Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius
4 Kemudian Yesus dipimpin oleh kuasa suci Tuhan ke padang belantara dan di sana Iblis menggodanya.+ 2 Setelah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam, dia berasa lapar. 3 Pada masa itu, Si Penggoda+ datang dan berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, suruhlah batu-batu ini menjadi roti.” 4 Tetapi Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.’”*+
5 Kemudian Iblis membawa dia ke kota suci*+ lalu menempatkannya di puncak tembok* Rumah Tuhan.+ 6 Iblis berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, terjunlah ke bawah, kerana ada tertulis, ‘Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya,’ dan, ‘Mereka akan menyambut kamu dengan tangan mereka supaya kakimu tidak terhantuk pada batu.’”+ 7 Tetapi Yesus menjawab, “Ada tertulis juga, ‘Jangan menguji Yehuwa,* Tuhan kamu.’”+
8 Kemudian Iblis membawanya ke sebuah gunung yang luar biasa tinggi dan menunjukkan kepadanya semua kerajaan dunia serta kegemilangannya.+ 9 Lalu Iblis berkata kepadanya, “Semua ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sujud dan menyembah aku.”* 10 Yesus menjawab, “Pergilah Syaitan! Kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti menyembah Yehuwa,* Tuhanmu,+ dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.’”+ 11 Iblis pun meninggalkan dia,+ lalu malaikat-malaikat datang untuk melayaninya.+
12 Apabila Yesus mendengar bahawa Yohanes telah ditangkap,+ dia pergi ke Galilea.+ 13 Selepas dia meninggalkan Nasaret, dia menetap di Kapernaum,+ yang terletak di tepi laut di kawasan Zebulon dan Naftali. 14 Dengan ini berlakulah apa yang dinubuatkan oleh Nabi Yesaya: 15 “Hai tanah Zebulon dan tanah Naftali, jalan yang menghala ke laut, di sebelah barat Sungai Yordan, Galilea yang didiami bangsa-bangsa lain! 16 Orang yang tinggal dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang, dan orang di negeri yang dibayangi maut telah disinari cahaya.”+ 17 Sejak masa itu, Yesus mula menyebarkan berita ini: “Bertaubatlah, kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.”+
18 Ketika dia berjalan di tepi Tasik Galilea, dia nampak dua orang adik-beradik yang bekerja sebagai nelayan, iaitu Simon yang juga dipanggil Petrus,+ dan Andreas. Mereka sedang menebarkan jala ke dalam tasik.+ 19 Dia berkata kepada mereka, “Ikutlah aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.”+ 20 Dengan serta-merta, mereka meninggalkan jala lalu mengikutnya.+ 21 Yesus meneruskan perjalanannya lalu nampak dua orang adik-beradik, iaitu Yakobus anak Zebedeus dan saudara kandungnya Yohanes.+ Mereka sedang membaiki jala di dalam perahu bersama bapa mereka Zebedeus. Apabila Yesus memanggil mereka,+ 22 mereka segera meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikutnya.
23 Yesus menjelajah seluruh kawasan Galilea+ dan mengajar di rumah-rumah ibadat orang Yahudi.+ Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan setiap masalah kesihatan dan setiap jenis penyakit yang dihidapi orang ramai.+ 24 Berita tentangnya tersebar ke merata Siria, lalu semua orang yang menderita kerana menghidap pelbagai penyakit+ dibawa kepadanya. Orang yang dirasuk roh-roh jahat,+ orang yang menghidap penyakit sawan,+ dan orang lumpuh juga datang, lalu dia menyembuhkan mereka. 25 Hasilnya, ramai orang dari Galilea, Dekapolis,* Yerusalem, Yudea, dan seberang Sungai Yordan mengikutnya.