September
Selasa, 1 September
Teruslah menguji diri kamu sendiri untuk mengetahui sama ada iman kamu teguh atau tidak.—2 Kor. 13:5.
Selain berusaha menjadi matang, kita perlu mengekalkan kematangan kita. Jadi, kita tidak boleh terlalu yakin pada diri. (1 Kor. 10:12) Sebaliknya, kita perlu ‘terus menguji’ diri untuk pastikan kita terus maju secara rohani. Dalam suratnya kepada sidang di Kolose, Paulus menekankan lagi pentingnya kekalkan kematangan mereka. Biarpun mereka sudah menjadi orang Kristian yang matang, Paulus mengingatkan mereka agar tidak dijerat oleh fikiran duniawi. (Kol. 2:6-10) Epafras, yang nampaknya sangat mengenali saudara saudari di Kolose, juga berdoa agar mereka “berdiri teguh sebagai orang yang matang.” (Kol. 4:12) Ya, Paulus dan Epafras faham bahawa untuk mengekalkan kematangan, seseorang perlu bantuan Tuhan dan curahkan usaha. Mereka harap agar sidang di Kolose tetap matang tidak kira apa cabaran yang dihadapi. w24.04 6-7 ¶16-17
Rabu, 2 September
Kita mempunyai Yehuwa. Maka janganlah takut terhadap mereka.—Bil. 14:9.
Takut akan Yehuwa bermaksud kita begitu mengasihi-Nya sehingga tidak mahu melakukan apa-apa yang tidak disukai-Nya. Oleh itu, kita akan belajar untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah, dan apa yang benar daripada apa yang palsu, agar dapat menggembirakan hati-Nya. (Ams. 2:3-6; Ibr. 5:14) Jika kita lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Tuhan, kita mungkin tersimpang daripada kebenaran. Perhatikan contoh 12 orang pemimpin suku Israel yang jadi pengintip di Tanah yang Dijanjikan. Sepuluh daripada mereka lebih takut kepada orang Kanaan daripada takut kepada Yehuwa. Oleh itu, mereka memberitahu orang Israel, “Kita tidak mampu melawan orang di sana, kerana mereka lebih kuat daripada kita.” (Bil. 13:27-31) Dari sudut pandangan manusia, orang Kanaan memang kuat. Tetapi 10 orang pengintip itu lupa bahawa Yehuwa mampu membantu mereka. w24.07 9 ¶5-6
Khamis, 3 September
Mungkinkah Hakim bagi seluruh bumi bertindak dengan tidak adil?—Kej. 18:25.
Dapatkah kita yakin sepenuhnya bahawa setiap kali Yehuwa menghakimi orang, Dia pasti buat keputusan yang betul? Ya! Abraham tahu bahawa Yehuwa ialah “Hakim bagi seluruh bumi” yang berbelas kasihan, sempurna, dan bijaksana. Dia sudah melatih Yesus dan memberinya tanggungjawab untuk menghakimi semua orang. (Yoh. 5:22) Yehuwa dan Yesus dapat membaca hati manusia. (Mat. 9:4) Maka setiap kali mereka menghakimi orang, mereka pasti berlaku adil! Ingatlah, kita tidak layak menghakimi orang! (Yes. 55:8, 9) Maka, kita akan menyerahkan semua kerja penghakiman kepada Yehuwa dan Yesus. Kita juga yakin bahawa Yesus akan mencerminkan keadilan dan belas kasihan Bapanya dengan sempurna.—Yes. 11:3, 4. w24.05 7 ¶18-19
Jumaat, 4 September
Yehuwa membenci orang yang licik, tetapi Dia akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.—Ams. 3:32.
Kita dapat belajar tentang pentingnya mempunyai hati yang tulus daripada apa yang berlaku semasa Yesus berjumpa dengan Natanael buat kali pertama. Semasa Filipus membawa Natanael untuk berjumpa dengan Yesus, Yesus berkata, “Lihatlah, orang Israel sejati yang hatinya bebas daripada tipu daya.” (Yoh. 1:47) Ketulusan Natanael amat luar biasa. Seperti kita, Natanael juga tidak sempurna. Namun Yesus memujinya kerana dia tidak berpura-pura atau bersikap muka dua. Kebanyakan syarat bagi tetamu Yehuwa yang tersenarai di Mazmur 15 berkaitan dengan cara kita melayan orang lain. Contohnya, Mazmur 15:3 menyatakan bahawa tetamu Yehuwa haruslah “tidak memfitnah dengan kata-katanya,” “tidak berbuat jahat terhadap orang lain,” dan “tidak memburuk-burukkan nama sahabatnya.” Jika kita memfitnah orang lain, kita akan menyakiti mereka.—Yak. 1:26. w24.06 10 ¶7, 9; 11 ¶10
Sabtu, 5 September
Tuan, roh-roh jahat pun terpaksa mentaati kami apabila kami menggunakan nama Tuan!—Luk. 10:17.
Jika kita membuat persiapan sebelum menginjil, kita akan berasa lebih yakin semasa bercakap dengan orang lain. Yesus mempersiapkan murid-muridnya sebelum mengutus mereka untuk pergi menginjil. (Luk. 10:1-11) Oleh sebab mereka melakukan apa yang diajarkan Yesus, mereka mendapat hasil yang baik dan berasa sangat puas. Apakah persiapan yang dapat kita lakukan sebelum menginjil? Fikirkan bagaimana kita dapat menyampaikan ajaran Bible dalam kata-kata sendiri. Selain itu, fikirkan beberapa reaksi yang biasanya timbul di kawasan penyebaran kita dan bagaimana kita dapat menanganinya. Semasa kita berjumpa dengan orang, cubalah bertenang, senyum, dan bersikap ramah. w24.04 16 ¶6-7
Ahad, 6 September
Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu.—Why. 4:11.
Sebab terpenting kita menginjil adalah kerana kita mengasihi Yehuwa dan nama-Nya yang suci. Kita menganggap kerja penyebaran sebagai peluang untuk memuji Tuhan kita. Kita pasti setuju dengan sepenuh hati bahawa Yehuwa layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa daripada penyembah-Nya. Kita memberi-Nya kemuliaan dan kehormatan dengan meyakinkan orang bahawa Dia “menciptakan segala sesuatu” dan memberi kita nyawa. Kita memberi Yehuwa kuasa kita dengan menggunakan masa, tenaga, dan harta benda kita untuk menyokong kerja penyebaran. (Mat. 6:33; Luk. 13:24; Kol. 3:23) Pendek kata, kita suka memberitahu orang lain tentang Tuhan yang kita kasihi. Kita juga terdorong untuk memberitahu orang lain tentang nama-Nya dan sifat-sifat-Nya. w24.05 17 ¶11
Isnin, 7 September
Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.—Ibr. 11:6.
Yehuwa memberi kita kedamaian dan kepuasan sekarang, dan kehidupan kekal pada masa depan. Kita dapat yakin bahawa Yehuwa bukan sahaja ada kuasa tetapi juga keinginan untuk memberkati kita. Itulah sebabnya kita terdorong untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh jiwa, seperti yang dilakukan hamba-Nya pada zaman dahulu. Perhatikan contoh Timotius. (Ibr. 6:10-12) Timotius beriman bahawa Tuhan yang hidup akan memberkatinya. (1 Tim. 4:10) Maka dia bekerja keras untuk Yehuwa dan orang lain. Bagaimana? Paulus menggesanya untuk menjadi pengajar yang lebih mahir dalam sidang dan kerja penyebaran. Timotius juga digalakkan untuk menjadi teladan bagi rakan seimannya, sama ada yang muda atau tua. Selain itu, dia diberi tugas mencabar, termasuk memberikan nasihat yang tegas tetapi pada masa yang sama menunjukkan kasih. (1 Tim. 4:11-16; 2 Tim. 4:1-5) Timotius yakin Yehuwa pasti memberkatinya.—Rm. 2:6, 7. w24.06 22-23 ¶10-11
Selasa, 8 September
Yehuwa terus memberikan peringatan kepada orang Israel dan orang Yehuda menerusi semua nabi.—2 Raj. 17:13.
Sering kali, Yehuwa guna nabi untuk beri umat-Nya amaran dan betulkan mereka. Misalnya, Yehuwa utus Yeremia untuk berkata, “Wahai Israel yang suka memberontak, kembalilah kepada-Ku . . . Aku tidak akan murka terhadapmu lagi kerana Aku setia . . . Aku tidak akan marah untuk selama-lamanya. Tetapi engkau haruslah mengakui kesalahanmu kerana engkau telah memberontak melawan Aku.” (Yer. 3:12, 13) Menerusi Yoel, Yehuwa kata, “Kembalilah kepada-Ku dengan segenap hati.” (Yl. 2:12, 13) Yehuwa suruh Yesaya beritahu mereka, “Sucikanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi.” (Yes. 1:16-19) Yehuwa juga berfirman melalui Yehezkiel, “Adakah kamu menyangka bahawa Aku suka melihat orang jahat mati? . . . Tidak! Aku mahu dia bertaubat dan terus hidup. Aku tidak suka melihat sesiapa pun mati, . . . jadi bertaubatlah dan terus hidup!” (Yeh. 18:23, 32) Yehuwa mahu orang bertaubat dan terus hidup selamanya! w24.08 9 ¶5-6
Rabu, 9 September
Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna.—2 Tim. 3:16.
Umat Tuhan pasti menerima makanan rohani, bimbingan, dan perlindungan yang diperlukan. Satu cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah adalah dengan memastikan orang di serata dunia dapat membaca Bible. Pada asalnya, Bible ditulis dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Ibrani, Aram, dan Yunani. Adakah orang yang dapat baca Bible dalam bahasa asal itu menikmati hubungan yang lebih rapat dengan Yehuwa? Tidak. (Mat. 11:25) Yehuwa tidak hanya menjemput orang yang terpelajar atau yang memahami bahasa asal Bible untuk menjadi tetamu-Nya. Sebaliknya, Dia memberikan kebijaksanaan-Nya kepada semua orang di serata dunia, tidak kira mereka terpelajar atau tidak. Firman-Nya, iaitu Bible, telah diterjemahkan ke dalam ribuan bahasa. Dengan itu, semua orang dapat meraih manfaat daripada Bible dan belajar cara untuk menjadi sahabat-Nya.—2 Tim. 3:16, 17. w24.06 6-7 ¶13-15
Khamis, 10 September
Kota Yerusalem akan dimusnahkan dengan segera.—Luk. 21:20.
Pembinasaan Yerusalem bakal berlaku. Orang Kristian pada waktu itu perlu menggunakan masa yang tertinggal untuk membina sifat-sifat seperti iman dan ketabahan. (Ibr. 10:25; 12:1, 2) Tidak lama lagi, kita akan menghadapi kesengsaraan yang jauh lebih besar daripada apa yang menimpa orang Kristian Ibrani. (Mat. 24:21; Why. 16:14, 16) Nasihat yang disediakan oleh Yehuwa untuk mereka juga dapat membantu kita. Dalam suratnya, Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk mengkaji dan merenungkan Firman Tuhan. (Ibr. 5:14–6:1) Paulus memetik Kitab Ibrani dan menjelaskan mengapa cara ibadat orang Kristian jauh lebih unggul daripada cara ibadat orang Yahudi. Paulus menggalakkan orang Kristian untuk mengenali dan memahami Ayat-Ayat Suci dengan lebih baik supaya mereka dapat mengenal pasti ajaran yang salah serta menolaknya. w24.09 8 ¶2-3; 9 ¶6
Jumaat, 11 September
Tuan Yesus benar-benar sudah dibangkitkan.—Luk. 24:34.
Mengapakah murid-murid Yesus perlu galakan? Ada antara mereka yang telah meninggalkan rumah, keluarga, dan perniagaan mereka untuk mengikut Yesus. (Mat. 19:27) Yang lain pula dipulaukan kerana menjadi pengikut Yesus. (Yoh. 9:22) Mereka sanggup buat pengorbanan sebegini kerana mereka percaya Yesus ialah Mesias yang dijanjikan. (Mat. 16:16) Tetapi semasa Yesus dihukum mati, harapan mereka hancur dan mereka hilang semangat. Yesus faham bahawa mereka bersedih bukan kerana mereka lemah secara rohani, tetapi kerana mereka hilang sahabat yang tersayang. Jadi pada hari dia dibangkitkan juga, dia mula menggalakkan murid-muridnya. Contohnya, dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena yang menangis dekat makamnya. (Yoh. 20:11, 16) Dia juga menampakkan diri kepada dua orang muridnya yang mengadakan perjalanan ke Emaus. Selain itu, dia jumpa dengan Petrus. w24.10 13 ¶5-6
Sabtu, 12 September
Sentiasa bersedia untuk membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan tentang harapan yang kamu miliki.—1 Ptr. 3:15.
Ibu bapa, bantu anak anda menjelaskan mengapa dia percaya bahawa Pencipta wujud. Anda dapat bincang bersama anak siri rencana “Kaum Muda Bertanya—Penciptaan atau Evolusi?” di jw.org. Mintalah dia pilih penjelasan yang dia rasa dapat bantu orang lain faham mengapa Pencipta wujud. Galakkannya untuk jelaskan kepercayaannya dalam cara yang ringkas dan masuk akal. Misalnya, jika rakan sekelas berkata, “Saya hanya percaya apa yang dapat dilihat dengan mata sendiri, tetapi saya tidak pernah melihat Tuhan.” Anak anda dapat menjawab, “Bayangkan kamu berjalan dalam hutan. Tiba-tiba kamu nampak sebuah pondok yang cantik. Adakah kamu akan fikir bahawa pondok itu wujud secara kebetulan? Sudah pasti tidak. Seseorang pasti telah membinanya. Begitu juga dengan planet kita dan semua makhluk hidup. Pasti ada yang menciptakan semuanya!” w24.12 18 ¶16
Ahad, 13 September
Bukankah kebijaksanaan ada pada orang tua? Bukankah pengertian ada pada orang yang lanjut usia?—Ayb. 12:12.
Kita semua memerlukan bimbingan semasa membuat keputusan penting. Sering kali, kita dapat meminta nasihat daripada penatua dan orang Kristian yang matang. Jika mereka jauh lebih tua daripada kita, kita tidak patut segera berfikir bahawa nasihat mereka ketinggalan zaman. Sebenarnya, Yehuwa mahu kita belajar daripada orang yang lebih tua. Oleh sebab mereka hidup lebih lama daripada kita, mereka lebih berpengalaman, berpengertian, dan bijaksana. Dahulu, Yehuwa menggunakan hamba-Nya yang lanjut usia seperti Musa, Daud, dan Rasul Yohanes, untuk menggalakkan dan membimbing umat-Nya. Mereka bertiga hidup pada zaman yang berbeza dan keadaan hidup mereka juga sangat berbeza. Tidak lama sebelum mereka meninggal, mereka telah menasihati penyembah Yehuwa agar terus mematuhi Yehuwa. Dengan mengkaji nasihat mereka dalam Bible, kita dapat meraih manfaat.—Rm. 15:4; 2 Tim. 3:16. w24.11 8 ¶1-2
Isnin, 14 September
Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu.—Yoh. 6:53.
Pada zaman Nuh, Tuhan sudah larang manusia makan darah. (Kej. 9:3, 4) Yehuwa mengulangi larangan itu dalam Hukum Musa dan kata orang yang makan darah “mesti dihukum mati.” (Im. 7:27) Yesus ajar orang untuk mematuhi Hukum Tuhan. (Mat. 5:17-19) Jadi mustahil dia akan suruh orang Yahudi makan dagingnya atau minum darahnya yang sebenar. Yesus guna bahasa kiasan semasa dia bercakap kepada orang ramai. Dia buat hal yang sama semasa dia memberitahu seorang wanita Samaria, “Air yang aku berikan . . . memberikan kehidupan kekal.” (Yoh. 4:7, 14) Yesus tidak bermaksud bahawa wanita Samaria itu perlu minum air daripada perigi tertentu lalu hidup selamanya. Begitu juga, kata-kata Yesus kepada orang ramai di Kapernaum tidak bermaksud mereka harus makan daging dan minum darahnya yang sebenar untuk hidup kekal. w24.12 9 ¶4-6
Selasa, 15 September
Persembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.—Rm. 12:1.
Suami Kristian harus berwaspada agar tidak terikut-ikut dengan pandangan dunia terhadap wanita. Mengapa? Kerana fikiran sering mempengaruhi tindakan. Rasul Paulus mengingatkan orang Kristian terurap di Roma, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.” (Rm. 12:1, 2) Semasa Paulus menulis kata-kata itu, sidang di Roma sudah lama ditubuhkan. Namun, kata-kata Paulus menunjukkan bahawa sesetengah orang di sidang itu masih dipengaruhi budaya dan pandangan duniawi. Itulah sebabnya dia menggesa mereka untuk mengubah kelakuan dan pemikiran mereka. Nasihat Paulus juga sesuai bagi suami Kristian hari ini. Sedihnya, sesetengah saudara dipengaruhi pemikiran dunia dan melayan isteri dengan buruk. w25.01 9 ¶4
Rabu, 16 September
Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan yang ada di bawah jagaan kamu. Berkhidmatlah sebagai penyelia.—1 Ptr. 5:2.
Para penatua memikul banyak tanggungjawab. Sebagai penginjil, mereka memberikan kesaksian dengan giat, mengaturkan kerja penyebaran bagi sidang, dan melatih kita untuk menginjil dan mengajar dengan mahir. (2 Tim. 4:5) Apabila seseorang buat dosa serius, mereka menjadi hakim yang adil dan berbelas kasihan. Selain bantu pendosa berbaik semula dengan Tuhan, mereka memastikan sidang tetap bersih secara moral. (1 Kor. 5:12, 13; Gal. 6:1) Namun, semua penatua ialah gembala. (1 Ptr. 5:1-3) Itulah tanggungjawab utama mereka. Mereka sediakan dan sampaikan ceramah Bible, berusaha mengenali semua orang dalam sidang, dan buat kunjungan penggembalaan. Ada juga yang bantu membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan, mengaturkan konvensyen, buat kerja dalam Jawatankuasa Perhubungan Hospital dan Kumpulan Melawat Pesakit, dan sebagainya. Ya, para penatua bekerja keras bagi kita! w24.10 20 ¶9
Khamis, 17 September
Sebagaimana semua orang mati kerana Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.—1 Kor. 15:22.
Bible menyatakan bahawa setelah tebusan dibayar, kita dapat dibebaskan. Rasul Petrus menjelaskan, “Kamu tahu bahawa perkara-perkara yang dapat musnah, seperti perak atau emas, tidak membebaskan kamu daripada cara hidup yang sia-sia yang diwariskan kepada kamu oleh nenek moyang kamu. Tetapi kamu dibebaskan dengan darah Kristus yang berharga. Darahnya seperti darah anak bebiri yang tidak bercacat cela dan yang murni.” (1 Ptr. 1:18, 19) Dengan adanya korban tebusan yang dibayar dengan darah Yesus, kita dapat dibebaskan daripada dosa dan maut. (Rm. 5:21) Kita sangat bersyukur dan terhutang budi kepada Yehuwa dan Yesus atas kurniaan ini. w25.02 5 ¶15-16
Jumaat, 18 September
Berbahagialah orang yang sentiasa berjaga-jaga.—Ams. 28:14, nota kaki.
Bagaimanakah kita dapat melindungi diri daripada dosa serius? Lihat pengajaran daripada pemuda yang disebut di Amsal bab 7. Dia melakukan perbuatan seks tidak bermoral dengan seorang wanita jalang. Ayat 22 kata bahawa pemuda itu mengikutnya “tanpa berfikir.” Tetapi ayat-ayat sebelumnya menunjukkan hal itu tidak berlaku secara tiba-tiba. Dia ambil beberapa langkah yang secara beransur-ansur membuatnya berdosa. Mula-mula, pada waktu petang, dia “lalu di selekoh berhampiran rumah” wanita itu. Kemudian, dia menuju ke arah rumah itu. (Ams. 7:8, 9) Semasa nampak wanita itu, dia tidak patah balik, malah mengizinkan wanita itu menciumnya. Apabila wanita itu kata dia sudah mempersembahkan korban pendamaian, kononnya untuk menunjukkan dia seorang yang baik, pemuda itu mendengarkannya. (Ams. 7:13, 14, 21) Jika pemuda itu tidak ambil langkah-langkah itu, dia mungkin dapat elak godaan dan dosa. w24.07 16 ¶8-9; 19 ¶19
Sabtu, 19 September
Hendaklah kamu rela mengampuni dia dan melegakan hatinya.—2 Kor. 2:7.
Yehuwa tidak tutup sebelah mata terhadap dosa serius. Ada orang berfikir bahawa oleh sebab Yehuwa berbelas kasihan, Dia akan benarkan pendosa yang enggan bertaubat terus berada dalam sidang. Namun itu bukan caranya. Standard Yehuwa tidak berubah. (Yud. 4) Sebenarnya, jika Dia benarkan pendosa sebegitu terus berada dalam sidang, Dia tidak berbelas kasihan kerana hal itu bahayakan seluruh sidang. (Ams. 13:20; 1 Kor. 15:33) Namun, Yehuwa tidak ingin sesiapa pun dibinasakan. Dia mahu selamatkan sebanyak orang yang mungkin. Maka jika seorang pendosa ubah fikiran dan kelakuannya, serta berusaha membaiki hubungannya dengan Yehuwa, Yehuwa akan berbelas kasihan kepadanya. (Yeh. 33:11; 2 Ptr. 3:9) Itulah sebabnya apabila lelaki di Korintus itu bertaubat dan berpaling daripada dosanya, Yehuwa menggunakan Paulus untuk jelaskan kepada sidang bahawa lelaki itu patut dimaafkan dan diterima kembali. w24.08 17 ¶7; 18-19 ¶14-15
Ahad, 20 September
Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.—Mat. 25:40.
Dalam perumpamaan tentang biri-biri dan kambing, Yesus menjelaskan bahawa dia akan menghakimi orang berdasarkan sama ada mereka menyokong saudaranya yang terurap atau tidak. (Mat. 25:31-46) Hal itu akan berlaku semasa “kesengsaraan besar,” sejurus sebelum Armagedon. (Mat. 24:21) Sepertimana gembala memisahkan biri-biri daripada kambing, Yesus akan memisahkan mereka yang menyokong saudara-saudaranya yang terurap daripada mereka yang tidak. Bible menubuatkan bahawa Yesus akan menghakimi orang dengan adil. (Yes. 11:3, 4) Dia akan perhatikan kelakuan, sikap, dan tutur kata orang, termasuk cara mereka melayan saudaranya yang terurap. (Mat. 12:36, 37) Jadi dia pasti tahu siapa yang menyokong saudara-saudara terurapnya dan kerja yang dilakukan mereka. Salah satu cara utama biri-biri menyokong saudara Kristus adalah dengan melakukan kerja penyebaran. w24.09 20-21 ¶3-4
Isnin, 21 September
Periksalah semua perkara.—1 Tes. 5:21.
Kita perlu membandingkan apa yang kita percayai dengan apa yang diajarkan Bible. Fikirkan Saksi muda yang ragu-ragu jika Tuhan mengambil berat terhadapnya. Patutkah dia mempercayai hal itu tanpa usul periksa? Tidak, dia patut ‘memeriksa semua perkara’ dengan mengambil tahu pandangan Yehuwa tentang hal itu. Semasa membaca Bible, kita seolah-olah “mendengar” Yehuwa bercakap dengan kita. Tetapi jika kita mahu “mendengar” jawapan Yehuwa bagi soalan tertentu, kita perlu berusaha untuk mencari ayat Bible yang berkaitan dengan soalan kita dan membuat kajian dengan menggunakan alat penyelidikan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa. (Ams. 2:3-6) Mula-mula, kita boleh berdoa kepada Yehuwa supaya membimbing dan membantu kita mencari tahu pandangan-Nya. Kemudian kita boleh mencari prinsip Bible dan maklumat tambahan yang sesuai dengan situasi kita. w24.10 25 ¶4-5
Selasa, 22 September
Kasih tidak mementingkan diri sendiri.—1 Kor. 13:5.
Yehuwa tidak akan memberkati sesiapa pun yang berkhidmat kerana ingin disanjung. (1 Kor. 10:24, 33; 13:4) Ada kalanya, bahkan rasul-rasul Yesus pun menginginkan tugasan atas sebab yang salah. Contohnya, Yakobus dan Yohanes meminta agar Yesus memberi mereka kedudukan yang istimewa dalam kerajaannya. Selepas menegur mereka, Yesus memberitahu 12 orang rasulnya, “Sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu. Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kepada semua.” (Mrk. 10:35-37, 43, 44) Para saudara yang berusaha menjadi pembantu sidang mesti mempunyai motif yang betul, iaitu untuk berkhidmat kepada orang lain. Dengan itu, mereka akan menjadi berkat bagi sidang.—1 Tes. 2:8. w24.11 15-16 ¶7-8
Rabu, 23 September
Rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.—Ams. 15:22.
Semasa buat keputusan, kasih akan mendorong kita untuk bersikap sederhana dan “melakukan apa yang berfaedah” bagi orang. (1 Kor. 10:23, 24, 32; 1 Tim. 2:9, 10) Dengan itu, kita dapat buat keputusan yang mencerminkan kasih dan hormat kepada orang lain. Yesus ajar kita bahawa sebelum buat keputusan besar, kita perlu “mengira perbelanjaannya terlebih dahulu.” (Luk. 14:28) “Perbelanjaan” ini merangkumi masa, tenaga, dan wang, yang anda perlukan untuk jayakan keputusan. Ada kalanya, adalah baik untuk bincang dengan keluarga agar setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu mereka buat untuk sokong keputusan anda. Mengapakah perancangan sebegini bagus? Semasa buat perancangan, anda mungkin sedar bahawa ada hal yang perlu diubah, atau ada pilihan lain yang lebih baik. Selain itu, dengan bincang bersama keluarga dan dengar pandangan mereka, mereka akan lebih sudi bekerjasama dan memberikan sokongan. w25.01 18-19 ¶14-15
Khamis, 24 September
Bergiranglah dan bersukacitalah.—Yes. 65:18.
Yesaya menjelaskan sebabnya kita dapat ‘bergirang dan bersukacita’ di dalam firdaus rohani. Firdaus rohani diciptakan oleh Yehuwa. (Yes. 65:18, 19) Itulah sebabnya Dia menggunakan kita untuk membawa orang keluar daripada organisasi dunia yang tidak mengajarkan kebenaran, dan memimpin mereka ke dalam firdaus rohani! Kita gembira kerana meraih banyak berkat setelah belajar kebenaran, dan kita mahu beritahu orang tentangnya. (Yer. 31:12) Kita bersyukur kerana sebagai penduduk firdaus rohani, kita ada harapan yang cerah. Bible berjanji bahawa kita akan “membina rumah dan mendiaminya; . . . [dan] mengusahakan ladang anggur dan memakan hasilnya.” Kita “tidak akan berjerih lelah dengan sia-sia” kerana kita akan ‘diberkati Yehuwa.’ Dia berjanji untuk memberi kita hidup yang selamat, memuaskan, dan bermakna. Dia tahu keperluan setiap orang dan akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup.”—Yes. 65:20-24; Mzm. 145:16. w24.04 22-23 ¶11-12
Jumaat, 25 September
Dialah gunung batuku dan tempat perlindunganku.—Mzm. 62:7.
Kita menjadikan Yehuwa Gunung Batu kita semasa kita bergantung sepenuhnya pada-Nya. Kita yakin bahawa jika kita mematuhi-Nya biarpun susah, kita akan raih manfaat. (Yes. 48:17, 18) Apabila kita merasai sokongan Yehuwa, keyakinan kita akan bertumbuh. Dengan itu, kita bersedia untuk hadapi cabaran. Seperti batu besar yang stabil, keperibadian dan tujuan Yehuwa tidak berubah-ubah. (Mal. 3:6) Contohnya, semasa pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa tidak membatalkan tujuan-Nya. Paulus menulis bahawa Yehuwa “tidak dapat bertindak dalam cara yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri.” (2 Tim. 2:13) Maksudnya, tidak kira apa yang terjadi atau apa yang orang buat, sifat-sifat, tujuan, dan standard Yehuwa, tetap sama. Memandangkan Dia tidak berubah-ubah, kita yakin Dia pasti bantu kita hadapi kesusahan dan akan menyelamatkan kita.—Mzm. 62:6, 7. w24.06 27-28 ¶7-8
Sabtu, 26 September
Batin kamu sangat bernilai di mata Tuhan.—1 Ptr. 3:4.
Jika anda sedang berdating, cubalah saling mengenali dengan baik. Dengan itu, anda dapat memutuskan sama ada untuk berkahwin atau tidak. Anda mungkin sudah tahu sesetengah hal tentang bakal teman hidup anda sebelum mula berdating. Tetapi sekarang, anda berpeluang mengenali sifatnya yang terpendam, seperti kerohaniannya, keperibadiannya, dan pemikirannya. Seraya masa berlalu, anda harus dapat menjawab soalan seperti, “Adakah dia akan jadi teman hidup yang baik bagi saya?” (Ams. 31:26, 27, 30; Ef. 5:33; 1 Tim. 5:8) “Dapatkah kami memenuhi keperluan emosi satu sama lain? Dapatkah kami bersabar terhadap kelemahan satu sama lain?” (Rm. 3:23) Dalam proses saling mengenali, ingatlah hal ini: Yang penting bukanlah berapa banyak persamaan anda berdua, tetapi sejauh mana anda dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan satu sama lain. w24.05 27 ¶5
Ahad, 27 September
Beta telah berdosa terhadap Yehuwa.—2 Sam. 12:13.
Daud pernah buat dosa serius. Tetapi semasa Nabi Natan menegurnya, Daud bertaubat dengan rendah hati. (Mzm. 51:3, 4, 17, penerangan) Hizkia juga pernah berdosa terhadap Yehuwa. (2 Taw. 32:25) Namun seperti Daud, dia bertaubat dengan rendah hati. (2 Taw. 32:26) Apakah pandangan Yehuwa terhadapnya? Yehuwa anggapnya sebagai raja yang “terus melakukan apa yang baik.” (2 Raj. 18:3) Apakah pengajarannya? Kita perlu bertaubat daripada dosa dan berusaha keras agar tidak mengulanginya. Bagaimana pula jika kita ditegur oleh penatua dalam hal yang nampaknya kecil? Janganlah fikir bahawa Yehuwa tidak lagi mengasihi kita atau penatua mahu menyusahkan kita. Ingatlah, raja-raja yang baik pun perlu dinasihati dan ditegur. (Ibr. 12:6) Jadi, semasa diberi nasihat, marilah kita (1) bersikap rendah hati, (2) buat perubahan yang diperlukan, dan (3) terus sembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Jika kita bertaubat, Yehuwa pasti mengampuni kita.—2 Kor. 7:9, 11. w24.07 21 ¶8; 22 ¶9, 11
Isnin, 28 September
Keluarkanlah orang jahat daripada kalangan kamu.—1 Kor. 5:13.
Pendosa dikeluarkan daripada sidang apabila dia enggan mengikut standard Yehuwa, dan enggan menerima bantuan para penatua untuk bertaubat. Maka, keputusannya menunjukkan bahawa dia memilih untuk dikeluarkan daripada sidang. (Ul. 30:19, 20; 2 Raj. 17:12-15) Pengumuman akan dibuat di sidang bahawa dia bukan lagi seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Tujuan pengumuman itu bukanlah untuk memalukan pendosa itu, tetapi untuk memaklumkan hal itu kepada saudara saudari supaya mereka “tidak lagi bergaul” dengan orang itu dan ‘bahkan tidak makan bersama dengannya.’ (1 Kor. 5:9-11) Mengapakah Bible memberikan arahan ini? Rasul Paulus menulis, “Sedikit ragi membuat seluruh adunan naik.” (1 Kor. 5:6) Jika seorang pendosa yang enggan bertaubat dibenarkan terus berada dalam sidang, dia mungkin melemahkan tekad orang lain untuk mematuhi standard Yehuwa.—Ams. 13:20; 1 Kor. 15:33. w24.08 27 ¶3-4
Selasa, 29 September
Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.—Flp. 4:13.
Kita tidak dapat memberikan kuasa atau kekuatan kita kepada orang lain, tetapi kita dapat membantu mereka. Contohnya, kita dapat membantu rakan seiman yang lanjut usia atau yang kurang upaya untuk membeli barang di kedai atau melakukan kerja di rumah mereka. Kita dapat membantu membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Ingatlah, kata-kata kita juga ada kuasa. Adakah anda terfikir tentang rakan seiman yang memerlukan pujian yang ikhlas atau kelegaan? Anda dapat mengambil inisiatif untuk membantunya. Bagaimana? Anda dapat melawatnya, menelefonnya, dan menghantar kad, e-mel, atau mesej kepadanya. Kata-kata anda tidak perlu berbunga-bunga. Selalunya, apa yang rakan seiman anda perlukan untuk bertabah dan menjadi lebih positif ialah kata-kata yang ringkas dari hati.—Ams. 12:25; Ef. 4:29. w24.09 28 ¶8-10
Rabu, 30 September
Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia, dia menginginkan pekerjaan yang baik.—1 Tim. 3:1.
Jika anda sudah lama berkhidmat sebagai pembantu sidang, anda mungkin sudah berusaha memupuk sifat-sifat yang diperlukan untuk menjadi penatua. Adakah anda menginginkan “pekerjaan yang baik” itu? Apakah tanggungjawab penatua? Mereka mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran, berusaha keras untuk menggembala dan mengajar, dan menguatkan sidang melalui kata-kata dan teladan mereka. Itulah sebabnya Bible menggambarkan mereka sebagai “kurnia berupa manusia.” (Ef. 4:8) Bagaimanakah anda dapat menjadi seorang penatua? Untuk mendapat kerja di dunia sekular, anda hanya perlukan kemahiran yang dicari oleh majikan. Tetapi untuk menjadi penatua, sekadar mahir mengajar dan menginjil tidak cukup. Anda harus memenuhi kelayakan yang tersenarai di 1 Timotius 3:1-7 dan Titus 1:5-9. w24.11 20 ¶1-3