Oktober
Khamis, 1 Oktober
Aku akan terus berjaga-jaga sambil menunggu Yehuwa.—Mi. 7:7.
Sering kali, Yehuwa memberi kita arahan menerusi penatua, penyelia litar, pejabat cawangan, atau Badan Pimpinan. Tetapi jika kita tidak memahami sebabnya sesuatu arahan diberikan, kita mungkin berfikir bahawa arahan itu menyusahkan, dan bahkan bertumpu kepada ketidaksempurnaan saudara yang memberikan arahan itu. Jika kita hidup berdasarkan iman, kita akan mematuhi arahan dengan segera dan rela hati. (Ibr. 13:17) Apakah yang dapat membantu kita? Kita yakin bahawa Yehuwa sedang membimbing organisasi-Nya dan bahawa Dia memahami situasi kita. Kita juga ingat bahawa ketaatan kita akan menyumbang kepada perpaduan sidang. (Ef. 4:2, 3) Selain itu, kita percaya bahawa biarpun para saudara yang mengambil pimpinan tidak sempurna, Yehuwa akan memberkati ketaatan kita. (1 Sam. 15:22) Tambahan lagi, jika ada apa-apa yang perlu dibetulkan, kita yakin bahawa Yehuwa akan bertindak pada masa yang sesuai. w25.03 23-24 ¶13-14
Jumaat, 2 Oktober
Tuhan dapat menyingkapkan segala rahsia.—Dan. 2:28.
Kita sedang hidup pada masa yang mendebarkan! Setiap hari, nubuat Bible menjadi kenyataan di depan mata kita. Contohnya, kita melihat “raja utara” dan “raja selatan” bersaing untuk menjadi kuasa besar dunia. (Dan. 11:40, nota kaki) Kita juga melihat berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan ke seluas dunia, dan jutaan orang memilih untuk menyembah Yehuwa. (Yes. 60:22; Mat. 24:14) Selain itu, kita menerima makanan rohani yang melimpah “pada masa yang sesuai.” (Mat. 24:45-47) Yehuwa terus membantu kita untuk memahami dengan lebih jelas peristiwa-peristiwa penting yang bakal berlaku. (Ams. 4:18) Kita boleh yakin bahawa apabila kesengsaraan besar bermula, kita akan tahu semua maklumat yang diperlukan supaya kita dapat bertabah dan bahkan tetap bersatu pada masa yang mencabar itu. Namun, kita juga harus ingat bahawa terdapat sesetengah perkara pada masa depan yang kita tidak tahu. w24.05 8 ¶1-2
Sabtu, 3 Oktober
Dia tidak memfitnah dengan kata-katanya.—Mzm. 15:3.
Penulis mazmur menyatakan bahawa kita tidak patut memfitnah. Apakah itu fitnah? Fitnah ialah penyataan palsu yang bertujuan merosakkan nama baik orang. Mazmur 15:3 juga ingatkan kita bahawa tetamu Yehuwa tidak berbuat jahat atau memburukkan nama sahabat mereka. (Mzm. 15:1) Namun bagaimanakah kita mungkin melakukannya tanpa disedari? Kita mungkin sebarkan maklumat negatif tentang seseorang. Fikirkan situasi ini: (1) Seorang saudari tidak lagi merintis, (2) sepasang suami isteri tidak lagi berkhidmat di Bethel, atau (3) seorang saudara bukan lagi penatua atau pembantu sidang. Patutkah kita membuat andaian bahawa mereka telah buat sesuatu yang salah dan sebarkan pandangan kita kepada orang? Ada banyak sebab yang kita mungkin tidak tahu. Tidak kira apa sebabnya, tetamu di khemah Yehuwa “tidak berbuat jahat terhadap orang lain” dan “tidak memburuk-burukkan nama sahabatnya.” w24.06 11-12 ¶11-13
Ahad, 4 Oktober
Ya Yehuwa, aku sentiasa melihat Engkau di hadapanku. Engkau ada di sebelah kananku, maka aku tidak akan sekali-kali goyah.—Mzm. 16:8.
Untuk memperdalam rasa takut kepada Yehuwa, kita harus fikir tentang apa yang akan menyenangkan Yehuwa setiap kali kita buat keputusan. Semasa baca Bible, tanyalah diri, “Jika saya dalam situasi itu, apakah keputusan yang akan saya buat?” Contohnya, bayangkan anda dengar laporan negatif yang dibawa oleh 10 orang pengintip Israel selepas mereka mengintip Tanah yang Dijanjikan. Adakah anda akan mempercayai mereka dan mula takut akan manusia, atau adakah kasih anda kepada Yehuwa menggerakkan anda untuk menyenangkan hati-Nya? Apa yang dikatakan oleh Yosua dan Kaleb memang benar, tetapi kebanyakan orang Israel masa itu tidak mempercayainya. Akibatnya, mereka tidak dapat masuk ke Tanah yang Dijanjikan.—Bil. 14:10, 22, 23. w24.07 10 ¶7
Isnin, 5 Oktober
Yehuwalah yang akan memeriksa hati manusia.—Ams. 17:3.
Gomer telah berzina lalu meninggalkan Hosea. Adakah Gomer masih dapat dibantu? Yehuwa, Tuhan yang melihat isi hati orang, memberitahu Hosea, “Pergilah dan cintailah wanita itu yang berzina dan dicintai oleh lelaki lain. Kasihilah dia sekali lagi sebagaimana Aku, Yehuwa, mengasihi orang Israel, meskipun mereka meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan lain.” (Hos. 3:1; Ams. 16:2) Semasa Yehuwa memberikan arahan ini, Gomer masih belum menghentikan dosanya yang serius. Namun, Yehuwa menyuruh Hosea untuk memaafkannya dan menerimanya kembali. Begitu juga, walaupun umat Yehuwa degil dan terus terjebak dalam dosa serius, Dia tidak berputus asa terhadap mereka. Dia masih mengasihi mereka dan terus membantu mereka agar bertaubat dan mengubah haluan mereka. Contoh ini menunjukkan bahawa Yehuwa akan cuba bantu seseorang untuk bertaubat, biarpun orang itu masih buat dosa serius. w24.08 10 ¶7
Selasa, 6 Oktober
Hukum hanyalah bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang.—Ibr. 10:1.
Orang Yahudi masa awal yang menjadi orang Kristian menghadapi cabaran besar. Selama bertahun-tahun, orang Yahudi ialah umat pilihan Yehuwa. Raja yang memerintah di Yerusalem mewakili Yehuwa, dan Rumah Tuhan ialah pusat ibadat sejati. Semua orang Yahudi yang setia ikut Hukum Musa yang diajarkan pemimpin agama mereka. Hukum Musa mengandungi peraturan tentang makanan, bersunat, dan cara untuk melayan orang daripada bangsa lain. Namun selepas Yesus meninggal, Hukum Musa dimansuhkan dan Yehuwa tidak lagi menerima korban yang dipersembahkan di Rumah-Nya. Maka orang Yahudi yang menjadi orang Kristian perlu ubah cara mereka beribadat. (Ibr. 10:1, 4, 10) Hal ini tidak mudah, bahkan untuk orang Kristian yang matang seperti Petrus. (Kis. 10:9-14; Gal. 2:11-14) Disebabkan kepercayaan baharu mereka, mereka dianiaya pemimpin agama Yahudi. w24.09 9 ¶4
Rabu, 7 Oktober
Ingatlah akan mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu, iaitu mereka yang telah menyampaikan firman Tuhan kepada kamu.—Ibr. 13:7.
Setiap kali Yehuwa memberi umat-Nya tugasan, Dia menghendaki mereka melakukannya dengan teratur. (1 Kor. 14:33) Contohnya, Tuhan ingin agar berita baik disebarkan ke seluas dunia. (Mat. 24:14) Yehuwa telah melantik Yesus untuk mengetuai kerja ini, dan Yesus telah memastikan kerja ini dilakukan secara teratur. Pada abad pertama, terdapat badan pimpinan di Yerusalem yang terdiri daripada para rasul dan penatua. Mereka membuat keputusan yang akan dipatuhi oleh sidang-sidang di merata tempat. (Kis. 15:2; 16:4) Di setiap sidang pula, terdapat penatua yang mengambil pimpinan dan menyampaikan arahan yang diberikan. (Kis. 14:23) Apabila orang di sidang mematuhi arahan itu, ‘iman mereka semakin teguh’ dan “bilangan mereka semakin bertambah.”—Kis. 16:5. w24.04 8 ¶1
Khamis, 8 Oktober
Maria Magdalena pergi menyampaikan berita berikut kepada murid-murid Yesus: “Aku sudah melihat Tuan!”—Yoh. 20:18.
Pada pagi 16 Nisan, beberapa orang wanita yang setia pergi ke makam Yesus. (Luk. 24:1, 10) Mari kita lihat apa yang berlaku kepada salah seorang daripada mereka, iaitu Maria Magdalena. Semasa Maria tiba di makam Yesus, dia mendapati bahawa makam itu kosong. Maka dia berlari untuk memberitahu Petrus dan Yohanes lalu mengikut mereka kembali ke makam. Selepas Petrus dan Yohanes melihat makam Yesus kosong, mereka pun pulang. Tetapi Maria masih berdiri di luar makam sambil menangis. Yesus tersentuh semasa melihat Maria menangis. Maka, dia menampakkan diri kepada Maria dan melakukan sesuatu untuk menggalakkannya. Dia bercakap kepada Maria dan memberinya satu tugasan yang penting, iaitu memberitahu murid-muridnya bahawa dia sudah dibangkitkan.—Yoh. 20:17, 18. w24.10 13 ¶7
Jumaat, 9 Oktober
Aku akan melakukan banyak mukjizat dan perkara yang menakjubkan di Mesir.—Kel. 7:3.
Musa pernah berkhidmat sebagai nabi dan hakim. Dia juga memimpin tentera Israel dan mencatatkan sejarah umat Tuhan. Dia memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir, dan dia sendiri menyaksikan banyak mukjizat Yehuwa. Yehuwa juga guna dia untuk menulis lima buku pertama dalam Bible, Mazmur 90, dan mungkin Mazmur 91. Kemungkinan besar, Musa juga menulis buku Ayub. Tidak lama sebelum Musa meninggal pada usia 120 tahun, dia mengumpulkan bangsa Israel untuk mengingatkan mereka tentang semua perkara yang telah Yehuwa lakukan. Mereka telah melihat banyak tanda dan mukjizat Yehuwa semasa Dia menghukum orang Mesir. (Kel. 7:4) Mereka melihat Yehuwa membelah Laut Merah dan melemaskan tentera Firaun. (Kel. 14:29-31) Mereka juga merasai bagaimana Yehuwa melindungi dan menjaga mereka di padang belantara. (Ul. 8:3, 4) Kini, sejurus sebelum memasuki Tanah yang Dijanjikan, Musa guna peluangnya yang terakhir untuk menggalakkan mereka. w24.11 8-9 ¶3-4
Sabtu, 10 Oktober
Jika sesiapa makan roti ini, dia akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan aku berikan ialah dagingku, supaya umat manusia menerima kehidupan.—Yoh. 6:51.
Kata-kata Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan ditujukan kepada sekumpulan kecil orang, manakala kata-katanya di Galilea ditujukan kepada ramai orang. Kata-kata Yesus di Galilea pada tahun 32 Masihi ditujukan kepada orang Yahudi yang menginginkan makanan. Yesus memberitahu mereka bahawa terdapat makanan yang lebih bermanfaat, yang dapat membawa kehidupan kekal. Dia juga berkata bahawa orang mati akan dibangkitkan dan hidup selama-lamanya. Berkat-berkat yang disebut Yesus ini disediakan untuk semua orang, bukan untuk sekumpulan kecil orang seperti halnya semasa Perjamuan Malam Tuan. w24.12 11 ¶10-11
Ahad, 11 Oktober
Para suami, teruslah mengasihi isteri kamu.—Kol. 3:19.
Yehuwa benci orang yang ganas. (Mzm. 11:5) Dia mengutuk suami yang mendera isteri. (Mal. 2:16) Jika suami tidak melayan isteri dengan baik, hubungannya dengan Tuhan akan terjejas. Yehuwa bahkan tidak mahu dengar doanya. (1 Ptr. 3:7) Yehuwa benci ‘kemarahan, perasaan berang, jeritan, dan kata-kata hinaan.’ (Ef. 4:31, 32) Suami yang bercakap kasar kepada isterinya bukan sahaja merosakkan perkahwinannya, tetapi juga hubungannya dengan Yehuwa. (Yak. 1:26) Begitu juga, suami yang melihat pornografi merosakkan hubungannya dengan Yehuwa dan merendahkan isterinya. Yehuwa mahu suami setia kepada isteri. Suami yang setia tidak sekadar menghindari perbuatan seks yang tidak bermoral, tetapi juga pemikiran yang kotor. Yesus berkata bahawa lelaki yang memandang wanita yang bukan pasangannya dengan perasaan berahi sudah berzina “dengannya dalam hati.”—Mat. 5:28, 29. w25.01 9 ¶6-8
Isnin, 12 Oktober
Seseorang hanya akan memperoleh perkenan Tuhan dengan beriman kepada Yesus Kristus.—Gal. 2:16.
Bible kata bahawa umat Yehuwa dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya. Maksudnya, Yehuwa tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita. Adakah Dia melanggar standard keadilan-Nya? Tidak. Dia menganggap kita sebagai orang yang diperkenankan-Nya bukan kerana usaha kita atau kerana Dia tutup sebelah mata terhadap dosa kita. Sebaliknya, Dia membatalkan hutang dosa kita kerana tebusan sudah dibayar dan kerana kita beriman terhadap aturan pengampunan. (Rm. 3:24) Apakah manfaatnya kerana dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya? Mereka yang dipilih untuk memerintah bersama Yesus dapat diterima sebagai anak-anak Tuhan. (Tit. 3:7; 1 Yoh. 3:1) Dosa mereka sudah diampunkan dan seolah-olah tidak mempunyai “rekod jenayah” di hadapan Tuhan. Maka, mereka layak masuk Kerajaan Tuhan. (Rm. 8:1, 2, 30) Mereka yang ada harapan untuk tinggal di bumi pula diterima sebagai sahabat Tuhan. Dosa mereka juga diampunkan.—Yak. 2:21-23. w25.02 5 ¶17-18
Selasa, 13 Oktober
Fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.—Mat. 16:23.
Pernah sekali, Rasul Petrus gagal mencerminkan cara Yehuwa berfikir. Yesus memberitahu para rasul bahawa dia harus pergi ke Yerusalem, diserahkan kepada para pemimpin agama, diseksa, dan akhirnya dibunuh. (Mat. 16:21) Memandangkan Yesus ialah Mesias yang dijanjikan dan penyelamat bangsa Israel, Petrus mungkin berasa susah untuk terima hakikat bahawa Yehuwa akan mengizinkan Yesus dibunuh. (Mat. 16:16) Maka, Petrus membawa Yesus ke tepi dan berkata, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” (Mat. 16:22) Mengapakah pemikiran Yesus dan Petrus berbeza? Kerana Petrus gagal mencerminkan pemikiran Yehuwa. Yesus tahu bahawa untuk melakukan kehendak Yehuwa, dia perlu menderita dan mati. Maka dia menolak nasihat Petrus walaupun Petrus berniat baik. Daripada pengalaman itu, Petrus belajar bahawa dia perlu menyelaraskan fikirannya dengan fikiran Tuhan. Ini juga pengajaran penting bagi kita. w25.03 9 ¶5-6
Rabu, 14 Oktober
Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati; Dia menyelamatkan orang yang tawar hati.—Mzm. 34:18.
Adakah anda patah hati kerana orang yang anda percayai mengecewakan anda atau mengkhianati anda? Ingatlah bahawa Bapa kita yang di syurga amat mengasihi anda biarpun orang lain mengecewakan anda. Jika anda dikhianati, dapatkanlah kelegaan menerusi kata-kata Daud dalam ayat harian hari ini. Sebuah rujukan Bible menyatakan bahawa ungkapan “orang yang tawar hati” boleh merujuk kepada “orang yang berasa mereka tiada harapan.” Bagaimanakah Yehuwa membantu orang sebegini? Sepertimana seorang bapa yang pengasih mendukung dan melegakan anaknya yang susah hati, Yehuwa, Bapa kita yang berbelas kasihan, “dekat dengan” kita dan bersedia untuk melegakan hati kita semasa kita berasa hancur hati kerana dikhianati atau kehilangan orang tersayang. Dia juga memberi kita harapan yang cerah supaya kita dapat bertabah.—Yes. 65:17. w24.12 23 ¶13-14
Khamis, 15 Oktober
Kamu akan menerima ganjaran daripada Yehuwa.—Kol. 3:24.
Hari ini, para penatua dapat yakin bahawa Yehuwa melihat dan menghargai usaha mereka. Selain menggembala, mengajar, dan menginjil, banyak penatua membantu dalam projek pembinaan dan menolong mangsa bencana. Ada pula membantu dalam Kumpulan Melawat Pesakit atau Jawatankuasa Perhubungan Hospital. Penatua yang buat kerja sebegini sedar bahawa sidang ialah milik Yehuwa. Mereka dapat berkhidmat dengan giat dan yakin Yehuwa akan memberkati mereka. (Kol. 3:23, 24) Bukan semua orang dapat jadi penatua, tetapi kita semua dapat beri Yehuwa sesuatu. Apabila kita buat yang terbaik untuk Yehuwa, Dia sangat menghargainya. Contohnya, semasa kita memberikan sumbangan untuk kerja sedunia, Dia melihatnya, biarpun apa yang kita beri sedikit sahaja. Dia juga bangga apabila kita melupakan dan memaafkan kesilapan orang. Percayalah bahawa Dia menghargai usaha anda, mengasihi anda, dan pasti memberkati anda.—Luk. 21:1-4. w24.06 23 ¶12-13
Jumaat, 16 Oktober
Janganlah biarkan hatimu terpikat sehingga mengikut haluan perempuan itu, dan janganlah menyimpang ke jalannya.—Ams. 7:25.
Kata-kata Salomo menunjukkan bahaya yang mungkin menimpa mana-mana penyembah Yehuwa. Seseorang mungkin terjebak dalam dosa serius dan berasa semua itu berlaku secara tiba-tiba. Namun, jika dia fikir kembali, dia mungkin sedar bahawa dia telah terlibat dalam pergaulan buruk, menikmati hiburan yang tidak sihat, sering melawat tempat yang tidak sesuai bagi orang Kristian, atau melayari laman web yang tidak senonoh. Dia juga mungkin telah mengabaikan tabiat berdoa, membaca Bible, menghadiri perjumpaan, atau menginjil. Seperti pemuda di Amsal bab 7, dia telah mengambil langkah yang menyebabkannya beransur-ansur berdosa. Apakah pengajarannya? Kita bukan sahaja perlu menjauhi perbuatan berdosa, tetapi perlu menjauhi hal-hal yang menjurus kepada dosa. Itulah yang ditekankan oleh Salomo selepas menulis kisah tentang pemuda dan perempuan jalang itu.—Mat. 5:29, 30. w24.07 16 ¶10-11
Sabtu, 17 Oktober
Walaupun kami seperti bekas tanah liat, tugas suci yang bagaikan harta karun telah diberikan kepada kami.—2 Kor. 4:7.
Harta karun ialah tugas suci untuk menyebarkan mesej Kerajaan Tuhan yang membawa penyelamatan. (2 Kor. 4:1) Bekas tanah liat pula ialah hamba Tuhan yang menyebarkan berita baik. Pada zaman Paulus, pedagang biasanya menggunakan bekas tanah liat untuk menghantar barang berharga, seperti makanan, wain, dan duit. Begitu juga, Yehuwa menggunakan kita untuk “menghantar” sesuatu yang berharga, iaitu berita baik. Dengan bantuan Yehuwa, kita dikuatkan untuk menginjil dengan setia. Bagaimanakah jika kita takut akan reaksi orang? Perhatikan apa yang para rasul doakan semasa dilarang menginjil. Daripada tunduk kepada rasa takut, mereka minta Yehuwa untuk membantu mereka terus menginjil dengan berani. Yehuwa segera mengabulkan doa mereka. (Kis. 4:18, 29, 31) Jika anda berasa takut akan manusia, mintalah Yehuwa menguatkan kasih anda terhadap orang lain agar anda tidak lagi takut. w24.04 16 ¶8-9
Ahad, 18 Oktober
Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.—Mat. 6:9.
Kasih terhadap Yehuwa mendorong kita untuk menyucikan nama-Nya. Syaitan telah memfitnah dan memburuk-burukkan nama Yehuwa. (Kej. 3:1-5; Ayb. 2:4; Yoh. 8:44) Jadi kita mahu menyucikan nama Tuhan semasa menginjil dan mengumumkan kebenaran tentang-Nya kepada semua orang yang sudi mendengar. Kita berharap mereka akan tahu bahawa sifat utama-Nya ialah kasih, cara pemerintahan-Nya adil dan benar, dan bahawa Kerajaan-Nya akan melenyapkan segala penderitaan dan membawa kehidupan yang damai dan bahagia. (Mzm. 37:10, 11, 29; 1 Yoh. 4:8) Apabila kita mempertahankan nama Yehuwa dan memberitahu orang kebenaran tentang-Nya, kita sedang menyucikan nama-Nya. Kita juga berasa puas kerana dapat hidup selaras dengan nama kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. w24.05 18 ¶12
Isnin, 19 Oktober
Semasa kamu mengadakan jamuan, jemputlah orang miskin, orang tempang, orang buta, dan orang lain yang kurang upaya. Berbahagialah kamu setelah berbuat demikian, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalas kamu. Kamu akan menerima balasan kamu semasa orang yang melakukan apa yang benar dibangkitkan.—Luk. 14:13, 14.
Anda menunjukkan anda “suka menyambut orang dengan ramah” dengan berbuat baik kepada orang, termasuk orang yang bukan kawan baik anda. (1 Ptr. 4:9) Sebuah kamus Bible kata bahawa seorang yang murah hati akan berbuat baik kepada semua orang termasuk yang tidak dikenalinya, dan dia gembira menyambut mereka ke rumahnya. Tanyalah diri, “Adakah saya murah hati kepada orang yang lawat sidang saya?” (Ibr. 13:2, 16) Orang yang murah hati akan buat baik kepada semua pelawat, termasuk mereka yang miskin, penceramah undangan, dan saudara yang bekerja keras, seperti penyelia litar.—Kej. 18:2-8; Ams. 3:27; Kis. 16:15; Rm. 12:13. w24.11 21 ¶6
Selasa, 20 Oktober
Anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan.—Mat. 25:10.
Dalam cerita ibarat tentang anak dara, Yesus cerita tentang 10 orang anak dara yang keluar untuk menyambut pengantin lelaki. (Mat. 25:1-4) Mereka semua harap untuk ikut pengantin lelaki ke majlis perkahwinannya. Yesus kata bahawa ada lima anak dara yang “bijaksana” dan lima lagi yang “bodoh.” Lima anak dara yang bijaksana itu sentiasa sedia menunggu pengantin lelaki, biarpun dia akan sampai pada lewat malam. Mereka bukan sahaja bawa pelita untuk digunakan semasa gelap, tetapi juga bawa minyak tambahan agar pelita terus bernyala. (Mat. 25:6-10) Apabila pengantin lelaki datang, anak dara yang bijaksana mengikutnya ke majlis perkahwinan. Seperti anak dara yang sentiasa bersedia, orang Kristian terurap tetap berjaga-jaga dan setia sehingga kedatangan Kristus. Mereka akan dijemput untuk menyertai Pengantin Lelaki, iaitu Yesus, dalam Kerajaannya di syurga.—Why. 7:1-3. w24.09 21 ¶6
Rabu, 21 Oktober
Aku nampak kumpulan besar manusia yang datang daripada semua bangsa.—Why. 7:9.
Hasil yang diraih di serata dunia juga mendorong kita untuk bersikap positif. Setiap tahun, jutaan orang menghadiri Peringatan dan mula belajar Bible, dan ribuan orang dibaptis dan mula menginjil. Kita tidak tahu berapa banyak orang lagi yang akan menerima kebenaran, tetapi kita tahu bahawa Yehuwa sedang mengumpulkan kumpulan besar manusia yang akan selamat mengharungi kesengsaraan besar. (Why. 7:9, 14) Ya, Pemilik tuaian yakin bahawa banyak orang lagi akan menerima berita baik, maka kita mahu terus menginjil. (Luk. 10:2) Sejak dahulu lagi, pengikut Yesus menginjil dengan bersemangat. Orang yang melihat keberanian para rasul “sedar bahawa [mereka] dahulunya bersama Yesus.” (Kis. 4:13) Begitu juga, apabila orang melihat kita menginjil dengan bersemangat, semoga mereka membuat kesimpulan bahawa kita sedang meniru teladan Yesus. w25.03 18 ¶15; 19 ¶17-18
Khamis, 22 Oktober
Ya Yehuwa, siapakah manusia sehingga Engkau mengambil peduli tentang mereka?—Mzm. 144:3.
Daripada Bible, kita belajar bahawa Yehuwa memperhatikan orang yang nampaknya tidak penting. Contohnya, semasa Yehuwa utus Samuel ke rumah Isai untuk mengurapi salah seorang anak lelakinya sebagai raja Israel, Isai memanggil semua anak lelakinya untuk jumpa dengan Samuel, kecuali anak bongsunya Daud. Namun, Daudlah yang dipilih Yehuwa. (1 Samuel 16:6, 7, 10-12) Yehuwa nampak apa yang ada dalam hatinya. Dia tahu Daud sangat mengasihi-Nya. Fikirkan bagaimana Yehuwa sudah menunjukkan bahawa Dia peduli terhadap anda. Dia berjanji untuk beri anda nasihat yang sesuai mengikut keperluan anda. (Mzm. 32:8) Tidakkah ini membuktikan bahawa Dia amat mengenali anda? (Mzm. 139:1) Apabila anda meraih manfaat kerana mengikut nasihat-Nya, anda akan lebih yakin bahawa Dia ambil berat tentang anda. (1 Taw. 28:9; Kis. 17:26, 27) Yehuwa melihat usaha dan sifat baik anda. Itulah sebabnya Dia mahu jadi sahabat anda.—Yer. 17:10. w24.10 25-26 ¶7-9
Jumaat, 23 Oktober
Dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka seperti biri-biri tanpa gembala.—Mrk. 6:34.
Anda pasti mengasihi Yehuwa dan ingin bantu saudara saudari. Apakah yang dapat kuatkan keinginan anda untuk berkhidmat? Fikirkan sukacita yang dapat anda raih jika berkhidmat kepada orang lain. Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Yesus sendiri hidup menurut prinsip ini dan meraih sukacita yang sejati kerana bantu orang. Perhatikan contoh di Markus 6:31-34. Ketika itu, Yesus dan rasulnya sangat penat dan ingin berehat di sebuah tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai tiba di situ lebih awal kerana ingin dengar ajaran Yesus. Apakah reaksi Yesus? Dia boleh menolak permintaan mereka dan berkata bahawa dia dan para rasul terlalu sibuk sehingga “langsung tidak ada masa untuk makan.” Dia juga boleh ajar satu atau dua hal secara tergesa-gesa dan suruh mereka pulang. Tetapi kasih mendorongnya untuk ‘mengajarkan mereka’ sehingga lewat petang.—Mrk. 6:35. w24.11 16 ¶9-10
Sabtu, 24 Oktober
Kamu akan mendapat ganjaran atas segala usahamu.—2 Taw. 15:7.
Ibu bapa, galakkan anak anda agar mencari peluang untuk mengongsi kebenaran Bible. (Rm. 10:10) Anda boleh menyamakan situasinya dengan seseorang yang baru belajar main alat muzik. Pada mulanya, pelajar itu mungkin belajar melodi yang mudah sahaja. Lama-kelamaan, dia menjadi semakin mahir. Begitu juga, kaum muda Kristian dapat menggunakan cara yang mudah untuk mengongsikan kepercayaannya. Contohnya, dia boleh tanya rakan sekolahnya, “Adakah kamu tahu bahawa jurutera sering meniru rekaan alam semula jadi? Cuba tengok video ini.” Selepas menunjukkan video daripada siri Siapakah Perekanya? dia boleh berkata, “Jika ahli sains dipuji kerana meniru rekaan alam semula jadi, siapakah yang harus dipuji untuk rekaan yang asal?” Penyampaian mudah sebegini mungkin sudah cukup untuk membuat rakan sekolahnya berminat dan ingin tahu lebih banyak lagi. w24.12 19 ¶17-18
Ahad, 25 Oktober
Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian.—Rm. 5:12.
Untuk bebaskan kita, Yehuwa utus Yesus untuk mengorbankan nyawanya. Namun bagaimanakah kematian satu orang yang sempurna dapat menyelamatkan jutaan orang? Paulus kata, “Disebabkan keingkaran satu orang [Adam], banyak orang menjadi pendosa. Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang [Yesus], banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” (Rm. 5:19; 1 Tim. 2:6) Maksudnya, kerana seorang yang sempurna mengingkari Tuhan, kita semua dikuasai dosa dan maut. Begitu juga, kerana seorang yang sempurna mentaati Tuhan, kita semua dibebaskan. Ada orang mungkin fikir, “Mengapa Yehuwa tidak biarkan sahaja keturunan Adam untuk hidup selamanya?” Dari sudut pandangan manusia, hal itu nampaknya lebih senang dan masuk akal. Namun bagi Yehuwa, tindakan itu tidak wajar kerana Dia sentiasa berpegang pada standard keadilan-Nya. Adam telah buat dosa yang sangat serius, maka Tuhan tidak akan tutup sebelah mata terhadap perbuatannya. w25.01 20-21 ¶3-4
Isnin, 26 Oktober
Kita hidup berdasarkan iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dapat dilihat.—2 Kor. 5:7.
Tidak lama sebelum Paulus dihukum mati, dia berkata, “Aku sudah berlari dalam perlumbaan sampai ke akhir, dan aku tetap teguh dalam kepercayaan.” (2 Tim. 4:6-8) Mengapakah dia berpuas hati dengan kehidupannya? Kerana dia membuat keputusan yang bijak untuk menyembah Yehuwa, dan dia yakin bahawa Yehuwa senang hati terhadapnya. Kita juga mahu membuat keputusan yang bijak dan menyenangkan hati Tuhan. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Mengenai dirinya dan orang Kristian setia yang lain, Paulus berkata, “Kita hidup berdasarkan iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dapat dilihat.” Apakah maksud Paulus? Seseorang yang hidup berdasarkan iman memikirkan kehendak Yehuwa semasa membuat keputusan. Dia percaya bahawa Yehuwa akan memberkatinya dan bahawa dia akan meraih manfaat jika dia mematuhi nasihat Yehuwa dalam Bible.—Mzm. 119:66; Ibr. 11:6. w25.03 20 ¶1-2
Selasa, 27 Oktober
Ubahlah fikiran kamu.—Rm. 12:2.
Dengan bantuan kuasa suci Tuhan, banyak orang yang dahulunya bersikap seperti binatang buas telah membuat perubahan besar dan membuang sikap buruk mereka. (Yes. 65:25; Ef. 4:22-24) Umat Tuhan masih tidak sempurna dan akan buat silap. Namun, walaupun mereka berasal daripada pelbagai latar belakang, mereka menikmati kedamaian dan perpaduan yang sejati kerana kasih mereka terhadap Yehuwa dan satu sama lain. (Tit. 2:11) Perpaduan ini sesungguhnya mukjizat yang hanya dapat dilakukan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa! Apa yang difirmankan Yehuwa pasti terjadi. (Yes. 55:10, 11) Firdaus rohani sudah pun wujud. Yehuwa telah menciptakan sebuah keluarga yang istimewa. Dalam kalangan umat-Nya, kita hidup damai dan selamat meskipun dikelilingi dunia yang ganas. (Mzm. 72:7) Oleh itu, kita ingin menjemput seramai orang yang mungkin untuk memasuki firdaus rohani dengan membantu mereka menjadi murid Yesus.—Mat. 28:19, 20. w24.04 23 ¶13, 15
Rabu, 28 Oktober
Kita mempunyai fikiran Kristus.—1 Kor. 2:16.
Yesus mengasihi Yehuwa dengan segenap akalnya. Dia tahu apa yang Yehuwa mahu dia lakukan, jadi dia tidak membiarkan apa-apa pun untuk menghalangnya daripada mengutamakan kehendak Tuhan dalam hidupnya. Biarpun dia harus menderita untuk melakukan apa yang betul, dia tetap bertekad untuk melakukannya. Petrus dan para rasul yang lain berpeluang untuk meluangkan banyak masa bersama Yesus dan dapat belajar cara pemikirannya. Semasa Petrus menulis suratnya yang pertama, dia menggalakkan rakan seimannya untuk memperlengkap diri dengan kecenderungan mental Kristus. (1 Ptr. 4:1 dan nota kaki) Istilah “memperlengkap diri” ialah istilah ketenteraan. Maka, semasa kita meniru cara Yesus berfikir, kita dilengkapi untuk melawan keinginan yang salah dan pengaruh dunia Syaitan.—2 Kor. 10:3-5; Ef. 6:12. w25.03 8 ¶1-3
Khamis, 29 Oktober
Fikiran seseorang bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.—Ams. 20:5.
Apakah yang harus anda ketahui semasa berdating? Sebelum perasaan cinta menjadi terlalu dalam, anda mungkin mahu bincang hal-hal yang penting, seperti matlamat hidup masing-masing. Bagaimanakah pasangan yang berdating dapat mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam? Salah satu cara terbaik adalah dengan menanyakan soalan, mendengar dengan teliti, dan bercakap secara terbuka dan jujur. (Yak. 1:19) Untuk berbuat demikian, pilihlah aktiviti yang membolehkan anda berdua berbual, seperti makan bersama, bersiar-siar di tempat awam, dan menginjil bersama. Anda juga dapat meluangkan masa bersama sahabat dan keluarga. Selain itu, aturkanlah aktiviti yang membolehkan anda melihat reaksi satu sama lain terhadap situasi yang berbeza atau semasa berinteraksi dengan orang yang berlainan. w24.05 27-28 ¶6-7
Jumaat, 30 Oktober
Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.—Ef. 5:1.
Tidak lama lagi, kita akan menghadapi cabaran yang sangat besar. Ketika itu, hanya Yehuwa yang dapat membantu kita. Kisah Bible dan pengalaman moden para Saksi dapat membantu kita memikirkan bagaimana Yehuwa menjadi Gunung Batu mereka dan menyokong mereka. Fikirlah secara mendalam tentang kisah-kisah itu. Dengan demikian, anda menjadikan Yehuwa Gunung Batu anda. Anda juga dapat menguatkan rakan seiman. Yesus memanggil Simon sebagai Kefas (yang diterjemahkan sebagai “Petrus”), yang bermaksud “Seketul Batu.” (Yoh. 1:42) Dia tahu Petrus akan melegakan dan menguatkan rakan seimannya. Para penatua digambarkan sebagai “batu besar” kerana mereka melindungi saudara saudari. (Yes. 32:2) Biarpun kita bukan penatua, kita dapat menggalakkan satu sama lain dengan meniru sifat-sifat Yehuwa. w24.06 28 ¶10-11
Sabtu, 31 Oktober
Yehuwa menghendaki orang untuk menyembah Dia sahaja.—Ul. 4:24.
Raja Israel yang dianggap setia oleh Yehuwa ialah raja yang menyembah-Nya dengan cara yang betul. Yehuwa anggap kebanyakan raja tidak setia kerana mereka mengabaikan Hukum-Nya dan mula menyembah tuhan palsu. (1 Raj. 21:25, 26; 2 Taw. 12:1) Mengapakah isu ibadat begitu penting bagi Yehuwa? Pertama, raja-raja bertanggungjawab membimbing umat Tuhan dalam ibadat sejati. Selain itu, orang yang mengikut ibadat palsu pasti terjebak dalam dosa serius dan melayan satu sama lain dengan buruk. (Hos. 4:1, 2) Tambahan lagi, raja dan rakyat Israel sudah berjanji untuk menyembah Yehuwa sahaja. Jadi, semasa mereka menyembah berhala, Bible kata bahawa mereka seolah-olah berzina. (Yer. 3:8, 9) Seseorang yang berzina akan melukai pasangannya secara mendalam. Begitu juga, apabila seorang penyembah Yehuwa terlibat dalam ibadat palsu, Yehuwa sangat terluka.—Ul. 4:23. w24.07 22-23 ¶12-15