksud hukuman. Disiplin merangkumi ajaran, didikan, dan pembetulan. Yehuwa tidak mendisiplinkan orang dengan kejam. (Amsal 4:1, 2) Yehuwa memberikan teladan yang sangat bagus kepada ibu bapa. Cara Dia memberikan disiplin sangat berkesan sehingga orang yang didisiplinkan dapat mencintai disiplin. (Amsal 12:1, nota kaki) Yehuwa mengasihi umat-Nya, dan Dia melatih mereka. Ajaran-Nya membantu mereka membetulkan fikiran yang salah, serta berfikir dan bertindak dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Semasa memberikan disiplin, ibu bapa perlu menjelaskan sebabnya anak-anak harus patuh. Mereka juga perlu mengajar anak-anak untuk mengasihi Yehuwa, mencintai Bible, dan memahami prinsip Bible.
31 ROH-ROH JAHAT
Roh-roh jahat tidak dapat dilihat manusia dan sangat kuat. Dahulu mereka ialah malaikat baik, tetapi mereka melanggar perintah Tuhan lalu menjadi musuh-Nya. (Kejadian 6:2; Yudas 6) Mereka mengikut Syaitan dan memberontak terhadap Yehuwa.—Ulangan 32:17; Lukas 8:30; Kisah 16:16; Yakobus 2:19.