Jadilah Hamba yang Dapat Dipercayai!
“Diri kamu bukanlah milik kamu.”—1 KOR. 6:19.
1. Apakah pandangan kebanyakan orang tentang perhambaan?
KIRA-KIRA 2,500 tahun lalu, seorang penulis drama Yunani menulis, “Tiada sesiapa yang sudi dibelenggu sebagai hamba.” Ramai kini setuju dengan kata-katanya. Perhambaan sering dikaitkan dengan orang yang ditindas dan terpaksa membanting tulang demi keuntungan orang yang menguasai mereka.
2, 3. (a) Apakah pandangan Kristus terhadap hamba-hambanya? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan mengenai hamba Tuhan?
2 Namun, Yesus menyatakan bahawa murid-muridnya akan menjadi hamba. Tetapi mereka bukanlah hamba yang dipandang hina atau ditindas. Sebaliknya, mereka dihormati dan dipercayai. Misalnya, tidak lama sebelum Yesus dibunuh, dia mengatakan bahawa dia akan mengamanahkan pelbagai tugas kepada seorang ‘hamba yang setia dan bijaksana.’—Mat. 24:45-47.
3 Dalam buku Lukas, hamba itu dikenali sebagai ‘pengurus rumah tangga.’ (Baca Lukas 12:42-44.) Dewasa ini, meskipun kebanyakan orang Kristian tidak menganggotai golongan hamba yang setia, Bible menunjukkan bahawa semua penyembah Tuhan juga mempunyai kewajipan sebagai hamba-Nya. Apakah kewajipan itu? Bagaimanakah kita patut memandangnya? Untuk mengetahui jawapannya, kita akan mengkaji peranan hamba pada zaman lampau.
PERANAN SEORANG HAMBA
4, 5. Apakah tanggungjawab yang dipikul oleh pengurus rumah tangga? Berikan contoh.
4 Pada zaman kuno, seorang hamba yang dipercayai dilantik sebagai pengurus rumah tangga. Hamba sebegini diberi kuasa yang agak besar. Dia bertanggungjawab atas rumah tangga atau perniagaan tuannya, dan menjaga harta benda, wang, serta hamba-hamba lain. Eliezer merupakan satu contoh yang baik. Dia dilantik untuk menjaga semua harta Abraham. Kemudiannya Abraham mungkin mengutusnya ke Mesopotamia untuk mencarikan Ishak seorang isteri. Tugasnya memang penting dan membawa kesan yang mendalam!—Kej. 13:2; 15:2; 24:2-4.
5 Yusuf, iaitu cicit Abraham, telah menjadi pengurus rumah tangga Potifar. (Kej. 39:1, 2, 4) Kemudian, Yusuf juga mempunyai seorang hamba yang berkhidmat sebagai pengurus rumah tangganya. Hamba itu telah menyambut sepuluh orang saudara Yusuf. Di bawah arahan Yusuf, hamba itu telah mengaturkan supaya cawan perak Yusuf “dicuri” oleh saudara-saudaranya. Jelaslah bahawa pengurus rumah tangga merupakan orang yang dipercayai.—Kej. 43:19-25; 44:1-12.
6. Apakah tugas yang diberikan kepada penatua-penatua Kristian?
6 Kira-kira 1,800 tahun kemudian, rasul Paulus menulis bahawa para penyelia Kristian ialah hamba yang ‘bertugas mengurus pekerjaan Tuhan.’ (Tit. 1:7) Mereka dilantik sebagai gembala untuk membimbing kawanan domba dan mengambil pimpinan dalam ‘jemaah yang diberikan oleh Tuhan.’ (1 Ptr. 5:1, 2) Dewasa ini, kebanyakan penyelia Kristian berkhidmat dalam satu sidang. Penyelia lawatan berkhidmat untuk banyak sidang. Ahli Jawatankuasa Cawangan pula menjaga semua sidang di seluruh negara. Walaupun tugas mereka berbeza-beza, semua perlu melaksanakan tugas masing-masing dengan setia, kerana mereka ‘bertanggungjawab kepada Tuhan.’—Ibr. 13:17.
7. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa semua orang Kristian ialah pengurus?
7 Bagaimana pula dengan orang Kristian yang bukan penatua? Surat rasul Petrus kepada semua orang Kristian menyatakan, ‘Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Tuhan. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Tuhan, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang.’ (1 Ptr. 1:1; 4:10, ABB) Atas rahmat Tuhan, kita menerima pelbagai kurnia, harta, kebolehan, atau bakat yang boleh digunakan untuk faedah rakan seiman. Maka, semua penyembah Yehuwa ialah pengurus yang dihormati, dipercayai, dan berperanan penting.
KITA MILIK TUHAN
8. Apakah satu prinsip penting yang harus kita ingat?
8 Sebagai pengurus yang berkhidmat kepada Tuhan, kita akan membincangkan tiga prinsip. Pertama: Kita semua milik Tuhan dan bertanggungjawab kepada-Nya. Paulus menulis, ‘Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Tuhan. Kamu sudah dibeli oleh Tuhan’ dengan darah Kristus. (1 Kor. 6:19, 20) Oleh sebab kita milik Yehuwa, kita wajib mematuhi perintah-Nya. (Rm. 14:8; 1 Yoh. 5:3) Kita juga menjadi hamba Kristus. Seperti pengurus rumah tangga zaman dahulu, kita diberi banyak kebebasan, tetapi kebebasan kita ada hadnya. Tidak kira apa bentuk khidmat kita, kita masih hamba Tuhan dan Kristus. Oleh itu, kita perlu menjalankan tugas seperti yang diarahkan.
9. Bagaimanakah Yesus menjelaskan hubungan antara seorang hamba dengan tuannya?
9 Yesus membantu kita memahami hubungan antara tuan dan hamba. Dia memberitahu pengikutnya tentang seorang hamba yang pulang ke rumah setelah bekerja sehari suntuk. Adakah tuannya berkata, ‘Marilah dan makan’? Tidak. Dia berkata, “Siapkanlah makananku. Kenakan pakaian yang bersih dan layanilah aku sementara aku makan dan minum, setelah itu barulah kamu makan.” Apakah kesimpulannya? Yesus berkata, ‘Demikian juga, apabila kamu sudah melakukan segala yang diperintahkan, berkatalah, “Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan.”’—Luk. 17:7-10, ABB.
10. Adakah Yehuwa menghargai usaha kita untuk berkhidmat kepada-Nya? Jelaskan.
10 Sudah pasti, Yehuwa menghargai usaha kita untuk berkhidmat kepada-Nya. Bible menjamin, ‘Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya.’ (Ibr. 6:10) Yehuwa tidak meminta sesuatu yang mustahil. Lagipun, perintah-Nya adalah untuk kebaikan kita dan tidak bertujuan membebankan kita. Namun, seperti dalam cerita ibarat Yesus, seorang hamba tidak mengutamakan kesenangan diri. Begitu juga, semasa membaktikan diri kepada Tuhan, bukankah kita telah memilih untuk mengutamakan kehendak-Nya?
APA YANG DIKEHENDAKI YEHUWA DARIPADA KITA SEMUA
11, 12. Sebagai hamba Tuhan, apakah sifat yang mesti kita tunjukkan? Apakah hal-hal yang mesti kita jauhi?
11 Prinsip yang kedua ialah: Sebagai hamba Tuhan, kita mematuhi piawaian yang sama. Walaupun segelintir orang dalam sidang yang diberi tugas tertentu, terdapat banyak tanggungjawab yang dipikul semua. Misalnya, sebagai pengikut Kristus dan Saksi-Saksi Yehuwa, kita mesti saling mengasihi. Yesus berkata bahawa itulah tanda orang Kristian sejati. (Yoh. 13:35) Namun, kasih kita tidak terhad kepada persaudaraan kita sahaja. Kita semua boleh dan patut menunjukkan kasih kepada mereka yang tidak seiman.
12 Kita juga perlu berkelakuan baik. Kita mengelakkan tingkah laku dan cara hidup yang dikutuk dalam Firman Tuhan. Paulus menulis, ‘Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit, atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak—semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (1 Kor. 6:9, 10, ABB) Walaupun kita perlu berusaha untuk mematuhi piawaian Tuhan yang adil benar, usaha kita berbaloi. Kita menikmati kesihatan yang baik serta hubungan baik dengan orang lain. Kita juga mendapat perkenan Tuhan.—Baca Yesaya 48:17, 18.
13, 14. Apakah tanggungjawab yang diberikan kepada semua orang Kristian? Bagaimanakah kita patut memandangnya?
13 Tuhan telah memberi kita kurniaan yang berharga—pengetahuan tentang kebenaran. Sebagai hamba, kita wajib memberitahu orang lain tentang pengetahuan itu. (Mat. 28:19, 20) Paulus menulis, “Biarlah orang menganggap kami sebagai orang bawahan Kristus dan pengurus rahsia suci Tuhan.” (1 Kor. 4:1, NW) Paulus sedar bahawa dia ialah hamba yang perlu menjaga rahsia suci Tuhan dan memberitahu orang lain tentangnya, seperti yang diarahkan oleh Tuannya, Yesus Kristus.—1 Kor. 9:16.
14 Jika kita mengasihi orang, kita akan memberitahu mereka tentang kebenaran. Yehuwa tahu bahawa keadaan setiap orang berbeza, dan apa yang mampu dilakukan oleh setiap orang dalam aktiviti penyebaran juga berbeza. Yang penting, kita harus berusaha dengan sedaya upaya. Dengan ini, kita dapat menunjukkan kasih dan sikap rela berkorban terhadap Tuhan dan orang lain.
KITA MESTI SETIA
15-17. (a) Mengapakah seorang hamba mesti setia? (b) Bagaimanakah Yesus menggambarkan kesudahan orang yang tidak setia?
15 Prinsip ketiga berkait rapat dengan dua prinsip tadi: Kita mesti setia dan dapat dipercayai. Seorang hamba yang mahir tidak berguna jika dia tidak bertanggungjawab atau tidak setia kepada tuannya. Jika seorang hamba ingin menjadi cekap dan berjaya, dia mesti setia. Paulus menulis, ‘Inilah sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang hamba: Dia harus setia kepada tuannya.’—1 Kor. 4:2.
16 Jika kita setia, kita pasti diberkati. Jika kita tidak setia, kita akan rugi. Prinsip ini ditonjolkan dalam cerita ibarat Yesus tentang seorang tuan yang memberi para hambanya wang emas. Hamba-hamba yang menggunakan wang itu untuk “berniaga” dipuji dan diberkati kerana setia. Hamba yang lalai pula digelar hamba yang “jahat,” “malas,” dan “tidak berguna.” Wang yang diterimanya diambil balik, dan dia dibuang keluar.—Baca Matius 25:14-18, 23, 26, 28-30.
17 Dalam perumpamaan yang lain, Yesus menunjukkan kesudahan hamba yang tidak setia. “Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang majikannya. Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, ‘Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.’” (Luk. 16:1, 2, ABB) Pengurus yang memboroskan harta tuannya telah dibuang kerja! Cerita Yesus mengajar kita bahawa kita mesti sentiasa melakukan tugas dengan setia.
MEMBANDINGKAN DIRI—BIJAK ATAU TIDAK?
18. Mengapakah kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain?
18 Kita masing-masing boleh bertanya, “Apakah pandangan saya terhadap tugas sendiri?” Masalah akan timbul jika kita membandingkan diri dengan orang lain. Bible menasihati kita, “Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain.” (Gal. 6:4, ABB) Daripada membandingkan diri dengan orang lain, lebih baik kita bertumpu pada perkara yang mampu kita lakukan. Dengan ini kita akan menjauhi sikap sombong, dan tidak akan berasa tawar hati. Semasa menilai diri, kita perlu sedar bahawa keadaan seseorang boleh berubah. Kesihatan, usia, atau tanggungjawab lain mungkin mengurangkan penglibatan kita dalam aktiviti rohani. Namun, jika kita dapat menggandakan usaha dalam kerja Tuhan, janganlah teragak-agak untuk berbuat demikian.
19. Jika kita tidak diberi peluang istimewa tertentu, mengapakah kita tidak patut tawar hati?
19 Bagaimana pula dengan tanggungjawab yang kita inginkan? Misalnya, seorang saudara mungkin berhasrat untuk menjadi penatua, atau diberi tugasan di perhimpunan dan konvensyen. Kita patut berusaha supaya layak memikul tanggungjawab sebegini. Namun, usahlah kecil hati jika hasrat kita tidak kesampaian. Atas sebab tertentu, peluang yang kita inginkan mungkin terbuka pada masa hadapan dan bukannya sekarang. Musa berasa bahawa dia bersedia memimpin orang Israel keluar dari Mesir, tetapi dia perlu menunggu selama 40 tahun. Dia mempunyai masa yang secukupnya untuk memupuk sifat-sifat yang diperlukan bagi memimpin umat yang keras kepala dan suka melawan.—Kis. 7:22-25, 30-34.
20. Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Yonatan?
20 Kadangkala, kita tidak akan diberikan peluang tertentu. Hal ini telah berlaku kepada Yonatan. Sebagai putera Saul, dia ialah pewaris takhta bangsa Israel. Namun, Tuhan memilih Daud yang jauh lebih muda sebagai raja. Apakah reaksi Yonatan? Dia menerima keputusan Tuhan dan sanggup membahayakan dirinya untuk menyokong Daud. Dia berkata, ‘Engkau akan menjadi raja Israel dan aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.’ (1 Sam. 23:17) Yonatan akur dengan situasinya. Dia tidak iri hati dengan Daud seperti bapanya. Janganlah kita berasa cemburu terhadap tugas orang lain. Sebaliknya, kita patut bertumpu pada tugas sendiri. Dalam dunia baru nanti, Yehuwa pasti akan memenuhi semua keinginan yang wajar.
21. Bagaimanakah kita patut memandang peranan kita sebagai hamba?
21 Walaupun kita ialah hamba, ingatlah bahawa kita bukan mangsa penindasan. Sebaliknya, kita dihormati dan dipercayakan dengan tugas yang tidak akan diulangi lagi, iaitu menyebarkan berita baik sepanjang hari-hari terakhir. Kita juga diberikan kebebasan untuk melaksanakan tugas kita dalam pelbagai cara. Maka, jadilah hamba yang setia, dan hargailah penghormatan untuk berkhidmat kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.