Kamus bagi Istilah Bible
A B C D E F G H I J K L M N O P R S T U W Y Z
A
Ab.
Nama untuk bulan ke-5 dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ke-11 dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Julai hingga pertengahan bulan Ogos. Nama ini tidak disebutkan dalam Bible dan hanya dirujuk sebagai “bulan kelima.” (Bil 33:38; Ez 7:9)—Lihat Lampiran B15.
Abadon.
Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini bermaksud “kemusnahan” dan juga boleh melambangkan jurang atau tempat kemusnahan. Nampaknya perkataan ini merujuk kepada hakikat bahawa apabila manusia mati, tubuhnya akan mereput dan kembali menjadi tanah. (Mz 88:11; Ayb 26:6; 28:22; Ams 15:11) Di Wahyu 9:11, “Abadon” ialah nama “malaikat yang berkuasa atas jurang yang dalam.”
Abib.
Nama asal untuk bulan pertama dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ketujuh dalam kalendar sekular mereka. Nama ini bererti “Bulir Hijau (Bijirin).” Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Mac hingga pertengahan bulan April. Selepas orang Yahudi dibebaskan dari Babilon, bulan ini dipanggil bulan Nisan. (Ul 16:1)—Lihat Lampiran B15.
Adar.
Nama untuk bulan ke-12 dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ke-6 dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Februari hingga pertengahan bulan Mac. (Es 3:7)—Lihat Lampiran B15.
Ahli falsafah golongan Epikuros.
Merujuk kepada pengikut ahli falsafah Yunani yang bernama Epikuros (341-270 SM). Bagi mereka, keseronokan merupakan keutamaan hidup.—Kis 17:18.
Ahli falsafah Stoik.
Sekumpulan ahli falsafah Yunani yang percaya bahawa kebahagiaan dapat dinikmati jika seseorang hidup mengikut daya pertimbangan dan hukum alam. Mereka percaya bahawa orang yang benar-benar bijak tidak menghiraukan emosi yang berkaitan dengan kesakitan atau keseronokan.—Kis 17:18.
Ahli nujum.
Akhaya.
Dalam Kitab Yunani Kristian, Akhaya merujuk kepada sebuah daerah Roma yang terletak di selatan Yunani; ibu kotanya ialah Korintus. Kawasannya merangkumi seluruh kawasan Peloponnesa dan bahagian tengah Yunani. (Kis 18:12)—Lihat Lampiran B13.
Alabaster.
Nama bagi bekas minyak wangi yang kecil. Pada asalnya, bekas-bekas ini diperbuat daripada batu yang dijumpai berhampiran Alabastron, Mesir. Bekas sedemikian biasanya mempunyai leher yang kecil, yang dapat ditutup agar minyak wangi yang berharga tidak tertumpah. Batu yang digunakan untuk membuat bekas-bekas itu kemudiannya dikenali dengan nama yang sama.—Mr 14:3, nota kaki.
Alamot.
Alat pemadam sumbu pelita.
Digunakan di khemah suci dan Rumah Tuhan. Diperbuat daripada emas atau tembaga. Bentuknya mungkin seperti gunting yang digunakan untuk menggunting sumbu pelita.—2Ra 25:14.
Alfa dan Omega.
Ali-ali.
Tali yang diperbuat daripada kulit, atau yang dipintal dengan urat binatang, batang tumbuhan, atau bulu. Biasanya sebiji batu dimasukkan ke dalam bahagian tengah tali yang lebar. Satu hujung tali diikat pada tangan atau pergelangan tangan, dan hujung yang satu lagi digenggam dalam tangan. Hujung tali itu akan dilepaskan semasa batu dilontar. Pada zaman kuno, terdapat askar yang bersenjatakan ali-ali.—Hak 20:16; 1Sa 17:50.
Amin.
“Semoga begitu” atau “pasti.” Perkataan ini berasal daripada kata dasar Ibrani ʼa·manʹ, yang bermakna “setia, dapat dipercayai.” “Amin” disebut untuk menunjukkan persetujuan terhadap sumpah, doa, atau pernyataan yang dibuat. Dalam buku Wahyu, “Amin” digunakan sebagai gelaran untuk Yesus.—Ul 27:26; 1Ta 16:36; Why 3:14.
Anak Daud.
Anak manusia.
Ungkapan ini sering merujuk kepada Yesus Kristus. Digunakan kira-kira 80 kali dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Ungkapan ini menunjukkan bahawa Yesus telah dilahirkan di bumi sebagai seorang manusia, dan dia bukannya makhluk roh yang menjelma menjadi manusia. Ungkapan ini juga menunjukkan bahawa Yesus akan menyebabkan nubuat di Daniel 7:13, 14 menjadi kenyataan. Dalam Kitab Ibrani, ungkapan ini juga digunakan untuk merujuk kepada Yehezkiel dan Daniel. Tujuannya adalah untuk menunjukkan bahawa nabi-nabi ini ialah manusia fana, dan mereka sangat berbeza daripada Tuhan, iaitu Sumber perkhabaran mereka.—Yeh 3:17; Da 8:17; Mt 19:28; 20:28.
Anak sulung.
Khasnya merujuk kepada anak lelaki pertama seorang bapa. Pada zaman Bible, anak lelaki sulung mempunyai kedudukan istimewa dalam keluarga, dan dia menjadi kepala keluarga apabila bapanya mati. Ungkapan ini juga merujuk kepada anak jantan binatang yang pertama dilahirkan.—Kej 25:33; Kel 11:5; 13:12; Kol 1:15.
Anti-Kristus.
Istilah Yunani ini mempunyai dua maksud. (1) Yang anti atau menentang Kristus, dan (2) Kristus palsu, iaitu seseorang yang mengaku diri sebagai Kristus. Semua orang, organisasi, atau kumpulan, yang membuat pengakuan palsu bahawa mereka ialah wakil Kristus atau bahawa mereka ialah Mesias, atau yang menentang Kristus dan murid-muridnya, boleh dipanggil anti-Kristus, atau musuh Kristus.—1Yo 2:22, nota kaki.
Aram, bahasa.
Salah satu bahasa Semitik yang hampir sama dengan bahasa Ibrani, yang menggunakan abjad yang sama. Pada asalnya, bahasa ini digunakan oleh orang Aram, tetapi kemudiannya menjadi bahasa antarabangsa yang digunakan dalam urusan perdagangan dan komunikasi di empayar Assyria dan Babilon. Juga merupakan bahasa rasmi empayar Persia. (Ez 4:7) Sebahagian daripada buku Ezra, Yeremia, dan Daniel, ditulis dalam bahasa Aram.—Ez 4:8–6:18; 7:12-26; Yer 10:11; Da 2:4b–7:28.
Aram; Orang Aram.
Bangsa keturunan anak lelaki Sem yang bernama Aram. Tempat tinggal mereka bermula dari pergunungan Lebanon hingga Mesopotamia, dan dari pergunungan Taurus di utara hingga Damsyik dan kawasan-kawasan di selatan. Seluruh kawasan ini dipanggil Aram dalam bahasa Ibrani, tetapi kemudiannya dipanggil Siria, dan penduduknya dikenali sebagai orang Siria.—Kej 25:20; Ul 26:5; Ho 12:12.
Areopagus.
Sebuah bukit yang tinggi di Atena, di bahagian barat laut Akropolis. Juga merupakan nama bagi majlis (mahkamah) yang mengadakan mesyuarat di sana. Paulus telah dibawa ke Areopagus oleh ahli-ahli falsafah Stoik dan Epikuros untuk menjelaskan kepercayaannya.—Kis 17:19.
Armagedon.
Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini (Har Meghid·dohnʹ) bererti “Gunung Megido.” Perkataan ini dikaitkan dengan “perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.” Pada masa itu, “raja-raja di seluruh bumi” dikumpulkan untuk berperang melawan Yehuwa. (Why 16:14, 16; 19:11-21)—Lihat KESENGSARAAN BESAR.
Aselgeia.—
Asia.
Digunakan dalam Kitab Yunani Kristian. Merupakan nama bagi daerah Roma yang merangkumi bahagian barat negara Turkiye yang wujud pada hari ini, serta beberapa buah pulau yang terletak di persisiran pantai, seperti Samos dan Patmos. Ibu kotanya ialah Efesus. (Kis 20:16; Why 1:4)—Lihat Lampiran B13.
Asytoret.
Dewi perang dan kesuburan orang Kanaan. Isteri Dewa Baal.—1Sa 7:3.
Ayat-Ayat Suci.
Azazel.
Nama Ibrani yang mungkin bermaksud “Kambing yang Menghilang.” Pada Hari Pengampunan Dosa, seekor kambing akan dilepaskan di padang belantara. Kambing ini dipanggil Azazel kerana secara simbolik, kambing ini akan menanggung dan membawa pergi dosa yang dilakukan oleh umat Israel sepanjang tahun yang lalu.—Im 16:8, 10.
B
Baal.
Dewa orang Kanaan yang dianggap sebagai pemilik langit, pemberi hujan, dan dewa kesuburan. “Baal” juga digunakan sebagai gelaran bagi dewa-dewa tempatan yang berkedudukan lebih rendah. Kata Ibrani ini bererti “Pemilik; Tuan.”—1Ra 18:21; Rm 11:4.
Balsam.
Sejenis minyak wangi yang diperoleh daripada tumbuhan tertentu, dan mempunyai nilai yang sangat tinggi. Digunakan untuk membuat ubat dan wangi-wangian.—Kej 37:25; Yer 8:22.
Banjaran Lebanon.
Salah satu banjaran yang membentuk sistem pergunungan di Lebanon. Banjaran Lebanon terletak di barat, dan banjaran Anti-Lebanon terletak di timur. Sebuah lembah yang panjang dan subur membahagikan kedua-dua banjaran ini. Banjaran Lebanon bermula dekat persisiran pantai Mediterranean, dan secara purata, puncaknya mempunyai ketinggian antara 1,800 dan 2,100 m. Pada zaman kuno, pokok-pokok sedar yang megah meliputi Lebanon. Bagi bangsa yang tinggal di sekitar kawasan itu, pokok-pokok ini sangat bernilai. (Ul 1:7; Mz 29:6; 92:12)—Lihat Lampiran B7.
Barang jaminan.
Barangan peribadi yang diberikan oleh seseorang kepada pemiutang sebagai jaminan bahawa dia akan membayar balik hutangnya pada kemudian hari. Juga dipanggil jaminan hutang. Hukum Musa mengandungi syarat-syarat tentang barang jaminan untuk melindungi kepentingan orang yang miskin dan lemah.—Kel 22:26; Yeh 18:7.
Bath.
Sukatan cecair yang berukuran kira-kira 22 L, menurut serpihan bekas bath yang ditemui oleh ahli kaji purba. Kebanyakan sukatan bahan kering dan sukatan cecair dalam Bible dianggarkan berdasarkan isi padu bath. (1Ra 7:38, nota kaki; Yeh 45:14)—Lihat Lampiran B14.
Batu karang.
Bahan yang keras seperti batu, yang dibentuk daripada tulang binatang-binatang kecil di laut. Mempunyai pelbagai warna termasuk merah, putih, dan hitam. Terdapat banyak batu karang di Laut Merah. Pada zaman Bible, batu karang merah bernilai tinggi dan digunakan untuk membuat manik dan barang-barang perhiasan.—Ayb 28:18, nota kaki.
Batu kisar.
Terdiri daripada dua batu berbentuk bulat. Sebatang pasak diletakkan di tengah-tengah batu yang di bawah untuk menetapkan kedudukan batu yang di atas supaya mudah diputarkan. Digunakan untuk mengisar bijirin untuk dijadikan tepung. Pada zaman Bible, kebanyakan wanita bergantung pada batu kisar untuk menyediakan roti bagi keluarga. Maka, Hukum Musa menghalang orang daripada menjadikannya sebagai jaminan hutang. Batu kisar yang lebih besar ditarik oleh binatang.—Ul 24:6; Mr 9:42.
Batu penjuru.
Batu yang diletakkan di sudut atau penjuru sebuah bangunan, iaitu pada pertemuan dua tembok, dan diperlukan untuk menyambung kedua-dua tembok itu. Batu penjuru utama merupakan batu asas yang utama. Biasanya batu yang dipilih untuk mendirikan bangunan awam dan tembok kota mestilah batu yang sangat keras. Perkataan ini digunakan secara kiasan sehubungan dengan penciptaan bumi. Yesus ialah “batu penjuru yang utama” bagi sidang Kristian yang disamakan dengan sebuah rumah rohani.—Ef 2:20; Ayb 38:6.
Beelzebub.
Bekas perbaraan.
Perkakas yang diperbuat daripada emas, perak, atau tembaga. Digunakan di dalam khemah suci dan Rumah Tuhan untuk membakar kemenyan, dan untuk mengeluarkan arang dari mazbah dan sumbu yang sudah hangus dari kaki pelita emas.—Kel 37:23; 2Ta 26:19; Ibr 9:4.
Belalang juta.
Sejenis belalang yang berhijrah dalam kawanan besar. Menurut Hukum Musa, belalang ini dianggap bersih dan boleh dimakan. Kawanan yang besar akan memakan segala sesuatu di kawasan yang dilalui dan menyebabkan kemusnahan yang teruk. Dianggap sebagai tulah.—Kel 10:14; Mt 3:4.
Bercakap dengan berani.
Dalam bahasa Yunani, perkataan ini (par·re·siʹa) boleh bererti bercakap secara terbuka dan terus terang tentang kepercayaan Kristian. Juga boleh merujuk kepada keyakinan dan keberanian yang dimiliki seseorang semasa dia menghampiri Tuhan dalam doa. Perkataan ini boleh menggambarkan sikap yang ditunjukkan oleh manusia dalam hubungannya dengan Tuhan.—Kis 28:31; Ef 3:12; 1Ti 3:13.
Berhala; Penyembahan berhala.
Berhala ialah patung, gambar, atau lambang, yang menyerupai sesuatu yang benar-benar wujud atau yang hanya wujud dalam imaginasi seseorang, yang digunakan dalam ibadat. Penyembahan berhala ialah perbuatan menyembah, mencintai, atau memuja berhala.—Mz 115:4; Kis 17:16; 1Ko 10:14.
Berita baik.
Berkabung.
Bersedih atas kematian atau malapetaka lain. Pada zaman Bible, orang biasanya berkabung untuk suatu tempoh masa. Selain menangis dengan kuat, orang yang berkabung memakai pakaian yang tertentu, meletakkan abu di atas kepala, mengoyakkan pakaian mereka, dan memukul dada. Kadangkala ada orang diupah untuk meratap semasa upacara pengebumian.—Kej 23:2; Es 4:3; Why 21:4.
Berkahwin dengan balu saudara lelaki.
Berkelakuan buruk tanpa rasa malu.
Dalam bahasa Yunani, perkataan ini (a·selʹgei·a) merujuk kepada perbuatan yang melanggar hukum Tuhan dan yang mencerminkan sikap tidak tahu malu. Menunjukkan bahawa seseorang sengaja tidak mahu mengendahkan hukum Tuhan, dan tidak hormat atau bahkan menghina kekuasaan, hukum, dan piawaian yang ditetapkan. Tidak merujuk kepada perbuatan salah yang kecil, tetapi kepada perbuatan salah yang serius.—Ga 5:19; 2Pt 2:7.
Bersih.
Dalam Bible, perkataan ini tidak hanya merujuk kepada kebersihan fizikal. Tetapi juga kepada pemeliharaan atau pemulihan kepada keadaan yang tidak bercela, tidak dinodai, tidak najis, dan bebas daripada apa sahaja yang mencemarkan dari segi moral dan rohani. Di bawah Hukum Musa, perkataan ini merujuk kepada seseorang atau sesuatu benda yang telah menjadi tahir menurut upacara agama.—Im 14:8; Mz 51:7; Lu 11:41; 1Ko 6:11.
Bertaubat.
Dalam Bible, perkataan ini merujuk kepada perubahan fikiran yang disertai rasa sesal yang mendalam atas cara hidup yang lama, perbuatan yang salah, atau kegagalan melakukan sesuatu. Seseorang yang betul-betul bertaubat akan menunjukkannya melalui perbuatan dan membetulkan haluannya yang salah.—Mt 3:8; Kis 3:19; 2Pt 3:9.
Berzina.
Hubungan seks yang dilakukan dengan rela antara orang yang sudah berkahwin dengan orang lain yang bukan teman hidupnya.—Kel 20:14; Mt 5:27; 19:9.
Bilik Maha Suci.
Bilik di dalam khemah suci atau Rumah Tuhan yang terletak di bahagian yang paling dalam. Tabut perjanjian diletakkan di situ. Menurut Hukum Musa, hanya imam agung yang dibenarkan untuk memasuki Bilik Maha Suci, dan dia berbuat demikian hanya pada Hari Pengampunan Dosa.—Kel 26:33; Im 16:2, 17; 1Ra 6:16; Ibr 9:3.
Bilik Suci.
Ruang pertama di dalam khemah suci atau Rumah Tuhan. Lebih besar daripada Bilik Maha Suci. Di dalam khemah suci, Bilik Suci mengandungi kaki pelita emas, mazbah emas untuk membakar kemenyan, meja untuk roti yang dipersembahkan, dan perkakas emas. Di dalam Rumah Tuhan pula, Bilik Suci mengandungi mazbah emas, 10 buah kaki pelita emas, dan 10 buah meja untuk roti yang dipersembahkan. (Kel 26:33; Ibr 9:2)—Lihat Lampiran B5 dan B8.
Bintang fajar.
Hampir sama erti dengan “bintang pagi.” Merupakan bintang terakhir yang muncul di bahagian timur sebelum matahari terbit dan menandakan hari yang baharu.—Why 22:16; 2Pt 1:19.
Bintang pagi.—
Lihat BINTANG FAJAR.
Bomoh.
Dalam Bible, bomoh merujuk kepada orang yang mendakwa bahawa dia dapat bercakap dengan orang yang sudah mati.—Im 20:27; Ul 18:10-12; 2Ra 21:6.
Buah delima.
Sejenis buah yang menyerupai epal, dan satu hujungnya mempunyai bentuk seperti mahkota. Di dalamnya terdapat banyak biji dengan isi berwarna merah yang boleh dimakan. Hiasan berbentuk delima digunakan untuk menghiasi bahagian bawah jubah biru imam agung. Juga digunakan untuk menghiasi kepala-kepala tiang Yakhin dan Boaz yang terletak di hadapan Rumah Tuhan.—Kel 28:34; Bil 13:23; 1Ra 7:18.
Bul.
Nama untuk bulan kelapan dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan kedua dalam kalendar sekular mereka. Nama ini diambil daripada kata dasar yang bererti “tuaian; hasil.” Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Oktober hingga pertengahan bulan November. (1Ra 6:38)—Lihat Lampiran B15.
Bulan baharu.
Hari pertama setiap bulan dalam kalendar Yahudi, yang merupakan hari untuk berkumpul, berpesta, dan mempersembahkan korban yang istimewa. Kemudiannya menjadi perayaan kebangsaan yang penting, dan orang tidak bekerja pada hari itu.—Bil 10:10; 2Ta 8:13; Kol 2:16.
C
Cincin mohor.
D
Dagon.
Dewa orang Filistin. Asal usul nama ini tidak dapat dikenal pasti, tetapi sesetengah pakar mengaitkannya dengan perkataan Ibrani dagh (ikan).—Hak 16:23; 1Sa 5:4.
Darik.
Duit syiling emas Persia yang beratnya 8.4 g. (1Ta 29:7, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Dekapolis.
Kota-kota Yunani yang pada asalnya terdiri daripada 10 buah kota (kata Yunani deʹka bererti “sepuluh,” dan poʹlis bererti “kota”). Juga merupakan nama bagi wilayah di bahagian timur Tasik Galilea dan Sungai Yordan, kerana kebanyakan kota tersebut terletak di wilayah itu. Kota-kota itu ialah pusat perdagangan dan kebudayaan Yunani. Yesus lalu di kawasan itu, tetapi tiada catatan yang menunjukkan bahawa dia mengunjungi kota-kota itu. (Mt 4:25; Mr 5:20)—Lihat Lampiran A7 dan B10.
Denari.
Duit perak Roma yang beratnya kira-kira 3.85 g dan mempunyai gambar Kaisar. Satu denari merupakan gaji sehari bagi seorang buruh. Digunakan semasa orang Yahudi membayar “cukai kepala” yang dituntut oleh orang Roma. (Mt 22:17; Lu 20:24)—Lihat Lampiran B14.
Drakma.
Dalam Kitab Yunani Kristian, perkataan ini merujuk kepada duit perak Yunani yang beratnya 3.4 g. Tetapi drakma dalam Kitab Ibrani merujuk kepada darik emas Persia. (Ne 7:70, nota kaki; Mt 17:24, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
E
Edom.
Nama lain bagi Esau, anak lelaki Ishak. Keturunan Esau (Edom) menguasai kawasan Seir, iaitu kawasan pergunungan di antara Laut Mati dengan Teluk Aqaba. Kemudian kawasan itu dikenali sebagai Edom. (Kej 25:30; 36:8)—Lihat Lampiran B3 dan B4.
Efa.
Sukatan bahan kering dan nama bekas yang digunakan untuk menyukat biji-bijian. Bersamaan dengan sukatan cecair bath, iaitu 22 L . (Kel 16:36; Yeh 45:10)—Lihat Lampiran B14.
Efod.
Pakaian serupa kain apron yang dipakai oleh para imam. Imam agung memakai efod yang istimewa, yang mempunyai penutup dada yang ditatah dengan 12 biji batu permata. (Kel 28:4, 6)—Lihat Lampiran B5.
Efraim.
Nama anak lelaki Yusuf yang kedua. Kemudiannya menjadi nama salah satu suku Israel. Selepas kerajaan Israel berpecah, Efraim menjadi suku yang terpenting, yang mewakili kerajaan 10 suku.—Kej 41:52; Yer 7:15.
Efrat.
Sungai yang terpanjang dan terpenting di barat daya Asia; merupakan salah satu daripada dua sungai utama di Mesopotamia. Disebut buat kali pertama di Kejadian 2:14 sebagai salah satu sungai yang mengalir di Taman Eden. Juga dipanggil “sungai besar.” (Kel 23:31) Menjadi sempadan utara tanah Israel. (Kej 15:18; Why 16:12)—Lihat Lampiran B2.
Elul.
Nama untuk bulan ke-6 dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ke-12 dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Ogos hingga pertengahan bulan September. (Ne 6:15)—Lihat Lampiran B15.
Etanim.
Nama untuk bulan ketujuh dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan pertama dalam kalendar sekular mereka. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan September hingga pertengahan bulan Oktober. Selepas orang Yahudi dibebaskan dari Babilon, bulan ini dipanggil bulan Tisyri. (1Ra 8:2)—Lihat Lampiran B15.
Etiopia.
Kerajaan kuno yang terletak di sebelah selatan Mesir. Kerajaan ini merangkumi bahagian selatan Mesir moden dan bahagian utara Sudan moden. Dalam Kitab Ibrani, Etiopia juga dipanggil “Kus” atau “Habsyah.”—Es 1:1.
F
Farisi.
Kumpulan agama Yahudi yang terkemuka pada abad pertama. Bukan keturunan para imam. Mereka menitikberatkan butiran terperinci dalam Hukum Musa dan terlalu mementingkan tradisi lisan. (Mt 23:23) Mereka menentang pengaruh budaya Yunani. Mereka sangat berpengaruh kerana mereka arif dalam Hukum dan adat. (Mt 23:2-6) Beberapa orang Farisi merupakan ahli Majlis Orang Yahudi. Mereka sering menentang Yesus berkenaan hari Sabat, adat, dan pergaulan dengan pendosa dan pemungut cukai. Ada yang menjadi orang Kristian, seperti Saulus dari Tarsus.—Mt 9:11; 12:14; Mr 7:5; Lu 6:2; Kis 26:5.
Fatom.
Ukuran jarak yang bersamaan 1.8 m. Digunakan untuk mengukur kedalaman air. (Kis 27:28, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Filistia; Orang Filistin.
Negeri yang terletak di persisiran pantai selatan Israel dipanggil Filistia. Pendatang dari Kreta yang tinggal di situ dipanggil orang Filistin. Daud pernah mengalahkan mereka, tetapi mereka tidak pernah ditakluki dan selalu menyerang orang Israel. (Kel 13:17; 1Sa 17:4; Amo 9:7)—Lihat Lampiran B4.
Firaun.
Firdaus.
Taman yang cantik. Firdaus pertama ialah Taman Eden, yang disediakan oleh Yehuwa untuk pasangan manusia pertama. Semasa Yesus bercakap kepada salah seorang penjenayah yang digantungkan pada tiang seksaan di sebelahnya, Yesus menyatakan bahawa bumi akan menjadi sebuah firdaus. Di 2 Korintus 12:4, nampaknya perkataan ini merujuk kepada firdaus pada masa hadapan, dan di Wahyu 2:7, perkataan ini merujuk kepada firdaus di syurga.—Lu 23:43.
G
Gabenor daerah.
Gehena.
Nama Yunani untuk Lembah Hinom yang terletak di selatan dan barat daya Yerusalem kuno. (Yer 7:31) Telah dinubuatkan bahawa mayat akan bergelimpangan di tempat ini. (Yer 7:32; 19:6) Tiada bukti bahawa binatang atau manusia dibuang ke dalam Gehena untuk diseksa atau dibakar hidup-hidup. Maka, Gehena tidak melambangkan tempat roh manusia diseksa selama-lamanya dalam api. Sebaliknya, Yesus dan murid-muridnya menggunakan perkataan ini untuk melambangkan “kematian yang kedua,” iaitu hukuman pembinasaan kekal.—Why 20:14; Mt 5:22; 10:28.
Gera.
Batu timbangan yang beratnya 0.57 g. Bersamaan dengan 1/20 syekel. (Im 27:25)—Lihat Lampiran B14.
Gilead.
Merujuk kepada kawasan subur yang terletak di sebelah timur Sungai Yordan yang merangkumi bahagian utara dan selatan Lembah Yabok. Ada kalanya digunakan untuk merujuk kepada seluruh kawasan negeri Israel yang terletak di sebelah timur Sungai Yordan, iaitu tempat tinggal suku Ruben, suku Gad, dan separuh daripada suku Manasye. (Bil 32:1; Yos 12:2; 2Ra 10:33)—Lihat Lampiran B4.
Gitit.
Istilah muzik yang tidak dapat dikenal pasti maksudnya, tetapi mungkin berasal daripada perkataan Ibrani gath. Mungkin merujuk kepada irama lagu yang dinyanyikan semasa membuat wain kerana perkataan gath membawa maksud tempat memeras anggur.—Mz 81:0.
Gulungan.
Diperbuat daripada kulit binatang atau papirus. Mengandungi tulisan pada muka depan dan biasanya digulung pada sebatang kayu. Merupakan bentuk buku yang biasa digunakan pada zaman penulisan Bible. Ayat-Ayat Suci ditulis dan disalin pada gulungan-gulungan.—Yer 36:4, 18, 23; Lu 4:17-20; 2Ti 4:13.
Gundik.
H
Hakim-hakim.
Lelaki yang dilantik oleh Yehuwa untuk menyelamatkan umat-Nya sebelum bangsa Israel mempunyai raja-raja manusia.—Hak 2:16.
Halaman.
Merujuk kepada kawasan terbuka yang berpagar di sekeliling khemah suci, dan kemudian kawasan terbuka yang bertembok di sekeliling bangunan utama Rumah Tuhan. Mazbah untuk korban bakar terletak di halaman khemah suci dan di kawasan Rumah Tuhan yang dipanggil halaman dalam. (Lihat Lampiran B5, B8, B11.) Bible juga menyebut tentang halaman rumah dan halaman istana.—Kel 8:13; 27:9; 1Ra 7:12; Es 4:11; Mt 26:3.
Haluan Tuan.
Ungkapan “haluan” digunakan secara kiasan dalam Bible untuk merujuk kepada perbuatan atau kelakuan yang diperkenankan atau yang tidak diperkenankan Yehuwa. Pengikut Yesus dikenali sebagai pengikut “Haluan Tuan” kerana mereka mengikut teladan Yesus dan hidup berdasarkan iman kepadanya.—Kis 19:9.
Hari Pengampunan Dosa.
Hari suci terpenting bagi orang Israel. Juga dipanggil Yom Kippur (daripada ungkapan Ibrani yohm hak·kip·pu·rimʹ, “hari penutupan”), yang diadakan pada 10 Etanim. Setiap tahun pada hari itu, imam agung akan memasuki Bilik Maha Suci dan mempersembahkan darah daripada binatang yang dikorbankan untuk dosa sendiri, orang Lewi, dan umat Israel. Pada hari itu, orang Israel berkumpul untuk beribadat dan berpuasa. Hari itu juga merupakan hari Sabat, maka mereka tidak boleh bekerja.—Im 23:27, 28.
Hari Penghakiman.
Hari atau jangka masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk menghakimi bangsa atau kumpulan tertentu, atau umat manusia secara umum. Pada waktu itu, orang yang dijatuhi hukuman mati akan dibinasakan, dan orang lain pula mungkin diselamatkan dan mendapat kehidupan kekal. Yesus Kristus dan para rasulnya menyebut tentang “Hari Penghakiman” yang akan berlaku pada masa depan. Pada masa itu, orang hidup dan orang mati akan dihakimi.—Mt 12:36.
Hari Persiapan.
Hari sebelum hari Sabat yang digunakan oleh orang Yahudi untuk membuat persiapan. Hari Persiapan berakhir apabila matahari terbenam pada hari Jumaat. Pada masa itu, bermulalah hari Sabat. Bagi orang Yahudi, hari baharu bermula apabila matahari terbenam dan berakhir apabila matahari terbenam pada hari yang seterusnya.—Mr 15:42; Lu 23:54.
Hari-hari terakhir.
Ungkapan ini dan ungkapan “akhir zaman” merujuk kepada tempoh masa apabila peristiwa-peristiwa bersejarah yang dinubuatkan dalam Bible mencapai kemuncaknya. (Yeh 38:16; Da 8:17; Kis 2:17) Boleh merujuk kepada tempoh masa beberapa tahun atau berpuluh-puluh tahun. Ungkapan ini khususnya digunakan dalam Bible sehubungan dengan “hari-hari terakhir” sistem dunia ini, iaitu semasa kehadiran Yesus.—2Ti 3:1; Yak 5:3; 2Pt 3:3.
Hasil pertama.
Buah pertama yang diperoleh semasa musim menuai; apa-apa hasil atau produk pertama yang diperoleh. Yehuwa menghendaki bangsa Israel mempersembahkan hasil pertama mereka, tidak kira hasil itu berupa orang, binatang, atau tanaman. Seluruh bangsa Israel mempersembahkan hasil pertama kepada Tuhan semasa Perayaan Roti Tidak Beragi dan Pentakosta. Juga digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada Kristus dan pengikutnya yang terurap.—Bil 15:21; Ams 3:9; 1Ko 15:23, nota kaki; Why 14:4.
Hasta.
Ukuran jarak. Panjang dari siku sampai ke hujung jari hantu. Biasanya orang Israel menggunakan hasta yang berukuran kira-kira 44.5 cm. Mereka juga menggunakan ukuran hasta yang panjang, yang berukuran kira-kira 51.8 cm, iaitu satu tapak tangan lebih panjang daripada hasta biasa. (Kej 6:15, nota kaki; Lu 12:25, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Hermes.
Anak Zeus; salah satu dewa orang Yunani. Dianggap sebagai utusan dewa dewi. Di Listra, Paulus digelar Hermes kerana dia pandai berkata-kata.—Kis 14:12.
Herodes.
Nama keluarga bagi dinasti yang dilantik oleh orang Roma untuk memerintah orang Yahudi. Herodes yang Agung menjadi terkenal kerana dia telah membina semula Rumah Tuhan di Yerusalem dan mengarahkan agar kanak-kanak lelaki dibunuh pada zaman Yesus. (Mt 2:16; Lu 1:5) Herodes Arkelaus dan Herodes Antipas, anak kepada Herodes yang Agung, dilantik sebagai pemerintah atas kawasan-kawasan yang pernah diperintah oleh bapa mereka. (Mt 2:22) Antipas sering dikenali sebagai “raja.” Dia telah memerintah sepanjang masa kerja penyebaran Kristus sehingga masa yang disebut di Kisah bab 12. (Mr 6:14-17; Lu 3:1, 19, 20; 13:31, 32; 23:6-15; Kis 4:27; 13:1) Selepas itu, Herodes Agripa I, cucu kepada Herodes yang Agung, dibunuh oleh malaikat Tuhan setelah memerintah untuk waktu yang singkat. (Kis 12:1-6, 18-23) Anaknya Herodes Agripa II memerintah sehingga masa pemberontakan orang Yahudi terhadap Roma.—Kis 23:35; 25:13, 22-27; 26:1, 2, 19-32.
Higaion.
Istilah teknikal bagi pemuzik. Di Mazmur 9:16, istilah ini mungkin bermaksud selingan muzik kecapi yang bernada rendah dan mencerminkan suasana yang suram, atau jeda yang menggalakkan perenungan.
Hin.
Sukatan cecair dan nama bekas yang berukuran 3.67 L. (Kel 29:40)—Lihat Lampiran B14.
Hisop.
Tumbuhan yang mempunyai daun dan ranting yang halus. Digunakan untuk memercikkan darah atau air semasa upacara penyucian. Istilah Yunani dan Ibrani yang digunakan dalam Bible mungkin merangkumi beberapa jenis tumbuhan yang berbeza. “Hisop” yang disebut di Yohanes 19:29, mungkin merujuk kepada sejenis tumbuhan yang batangnya cukup panjang untuk membawa span yang dicelup wain masam ke mulut Yesus.—Kel 12:22; Mz 51:7, nota kaki.
Homer.
Sukatan bahan kering yang bersamaan dengan kor. Berdasarkan anggaran isi padu bath, sukatan ini berukuran 220 L. (Im 27:16)—Lihat Lampiran B14.
Horeb; Gunung Horeb.
Kawasan pergunungan yang mengelilingi Gunung Sinai. Nama lain bagi Gunung Sinai. (Kel 3:1; Ul 5:2)—Lihat Lampiran B3.
Hukum.
Jika ditulis dalam huruf besar, sering merujuk kepada Hukum Musa atau lima buku pertama dalam Bible. Jika ditulis dalam huruf kecil, merujuk kepada peraturan tertentu dalam Hukum Musa atau prinsip daripada suatu peraturan.—Bil 15:16; Ul 4:8; Mt 7:12; Ga 3:24.
Hukum Musa.
I
Iblis.
Ibrani; Orang Ibrani.
Gelaran yang pada mulanya diberikan kepada Abram (Abraham) untuk membezakannya daripada orang Amori. Kemudian digunakan untuk merujuk kepada keturunan Yakub, iaitu cucu Abraham, dan juga bahasa yang digunakan oleh mereka. Pada zaman Yesus, bahasa Ibrani mengandungi banyak ungkapan bahasa Aram, dan bahasa inilah yang dituturkan oleh Kristus dan murid-muridnya.—Kej 14:13; Kel 5:3; Kis 26:14.
Ikrar.
Ilirikum.
Sebuah daerah Roma di barat laut Yunani. Paulus membuat perjalanan sampai ke daerah ini, tetapi tidak diketahui sama ada dia menginjil di Ilirikum atau setakat sempadan daerah ini. (Rm 15:19)—Lihat Lampiran B13.
Ilmu sihir.
Kepercayaan bahawa roh meninggalkan tubuh seseorang yang telah mati lalu terus hidup dan boleh berkomunikasi dengan orang yang hidup melalui seorang perantara. Kata Yunani (phar·ma·kiʹa) untuk “penggunaan ilmu sihir” secara harfiah bererti “ubat-ubatan,” kerana ubat-ubatan digunakan pada zaman kuno untuk memohon bantuan roh-roh jahat semasa ilmu sihir diamalkan.—Ga 5:20; Why 21:8.
Imam.
Seorang lelaki yang mewakili Tuhan dan bertanggungjawab untuk mengajar umat tentang Tuhan dan hukum-Nya. Mereka mewakili umat di hadapan Tuhan, mempersembahkan korban, dan merayu serta membuat permohonan bagi pihak umat Tuhan. Sebelum Hukum Musa diasaskan, kepala keluarga berkhidmat sebagai imam bagi keluarganya. Di bawah Hukum Musa, kaum lelaki dalam keluarga Harun daripada suku Lewi membentuk kumpulan imam. Kaum lelaki lain daripada suku Lewi menjadi pembantu mereka. Semasa perjanjian baharu diasaskan, Israel rohani menjadi bangsa yang terdiri daripada para imam, dan Yesus Kristus menjadi imam agung mereka.—Kel 28:41; Ibr 9:24; Why 5:10.
Imam agung.
Juga dipanggil “ketua imam.” Di bawah Hukum Musa, imam agung ialah imam utama yang mewakili umat Israel di hadapan Tuhan. Dia menyelia imam-imam lain. (2Ta 26:20; Ez 7:5) Dia sahaja yang dibenarkan untuk memasuki Bilik Maha Suci pada Hari Pengampunan Dosa. Istilah “imam agung” juga boleh merujuk kepada Yesus Kristus.—Im 16:2, 17; 21:10; Mt 26:3; Ibr 4:14.
Israel; Orang Israel.
Nama yang diberikan oleh Tuhan kepada Yakub. Kemudian digunakan untuk merujuk kepada semua keturunan Yakub. Keturunan 12 orang anak lelaki Yakub sering dipanggil umat Israel, keturunan Israel, bangsa Israel, dan orang Israel. Juga digunakan sebagai nama bagi kerajaan utara yang terdiri daripada 10 suku, yang terpisah daripada kerajaan di selatan. Kemudian digunakan sebagai gelaran bagi orang Kristian terurap, iaitu “Israel milik Tuhan.”—Ga 6:16; Kej 32:28; 2Sa 7:23; Rm 9:6.
J
Jengkal.
Ukuran jarak. Panjang dari hujung ibu jari hingga hujung jari kelengkeng yang direntangkan. Memandangkan satu hasta (44.5 cm) bersamaan dengan dua jengkal, satu jengkal ialah 22.2 cm. (Kel 28:16, nota kaki; 1Sa 17:4, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Jiwa.
Daripada kata Ibrani neʹphesh dan kata Yunani psy·kheʹ. Lazimnya digunakan dalam Bible untuk merujuk kepada (1) orang, (2) binatang, atau (3) nyawa orang atau binatang. (Kej 1:20; 2:7; 1Pt 3:20; lihat juga nota-nota kaki) Bible menunjukkan bahawa neʹphesh dan psy·kheʹ merujuk kepada makhluk hidup di bumi yang mempunyai tubuh, dapat dilihat, disentuh, dan boleh mati. Dalam terjemahan ini, perkataan-perkataan asal ini diterjemahkan mengikut konteks, dengan menggunakan istilah seperti “nyawa,” “makhluk hidup,” “orang,” atau kata ganti diri (contohnya, “aku” untuk “jiwaku”). Istilah “segenap jiwa” merujuk kepada perbuatan yang dilakukan dengan sepenuh hati. (Ul 6:5; Mt 22:37) Juga boleh merujuk kepada keinginan makhluk-makhluk hidup, atau kepada orang yang sudah mati, mayat, atau bangkai.—Bil 6:6; Ams 16:26; Hag 2:13.
Jurang yang dalam.
Jurutulis hukum.
Penyalin Kitab Ibrani. Merujuk kepada golongan yang arif dalam Hukum Musa pada zaman Yesus. Mereka menentang Yesus.—Ez 7:6; Mr 12:38, 39; 14:1.
K
Kab.
Sukatan bahan kering yang berukuran 1.22 L, menurut anggaran isi padu bath. (2Ra 6:25, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Kain guni.
Kain kasar untuk membuat guni atau kantung, seperti kantung untuk mengisi biji-bijian. Biasanya ditenun daripada bulu kambing berwarna gelap. Dipakai semasa berkabung.—Kej 37:34; Lu 10:13.
Kaisar.
Kamos.
Dewa utama orang Moab.—1Ra 11:33.
Kanaan.
Cucu Nuh dan anak keempat Ham. Sebelas suku daripada keturunan Kanaan tinggal di sepanjang kawasan timur Laut Mediterranean di antara Mesir dengan Siria. Kawasan ini dipanggil “tanah Kanaan.” (Kis 13:19; Kej 9:18; Im 18:3)—Lihat Lampiran B4.
Kapal-kapal Tarsis.
Pada mulanya, istilah ini merujuk kepada kapal-kapal yang membuat perjalanan ke Tarsis kuno (Sepanyol moden). Kemudiannya istilah ini mungkin merujuk kepada kapal-kapal besar yang dapat membuat perjalanan jauh. Salomo dan Yehosafat menggunakan kapal-kapal itu untuk berdagang.—1Ra 9:26; 10:22; 22:48.
Kasdim; Orang Kasdim.
Pada asalnya merujuk kepada negeri dan orang yang tinggal di kawasan delta Sungai Tigris dan Sungai Efrat. Kemudiannya digunakan untuk merujuk kepada seluruh Babilonia dan rakyatnya. Juga merujuk kepada sekumpulan orang terpelajar yang mengkaji sains, sejarah, bahasa, dan bintang, serta mengamalkan ilmu sihir dan menilik dengan melihat bintang.—Ez 5:12; Da 4:7; Kis 7:4.
Kasih setia.
Kayu pengukur.
Kayu yang panjangnya enam hasta. Berdasarkan hasta biasa, kayu ini berukuran 2.67 m. Berdasarkan hasta yang panjang pula, kayu ini berukuran 3.11 m. (Yeh 40:3, 5; Why 11:1)—Lihat Lampiran B14.
Kebaikan hati yang unggul.
Daripada kata Yunani yang pada dasarnya bererti menyenangkan hati atau menawan hati. Sering merujuk kepada suatu pemberian atau cara suatu pemberian diberikan. Boleh diterjemahkan dalam beberapa cara mengikut konteks. Semasa merujuk kepada kebaikan hati Tuhan, kata Yunani asal menggambarkan kurniaan percuma yang diberikan oleh Tuhan secara murah hati dan tanpa mengharapkan balasan. Maka ungkapan ini merujuk kepada kasih, kemurahan hati, dan kebaikan hati, yang ditunjukkan oleh Tuhan kepada manusia meskipun mereka tidak layak menerimanya. Kurniaan ini bukanlah sesuatu yang wajib diberikan atau yang diberikan sebagai ganjaran.—2Ko 6:1; Ef 1:7.
Kehadiran.
Dalam beberapa konteks dalam Kitab Yunani Kristian, perkataan ini menggambarkan kehadiran Yesus Kristus semasa hari-hari terakhir sistem dunia ini. Bermula sejak dia ditabalkan sebagai Raja Kerajaan Mesias. Kehadiran Kristus tidak dapat dilihat dan tidak merujuk kepada kedatangan yang singkat. Sebaliknya merangkumi suatu jangka waktu yang ditandai oleh peristiwa-peristiwa yang penting.—Mt 24:3.
Kemenyan.
Campuran daripada getah wangi dan balsam yang mengeluarkan bau harum semasa dibakar. Kemenyan yang digunakan di khemah suci dan Rumah Tuhan terdiri daripada empat jenis bahan, dan dibakar setiap pagi dan malam di atas mazbah di dalam Bilik Suci. Tetapi pada Hari Pengampunan Dosa, kemenyan ini dibakar di dalam Bilik Maha Suci. Kemenyan melambangkan doa yang diperkenankan Tuhan. Orang Kristian tidak wajib menggunakan kemenyan.—Kel 30:34, 35; Im 16:13; Why 5:8.
Kemenyan putih.
Getah kering daripada pokok dan tumbuhan renek tertentu (genus Boswellia), yang berbau harum semasa dibakar. Digunakan untuk menyediakan kemenyan suci yang dibakar di khemah suci dan Rumah Tuhan. Juga dipersembahkan bersama korban bijirin dan diletakkan bersama setiap longgokan roti yang dipersembahkan di Bilik Suci.—Kel 30:34-36; Im 2:1; 24:7; Mt 2:11.
Kemurtadan.
Daripada istilah Yunani a·po·sta·siʹa yang kata kerjanya bererti “berdiri jauh daripada.” Kata namanya pula bererti “meninggalkan, mengabaikan, atau memberontak.” Digunakan dalam Kitab Yunani Kristian sehubungan dengan orang yang berpaling daripada ibadat sejati.—Ams 11:9; Kis 21:21; 2Te 2:3.
Kepala tiang.
Hiasan yang diletakkan di atas sebatang tiang. Dua buah kepala tiang yang besar boleh dijumpai di atas dua batang tiang di hadapan Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo. (1Ra 7:16)—Lihat Lampiran B8.
Kerajaan Tuhan.
Kereta kuda.
Kenderaan beroda dua yang biasanya digunakan semasa perang.—Kel 14:23; Hak 4:13; Kis 8:28.
Kertas kulit.
Diperbuat daripada kulit bebiri, kambing, atau anak lembu. Lebih tahan daripada papirus dan digunakan untuk menghasilkan gulungan Bible. Gulungan-gulungan yang diminta oleh Paulus mungkin mengandungi petikan Kitab Ibrani. Sesetengah Gulungan Laut Mati ditulis pada kertas kulit.—2Ti 4:13.
Kerub.
Malaikat-malaikat berpangkat tinggi yang diberi tugas istimewa. Berbeza daripada serafim.—Kej 3:24; Kel 25:20; Yes 37:16; Ibr 9:5.
Kesengsaraan besar.
Kata Yunani untuk “kesengsaraan” membawa erti penderitaan yang dialami oleh seseorang yang berada dalam keadaan yang susah. Yesus menyebut tentang “kesengsaraan besar” yang menimpa Yerusalem dan yang khususnya akan menimpa manusia apabila dia datang pada masa depan. (Mt 24:21, 29-31) Paulus berkata bahawa Tuhan akan membawa kesengsaraan ini terhadap “mereka yang tidak mengenal Tuhan, dan terhadap mereka yang tidak mentaati berita baik.” Wahyu bab 19 menunjukkan bahawa Yesuslah yang akan memimpin pasukan tentera di syurga untuk berperang melawan “binatang buas dan raja-raja di bumi serta angkatan tentera mereka.” (2Te 1:6-8; Why 19:11-21) Buku Wahyu juga menggambarkan “kumpulan besar manusia” yang selamat mengharungi kesengsaraan ini. (Why 7:9, 14)—Lihat ARMAGEDON.
Ketua gabenor wilayah.
Ketua imam.
Gelaran lain bagi “imam agung” dalam Kitab Ibrani. Dalam Kitab Yunani Kristian, ungkapan “ketua-ketua imam” nampaknya merujuk kepada imam-imam yang memainkan peranan penting dalam kalangan para imam. Mungkin juga termasuk orang yang pernah berkhidmat sebagai imam agung dan mereka yang berkhidmat sebagai ketua-ketua dalam 24 kumpulan imam.—2Ta 26:20; Ez 7:5; Mt 2:4; Mr 8:31.
Ketua malaikat.
Khemah pertemuan.
Khemah suci.
Khemah mudah alih yang digunakan oleh orang Israel selepas pembebasan dari Mesir; tempat untuk beribadat dan mempersembahkan korban. Tabut perjanjian Yehuwa, yang melambangkan kehadiran-Nya, diletakkan di dalam khemah ini. Kadangkala dikenali sebagai “khemah pertemuan.” Dibina daripada rangka-rangka kayu yang ditutup dengan kain linen yang bersulamkan kerub. Dibahagikan kepada dua bahagian, bahagian pertama dipanggil Bilik Suci, dan bahagian kedua dipanggil Bilik Maha Suci. (Yos 18:1; Kel 25:9)—Lihat Lampiran B5.
Khidmat suci.
Kirbat.
Kantung yang digunakan untuk menyimpan wain; diperbuat daripada kulit binatang seperti kambing atau bebiri. Wain disimpan dalam kirbat yang baharu, kerana wain yang sedang mengalami proses penapaian akan mengeluarkan gas karbon dioksida yang menyebabkan tekanan dalam kirbat itu meningkat. Kirbat baharu akan mengembang; kirbat lama tidak akan mengembang dan akan pecah di bawah tekanan.—Yos 9:4; Mt 9:17.
Kislew.
Nama untuk bulan kesembilan dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ketiga dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan November hingga pertengahan bulan Disember. (Ne 1:1; Za 7:1)—Lihat Lampiran B15.
Kor.
Sukatan bahan kering dan sukatan cecair yang berukuran 220 L, dianggarkan berdasarkan isi padu bath. (1Ra 5:11, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Korban.
Dipersembahkan kepada Tuhan untuk mengucapkan syukur, mengakui kesalahan, dan memulihkan hubungan yang baik dengan-Nya. Sejak zaman Habel, pelbagai korban dipersembahkan dengan sukarela, termasuk korban binatang. Kemudian di bawah perjanjian Hukum Musa, korban-korban wajib dipersembahkan. Selepas Yesus mempersembahkan nyawanya sebagai korban yang sempurna, korban binatang tidak lagi diperlukan. Namun orang Kristian tetap mempersembahkan korban rohani kepada Tuhan.—Kej 4:4; Ibr 13:15, 16; 1Yo 4:10.
Korban bakar.
Korban binatang yang dibakar di atas mazbah untuk Tuhan. Seluruh binatang dipersembahkan, dan pemberi korban tidak boleh menyimpan mana-mana bahagian daripada binatang (lembu jantan, bebiri jantan, kambing jantan, burung tekukur, atau burung merpati muda) yang dipersembahkan.—Kel 29:18; Im 6:9.
Korban dosa.
Korban ganti rugi.
Korban untuk memohon ampun bagi dosa sendiri. Sedikit berbeza daripada korban-korban pengampunan dosa yang lain. Seseorang akan mempersembahkan korban ini agar dia diampuni dan tidak lagi dihukum, dan agar dia mendapat kembali hak-hak perjanjian yang telah hilang kerana dia berdosa.—Im 7:37; 19:22; Yes 53:10.
Korban kesyukuran.
Korban pendamaian yang bertujuan untuk memuji Tuhan atas pemberian-Nya dan kasih setia-Nya. Daging binatang yang dipersembahkan, roti yang beragi, dan roti yang tidak beragi, akan dimakan. Daging itu harus dimakan pada hari korban itu dipersembahkan.—2Ta 29:31.
Korban pendamaian.
Dipersembahkan kepada Yehuwa untuk berdamai dengan-Nya. Dimakan oleh orang yang mempersembahkan korban ini bersama seisi rumahnya, imam yang mempersembahkan korban ini, dan imam-imam lain yang sedang bertugas. Lemak dan darah binatang dipersembahkan kepada Tuhan. Korban ini menggambarkan hubungan yang damai antara Yehuwa, para imam, dan penyembah-Nya, kerana mereka semua seolah-olah sedang duduk bersama dan menjamu selera.—Im 7:29, 32; Ul 27:7.
Korban untuk menunaikan ikrar.
Korban wain.
Korban yang diayunkan.
Orang yang mempersembahkan korban ini akan membawanya kepada seorang imam. Imam akan meletakkan tangannya di bawah tangan orang itu, lalu mereka akan mengayunkan korban itu ke depan dan belakang, atau hanya imam yang akan mengayunkannya. Tindakan ini melambangkan bahawa korban-korban suci itu sedang dipersembahkan kepada Yehuwa.—Im 7:30.
Kota Daud.
Nama baharu bagi kota Yebus selepas Daud menaklukinya dan membina kediaman dirajanya di situ. Juga dipanggil Sion. Terletak di bahagian tenggara Yerusalem dan merupakan bahagian Yerusalem yang paling tua.—2Sa 5:7; 1Ta 11:4, 5.
Kota-kota perlindungan.
Bertujuan untuk melindungi sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja. Orang itu boleh melarikan diri ke salah sebuah kota itu agar tidak dibunuh oleh orang yang berhak menuntut pembalasan. Setibanya di kota itu, orang tersebut akan dilayan dengan baik dan diminta mengemukakan perkaranya kepada para pemimpin di pintu gerbang kota. Yehuwa telah mengarahkan Musa dan Yosua untuk memilih enam buah kota sebegitu di seluruh Tanah yang Dijanjikan. Kota-kota itu diambil daripada kota-kota orang Lewi. Agar aturan ini tidak disalahgunakan, orang yang ingin tinggal di kota perlindungan harus diadili di kota tempat pembunuhan itu berlaku. Jika dia terbukti tidak bersalah, dia harus kembali ke kota perlindungan dan tinggal di situ seumur hidupnya atau sehingga imam agung pada masa itu meninggal.—Bil 35:6, 11-15, 22-29; Yos 20:2-8.
Kristian.
Gelaran yang diberikan oleh Tuhan kepada pengikut Kristus.—Kis 11:26; 26:28.
Kristus.
Kuasa suci Tuhan.
Kuasa atau daya yang tidak kelihatan, yang digunakan oleh Tuhan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Kuasa ini merupakan kuasa yang suci kerana berasal daripada Yehuwa yang memiliki kemurnian dan keadilan yang tiada tolok bandingan, dan kerana Tuhan menggunakan kuasa suci-Nya untuk melaksanakan pekerjaan yang suci. Sebelum ini, istilah ini diterjemahkan sebagai daya aktif Tuhan. (Lu 1:35; Kis 1:8)—Lihat ROH KUDUS.
Kuburan.
Jika ditulis dalam huruf kecil, merujuk kepada kuburan seseorang. Jika ditulis dalam huruf besar, merujuk kepada perkuburan umum umat manusia, dan sepadan dengan kata Ibrani “Sheol” dan kata Yunani “Hades.” Dalam Bible, perkataan ini merujuk kepada keadaan atau tempat simbolik. Tiada kegiatan di sana dan orang mati yang berada di sana tidak sedar akan apa-apa pun.—Kej 47:30; Pkh 9:10; Kis 2:31.
Kuk.
Merujuk kepada palang yang diletakkan di atas bahu seseorang untuk memikul beban yang digantungkan pada setiap hujung palang. Juga merujuk kepada rangka atau palang kayu yang diletakkan pada leher dua ekor binatang (biasanya lembu) semasa menarik alat pertanian atau pedati. Hamba abdi sering menggunakan kuk untuk memikul beban yang berat. Maka kuk boleh digunakan secara kiasan untuk melambangkan perhambaan, ketundukan kepada orang lain, penindasan, atau penderitaan. Perbuatan menyingkirkan atau mematahkan kuk melambangkan pembebasan daripada perhambaan dan penindasan.—Im 26:13; Mt 11:29, 30.
Kulapuk.
Penyakit-penyakit yang menyerang tanaman yang disebabkan oleh kulat. Kulapuk yang disebutkan dalam Bible mungkin merujuk kepada karat batang hitam (Puccinia graminis).—1Ra 8:37, nota kaki.
Kulit kayu.
Hasil daripada kulit pokok (Cinnamomum cassia) yang serupa dengan pokok kayu manis. Digunakan untuk membuat minyak wangi dan minyak suci.—Kel 30:24; Mz 45:8; Yeh 27:19.
Kumpulan agama.
Sekumpulan orang yang berpegang teguh pada doktrin tertentu atau yang mengikut seorang pemimpin manusia. Mereka mempunyai kepercayaan sendiri. Digunakan untuk merujuk kepada dua cabang agama Yahudi yang terkemuka, iaitu golongan Farisi dan golongan Saduki. Orang bukan Kristian memanggil agama Kristian sebagai “kumpulan agama orang Nasaret,” kerana mereka mungkin menganggap bahawa agama Kristian ialah agama baharu yang merupakan cabang agama Yahudi. Kumpulan-kumpulan agama telah muncul dalam sidang Kristian, dan buku Wahyu ada menyebut tentang “kumpulan agama Nikolaus.”—Kis 5:17, nota kaki; 15:5, nota kaki; 24:5; 28:22; Why 2:6; 2Pt 2:1.
Kusta.
Penyakit kulit yang teruk. Penyakit kusta yang disebut dalam Bible berbeza dengan penyakit kusta yang dikenali hari ini; kusta yang disebut dalam Bible boleh menjangkiti manusia, pakaian, dan rumah.—Im 14:54, 55; Lu 5:12.
Kutukan; Sumpahan.
Tidak sama dengan bercakap buruk tentang orang lain. Dibuat untuk mengancam atau mendatangkan malapetaka atas seseorang atau sesuatu. Kutukan biasanya merupakan pernyataan tentang sesuatu yang jahat. Kutukan yang dibuat oleh Tuhan atau seseorang yang menerima kuasa daripada Tuhan selalunya berkaitan dengan nubuat.—Kej 12:3; Bil 22:12; Ga 3:10.
L
Lagu ratapan.
Lepton.
Duit syiling terkecil yang digunakan oleh orang Yahudi pada zaman Kitab Yunani Kristian. Diperbuat daripada tembaga atau gangsa. (Mr 12:42; Lu 21:2; nota-nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Lewi; Orang Lewi.
Anak lelaki Yakub yang ketiga, yang dilahirkan oleh Lea. Juga merujuk kepada suku Lewi. Tiga orang anak lelaki Lewi menjadi nenek moyang kepada tiga puak utama yang membentuk keturunan Lewi. Ada kalanya istilah “orang Lewi” merujuk kepada seluruh suku Lewi, tetapi biasanya tidak merangkumi keluarga Harun yang terdiri daripada para imam. Tidak seperti suku-suku yang lain, suku Lewi tidak menerima warisan tanah di Tanah yang Dijanjikan. Namun mereka diberi 48 buah kota yang terletak di kawasan yang diwarisi oleh suku-suku lain.—Ul 10:8; 1Ta 6:1; Ibr 7:11.
Lewiatan.
Binatang yang biasanya dikaitkan dengan air, dan mungkin merujuk kepada makhluk yang hidup di dalam air, tetapi tidak dapat dikenal pasti. Di Ayub 3:8 dan 41:1, Lewiatan nampaknya merujuk kepada buaya atau binatang air lain yang besar dan kuat. Di Mazmur 104:26, Lewiatan mungkin merujuk kepada sejenis ikan paus. Juga digunakan secara kiasan.—Mz 74:14; Yes 27:1.
Log.
Sukatan cecair terkecil yang disebut dalam Bible. Menurut Kitab Talmud Yahudi, satu log berukuran 1/12 hin. Maka berdasarkan sukatan itu, satu log berukuran 0.31 L. (Im 14:10)—Lihat Lampiran B14.
M
Mahalat.
Istilah muzik yang ditemui dalam penerangan Mazmur 53 dan 88. Mungkin berkaitan dengan kata kerja Ibrani yang bererti “menjadi lemah; jatuh sakit,” dan boleh menyampaikan idea tentang suasana yang suram dan sedih. Hal ini selaras dengan kandungan kedua-dua mazmur ini yang bernada sayu.
Majlis Orang Yahudi.
Makam peringatan.
Tempat mayat dimakamkan. Istilah ini diterjemahkan daripada kata Yunani (mne·meiʹon) yang berasal daripada kata kerja “mengingatkan.” Kata ini membawa erti bahawa si mati tidak dilupakan.—Yoh 5:28, 29.
Makedonia.
Sebuah wilayah di utara Yunani, yang menjadi terkenal semasa pemerintahan Iskandar Agung, dan wilayah ini tetap merdeka sehingga ditawan oleh orang Roma. Sewaktu Rasul Paulus membuat perjalanannya yang pertama ke Eropah, Makedonia ialah sebuah wilayah Roma. Paulus melawat wilayah ini sebanyak tiga kali. (Kis 16:9)—Lihat Lampiran B13.
Malaikat.
Daripada kata Ibrani mal·ʼakhʹ dan kata Yunani agʹge·los, yang secara harfiah bererti “utusan,” tetapi diterjemahkan sebagai “malaikat” jika utusan itu ialah makhluk roh. (Kej 16:7; 32:3; Yak 2:25, nota kaki; Why 22:8) Malaikat merupakan makhluk roh yang perkasa, yang diciptakan oleh Tuhan lama sebelum manusia diciptakan. Dalam Bible, malaikat juga dipanggil “anak Tuhan” dan “bintang-bintang pagi.” (Ayb 1:6; 38:7; nota-nota kaki) Malaikat diciptakan secara berasingan dan tidak mempunyai keupayaan untuk melahirkan anak-anak malaikat. Terdapat lebih daripada seratus juta malaikat. (Da 7:10) Bible menunjukkan bahawa malaikat mempunyai nama dan keperibadian tersendiri. Meskipun demikian, para malaikat bersikap rendah hati dan enggan disembah. Bahkan nama kebanyakan malaikat tidak diketahui. (Kej 32:29; Lu 1:26; Why 22:8, 9) Malaikat mempunyai kedudukan dan peranan yang berbeza. Antaranya termasuk berkhidmat di hadapan takhta Yehuwa, menyampaikan pesanan Tuhan, bertindak bagi pihak hamba Yehuwa di bumi, melaksanakan penghakiman Tuhan, dan menyokong kerja penyebaran berita baik. (2Ra 19:35; Mz 34:7; Lu 1:30, 31; Why 5:11; 14:6) Pada masa hadapan, para malaikat akan menyokong Yesus dalam perang Armagedon.—Why 19:14, 15.
Malkam.
Manna.
Makanan utama orang Israel semasa mereka berada di padang belantara selama 40 tahun. Disediakan oleh Yehuwa setiap pagi kecuali pada hari Sabat. Muncul secara mukjizat di atas tanah dan dapat dilihat sewaktu lapisan embun yang meliputinya mengewap. Semasa orang Israel nampak manna buat kali pertama, mereka bertanya, “Apakah benda ini?” atau, dalam bahasa Ibrani, “man huʼ?” (Kel 16:13-15, 35) Juga dipanggil “bijirin dari syurga” (Mz 78:24), “roti dari syurga” (Mz 105:40), dan “roti orang perkasa” (Mz 78:25, nota kaki). Yesus juga menyebut tentang manna secara kiasan.—Yoh 6:49, 50.
Maskil.
Istilah Ibrani yang maksudnya tidak dapat dipastikan. Penerangan bagi 13 buah mazmur mengandungi istilah ini. Mungkin bererti “sajak renungan.” Maksud perkataan ini mungkin berkaitan dengan perkataan yang diterjemahkan sebagai ‘berkhidmat dengan bijak.’—2Ta 30:22; Mz 32:0.
Mazbah.
Tempat mempersembahkan korban atau kemenyan. Dibina dengan menggunakan tanah, batu, bongkah batu, atau kayu yang dilapisi dengan logam. Di dalam bilik pertama khemah suci dan Rumah Tuhan, terdapat sebuah “mazbah emas” yang kecil untuk mempersembahkan kemenyan. Mazbah itu diperbuat daripada kayu yang dilapisi dengan emas. Di bahagian halaman, terdapat sebuah mazbah yang lebih besar, iaitu “mazbah tembaga,” untuk mempersembahkan korban bakar. (Kel 27:1; 39:38, 39; Kej 8:20; 1Ra 6:20; 2Ta 4:1; Lu 1:11)—Lihat Lampiran B5 dan B8.
Mazmur.
Lagu pujian kepada Tuhan. Mazmur diiringi irama muzik dan dinyanyikan oleh umat Tuhan. Juga dinyanyikan semasa umat Tuhan berkumpul untuk menyembah Tuhan Yehuwa di Rumah-Nya di Yerusalem.—Lu 20:42; Kis 13:33; Yak 5:13.
Mazmur Orang yang Naik ke Kota.
Ditemui dalam penerangan bagi Mazmur 120-134. Ada pelbagai penjelasan bagi ungkapan ini, tetapi banyak orang percaya bahawa 15 buah mazmur ini dinyanyikan oleh orang Israel dengan gembira semasa mereka ‘menaiki’ gunung-gunung di Yehuda untuk pergi ke kota Yerusalem supaya mereka dapat menyambut tiga perayaan tahunan di situ.
Media; Orang Media.
Bangsa keturunan anak Yafet yang bernama Madai. Mereka tinggal di dataran tinggi pergunungan Iran yang kemudian menjadi negeri Media. Orang Media bersepakat dengan Babilon untuk mengalahkan Assyria. Pada waktu itu, Persia ialah sebuah daerah yang dikuasai Media, tetapi Kores memberontak lalu Media bergabung dengan Persia untuk membentuk empayar Media dan Persia. Empayar ini telah mengalahkan empayar Neo-Babilon pada tahun 539 SM. Orang Media juga ada di Yerusalem semasa Perayaan Pentakosta pada tahun 33 M. (Da 5:28, 31; Kis 2:9)—Lihat Lampiran B9.
Melakukan apa yang benar.
Daripada kata Ibrani tseʹdheq dan tsedha·qahʹ dan kata Yunani di·kai·o·syʹne. Digunakan dalam Bible untuk merujuk kepada apa yang benar dan apa yang salah menurut piawaian Tuhan. (Mz 37:29; 2 Ti 3:16) Juga diterjemahkan sebagai “mendapat perkenan-Nya,” “perbuatan baik,” “jujur,” “adil,” “segala yang dikehendaki oleh Tuhan,” dan “apa yang benar di mata-Nya.”—Rm 4:3; Ams 11:4; Ef 5:9; Zef 2:3; Mt 3:15; 6:33.
Meletakkan tangan ke atas orang atau binatang.
Dibuat untuk melantik seseorang bagi menjalankan kerja yang khas. Juga dibuat untuk memberkati, menyembuhkan, atau memberi seseorang kurnia daripada kuasa suci Tuhan. Kadangkala imam akan meletakkan tangan ke atas binatang yang akan dikorbankan.—Kel 29:15; Bil 27:18; Kis 19:6; 1Ti 5:22.
Mencambuk.
Perbuatan memukul atau menyebat dengan cemeti yang mempunyai simpul atau cangkuk.—Yoh 19:1.
Mengirik; Tempat mengirik.
Proses memisahkan buah daripada tangkai dan sekam. Proses ini dilakukan di tempat mengirik. Orang yang mengirik dengan tangan akan menggunakan sebatang kayu. Jika terdapat banyak bijirin untuk diirik, alatan khas seperti papan mengirik atau roda-roda yang ditarik oleh binatang akan digunakan. Alatan ini digelekkan di atas bijirin yang telah ditaburkan di atas tempat mengirik, iaitu kawasan yang rata dan bulat yang biasanya terletak di tempat tinggi yang berangin.—Im 26:5; Yes 41:15; Mt 3:12.
Mengurapi.
Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini pada dasarnya bererti “menyapu dengan cecair.” Minyak dituang ke atas seseorang atau sesuatu untuk melambangkan bahawa orang itu atau benda itu diasingkan untuk khidmat yang khas. Dalam Kitab Yunani Kristian, perkataan ini juga merujuk kepada pencurahan kuasa suci Tuhan ke atas mereka yang dipilih untuk pergi ke syurga.—Kel 28:41; 1Sa 16:13; 2Ko 1:21.
Merodakh.
Dewa utama di kota Babilon. Selepas Hammurabi, iaitu raja Babilon dan penggubal hukum, menjadikan Babilon sebagai ibu kota Babilonia, Merodakh (atau Marduk) menjadi dewa yang penting. Akhirnya Merodakh menggantikan dewa-dewa sebelumnya lalu menjadi dewa utama di kuil orang Babilon. Pada kemudian hari, nama Merodakh (atau Marduk) digantikan dengan gelaran “Belu” (“Pemilik”), dan biasanya disebut sebagai Bel.—Yer 50:2.
Mesias.
Meterai.
Alat untuk membubuh cap (biasanya pada tanah liat atau lilin) bagi menunjukkan bukti pemilikan, kesahihan, atau persetujuan. Meterai zaman kuno diperbuat daripada bahan yang keras (batu, gading, atau kayu) yang padanya terukir huruf atau corak yang disongsangkan. Digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada sesuatu yang dapat dipercayai atau sesuatu yang disembunyikan dan dirahsiakan. Juga digunakan secara kiasan sebagai bukti pemilikan.—Kel 28:11; Ne 9:38; Why 5:1; 9:4.
Miktam.
Milkom.
Mina.
Juga dipanggil maneh dalam buku Yehezkiel. Sukatan untuk timbangan dan wang. Menurut bukti kaji purba, satu mina bersamaan dengan 50 syekel, dan satu syekel beratnya 11.4 g. Dalam Kitab Ibrani, satu mina beratnya 570 g. Mungkin juga terdapat sukatan mina yang dikira menurut timbangan diraja, sepertimana terdapat ukuran hasta yang dikira menurut ukuran diraja. Dalam Kitab Yunani Kristian, satu mina bersamaan dengan 100 drakma, iaitu 340 g. Enam puluh mina bersamaan dengan satu talenta. (Ez 2:69, nota kaki; Lu 19:13)—Lihat Lampiran B14.
Minyak akar wangi.
Sejenis minyak wangi mahal yang berwarna merah muda, daripada sejenis tumbuhan (Nardostachys jatamansi). Minyak ini mahal, maka orang sering mencampurkannya dengan minyak yang bermutu rendah, dan kadangkala minyak akar wangi tiruan dibuat. Yang menariknya, Markus dan Yohanes menyatakan bahawa “minyak akar wangi yang tulen” dituangkan pada Yesus.—Mr 14:3; Yoh 12:3.
Molekh.
Dewa orang Ammon; mungkin sama dengan Malkam, Milkom, dan Molokh. Mungkin juga merujuk kepada gelaran dan bukannya nama tuhan. Menurut Hukum Musa, sesiapa yang mempersembahkan anaknya kepada Molekh mesti dihukum mati.—Im 20:2; Yer 32:35; Kis 7:43.
Molokh.—
Lihat MOLEKH.
Mukjizat; Perbuatan yang menakjubkan.
Mur.
Getah wangi yang diperoleh daripada pelbagai jenis tumbuhan renek berduri atau pokok kecil (daripada genus Commiphora). Merupakan salah satu bahan dalam minyak suci yang digunakan untuk mengurapi. Digunakan sebagai pewangi bagi barang-barang seperti pakaian atau katil, dan dicampurkan dengan minyak yang digunakan untuk mengurut dan menjaga kulit. Mur juga digunakan untuk menyiapkan mayat yang akan dikuburkan.—Kel 30:23; Ams 7:17; Yoh 19:39.
Mut-laben.
Istilah yang ditemui dalam penerangan Mazmur 9. Pada mulanya, istilah ini bererti “berkenaan kematian anak lelaki.” Mungkin juga merupakan nama orang atau kata-kata pembukaan bagi melodi yang dimainkan semasa menyanyikan mazmur ini.
N
Nabi.
Najis.
Boleh merujuk kepada pelanggaran hukum moral atau keadaan jasmani yang tidak bersih. Dalam Bible, istilah ini sering digunakan untuk merujuk kepada apa yang tidak dapat diterima, atau tidak bersih, menurut Hukum Musa. (Im 5:2; 13:45; Kis 10:14; Ef 5:5)—Lihat BERSIH.
Nefilim.
Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini merujuk kepada gergasi yang ganas di bumi sebelum Banjir berlaku. Bapa mereka ialah malaikat-malaikat yang menjelma menjadi manusia lalu mengadakan hubungan dengan wanita manusia.—Kej 6:4, nota kaki.
Nehilot.
Istilah yang tidak dapat dipastikan maksudnya. Ditemui dalam penerangan bagi Mazmur 5. Mungkin merujuk kepada alat muzik yang ditiup, dan berkaitan dengan kata dasar Ibrani cha·lilʹ (seruling). Juga boleh merujuk kepada melodi lagu.
Nisan.
Nama baharu untuk bulan Abib, iaitu bulan pertama dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ketujuh dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Mac hingga pertengahan bulan April. (Ne 2:1)—Lihat Lampiran B15.
Nubuat.
Perkhabaran yang diilhami Tuhan. Perkhabaran ini bertujuan untuk menyingkapkan atau mengisytiharkan kehendak Tuhan. Nubuat mungkin berupa ajaran moral, perintah, penghakiman daripada Tuhan, atau pengisytiharan tentang sesuatu yang bakal berlaku.—Yeh 37:9, 10; Da 9:24; Mt 13:14; 2Pt 1:20, 21.
O
Omer.
Sukatan bahan kering yang berukuran 2.2 L, atau satu persepuluh efa. (Kel 16:16)—Lihat Lampiran B14.
Oniks.
Orang bebas; Orang yang sudah dibebaskan.
Di bawah pemerintahan Roma, “orang bebas” merujuk kepada seseorang yang bebas daripada perhambaan sejak lahir dan memiliki hak kewarganegaraan yang penuh. Sebaliknya, orang yang “sudah dibebaskan” merujuk kepada orang yang dibebaskan daripada perhambaan. Hamba yang dibebaskan secara rasmi akan menerima kewarganegaraan Roma, tetapi dia tidak berhak untuk memegang jawatan politik. Hamba yang dibebaskan secara tidak rasmi pula tidak lagi hidup sebagai hamba, tetapi dia tidak akan memiliki hak-hak sivil yang penuh.—1Ko 7:22.
Orang Nasaret.
Merujuk kepada Yesus, kerana dia dibesarkan di kota Nasaret. Mungkin mempunyai kaitan dengan kata Ibrani untuk “tunas” di Yesaya 11:1. Kemudiannya digunakan untuk merujuk kepada para pengikut Yesus.—Mt 2:23; Kis 24:5.
Orang Nazir.
Diambil daripada perkataan Ibrani na·zirʹ yang bererti “Orang yang Dikhaskan,” “Orang yang Dibaktikan,” dan “Orang yang Dikhususkan.” Terdapat dua jenis orang Nazir, iaitu orang yang memilih untuk menjadi orang Nazir dan orang yang dipilih oleh Tuhan untuk menjadi orang Nazir. Lelaki atau wanita boleh membuat ikrar yang khas kepada Yehuwa untuk hidup sebagai orang Nazir buat suatu jangka waktu. Orang yang memilih untuk berbuat demikian harus mematuhi tiga syarat utama: (1) Tidak boleh minum alkohol atau makan apa-apa pun yang berasal daripada pokok anggur, (2) tidak boleh memotong rambut, dan (3) tidak boleh menyentuh mayat. Orang yang dipilih oleh Tuhan untuk menjadi orang Nazir akan hidup sedemikian sepanjang hayat, dan Yehuwa akan menetapkan syarat-syarat tertentu untuk mereka.—Bil 6:2-7; Hak 13:5.
Orang Netinim.
Pekerja atau hamba di Rumah Tuhan yang bukan berbangsa Israel. Istilah Ibrani ini diterjemahkan secara harfiah sebagai “Orang yang Diberikan,” yang mungkin membawa maksud bahawa mereka dikhaskan untuk bekerja di Rumah Tuhan. Mungkin banyak orang Netinim ialah keturunan orang Gibeon, yang telah ditugaskan oleh Yosua untuk “mengumpulkan kayu dan menimba air untuk umat Israel dan untuk mazbah Yehuwa.”—Yos 9:23, 27; 1Ta 9:2, nota kaki; Ez 8:17, nota kaki.
Orang Samaria.
Pada mulanya, merujuk kepada orang Israel daripada kerajaan utara yang terdiri daripada 10 suku. Selepas Samaria ditakluki oleh orang Assyria pada tahun 740 SM, istilah ini merangkumi orang asing yang dibawa masuk oleh orang Assyria. Pada zaman Yesus, istilah ini tidak lagi digunakan untuk merujuk kepada bangsa atau negara seseorang, tetapi digunakan untuk merujuk kepada mereka yang menganggotai kumpulan agama di sekitar kawasan Sikhem dan Samaria kuno. Kumpulan agama ini mempunyai kepercayaan tertentu yang sangat berbeza daripada kepercayaan agama Yahudi.—Yoh 8:48.
P
Papirus.
Sejenis tumbuhan air yang menyerupai rumput tinggi. Batangnya digunakan untuk membuat bakul, bekas, dan perahu. Juga digunakan untuk membuat bahan seperti kertas yang digunakan untuk membuat gulungan.—Kel 2:3.
Paska.
Perayaan tahunan yang disambut pada hari ke-14 bulan Abib (kemudian dipanggil bulan Nisan) untuk memperingati pembebasan orang Israel dari Mesir. Disambut dengan menyembelih dan memanggang anak bebiri (atau kambing), yang kemudian dimakan dengan sayur pahit dan roti yang tidak beragi.—Kel 12:27; Yoh 6:4; 1Ko 5:7.
Pasung.
Pelacur.
Orang yang melakukan hubungan seks luar nikah, terutamanya untuk mendapatkan wang. (Kata Yunani untuk “pelacur,” porʹne, berasal daripada kata dasar yang bererti “menjual.”) Istilah ini biasanya merujuk kepada seorang wanita, tetapi pelacur lelaki juga disebut dalam Bible. Meskipun kuil-kuil berhala menjadikan amalan pelacuran sebagai sumber pendapatan, Hukum Musa mengutuk pelacuran, dan upah seorang pelacur tidak diterima sebagai sumbangan di rumah Yehuwa. (Ul 23:17, 18; 1Ra 14:24) Bible juga menggunakan istilah ini secara kiasan untuk merujuk kepada orang, bangsa, atau organisasi, yang melibatkan diri dalam suatu bentuk penyembahan berhala, dan pada masa yang sama mendakwa bahawa mereka menyembah Tuhan. Misalnya, empayar agama yang dipanggil “Babilon Besar” digambarkan sebagai seorang pelacur dalam buku Wahyu, kerana dia mengadakan hubungan yang intim dengan para pemerintah dunia ini untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan.—Why 17:1-5; 18:3; 1Ta 5:25.
Pelihat.
Orang yang dibenarkan Tuhan untuk mengetahui kehendak-Nya. Dia dapat melihat atau memahami perkara yang tidak difahami oleh orang biasa. Berasal daripada kata dasar Ibrani yang bererti “melihat” secara harfiah atau kiasan. Orang yang ingin mendapatkan nasihat yang bijaksana dan menyelesaikan masalah akan berjumpa dengan seorang pelihat.—1Sa 9:9.
Pembangkitan.
Bererti dihidupkan semula. Dalam bahasa Yunani, perkataan ini (a·naʹsta·sis) secara harfiah bererti “bangun; berdiri.” Bible mencatatkan sembilan kisah pembangkitan, termasuk pembangkitan Yesus yang dilakukan oleh Tuhan Yehuwa. Meskipun Elia, Elisa, Yesus, Petrus, dan Paulus, melakukan pembangkitan, mukjizat-mukjizat ini hanya dapat dilakukan dengan kuasa Tuhan. Pembangkitan “orang yang baik dan orang yang tidak baik” di bumi amat penting dalam pelaksanaan tujuan Tuhan. (Kis 24:15) Bible juga menyebut tentang pembangkitan ke syurga, yang dipanggil pembangkitan yang “lebih awal” atau “yang pertama.” Pembangkitan ini melibatkan saudara-saudara Yesus yang diurapi kuasa suci Tuhan.—Flp 3:11; Why 20:5, 6; Yoh 5:28, 29; 11:25.
Pembantu sidang.
Dalam bahasa Yunani, perkataan ini (di·aʹko·nos) sering diterjemahkan sebagai “hamba” atau “pelayan.” “Pembantu sidang” merujuk kepada orang yang berkhidmat sebagai pembantu kepada badan penatua dalam sidang. Seseorang mesti memenuhi syarat-syarat kelayakan dalam Bible sebelum dilantik sebagai pembantu sidang.—1Ti 3:8-10, 12.
Pembaptisan; Membaptis.
Kata kerja ini bererti “membenamkan,” atau mencelup ke dalam air. Menurut Yesus, orang yang mahu menjadi pengikutnya mesti dibaptis. Bible juga menyebut tentang pembaptisan Yohanes, pembaptisan dengan kuasa suci Tuhan, pembaptisan dengan api, dan pembaptisan yang lain.—Mt 3:11, 16; 28:19; Yoh 3:23; 1Pt 3:21.
Pembuangan.
Ditawan atau dibawa pergi dari tanah air atau tempat tinggal oleh penjajah asing. Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini bermaksud “meninggalkan.” Bangsa Israel dibuang negeri sebanyak dua kali. Kerajaan 10 suku di bahagian utara ditawan oleh orang Assyria, dan kemudiannya kerajaan dua suku di bahagian selatan ditawan oleh orang Babilon. Rakyat daripada kedua-dua kerajaan itu dibenarkan pulang ke negeri mereka semasa pemerintahan Kores, raja Persia.—2Ra 17:6; 24:16; Ez 6:21.
Pemeluk agama Yahudi.
Pemerintah kota.
Di bawah kerajaan Babilon, pemerintah kota ialah pegawai kerajaan daerah yang mengetahui undang-undang dan mempunyai kuasa penghakiman yang terhad. Di negeri jajahan Roma, pemerintah-pemerintah kota merupakan pentadbir kerajaan. Mereka bertanggungjawab untuk mengekalkan ketertiban, mengendalikan urusan kewangan, menghakimi pelanggar hukum, dan mengarahkan agar hukuman dilaksanakan.—Da 3:2; Kis 16:20.
Pemimpin Utama.
Penatua; Lelaki yang tua.
Boleh merujuk kepada seorang lelaki yang berusia. Namun dalam Bible, istilah ini khasnya merujuk kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan dan tanggungjawab dalam sebuah masyarakat atau bangsa. Juga digunakan dalam buku Wahyu untuk merujuk kepada makhluk-makhluk di syurga. Dalam Kitab Ibrani, istilah ini biasanya diterjemahkan sebagai “pemimpin orang Israel.” Kata Yunani pre·sbyʹte·ros diterjemahkan sebagai “penatua” dan merujuk kepada mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang.—Kel 4:29; Ams 31:23; 1Ti 5:17; Why 4:4.
Penerangan bagi Mazmur.
Pengabdian kepada Tuhan.
Pengampunan dosa.
Dalam Kitab Ibrani, istilah ini berkaitan dengan korban-korban yang dipersembahkan agar umat Tuhan dapat menghampiri-Nya dan menyembah-Nya. Menurut Hukum Musa, korban-korban yang dipersembahkan, khasnya pada Hari Pengampunan Dosa yang diadakan sekali setahun, bertujuan untuk membolehkan umat Tuhan berbaik semula dengan Tuhan meskipun mereka berdosa. Korban-korban itu menjadi bayangan kepada korban Yesus, yang dipersembahkan sekali sahaja agar dosa umat manusia diampunkan buat selama-lamanya. Dengan demikian, mereka dapat berbaik semula dengan Yehuwa.—Im 5:10; 23:28; Kol 1:20; Ibr 9:12.
Pengarah muzik.
Istilah ini digunakan dalam bahagian penerangan sesetengah Mazmur dan merujuk kepada orang yang mengatur lagu dan para penyanyi, melatih penyanyi Lewi, mengadakan raptai, dan mengetuai pertunjukan rasmi. Terjemahan lain menterjemahkan istilah ini sebagai “pemimpin muzik” atau “pemimpin koir.”—Mz 4:0; 5:0.
Pengawal Maharaja.
Sekumpulan askar Roma yang menjadi pengawal peribadi maharaja Roma. Kemudian mereka menjadi kuasa politik yang dapat menyokong atau menggulingkan maharaja.—Flp 1:13.
Pengawal; Penjaga.
Orang yang bertugas untuk menjaga manusia atau harta benda. Biasanya bertugas pada waktu malam. Dia akan memberikan amaran jika timbulnya ancaman. Biasanya berkawal di atas tembok kota atau menara agar dapat melihat orang yang menghampiri kota. Ada juga askar yang bertugas sebagai pengawal. Secara kiasan, para nabi digambarkan sebagai penjaga bangsa Israel kerana mereka memberikan amaran tentang kemusnahan yang bakal menimpa.—2Ra 9:20; Yeh 3:17.
Penghujung sistem dunia.
Jangka masa sebelum sistem dunia yang dikuasai oleh Syaitan dimusnahkan. Jangka masa ini berlangsung serentak dengan kehadiran Kristus. Di bawah arahan Yesus, para malaikat akan “memisahkan orang jahat daripada orang baik” lalu memusnahkan orang yang jahat. (Mt 13:40-42, 49) Murid-murid Yesus ingin mengetahui bila “penghujung sistem ini” akan bermula. (Mt 24:3) Sebelum Yesus kembali ke syurga, dia berjanji kepada para pengikutnya bahawa dia akan menyertai mereka sehingga penghujung sistem ini.—Mt 28:20.
Pengikut-pengikut Herodes.
Sekumpulan pejuang yang menyokong usaha-usaha politik dinasti Herodes, iaitu dinasti yang memerintah di bawah arahan Roma. Beberapa orang Saduki mungkin telah menyertai kumpulan ini. Pengikut-pengikut Herodes berkomplot dengan orang Farisi untuk membunuh Yesus.—Mr 3:6.
Penguasa.
Pentakosta.
Perayaan kedua daripada tiga perayaan penting yang wajib dirayakan di Yerusalem oleh kaum lelaki Yahudi. Pentakosta, yang bererti “(Hari) Ke-50,” merupakan nama yang digunakan dalam Kitab Yunani Kristian untuk merujuk kepada Perayaan Menuai dalam Kitab Ibrani. Disambut pada hari ke-50 yang dikira dari 16 Nisan.—Kel 23:16, nota kaki; 34:22; Kis 2:1.
Penutup dada.
Sehelai kain sulaman yang ditatah dengan batu-batu permata. Dipakai oleh imam agung Israel di atas dadanya apabila dia masuk ke Bilik Suci. Juga dipanggil “penutup dada penghakiman” kerana mengandungi Urim dan Tumim, yang digunakan untuk menyingkapkan penghakiman Yehuwa. (Kel 28:15-30)—Lihat Lampiran B5.
Penutup tabut.
Merujuk kepada penutup tabut perjanjian. Pada Hari Pengampunan Dosa, imam agung memercikkan darah binatang (yang telah dipersembahkan sebagai korban dosa) di hadapan penutup tabut. Istilah Ibrani bagi perkataan ini berasal daripada kata kerja yang bererti “menutup (dosa)” atau mungkin “memadamkan (dosa).” Diperbuat daripada emas tulen. Di atas penutup tabut itu, ada dua kerub, iaitu satu kerub di setiap hujung. Kadangkala dipanggil “penutup” sahaja. (Kel 25:17-22; 1Ta 28:11, nota kaki; Ibr 9:5)—Lihat Lampiran B5.
Penyelia.
Seorang lelaki yang bertanggungjawab khasnya untuk menjaga dan menggembala sidang. Istilah Yunani bagi perkataan ini (e·piʹsko·pos) pada dasarnya bererti menyelia dengan tujuan untuk melindungi. Dalam sidang Kristian, seorang “penyelia” juga dipanggil “penatua” (pre·sbyʹte·ros). Istilah “penatua” merujuk kepada sifat matang lelaki yang dilantik, dan istilah “penyelia” merujuk kepada tugas yang harus dipikul olehnya.—Kis 20:28; 1Ti 3:2-7; 1Pt 5:2.
Penyepit.
Alat-alat yang diperbuat daripada emas, yang digunakan di dalam khemah suci dan Rumah Tuhan untuk memadamkan api pada pelita.—Kel 37:23.
Perantara.
Perayaan Menuai.—
Lihat PENTAKOSTA.
Perayaan Pentahbisan.
Dirayakan setiap tahun untuk memperingati peristiwa penyucian Rumah Tuhan, selepas Rumah Tuhan dicemari oleh Antiokhus Epifanes. Perayaan ini bermula pada 25 Kislew dan berlangsung selama lapan hari.—Yoh 10:22.
Perayaan Pondok Daun.
Diadakan dari 15-21 Etanim mengikut kalendar Ibrani. Bagi orang Israel, perayaan ini menandakan tamatnya musim menuai pada hujung tahun. Masa untuk bersukacita dan bersyukur kepada Yehuwa atas hasil tuaian yang diterima. Sepanjang perayaan ini, mereka tinggal di dalam pondok daun untuk memperingati pembebasan mereka dari Mesir. Merupakan salah satu daripada tiga perayaan yang wajib dirayakan di Yerusalem oleh kaum lelaki.—Im 23:34; Ez 3:4.
Perayaan Roti Tidak Beragi.
Perayaan pertama daripada tiga perayaan penting yang disambut oleh orang Israel setiap tahun. Bermula pada 15 Nisan, iaitu sehari selepas Perayaan Paska, dan berlangsung selama tujuh hari. Orang Israel hanya boleh memakan roti yang tidak beragi untuk memperingati pembebasan mereka dari Mesir.—Kel 23:15; Mr 14:1.
Perbuatan cabul.—
Perbuatan seks yang tidak bermoral.
Ungkapan ini diterjemahkan daripada perkataan Yunani por·neiʹa, yang merupakan istilah Bible bagi perbuatan seks yang diharamkan oleh Tuhan. Merangkumi perzinaan, pelacuran, hubungan seks antara dua orang yang belum berkahwin, hubungan sejenis, dan hubungan seks dengan binatang. Digunakan secara kiasan dalam buku Wahyu sehubungan dengan pelacur yang dipanggil “Babilon Besar,” kerana dia menjalinkan hubungan yang intim dengan para pemerintah dunia ini untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan. (Why 14:8; 17:2; 18:3; Mt 5:32; Kis 15:29; Ga 5:19)—Lihat PELACUR.
Perhimpunan.
Peribahasa; Pepatah.
Kata-kata hikmat atau cerita pendek yang mengandungi pengajaran atau yang menyampaikan suatu kebenaran secara ringkas. Mungkin disampaikan dalam bentuk teka-teki. Menyingkapkan kebenaran dengan gaya bahasa yang ekspresif dan biasanya bersifat kiasan. Sesetengah peribahasa atau pepatah menjadi ungkapan yang biasanya dituturkan untuk mengejek atau menghina orang.—Pkh 12:9; 2Pt 2:22.
Perjamuan Malam Tuan.
Jamuan makan yang terdiri daripada roti tidak beragi dan wain yang melambangkan tubuh Kristus dan darahnya. Bertujuan untuk memperingati kematian Yesus. Maka, perayaan ini juga dipanggil “Peringatan.” Menurut Bible, orang Kristian diwajibkan untuk memperingati kematian Yesus.—1Ko 11:20, 23-26.
Perjanjian.
Persetujuan atau kontrak rasmi antara dua pihak, iaitu antara Tuhan dengan manusia atau manusia dengan manusia, untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu. Kadangkala, hanya satu pihak perlu melaksanakan syarat-syarat yang ditetapkan (perjanjian unilateral). Ada masanya, kedua-dua pihak perlu melaksanakan syarat-syarat yang ditetapkan (perjanjian bilateral). Bible menyebut tentang perjanjian yang dibuat antara Tuhan dengan manusia, dan antara orang, suku, bangsa, atau kumpulan orang. Perjanjian-perjanjian yang dibuat antara Tuhan dengan Abraham, Daud, bangsa Israel (perjanjian Hukum Musa), dan Israel milik Tuhan (perjanjian baharu), telah meninggalkan kesan yang mendalam.—Kej 9:11; 15:18; 21:27; Kel 24:7; 2Ta 21:7.
Perlengkapan perang.
Digunakan oleh askar sebagai perlindungan. Contohnya, topi besi, baju zirah, tali pinggang, pelindung kaki, dan perisai.—1Sa 31:9; Ef 6:13-17.
Persepuluhan.
Satu persepuluh, atau 10 peratus, daripada harta milik yang diberikan atau dibayar sebagai ufti, terutamanya untuk tujuan keagamaan. (Ul 26:12; Mal 3:10; Mt 23:23) Di bawah Hukum Musa, satu persepuluh daripada hasil tanah dan satu persepuluh daripada pertambahan ternakan dan kawanan diberikan kepada orang Lewi setiap tahun untuk menyokong mereka. Orang Lewi memberikan satu persepuluh daripada persepuluhan yang diterima kepada imam-imam keturunan Harun untuk menyokong mereka. Terdapat persepuluhan lain yang perlu diberikan. Orang Kristian tidak diwajibkan untuk memberikan persepuluhan.
Persia; Orang Persia.
Negeri dan bangsa yang selalu disebut dan dikaitkan bersama orang Media. Menurut sejarah awal mereka, orang Persia menduduki kawasan barat daya dataran tinggi Iran. Di bawah pimpinan Kores, orang Persia menjadi lebih kuat daripada orang Media. (Menurut sesetengah sejarawan kuno, bapa Kores berbangsa Persia dan ibunya berbangsa Media.) Tetapi kedua-dua bangsa ini masih membentuk sebuah empayar. Kores menakluki empayar Babilon pada tahun 539 SM dan membenarkan orang Yahudi yang ditawan untuk kembali ke tanah air mereka. Empayar Persia meliputi kawasan dari Sungai Indus di sebelah timur sehingga kawasan Laut Aegean di sebelah barat. Orang Yahudi diperintah oleh kerajaan Persia sehingga Iskandar Agung mengalahkan kerajaan itu pada tahun 331 SM. Empayar Persia muncul dalam penglihatan Daniel dan disebutkan dalam buku-buku Bible seperti Ezra, Nehemia, dan Ester. (Ez 1:1; Da 5:28; 8:20)—Lihat Lampiran B9.
Pim.
Batu timbangan dan harga yang dikenakan oleh orang Filistin untuk mengasah pelbagai alatan besi. Beberapa biji batu timbangan yang ditemui di Israel mempunyai huruf Ibrani “pim.” Secara purata, berat satu pim ialah 7.8 g, iaitu kira-kira 2/3 syekel.—1Sa 13:20, 21.
Pokok kehidupan.
Pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat.
Porneia.
—Lihat PERBUATAN SEKS YANG TIDAK BERMORAL.
Puasa.
Tidak memakan apa-apa untuk jangka masa yang tertentu. Orang Israel berpuasa pada Hari Pengampunan Dosa, pada masa kesusahan, dan semasa mereka memerlukan bimbingan Tuhan. Orang Yahudi menetapkan empat puasa tahunan untuk memperingati peristiwa-peristiwa pahit yang dialami oleh bangsa mereka. Orang Kristian tidak diwajibkan untuk berpuasa.—Ez 8:21; Yes 58:6; Lu 18:12.
Purim.
Perayaan tahunan yang dirayakan pada hari ke-14 dan ke-15 bulan Adar. Memperingati penyelamatan orang Yahudi pada zaman Permaisuri Ester. Purim bukan perkataan Ibrani dan membawa maksud “undi.” Perayaan Purim atau Perayaan Undi dinamakan sempena perbuatan Haman yang membuang “Pur” atau undi untuk menentukan waktu yang sesuai untuk membunuh orang Yahudi.—Es 3:7; 9:26.
R
Ragi.
Bahan yang ditambahkan kepada adunan supaya adunan naik atau kepada cecair bagi tujuan penapaian. Khasnya merujuk kepada sebahagian kecil daripada adunan yang sudah naik, yang diambil untuk membuat adunan yang baharu. Sering digunakan dalam Bible untuk melambangkan dosa dan sesuatu yang merosakkan. Juga merujuk kepada pertumbuhan yang meluas, yang tidak dapat dilihat.—Kel 12:20; Mt 13:33; Ga 5:9.
Rahab.
Tidak sama dengan wanita yang bernama Rahab dalam buku Yosua. Digunakan secara kiasan dalam buku-buku Bible seperti Ayub, Mazmur, dan Yesaya. Dalam buku Ayub, Rahab mungkin merujuk kepada raksasa laut. Dalam ayat-ayat lain, raksasa laut ini melambangkan Mesir.—Ayb 9:13; Mz 87:4; Yes 30:7; 51:9, 10.
Rahsia suci.
Rasul.
Ratu Syurga.
Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad pada zaman Yeremia. Mungkin merujuk kepada dewi orang Babilon, iaitu Ishtar (Astarte). Orang Sumer memanggil dewi ini sebagai Inanna, yang bererti “Ratu Syurga.” Juga merupakan dewi kesuburan. Astarte juga dipanggil “Puan Syurga” menurut catatan Mesir kuno.—Yer 44:19.
Relau.
Tempat untuk meleburkan bijih atau logam. Juga digunakan untuk membakar tembikar dan barangan yang diperbuat daripada tanah liat. Pada zaman Bible, relau dibina daripada batu atau bata. Relau yang digunakan untuk membakar tembikar dan batu kapur dipanggil tanur.—Kej 15:17; Da 3:17; Why 9:2.
Roh.
Kata Ibrani ruʹach dan kata Yunani pneuʹma, yang sering diterjemahkan sebagai “roh,” mempunyai beberapa erti. Semuanya merujuk kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh manusia dan yang membuktikan bahawa suatu daya sedang beroperasi. Kata Ibrani dan Yunani ini boleh merujuk kepada (1) angin, (2) nafas kehidupan yang dimiliki oleh makhluk hidup di bumi, (3) kecenderungan mental, iaitu sesuatu yang berasal daripada hati kiasan seseorang dan yang mendorongnya untuk mengatakan atau melakukan sesuatu mengikut cara tertentu, (4) pernyataan yang diilhami yang berasal daripada sumber yang tidak kelihatan, (5) makhluk roh, dan (6) kuasa suci Tuhan.—Kel 35:21; Mz 104:29; Mt 12:43; Lu 11:13.
Roh kudus.
Ada yang menyebutnya sebagai roh Tuhan atau roh suci. Istilah ini tidak merujuk kepada satu individu yang setaraf dengan Tuhan, tetapi merujuk kepada daya atau kuasa yang digunakan oleh Tuhan untuk melaksanakan tujuan dan kehendak-Nya, dan untuk menciptakan segala sesuatu. (Kej 1:2; Mz 104:30) Kuasa ini dapat memantapkan kemahiran manusia (Kel 31:3; Yes 11:2), membantu manusia untuk memupuk sifat-sifat tertentu (1Sa 10:6; Ga 5:22, 23), dan mengilhami manusia untuk menyampaikan perkhabaran Tuhan. (Yes 61:1; 2Ti 3:16; 2Pt 1:21) Kuasa ini juga dapat dicurahkan ke atas manusia. (Kis 2:4, 17) Maka dalam terjemahan ini, istilah “kuasa suci Tuhan” digunakan.—Lihat KUASA SUCI TUHAN.
Roh-roh jahat.
Makhluk roh yang tidak dapat dilihat dan mempunyai kuasa yang luar biasa. Juga dipanggil “anak-anak kepada Tuhan yang benar” di Kejadian 6:2 dan “malaikat-malaikat” di Yudas 6. Merupakan malaikat yang baik semasa diciptakan, tetapi kemudian menjadi musuh Tuhan dengan mengingkari-Nya pada zaman Nuh. Roh-roh jahat juga menyertai Syaitan dalam pemberontakannya terhadap Yehuwa.—Ul 32:17; Lu 8:30; Kis 16:16; Yak 2:19.
Roti yang dipersembahkan.
Dua belas ketul roti yang disusun menjadi dua timbunan di atas meja yang terletak di dalam Bilik Suci dalam khemah suci dan Rumah Tuhan. Setiap timbunan terdiri daripada enam ketul roti. Juga dipanggil “roti-roti yang berlapis” dan “roti yang sudah dipersembahkan kepada Tuhan.” Setiap hari Sabat, roti ini akan digantikan dengan roti yang baharu. Roti yang lama biasanya dimakan oleh para imam sahaja. (2Ta 2:4; Mt 12:4; Kel 25:30; Im 24:5-9; Ibr 9:2)—Lihat Lampiran B5.
Roti-roti yang berlapis.—
Lihat ROTI YANG DIPERSEMBAHKAN.
Rumah ibadat.
Perkataan asal membawa maksud “mengumpulkan; sebuah perhimpunan.” Namun, dalam kebanyakan ayat Bible, istilah ini merujuk kepada bangunan atau tempat orang Yahudi berkumpul untuk membaca Ayat-Ayat Suci, menerima arahan, menyebarkan ajaran agama, dan berdoa. Pada zaman Yesus, setiap kota di Israel mempunyai sebuah rumah ibadat, dan kota yang lebih besar mempunyai lebih daripada sebuah rumah ibadat.—Lu 4:16; Kis 13:14, 15.
Rumah Tuhan.
Bangunan di Yerusalem yang menggantikan khemah suci sebagai pusat penyembahan orang Israel. Rumah Tuhan yang pertama dibina oleh Salomo dan telah dimusnahkan oleh orang Babilon. Rumah Tuhan yang kedua dibina oleh Zerubabel selepas orang Yahudi pulang daripada pembuangan di Babilon, dan kemudiannya dibina semula oleh Herodes yang Agung. (1Ta 29:1; 2Ta 2:4; Ez 1:3; 6:14, 15; Mt 24:1)—Lihat Lampiran B8 dan B11.
S
Sabat.
Daripada kata Ibrani yang bererti “berehat; berhenti.” Merupakan hari ketujuh dalam minggu orang Yahudi (semasa matahari terbenam pada hari Jumaat sehingga matahari terbenam pada hari Sabtu). Juga merujuk kepada tahun ke-7, tahun ke-50, dan beberapa hari perayaan yang lain. Pada hari Sabat, umat Israel tidak dibenarkan bekerja kecuali para imam yang berkhidmat di rumah Tuhan. Pada tahun Sabat, tanah tidak boleh diusahakan, dan orang Ibrani tidak boleh menuntut hutang daripada orang yang sebangsa dengan mereka. Peraturan-peraturan hari Sabat di bawah Hukum Musa bersifat munasabah, tetapi pemimpin agama beransur-ansur menambahkan peraturan sendiri. Maka, pada zaman Yesus, peraturan sedemikian menjadi beban bagi orang.—Kel 20:8; Im 25:4; Lu 13:14-16; Kol 2:16.
Saduki.
Kumpulan agama Yahudi yang terkemuka. Terdiri daripada bangsawan kaya dan para imam. Mereka sangat berpengaruh atas kegiatan yang dijalankan di Rumah Tuhan. Mereka menolak banyak tradisi lisan dan kepercayaan orang Farisi. Mereka tidak percaya akan pembangkitan dan kewujudan malaikat. Mereka menentang Yesus.—Mt 16:1; Kis 23:8.
Samaria.
Selama kira-kira 200 tahun, Samaria merupakan ibu kota kerajaan Israel di utara yang terdiri daripada 10 suku. Juga merupakan nama bagi seluruh kerajaan Israel di utara. Kota ini dibina di atas sebuah gunung yang bernama Samaria. Pada zaman Yesus, Samaria ialah nama bagi salah satu daerah yang terletak di antara Galilea di utara dengan Yudea di selatan. Biasanya Yesus tidak menginjil di daerah ini, tetapi kadangkala dia melalui kawasan ini dan bercakap kepada penduduknya. Petrus menggunakan kunci kedua Kerajaan Tuhan apabila orang Samaria menerima kuasa suci Tuhan. (1Ra 16:24; Yoh 4:7; Kis 8:14)—Lihat Lampiran B10.
Seah.
Sukatan bahan kering. Berdasarkan anggaran sukatan cecair bath, sukatan ini bersamaan dengan 7.33 L. (2Ra 7:1, nota kaki)—Lihat Lampiran B14.
Sekam.
Selah.
Istilah teknikal bagi muzik atau pembacaan sajak. Ditemui dalam buku Mazmur dan Habakuk. Mungkin bererti jeda dalam suatu nyanyian atau muzik untuk tujuan perenungan atau untuk menonjolkan ungkapan yang baru dinyanyikan. Septuagint bahasa Yunani menterjemahkannya sebagai di·aʹpsal·ma, yang bererti “selingan muzik.”—Mz 3:4; Hab 3:3.
Serafim.
Serambi Salomo.
Pada zaman Yesus, Serambi Salomo ialah laluan berbumbung yang terletak di bahagian timur di halaman luar Rumah Tuhan. Ramai percaya bahawa serambi ini merupakan sebahagian daripada Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo dahulu. Yesus berjalan di sana ‘pada musim sejuk,’ dan orang Kristian masa awal berkumpul di sana untuk beribadat. (Yoh 10:22, 23; Kis 5:12)—Lihat Lampiran B11.
Serban.
Kain yang dililitkan pada kepala. Imam agung memakai serban linen yang bermutu tinggi. Di bahagian depan serban itu, terdapat satu kepingan emas yang diikat dengan tali biru. Raja memakai serban di bawah mahkotanya. Ayub menggunakan perkataan ini secara kiasan untuk menggambarkan keadilannya.—Kel 28:36, 37; Ayb 29:14; Yeh 21:26.
Si Jahat.
Sidang.
Sekumpulan orang yang berkumpul untuk tujuan atau kegiatan tertentu. Dalam Kitab Ibrani, perkataan ini biasanya merujuk kepada bangsa Israel. Dalam Kitab Yunani Kristian, perkataan ini merujuk kepada sidang Kristian tertentu, tetapi lebih sering merujuk kepada semua sidang Kristian secara umum.—1Ra 8:22, nota kaki; Kis 9:31; Rm 16:5.
Sida-sida.
Secara harfiah merujuk kepada seorang lelaki yang sudah dikembiri. Lelaki sedemikian biasanya berkhidmat di istana sebagai penjaga atau hamba kepada permaisuri dan gundik-gundik. Juga merujuk kepada seorang lelaki yang berkhidmat sebagai pegawai istana, meskipun dia tidak dikembiri. Juga diterjemahkan sebagai ‘orang yang tidak berkahwin demi Kerajaan di syurga’ untuk merujuk kepada seseorang yang memperlihatkan kawalan diri agar dapat memperluas khidmatnya kepada Tuhan.—Mt 19:12; Es 2:15; Kis 8:27.
Sion; Gunung Sion.
Nama kota berkubu orang Yebus yang berada di atas sebuah bukit di bahagian tenggara Yerusalem. Selepas Daud menawan kota itu, dia membina istananya di sana, dan kota itu dipanggil “Kota Daud.” (2Sa 5:7, 9) Sion menjadi gunung yang suci bagi Yehuwa setelah Daud memindahkan tabut perjanjian ke sana. Kemudian nama itu merangkumi kawasan Rumah Tuhan di Gunung Moria, dan kadangkala merangkumi seluruh kota Yerusalem. Sering digunakan secara kiasan dalam Kitab Yunani Kristian.—Mz 2:6; 1Pt 2:6; Why 14:1.
Siria; Orang Siria.—
Lihat ARAM; ORANG ARAM.
Sirtis.
Dua teluk besar yang terletak di persisiran pantai Tunisia dan Libia moden, Afrika Utara. Para pelaut zaman dahulu takut akan teluk yang berbahaya ini kerana aras airnya cetek dan tebing pasirnya sering berubah-ubah mengikut arus pasang surut. (Kis 27:17)—Lihat Lampiran B13.
Sistem dunia.
Daripada kata Yunani ai·onʹ. Merujuk kepada keadaan yang terkini atau ciri-ciri yang menandakan suatu tempoh masa, era, atau zaman. Bible menyebut tentang “sistem dunia ini” untuk merujuk kepada keadaan dunia secara umum dan cara hidup duniawi. (2Ti 4:10) Melalui perjanjian Hukum Musa, Tuhan memperkenalkan sistem yang dipanggil zaman Israel atau zaman Yahudi. Namun melalui korban tebusan Yesus Kristus, Tuhan kemudiannya memperkenalkan sistem yang baharu. Dengan ini, bermulalah zaman baharu yang khususnya melibatkan sidang Kristian terurap. Perkara-perkara yang dilambangkan oleh perjanjian Hukum Musa kini menjadi kenyataan, dan hal ini merupakan ciri utama zaman ini. Dalam bentuk jamak, frasa ini merujuk kepada pelbagai sistem, atau keadaan dunia secara umum, yang sudah wujud atau yang akan wujud.—Mt 24:3; Mr 4:19; Rm 12:2; 1Ko 10:11.
Siwan.
Nama untuk bulan ketiga dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan kesembilan dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Mei hingga pertengahan bulan Jun. (Es 8:9)—Lihat Lampiran B15.
Suci; Kesucian.
Sifat yang dimiliki oleh Yehuwa; kemurnian dari segi moral; kekudusan. (Kel 28:36; 1Sa 2:2; Ams 9:10; Yes 6:3) Semasa merujuk kepada manusia (Kel 19:6; 2Ra 4:9), binatang (Bil 18:17), benda (Kel 28:38; 30:25; Im 27:14), tempat (Kel 3:5; Yes 27:13), tempoh masa (Kel 16:23; Im 25:12), dan kegiatan (Kel 36:4), kata asal dalam bahasa Ibrani dan Yunani membawa erti diasingkan atau dikuduskan untuk Tuhan yang suci; dikhaskan untuk khidmat kepada Yehuwa. Dalam Kitab Yunani Kristian, perkataan “suci” dan “kesucian” juga merujuk kepada kelakuan yang murni.—Mr 6:20; 2Ko 7:1; 1Pt 1:15, 16.
Sumpah.
Pernyataan tegas untuk mengesahkan bahawa sesuatu hal itu benar. Juga merupakan janji atau ikrar bahawa seseorang akan atau tidak akan melakukan perkara tertentu. Biasanya dibuat kepada pihak yang berkedudukan lebih tinggi, terutamanya kepada Tuhan. Yehuwa mengangkat sumpah untuk memperkukuh perjanjian-Nya dengan Abraham.—Kej 14:22; Ibr 6:16, 17.
Sunat.
Pemotongan kulit pada hujung organ seks lelaki. Wajib diamalkan oleh Abraham dan keturunannya, tetapi tidak wajib bagi orang Kristian. Juga digunakan secara kiasan dalam pelbagai konteks.—Kej 17:10; 1Ko 7:19; Flp 3:3.
Syaitan.
Syebat.
Nama untuk bulan ke-11 dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ke-5 dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Januari hingga pertengahan bulan Februari. (Za 1:7)—Lihat Lampiran B15.
Syekel.
Sukatan asas orang Ibrani untuk timbangan dan wang. Berat satu syekel ialah 11.4 g. Ungkapan ‘syekel menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci’ mungkin menunjukkan bahawa umat Tuhan harus menggunakan batu timbangan yang tepat atau yang beratnya selaras dengan batu timbangan yang disimpan di khemah suci. Mungkin terdapat syekel diraja, yang berbeza daripada syekel biasa. Mungkin juga terdapat batu timbangan yang disimpan di istana sebagai piawaian.—Kel 30:13.
Syeminit.
T
Tabut perjanjian.
Peti yang diperbuat daripada kayu akasia dan disalut dengan emas. Peti ini disimpan di dalam Bilik Maha Suci dalam khemah suci dan kemudian di dalam Bilik Maha Suci dalam Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo. Peti ini mempunyai penutup yang diperbuat daripada emas tulen. Di atas penutup itu, terdapat dua kerub yang menghadap satu sama lain. Peti ini mengandungi dua batu tulis yang padanya tertulis Sepuluh Hukum. (Ul 31:26; 1Ra 6:19; Ibr 9:4)—Lihat Lampiran B5 dan B8.
Tahun Pembebasan.
Setiap tahun yang ke-50, yang dikira dari waktu bangsa Israel masuk ke Tanah yang Dijanjikan. Sepanjang Tahun Pembebasan, orang Israel tidak boleh mengusahakan tanah mereka, dan mereka harus membebaskan hamba-hamba mereka yang berbangsa Ibrani. Mereka juga harus mengembalikan tanah warisan yang sudah dibeli oleh mereka. Tahun Pembebasan bagaikan perayaan yang disambut sepanjang tahun kerana pada tahun itu, bangsa Israel kembali kepada keadaan asal, iaitu seperti sewaktu Tuhan menubuhkan bangsa mereka.—Im 25:10.
Talenta.
Sukatan yang paling besar yang digunakan oleh orang Ibrani untuk timbangan dan wang. Beratnya ialah 34.2 kg. Talenta dalam Kitab Yunani lebih kecil, iaitu kira-kira 20.4 kg. (1Ta 22:14, nota kaki; Mt 18:24)—Lihat Lampiran B14.
Tamus.
(1) Nama dewa yang ditangisi oleh wanita-wanita Ibrani yang murtad di kota Yerusalem. Pada mulanya, Tamus mungkin ialah seorang raja yang diangkat menjadi dewa selepas kematiannya. Menurut catatan orang Sumer, Tamus dipanggil Dumuzi. Dia merupakan pasangan atau kekasih dewi kesuburan, iaitu Inanna (nama Babilon: Ishtar). (Yeh 8:14) (2) Nama untuk bulan ke-4 dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ke-10 dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Jun hingga pertengahan bulan Julai.—Lihat Lampiran B15.
Tanaman yang pahit.
Tanda.
Objek, tindakan, peristiwa, atau sesuatu yang luar biasa, yang mempunyai erti tertentu sekarang atau pada masa depan.—Kej 9:12, 13; 2Ra 20:9; Mt 24:3; Why 12:1.
Tanda pembaktian suci.
Sekeping emas tulen yang berkilat. Ungkapan Ibrani “Kesucian milik Yehuwa” terukir padanya. Kepingan emas ini diikat pada bahagian hadapan serban imam agung. (Kel 39:30)—Lihat Lampiran B5.
Tanduk.
Merujuk kepada tanduk binatang yang digunakan sebagai alat muzik dan bekas minuman serta bekas untuk menyimpan minyak, dakwat, dan barangan kecantikan. Juga digunakan untuk memberikan amaran. (1Sa 16:1, 13; 1Ra 1:39; Yeh 9:2, nota kaki) “Tanduk” biasanya digunakan untuk melambangkan kekuatan, kemenangan, dan penaklukan.—Ul 33:17; Mi 4:13; Za 1:19.
Tanduk-tanduk mazbah.
Objek seperti tanduk yang ada pada keempat-empat sudut sesetengah mazbah. (Im 8:15; 1Ra 2:28)—Lihat Lampiran B5 dan B8.
Tartarus.
Digunakan dalam Kitab Yunani Kristian untuk merujuk kepada keadaan terhina seperti yang dialami oleh banduan yang dipenjarakan; Tuhan telah menahan malaikat-malaikat yang tidak patuh pada zaman Nuh dalam keadaan itu. Menurut mitos orang kafir, Tartarus ialah sebuah penjara bawah tanah dan tempat gelap untuk mengurung dewa dewi yang berkedudukan lebih rendah. Namun kata kerja tar·ta·roʹo (‘melemparkan ke dalam Tartarus’) yang digunakan di 2 Petrus 2:4 tidak bererti bahawa “malaikat-malaikat yang berdosa” telah dilemparkan ke tempat mitos itu. Sebaliknya, kata kerja ini bererti bahawa malaikat-malaikat yang berdosa itu telah dihukum oleh Tuhan. Malaikat-malaikat itu telah kehilangan kedudukan dan tanggungjawab di syurga, dan diserahkan kepada keadaan mental yang paling gelap sehubungan dengan tujuan Tuhan. Kegelapan juga melambangkan kesudahan yang bakal menimpa mereka, iaitu kebinasaan kekal bersama pemerintah mereka, Syaitan Si Iblis, seperti yang dinyatakan dalam Bible. Oleh itu, Tartarus merujuk kepada keadaan yang paling hina untuk malaikat-malaikat yang memberontak itu. Tidak sama dengan “jurang yang dalam” yang disebut di Wahyu 20:1-3.
Tasik api.
Tempat simbolik yang “bernyala-nyala dengan api dan belerang.” Juga melambangkan “kematian yang kedua.” Pendosa yang enggan bertaubat, Si Iblis, maut, dan Kuburan (atau Hades), dilemparkan ke dalamnya. Oleh sebab makhluk roh, maut, dan Kuburan, tidak dapat dibakar dengan api, hal ini menunjukkan bahawa tasik ini ialah tempat simbolik, yang melambangkan kebinasaan kekal, dan bukannya tempat seksaan yang kekal.—Why 19:20; 20:14, 15; 21:8.
Tebet.
Nama untuk bulan ke-10 dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan ke-4 dalam kalendar sekular mereka. Nama ini digunakan selepas pembebasan dari Babilon. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan Disember hingga pertengahan bulan Januari. Biasanya dipanggil “bulan yang ke-10.” (Es 2:16)—Lihat Lampiran B15.
Tebusan.
Harga yang dibayar untuk membebaskan seseorang atau sesuatu daripada hukuman, penderitaan, dosa, kewajipan, atau keadaan terkurung. Bayarannya tidak semestinya berbentuk wang. (Yes 43:3) Tebusan diperlukan dalam beberapa situasi. Misalnya, semua anak lelaki sulung atau anak sulung ternakan di Israel merupakan milik Yehuwa, dan harus dikhaskan dalam khidmat kepada Yehuwa. Maka jika anak lelaki sulung atau anak sulung ternakan ingin dibebaskan daripada khidmat itu, tebusan perlu dibayar. (Bil 3:45, 46; 18:15, 16) Jika seekor lembu jantan yang ganas tidak dikawal lalu membunuh seseorang, pemiliknya harus membayar tebusan supaya pemilik itu dibebaskan daripada hukuman mati. (Kel 21:29, 30) Namun, tebusan tidak diterima jika seseorang sengaja membunuh. (Bil 35:31) Bible juga menyebut tentang tebusan yang paling penting, iaitu tebusan yang dibayar oleh Kristus melalui kematiannya untuk membebaskan orang yang patuh daripada dosa dan maut.—Mz 49:7, 8; Mt 20:28; Ef 1:7.
Tempat memeras anggur.
Biasanya merujuk kepada dua buah “kolam” yang digali di kawasan batu kapur. “Kolam” yang pertama terdapat pada aras yang lebih tinggi dan disambungkan kepada “kolam” yang kedua, yang terdapat pada aras yang lebih rendah, melalui saluran yang kecil. Anggur diperas dalam “kolam” yang pertama dan jus anggur akan mengalir ke dalam “kolam” yang kedua. Digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada penghakiman Tuhan.—Yes 5:2; Why 19:15.
Tempat pengadilan.
Tempat yang ditinggikan yang mempunyai anak tangga, dan terletak di kawasan terbuka. Biasanya merujuk kepada tempat seorang pegawai duduk untuk bercakap kepada orang ramai dan mengumumkan keputusan yang dibuat olehnya. Ungkapan “tempat pengadilan Tuhan” dan “tempat pengadilan Kristus” digunakan untuk melambangkan aturan Yehuwa untuk menghakimi manusia.—Rm 14:10; 2Ko 5:10; Yoh 19:13.
Tempat suci.
Biasanya merujuk kepada tempat yang dikhaskan untuk beribadat. Sering kali merujuk kepada khemah suci atau Rumah Tuhan di Yerusalem. Istilah ini juga merujuk kepada tempat kediaman Tuhan di syurga.—Kel 25:8, 9; 1Ta 28:10; Why 11:19.
Tempat tinggi.
Terafim.
Patung dewa dewi keluarga atau patung berhala. Kadangkala orang meminta petunjuk daripada patung-patung ini. (Yeh 21:21, nota kaki) Ada yang mempunyai bentuk dan saiz seperti manusia, ada pula yang lebih kecil saiznya. (Kej 31:34; 1Sa 19:13, 16) Galian kaji purba di Mesopotamia menunjukkan bahawa seseorang yang memiliki patung terafim akan mendapat harta warisan keluarga. (Hal ini mungkin menjelaskan sebabnya Rahel mengambil patung terafim bapanya.) Tetapi di Israel, terafim dikaitkan dengan penyembahan berhala yang wujud sejak zaman hakim-hakim dan raja. Patung-patung ini termasuk dalam barang-barang yang dimusnahkan oleh Raja Yosia yang setia.—Hak 17:5; 2Ra 23:24; Ho 3:4.
Tiang.
Sesetengah tiang dipasang untuk memperingati peristiwa atau acara bersejarah. Terdapat juga tiang-tiang penyokong di Rumah Tuhan dan kediaman diraja yang dibina oleh Salomo. Orang kafir menegakkan tiang-tiang suci untuk ibadat palsu, dan kadangkala orang Israel juga meniru amalan mereka. (Hak 16:29; 1Ra 7:21; 14:23) Juga digunakan untuk menggantungkan seseorang yang dihukum. Tiang digunakan oleh sesetengah bangsa untuk menghukum bunuh dan/atau untuk mempamerkan mayat seseorang sebagai amaran kepada orang lain atau sebagai lambang penghinaan. Orang Assyria yang terkenal dengan sifat kejam, menggunakan tiang yang runcing untuk menusuk tawanan perang dari perut sehingga ke rongga dada, dan mangsa itu dibiarkan tergantung pada tiang itu. Namun, di bawah hukum orang Yahudi, orang yang melakukan jenayah yang berat (seperti menghina Tuhan atau menyembah berhala), akan dibunuh terlebih dahulu, dan mayatnya akan digantungkan pada tiang atau pokok sebagai amaran kepada orang lain. (Ul 21:22, 23; 2Sa 21:6, 9) Orang Roma kadangkala mengikat mangsa pada tiang dan membiarkannya tergantung di situ selama beberapa hari sehingga dia mati akibat kesakitan, kehausan, kelaparan, dan panas matahari. Ada kalanya mereka memakukan tangan dan kaki si tertuduh pada tiang, seperti yang dilakukan kepada Yesus. (Lu 24:20; Yoh 19:14-16; 20:25; Kis 2:23, 36)—Lihat TIANG SEKSAAN.
Tiang seksaan.
Dalam bahasa Yunani, perkataan ini (stau·rosʹ) bererti tiang atau kayu yang tegak, seperti tiang yang digunakan untuk menggantungkan Yesus. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kata Yunani ini merujuk kepada salib, seperti salib yang digunakan oleh orang kafir sebagai simbol keagamaan berabad-abad sebelum zaman Kristus. “Tiang seksaan” menggambarkan kata Yunani ini dengan tepat kerana kata Yunani ini juga digunakan untuk merujuk kepada seksaan, penderitaan, dan rasa malu, yang akan dialami oleh para pengikut Yesus. (Mt 16:24; Ibr 12:2)—Lihat TIANG.
Tiang suci.
Perkataan Ibrani (ʼashe·rahʹ) merujuk kepada (1) tiang suci yang melambangkan Asyera, dewi kesuburan orang Kanaan, atau (2) patung Dewi Asyera. Nampaknya tiang ini ditegakkan di atas tanah, dan sebahagiannya diperbuat daripada kayu. Mungkin merupakan pokok atau tiang yang tidak diukir.—Ul 16:21, nota kaki; Hak 6:26; 1Ra 15:13.
Timbunan tanah.
Diterjemahkan daripada perkataan Ibrani, mil·loh’ʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Septuagint menterjemahkannya sebagai “kota berkubu.” Nampaknya ungkapan ini merujuk kepada suatu ciri reka bina Kota Daud atau suatu ciri bentuk muka bumi di kota itu, namun hal itu tidak dapat dipastikan.—2Sa 5:9; 1Ra 11:27; nota-nota kaki.
Tirai.
Kain tenunan yang cantik dan yang bersulamkan gambar kerub. Digunakan untuk memisahkan Bilik Suci daripada Bilik Maha Suci di dalam khemah suci dan Rumah Tuhan. (Kel 26:31; 2Ta 3:14; Mt 27:51; Ibr 9:3)—Lihat Lampiran B5.
Tisyri.—
Lihat ETANIM dan Lampiran B15.
Tongkat kerajaan.
Tongkat kecil atau cokmar yang dibawa oleh raja sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan diraja.—Kej 49:10; Ibr 1:8, nota kaki.
Tongkat penggiring.
Sebatang kayu lurus dengan mata besi yang tajam. Digunakan oleh petani untuk menggiring atau mengarahkan binatang ke suatu tempat. Tongkat ini diibaratkan sebagai kata-kata orang bijaksana yang menggerakkan pendengarnya untuk bertindak selaras dengan nasihatnya. Ungkapan “menendang kayu tajam” bermaksud menyakiti diri sendiri seperti seekor lembu degil yang asyik menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.—Kis 26:14; Hak 3:31.
Trompet.
Alat muzik yang ditiup, yang diperbuat daripada logam. Juga digunakan untuk memberikan amaran. Menurut Bilangan 10:2, Yehuwa memberikan arahan untuk membuat dua buah trompet perak yang digunakan untuk memanggil orang Israel berkumpul, menyuruh mereka berangkat, atau mengisytiharkan perang. Trompet-trompet ini mungkin berbentuk lurus, bukannya melengkung seperti trompet tanduk yang diperbuat daripada tanduk binatang. Tetapi reka bentuk bagi trompet-trompet yang digunakan sebagai alat muzik di Rumah Tuhan tidak dapat diketahui dengan pasti. Dalam buku Wahyu, bunyi tiupan trompet selalunya diikuti dengan pengisytiharan penghakiman Yehuwa atau acara-acara rohani yang penting.—2Ta 29:26; Ez 3:10; 1Ko 15:52; Why 8:7–11:15.
Tugu suci.
Tiang yang ditegakkan, biasanya diperbuat daripada batu. Nampaknya melambangkan organ seks Baal atau tuhan-tuhan palsu yang lain.—Kel 23:24.
Tuhan yang benar.
Tukang tembikar.
Orang yang membuat periuk, pinggan, dan sebagainya daripada tanah liat. Perkataan Ibrani untuk tukang tembikar secara harfiah bererti “membentuk.” Seorang tukang tembikar membentuk tanah liat mengikut kemahuannya. Hal ini digunakan untuk menggambarkan kedaulatan Yehuwa atas setiap orang dan setiap bangsa.—Yes 64:8; Rm 9:21.
Tukang tilik.
U
Ufti.
Undi.
Batu kecil atau serpihan kayu yang digunakan untuk membuat keputusan. Diletakkan dalam lipatan jubah atau bekas lalu digoncangkan. Undi yang dipilih ialah undi yang jatuh keluar atau yang dicabut. Biasanya disertai dengan doa. Perkataan asal untuk “undi” juga boleh membawa erti “bahagian warisan” atau ‘milik pusaka.’—Yos 14:2; Mz 16:5; Ams 16:33; Mt 27:35.
Urim dan Tumim.
Objek yang digunakan oleh imam agung untuk menentukan kehendak Tuhan apabila timbulnya persoalan penting yang mungkin mempengaruhi seluruh bangsa. Cara penggunaannya seperti membuang undi. Diletakkan di dalam penutup dada imam agung apabila dia memasuki khemah suci. Nampaknya tidak digunakan selepas orang Babilon memusnahkan Yerusalem.—Kel 28:30; Ne 7:65.
W
Wabak.
Apa jua penyakit berjangkit yang merebak dengan cepat dan yang dapat mencapai tahap epidemik (dapat menjangkiti banyak orang dalam suatu kawasan pada waktu yang sama) serta menyebabkan kematian. Biasanya dikaitkan dengan hukuman daripada Tuhan.—Bil 14:12; Yeh 38:22, 23; Amo 4:10.
Wadi.
Lembah atau dasar sungai yang biasanya kering, kecuali semasa musim hujan. Juga boleh merujuk kepada sungai. Sesetengah sungai tidak akan kering kerana sumber airnya datang daripada mata air. Wadi juga diterjemahkan sebagai “lembah” dalam beberapa konteks.—Kej 26:17, nota kaki; Bil 34:5; Ul 8:7, nota kaki; 1Ra 18:5, nota kaki; Ayb 6:15.
Waktu.
Unit masa yang digunakan untuk membahagikan masa dari 6:00 petang sehingga 6:00 pagi. Dalam Kitab Ibrani, terdapat tiga waktu, dan panjang setiap waktu kira-kira empat jam. (Kel 14:24; Hak 7:19) Pada zaman Yesus, terdapat empat waktu, dan panjang setiap waktu kira-kira tiga jam.—Mt 14:25; Mr 13:35; Lu 12:38; nota-nota kaki.
Y
Yahudi; Orang Yahudi.
Istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang daripada suku Yehuda selepas kejatuhan kerajaan 10 suku Israel. (2Ra 16:6) Selepas pembuangan ke Babilon, istilah ini digunakan untuk merujuk kepada semua orang Israel yang kembali ke Israel. (Ez 4:12) Kemudian digunakan untuk membezakan orang Israel di seluruh dunia daripada orang bukan Yahudi. (Es 3:6) Juga digunakan secara kiasan oleh Rasul Paulus. Dia berkata bahawa dalam sidang Kristian, bangsa seseorang bukanlah hal yang penting.—Rm 2:28, 29; Ga 3:28.
Yakub.
Anak lelaki Ishak dan Ribka. Kemudiannya dinamakan Israel oleh Tuhan, dan dia menjadi kepala keluarga umat Israel (juga dipanggil orang Israel dan kemudian dipanggil orang Yahudi). Dia mempunyai 12 orang anak lelaki. Anak-anak lelakinya dan keturunan mereka membentuk 12 suku bangsa Israel. Nama Yakub juga digunakan untuk merujuk kepada bangsa atau umat Israel.—Kej 32:28; Mt 22:32.
Yedutun.
Istilah yang tidak dapat dipastikan ertinya. Digunakan dalam bahagian penerangan Mazmur 39, 62, dan 77. Nampaknya penerangan-penerangan ini ialah arahan kepada orang yang mempersembahkan mazmur tersebut. Mungkin juga merujuk kepada gaya persembahan atau sebuah alat muzik. Oleh sebab terdapat seorang pemuzik Lewi yang bernama Yedutun, gaya persembahan atau alat muzik ini mungkin dikaitkan dengan dia atau keturunannya.
Yehuda.
Anak lelaki Yakub yang keempat, yang dilahirkan oleh Lea. Sebelum Yakub mati, dia menubuatkan bahawa seorang pemerintah agung yang akan memerintah selama-lamanya akan datang daripada keturunan Yehuda. Yesus berasal daripada keturunan Yehuda. Nama ini juga merujuk kepada suku Yehuda dan kemudiannya kepada kerajaan Yehuda. Juga dipanggil kerajaan selatan yang terdiri daripada suku Yehuda, suku Benyamin, para imam, dan orang Lewi. Kerajaan Yehuda terletak di sebelah selatan negeri Israel dan merangkumi Yerusalem dan Rumah Tuhan.—Kej 29:35; 49:10; 1Ra 4:20; Ibr 7:14.
Yehuwa.
Terjemahan bahasa Melayu bagi nama Tuhan daripada bentuk Tetragrammaton (iaitu, nama Tuhan yang diwakili oleh empat konsonan Ibrani יהוה). Nama ini muncul lebih daripada 7,000 kali dalam terjemahan ini.—Lihat Lampiran A4 dan A5.
Yunani; Orang Yunani.
Bahasa orang Yunani. Juga merujuk kepada orang yang lahir di Yunani atau orang yang keluarganya berasal dari sana. Dalam Kitab Yunani Kristian, perkataan ini juga digunakan secara umum untuk merujuk kepada semua orang bukan Yahudi atau orang yang dipengaruhi oleh bahasa dan kebudayaan Yunani.—Yl 3:6; Yoh 12:20.
Z
Zeus.
Dewa tertinggi orang Yunani. Di Listra, Barnabas digelar Zeus. Ukiran kuno yang dijumpai berhampiran Listra menyebut tentang “para imam Zeus” dan “Zeus, dewa matahari.” Kapal yang dinaiki Paulus dalam perjalanannya dari Pulau Malta mempunyai lambang “Anak Kembar Zeus,” iaitu adik-beradik kembar yang bernama Castor dan Pollux.—Kis 14:12; 28:11.
Ziv.
Nama untuk bulan kedua dalam kalendar suci orang Yahudi, dan bulan kelapan dalam kalendar sekular mereka. Bulan ini bermula dari pertengahan bulan April hingga pertengahan bulan Mei. Juga dipanggil bulan Iyyar menurut Kitab Talmud Yahudi dan catatan lain yang dibuat selepas pembebasan dari Babilon. (1Ra 6:37)—Lihat Lampiran B15.