Selasa, 22 September
Kasih tidak mementingkan diri sendiri.—1 Kor. 13:5.
Yehuwa tidak akan memberkati sesiapa pun yang berkhidmat kerana ingin disanjung. (1 Kor. 10:24, 33; 13:4) Ada kalanya, bahkan rasul-rasul Yesus pun menginginkan tugasan atas sebab yang salah. Contohnya, Yakobus dan Yohanes meminta agar Yesus memberi mereka kedudukan yang istimewa dalam kerajaannya. Selepas menegur mereka, Yesus memberitahu 12 orang rasulnya, “Sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu. Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kepada semua.” (Mrk. 10:35-37, 43, 44) Para saudara yang berusaha menjadi pembantu sidang mesti mempunyai motif yang betul, iaitu untuk berkhidmat kepada orang lain. Dengan itu, mereka akan menjadi berkat bagi sidang.—1 Tes. 2:8. w24.11 15-16 ¶7-8
Rabu, 23 September
Rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.—Ams. 15:22.
Semasa buat keputusan, kasih akan mendorong kita untuk bersikap sederhana dan “melakukan apa yang berfaedah” bagi orang. (1 Kor. 10:23, 24, 32; 1 Tim. 2:9, 10) Dengan itu, kita dapat buat keputusan yang mencerminkan kasih dan hormat kepada orang lain. Yesus ajar kita bahawa sebelum buat keputusan besar, kita perlu “mengira perbelanjaannya terlebih dahulu.” (Luk. 14:28) “Perbelanjaan” ini merangkumi masa, tenaga, dan wang, yang anda perlukan untuk jayakan keputusan. Ada kalanya, adalah baik untuk bincang dengan keluarga agar setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu mereka buat untuk sokong keputusan anda. Mengapakah perancangan sebegini bagus? Semasa buat perancangan, anda mungkin sedar bahawa ada hal yang perlu diubah, atau ada pilihan lain yang lebih baik. Selain itu, dengan bincang bersama keluarga dan dengar pandangan mereka, mereka akan lebih sudi bekerjasama dan memberikan sokongan. w25.01 18-19 ¶14-15
Khamis, 24 September
Bergiranglah dan bersukacitalah.—Yes. 65:18.
Yesaya menjelaskan sebabnya kita dapat ‘bergirang dan bersukacita’ di dalam firdaus rohani. Firdaus rohani diciptakan oleh Yehuwa. (Yes. 65:18, 19) Itulah sebabnya Dia menggunakan kita untuk membawa orang keluar daripada organisasi dunia yang tidak mengajarkan kebenaran, dan memimpin mereka ke dalam firdaus rohani! Kita gembira kerana meraih banyak berkat setelah belajar kebenaran, dan kita mahu beritahu orang tentangnya. (Yer. 31:12) Kita bersyukur kerana sebagai penduduk firdaus rohani, kita ada harapan yang cerah. Bible berjanji bahawa kita akan “membina rumah dan mendiaminya; . . . [dan] mengusahakan ladang anggur dan memakan hasilnya.” Kita “tidak akan berjerih lelah dengan sia-sia” kerana kita akan ‘diberkati Yehuwa.’ Dia berjanji untuk memberi kita hidup yang selamat, memuaskan, dan bermakna. Dia tahu keperluan setiap orang dan akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup.”—Yes. 65:20-24; Mzm. 145:16. w24.04 22-23 ¶11-12