BAB 130
Yesus Dihukum Mati
MATIUS 27:31, 32 MARKUS 15:20, 21 LUKAS 23:24-31 YOHANES 19:6-17
PILATUS MENCUBA MEMBEBASKAN YESUS
YESUS DIJATUHKAN HUKUMAN MATI
Apabila para ketua imam dan orang ramai nampak keadaan Yesus yang luka dan berdarah, mereka masih mahu membunuhnya. Mereka menjerit, “Bunuhlah dia pada tiang! Bunuhlah dia pada tiang!” Pilatus berkata, “Kamu sendirilah yang membawanya untuk dihukum bunuh, kerana aku tidak dapat mencari kesalahannya.”—Yohanes 19:6.
Orang Yahudi gagal meyakinkan Pilatus bahawa Yesus patut dibunuh atas kesalahan politik. Jadi seperti yang telah berlaku semasa perbicaraan Yesus di depan Majlis Orang Yahudi, mereka mendakwa bahawa Yesus telah menghina Tuhan. Mereka berkata, “Kami mempunyai hukum, dan menurut hukum kami, dia harus mati kerana dia mengaku dirinya sebagai anak Tuhan.” (Yohanes 19:7) Inilah kali pertama Pilatus mendengar tentang tuduhan itu.
Pilatus mengasihani Yesus yang telah didera. Lagipun isterinya telah bermimpi tentang Yesus, maka dia mencuba mencari jalan untuk membebaskan Yesus. (Matius 27:19) Tetapi sekarang orang Yahudi mendakwa bahawa Yesus mengaku dirinya sebagai “anak Tuhan.” Jadi biarpun Pilatus tahu bahawa Yesus berasal dari Galilea, dia masih bertanya kepada Yesus, “Kamu berasal dari mana?” (Yohanes 19:9; Lukas 23:5-7) Barangkali Pilatus tertanya-tanya sama ada Yesus pernah hidup di syurga atau sama ada dia ialah tuhan.
Sebelum ini, Yesus sudah memberitahu Pilatus bahawa dia ialah seorang raja, tetapi Kerajaannya bukan sebahagian daripada dunia ini. Maka sekarang dia tidak menjawab Pilatus. Pilatus pun naik marah dan berkata kepadanya, “Adakah kamu tidak mahu bercakap kepada aku? Tidakkah kamu tahu bahawa aku berkuasa untuk membebaskan kamu atau menghukum bunuh kamu?”—Yohanes 19:10.
Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diriku kecuali Tuhan memberikan kuasa itu kepadamu. Itulah sebabnya orang yang menyerahkan aku kepadamu menanggung dosa yang lebih besar.” (Yohanes 19:11) Maksudnya ialah bahawa Kayafas, para penyokongnya, dan Yudas Iskariot, menanggung dosa yang lebih besar daripada Pilatus.
Pilatus kagum dengan sikap dan kata-kata Yesus, dan dia takut jika Yesus betul-betul ialah tuhan yang datang dari syurga. Jadi sekali lagi dia mencuba membebaskan Yesus. Tetapi orang Yahudi mengugut Pilatus dengan berkata, “Jika tuan membebaskan lelaki ini, tuan bukanlah sahabat Kaisar. Setiap orang yang menjadikan dirinya raja sedang menentang Kaisar.”—Yohanes 19:12.
Pilatus membawa Yesus keluar sekali lagi, lalu dia duduk di tempat pengadilan dan berkata kepada orang ramai, “Lihatlah! Raja kamu!” Mereka menjerit lagi, “Bunuhlah dia! Bunuhlah dia! Bunuhlah dia pada tiang!” Pilatus bertanya, “Patutkah aku menghukum bunuh raja kamu?” Biarpun orang Yahudi sudah lama membenci kerajaan Roma, para ketua imam masih menjawab, “Kami tidak mempunyai raja lain kecuali Kaisar.”—Yohanes 19:14, 15.
Pilatus takut dan mengalah kepada mereka, jadi dia menyerahkan Yesus kepada mereka untuk dihukum mati. Askar-askar menanggalkan jubah ungu Yesus dan mengenakan jubah luarnya. Kemudian Yesus dibawa pergi dari situ dan dipaksa memikul tiang seksaannya.
Sekarang ialah lewat pagi hari Jumaat, 14 Nisan. Yesus tidak tidur sejak awal pagi hari Khamis, dan dia telah mengalami pelbagai penderitaan. Maka dia tidak mampu memikul tiang seksaannya. Askar-askar pun memaksa seorang lelaki, iaitu Simon, yang berasal dari Kirene di Afrika, untuk mengangkat tiang itu ke tempat Yesus akan dihukum bunuh. Ramai orang mengikut mereka dari belakang, dan ada yang meratapi Yesus dan asyik memukul dada kerana sedih.
Yesus berkata kepada wanita yang meratapinya, “Hai wanita-wanita Yerusalem, janganlah menangis untuk aku. Sebaliknya, tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu, kerana akan tiba masanya apabila orang berkata, ‘Alangkah bahagianya wanita yang mandul dan wanita yang tidak pernah melahirkan dan menyusui anak!’ Pada masa itu, orang akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’ Jika mereka berbuat demikian semasa pokok masih hijau, apakah yang akan berlaku apabila pokok itu layu?”—Lukas 23:28-31.
Yesus menggambarkan bangsa Yahudi sebagai pokok hijau yang akan layu. Bangsa itu dikatakan masih hijau kerana Yesus dan sebilangan kecil orang Yahudi yang beriman kepadanya masih berada dalam kalangan mereka. Tetapi selepas Yesus mati dan pengikutnya meninggalkan agama Yahudi, bangsa itu akan layu, atau mati secara rohani. Pada waktu itu, akan kedengaran suara tangisan yang kuat apabila tentera Roma melaksanakan penghakiman Tuhan dan memusnahkan bangsa itu.