November
Ahad, 1 November
Aku tidak akan marah buat selama-lamanya.—Yer. 3:12.
Para penatua berusaha meniru belas kasihan Yehuwa semasa membantu orang yang telah dikeluarkan daripada sidang. Sebagai contoh, Yehuwa mengambil inisiatif untuk membantu orang Israel yang suka memberontak, bahkan sebelum mereka bertaubat. Yehuwa menunjukkan betapa besarnya belas kasihan-Nya melalui contoh Nabi Hosea. Dia menyuruh Hosea untuk berbaik semula dengan isterinya yang masih berzina. (Hos. 3:1; Mal. 3:7) Dengan meniru teladan Yehuwa, para penatua menunjukkan bahawa mereka benar-benar ingin membantu si pendosa, dan bukannya membuatnya berasa susah untuk kembali kepada Yehuwa. Dalam cerita Yesus tentang anak yang sesat, bapa itu “berlari ke arah [anaknya], memeluknya, dan menciumnya.” (Luk. 15:20) Dia tidak menunggu anaknya untuk meminta maaf. Sebaliknya, dia mengambil inisiatif untuk berlari ke arahnya dan menyambutnya kembali. w24.08 28 ¶7-8
Isnin, 2 November
Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. Tuhan tidak akan mencari kesalahannya. Sebaliknya, Dia murah hati terhadap semua orang.—Yak. 1:5; nota kaki.
Seperti ayat harian ini, Yehuwa tidak kedekut ilmu. Tambahan lagi, semasa memberi seseorang kebijaksanaan, Dia melakukannya dengan murah hati. Yehuwa “tidak akan memarahinya,” “mencari kesalahannya,” atau membuatnya rasa bersalah. Sebaliknya, Dia ingin kita minta kebijaksanaan daripada-Nya. (Ams. 2:1-6) Dapatkah kita tiru kemurahan hati Yehuwa semasa kongsi pengetahuan kita? (Mzm. 32:8) Sebagai umat Yehuwa, kita ada banyak peluang untuk melakukannya. Contohnya, kita sering latih penyiar baharu semasa menginjil. Para penatua latih pembantu sidang dan saudara terbaptis untuk menjalankan tugas dalam sidang. Rakan seiman yang berpengalaman dalam kerja pembinaan dan penyelenggaraan pula latih orang baharu untuk membina dan menjaga bangunan teokratik. w24.09 28-29 ¶11-12
Selasa, 3 November
Kami sangat menyayangi kamu.—1 Tes. 2:8.
Saudara sekalian, untuk jadi penatua, anda mesti “tidak bercela.” Maksudnya, anda harus ada nama atau reputasi baik dalam sidang. Anda tidak memberi saudara saudari sebab untuk menuduh anda berkelakuan buruk. (1 Tim. 3:2) Anda juga harus ada nama baik dalam kalangan orang luar. Orang yang bukan Saksi mungkin mengkritik kepercayaan anda, tetapi mereka tidak patut ada alasan untuk persoalkan kelakuan atau kejujuran anda. (Dan. 6:4, 5) Tanyalah diri, “Adakah saya mempunyai nama baik di dalam dan di luar sidang?” Jika anda “mencintai apa yang baik,” anda akan mencari sifat baik orang dan puji mereka. (Tit. 1:8) Anda juga akan suka buat baik, dan bahkan rela buat lebih daripada apa yang diperlukan. Mengapakah sifat ini penting bagi penatua? Penatua perlu guna banyak masa dan tenaga untuk menggembala sidang dan buat tugasan. (1 Ptr. 5:1-3) Jika mereka “mencintai apa yang baik,” mereka akan buat dengan rela hati dan meraih banyak sukacita kerana bantu orang.—Kis. 20:35. w24.11 20-21 ¶3-5
Rabu, 4 November
Lebih berbahagia memberi daripada menerima.—Kis. 20:35.
Pembantu sidang melakukan kerja penting dalam sidang. Maka tidak hairanlah Rasul Paulus sangat menghargai mereka. Semasa menyampaikan salamnya kepada sidang di Filipi, dia khususnya menyebut tentang pembantu sidang. (Flp. 1:1) Ada saudara yang dilantik sebagai pembantu sidang semasa muda, dan ada yang dilantik semasa lebih tua. Sebagai contoh, Devan berumur 18 tahun semasa dilantik, manakala Luis dilantik semasa berumur lebih daripada 50 tahun. Namun mereka berkhidmat dengan sukacita. Luis berkata, “Saya berbesar hati kerana dapat melakukan kerja sebagai pembantu sidang, terutamanya semasa saya ingat bahawa saudara saudari sangat mengasihi saya!” Jika anda seorang saudara terbaptis dan belum lagi dilantik sebagai pembantu sidang, dapatkah anda berusaha mencapai matlamat itu? w24.11 14 ¶1-3
Khamis, 5 November
Aku mohon kepada-Mu, ya Yehuwa, ingatlah bahawa aku telah melakukan apa yang baik di mata-Mu.—2 Raj. 20:3.
Semasa berumur 39 tahun, Raja Hizkia dari Yehuda mendapat tahu bahawa dia menghidap penyakit yang teruk dan akan mati. (2 Raj. 20:1) Raja Hizkia menangis teresak-esak semasa mendengar berita itu. Dia juga berdoa dengan bersungguh-sungguh agar Yehuwa membantunya. Yehuwa mengasihani Hizkia lalu berkata kepadanya, “Aku telah mendengar doamu dan nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau.” Kemudian, Yehuwa menyuruh Yesaya untuk memberitahu Hizkia bahawa umurnya akan dipanjangkan. Tuhan juga berjanji untuk menyelamatkan Yerusalem daripada tentera Assyria. (2 Raj. 20:4-6) Adakah anda menghidap penyakit yang nampaknya tidak dapat disembuhkan? Mintalah bantuan Yehuwa biarpun anda perlu berdoa sambil menangis. Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa ialah “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.”—2 Kor. 1:3, 4. w24.12 24 ¶15-17
Jumaat, 6 November
Aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.—Kis. 24:15.
Bayangkan perasaan anda semasa melihat orang mati dibangkitkan! Fikirkan juga betapa gembiranya anda semasa menerokai ciptaan Yehuwa dan semakin mengenali-Nya. (Mzm. 104:24; Yes. 11:9) Yang terpenting, anda akan jadi sempurna dan tidak akan mengecewakan Yehuwa lagi! Sanggupkah anda mengorbankan semua berkat ini hanya untuk “menikmati kesenangan hidup berdosa yang bersifat sementara”? (Ibr. 11:25) Janganlah berbuat demikian! Apa yang ditawarkan dunia langsung tidak dapat menandingi berkat daripada Yehuwa. Jadi, biarpun anda perlu buat pengorbanan untuk Yehuwa sekarang, semua itu tidak sia-sia. Ingatlah, dunia baharu bukanlah janji kosong, tetapi pasti menjadi realiti. Semua ini dapat terjadi hanya kerana Yehuwa begitu mengasihi kita sehingga rela menyediakan korban tebusan! w25.01 29 ¶12
Sabtu, 7 November
Adakah kuasa-Ku terbatas?—Bil. 11:23.
Buku Ibrani menyebut tentang banyak orang yang beriman dan salah seorang yang menonjol ialah Musa. (Ibr. 3:2-5; 11:23-25) Adakah iman Musa sia-sia? Tidak. Yehuwa telah membekalkan umat-Nya dengan makanan dan air semasa di padang belantara. (Kel. 15:22-25; Mzm. 78:23-25) Meskipun Musa sangat beriman, kira-kira setahun selepas orang Israel meninggalkan Mesir, dia mula tertanya-tanya jika Yehuwa mampu menyediakan daging bagi umat-Nya. Pada masa itu, terdapat jutaan orang Israel yang berkhemah di padang belantara, jadi Musa tidak dapat membayangkan bagaimana Yehuwa dapat menyediakan daging bagi mereka semua. Maka Yehuwa berfirman kepadanya, “Adakah kuasa-Ku terbatas?” (Bil. 11:21-23) Jadi Yehuwa seolah-olah sedang menanya Musa, “Adakah kamu fikir kuasa Aku tidak cukup untuk menunaikan janji-Ku?” w25.03 26 ¶1-2
Ahad, 8 November
Dunia zaman lampau juga tidak terlepas daripada hukuman Tuhan.—2 Ptr. 2:5.
Patutkah kita menganggap setiap orang dan setiap peristiwa semasa Banjir pada zaman Nuh melambangkan sesuatu pada masa depan? Tidak, kerana Bible tidak berkata demikian. Yesus pernah berkata bahawa keadaan pada zaman Nuh adalah seperti keadaan semasa kehadirannya. Namun, dia tidak berkata bahawa setiap orang dan peristiwa semasa Banjir pada zaman Nuh melambangkan sesuatu. Dia juga tidak pernah berkata bahawa semasa Yehuwa menutup pintu bahtera, hal itu menggambarkan apa yang akan berlaku pada masa depan. (Mat. 24:37-39) Apakah reaksi Nuh terhadap amaran Yehuwa? Dia membuktikan imannya dengan membina bahtera. (Ibr. 11:7; 1 Ptr. 3:20) Begitu juga, orang yang dengar berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus menerapkan apa yang dipelajari. (Kis. 3:17-20) Petrus memanggil Nuh sebagai “seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar.” Hari ini, kita juga menginjil dengan giat. Namun, kita tidak dapat mengongsikan berita baik kepada semua orang sebelum akhir tiba. w24.05 9-10 ¶3-5
Isnin, 9 November
Dia memuliakan orang yang takut akan Yehuwa.—Mzm. 15:4.
Kita harus cari peluang untuk menunjukkan hormat kepada sahabat Yehuwa dan layan mereka dengan baik. (Rm. 12:10) Mazmur 15:4 menyebut satu cara kita dapat melakukannya, iaitu dengan ‘sentiasa menepati janji kita, meskipun hal itu merugikan kita.’ Jika kita memungkiri janji, kita akan menyakiti orang lain. (Mat. 5:37) Contohnya, Yehuwa mahu suami isteri menepati ikrar perkahwinan, dan Dia mahu ibu bapa berusaha menunaikan janji kepada anak. Kasih untuk Tuhan dan orang lain akan mendorong kita untuk menepati janji. Satu lagi cara kita memuliakan sahabat Yehuwa adalah dengan bersikap murah hati dan ramah. (Rm. 12:13) Selain hadir perjumpaan dan keluar menginjil, kita mahu cari masa untuk bergaul bersama saudara saudari. Hal ini dapat menguatkan hubungan kita dengan mereka dan Yehuwa. Dengan bersikap murah hati, kita sedang meniru Yehuwa. w24.06 12 ¶15-16
Selasa, 10 November
Siapakah manusia fana sehingga Engkau mengingat mereka?—Mzm. 8:4.
Yehuwa mengajarkan kebenaran kepada orang yang rendah hati. (Mat. 11:25) Semasa baru belajar kebenaran, kita bersikap rendah hati dan sudi terima bantuan. (Kis. 8:30, 31) Tetapi kita perlu berusaha untuk tetap rendah hati. Jika kita sombong, kita mungkin anggap pandangan kita sama penting dengan prinsip Bible atau arahan organisasi Yehuwa. Untuk tetap rendah hati, ingatlah bahawa kita hanya seperti debu berbanding Yehuwa. (Mzm. 8:3, 4) Berdoalah agar Yehuwa bantu kita terus rendah hati dan sudi diajar. Dia akan bantu kita agar menganggap pandangan-Nya, yang dinyatakan menerusi Bible dan organisasi-Nya, lebih penting daripada pandangan sendiri. Semasa baca Bible, carilah bukti yang menunjukkan Yehuwa mengasihi orang yang rendah hati dan benci orang yang angkuh. Curahkanlah usaha untuk bersikap rendah hati, terutama jika anda diberi kuasa atau tugas istimewa dalam organisasi Yehuwa. w24.07 10 ¶8-9
Rabu, 11 November
Bangsa yang sedikit bilangannya akan bertambah banyak sehingga menjadi seribu, dan bangsa yang kecil akan menjadi bangsa yang kuat. Aku, Yehuwa, akan melakukan hal ini dengan segera, tepat pada waktunya.—Yes. 60:22.
Sejak 1919, Yesus guna sekumpulan kecil saudara terurap untuk mengatur kerja penyebaran dan menyediakan makanan rohani untuk para pengikutnya. (Luk. 12:42) Terdapat bukti jelas bahawa Yehuwa memberkati kerja mereka. (Yes. 65:13, 14) Jika kita tidak teratur, kita tidak dapat laksanakan kerja daripada Yesus. (Mat. 28:19, 20) Misalnya, jika kawasan penyebaran tidak dibahagikan, para penyiar boleh menginjil di tempat yang mereka suka. Akibatnya, ada kawasan mungkin asyik dikunjungi, yang lain pula langsung tidak. Dapatkah anda fikirkan manfaat lain jika kerja kita teratur? Sepertimana Yesus mengatur para pengikutnya semasa dia di bumi, dia juga mengatur umat Tuhan hari ini. w24.04 8-9 ¶2-4
Khamis, 12 November
Jika engkau berubah dan berbuat baik, bukankah Aku akan berasa senang hati dengan engkau? Namun jika engkau tidak berubah dan tidak berbuat baik, dosa sedang menunggu di pintu dan menanti-nantikan peluang untuk menguasai engkau.—Kej. 4:7.
Kain ialah anak sulung Adam dan Hawa. Dia mewarisi ketidaksempurnaan mereka. Bible juga kata “perbuatannya sendiri jahat.” (1 Yoh. 3:12) Barangkali itulah sebabnya Yehuwa “tidak senang hati dengan Kain dan persembahannya.” Tetapi Kain tidak berubah. Sebaliknya dia “berasa marah dan kecewa.” Apakah yang Yehuwa buat seterusnya? Dia bercakap kepada Kain. (Kej. 4:3-7) Dengan baik hati, Yehuwa beritahu bahawa dia akan diberkati jika dia buat apa yang baik. Yehuwa juga beritahunya bahawa jika kemarahannya terus membara, dia mungkin buat sesuatu yang buruk. Malangnya, Kain menolak bantuan Yehuwa. Selepas itu, adakah Yehuwa tidak membantu sesiapa lagi untuk bertaubat? Sudah tentu tidak! w24.08 10 ¶8
Jumaat, 13 November
Pilihlah kehidupan supaya kamu dapat tetap hidup.—Ul. 30:19.
Bangsa Israel memiliki masa depan yang cerah. Dengan adanya berkat Yehuwa, mereka dapat hidup lama di Tanah yang Dijanjikan. Tempat itu memang istimewa. Musa beritahu orang Israel, ‘Tanah itu mempunyai banyak kota yang besar dan cantik, yang tidak kamu bina. Rumah di sana penuh dengan barang yang baik, yang tidak kamu peroleh dengan usaha sendiri. Di sana juga terdapat perigi yang tidak kamu gali, dan ladang anggur serta ladang zaitun yang tidak kamu usahakan.’ (Ul. 6:10, 11) Musa juga ingatkan mereka bahawa jika mereka mahu terus hidup di Tanah yang Dijanjikan, mereka perlu mematuhi Yehuwa. Maka mereka digalakkan untuk “memilih kehidupan” dengan mendengarkan Yehuwa dan “berpaut pada-Nya.” (Ul. 30:20) Namun, mereka mengingkari Yehuwa. Akibatnya, Yehuwa membiarkan mereka dikalahkan oleh orang Assyria dan kemudian orang Babilon, dan jadi tawanan di negeri asing.—2 Raj. 17:6-8, 13, 14; 2 Taw. 36:15-17, 20. w24.11 9 ¶5-6
Sabtu, 14 November
Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku.—Yoh. 6:44.
Banyak orang Kristian percaya bahawa untuk diselamatkan, mereka hanya perlu “percaya kepada [Yesus]” sebagai penyelamat. (Yoh. 6:29, Alkitab Versi Borneo) Namun, hal itu tidak cukup. Ada banyak orang di Galilea pada mulanya percaya kepada Yesus tetapi belakangan meninggalkannya. Mengapa? Kebanyakan orang yang diberi makanan oleh Yesus gembira untuk mengikutnya selagi dia menyembuhkan mereka, memberikan makanan yang percuma, dan ajar apa yang disukai mereka. Namun tujuan utama Yesus ke bumi bukanlah untuk memuaskan keinginan manusia. Dia menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk jadi pengikutnya yang sejati. Orang yang mahu jadi pengikutnya mesti ‘datang kepadanya.’ Maksudnya, mereka perlu dengar dan patuh semua ajarannya.—Yoh. 5:40. w24.12 12 ¶12-13
Ahad, 15 November
Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi sidang.—Ef. 5:25.
Jika seorang suami layan isterinya dengan buruk, apakah yang dapat membantunya berubah? Dia dapat meniru Yesus. Cara dia melayan murid-muridnya merupakan contoh yang baik untuk para suami. Perhatikan bagaimana Yesus layan para rasulnya dan bercakap kepada mereka. Yesus melayan para rasulnya dengan baik hati dan hormat. Dia tidak pernah bersikap kejam atau kasar. Dia tidak guna kuasanya untuk buat mereka rasa lemah atau takut kepadanya. Sebaliknya, dia layan mereka dengan rendah hati. (Yoh. 13:12-17) Dia beritahu murid-muridnya, “Belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar.” (Mat. 11:28-30) Perhatikan bahawa ayat itu kata Yesus bersikap lemah lembut. Seseorang yang lemah lembut bukanlah orang yang lemah, sebaliknya dia orang yang kuat kerana dia dapat tetap tenang dan mengawal emosinya bahkan semasa orang membuatnya marah. w25.01 10 ¶10-11
Isnin, 16 November
Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa.—Ams. 16:3.
Seraya akhir semakin dekat, keadaan ekonomi akan semakin merosot. Kos hidup kita mungkin bertambah, atau kita mungkin kehilangan kerja akibat pergolakan politik, peperangan, bencana alam, atau wabak penyakit. Apakah yang dapat membantu kita membuat keputusan yang menunjukkan bahawa kita percaya kepada Yehuwa? Langkah yang paling penting dan berkesan ialah berdoa kepada Yehuwa. Mintalah agar Dia memberi anda kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik, dan mintalah hati yang tenang supaya anda tidak “terlalu khuatir” tentang situasi anda. (Luk. 12:29-31) Rayulah agar Dia membantu anda berpuas hati dengan keperluan asas hidup. (1 Tim. 6:7, 8) Gunalah bahan terbitan kita untuk membuat penyelidikan tentang cara menangani masalah kewangan. Ramai orang telah meraih manfaat daripada bahan terbitan sebegini yang terdapat di jw.org. w25.03 28-29 ¶10-11
Selasa, 17 November
Tuhan sudah menunjukkan bahawa aku tidak boleh menganggap sesiapa pun kotor atau najis.—Kis. 10:28.
Apabila masanya tiba bagi orang bukan Yahudi yang tidak bersunat untuk menyertai umat Tuhan, Petrus ditugaskan untuk menginjil kepada Kornelius. Orang Yahudi jarang berurusan dengan orang bukan Yahudi. Maka tidak hairanlah Petrus memerlukan bantuan untuk mengubah fikirannya. Setelah Petrus memahami pandangan Tuhan tentang orang bukan Yahudi, dia “tidak keberatan” untuk melaksanakan tugasannya itu. (Kis. 10:28, 29) Dia menginjil kepada Kornelius dan rumah tangganya, dan mereka telah dibaptis. (Kis. 10:21-23, 34, 35, 44-48) Beberapa tahun kemudian, Petrus menggalakkan rakan seimannya, “Hendaklah kamu semua sefikiran.” (1 Ptr. 3:8, nota kaki) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Kita masing-masing harus mencerminkan fikiran Yehuwa, seperti yang tercatat dalam Bible. w25.03 9 ¶7-8
Rabu, 18 November
Janganlah disesatkan oleh pelbagai ajaran yang ganjil.—Ibr. 13:9.
Sikap dan pandangan dunia makin lama makin jauh daripada pandangan Tuhan yang sempurna. (Ams. 17:15) Maka, kita mesti menguatkan kebolehan kita untuk mengenal pasti dan menolak pandangan para penentang yang boleh membuat kita tawar hati atau bahkan membuat kita meninggalkan Yehuwa. Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk menjadi orang Kristian yang matang, dan kita juga mahu menerapkan nasihatnya. Maka kita perlu terus mengkaji Bible dengan teliti dan memahami pemikiran Yehuwa dengan lebih baik, bahkan selepas kita sudah membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Tidak kira berapa lama kita sudah berada dalam kebenaran, kita semua mesti kerap membaca dan mengkaji Bible. (Mzm. 1:2) Dengan demikian, kita dapat menguatkan iman kita, iaitu sifat penting yang disebut Paulus dalam suratnya kepada orang Kristian Ibrani.—Ibr. 11:1, 6. w24.09 10 ¶7-8
Khamis, 19 November
Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.—Yak. 4:8.
Jika Yehuwa nyata bagi kita, kita akan berasa lebih senang untuk tetap setia kepada-Nya. Perhatikan contoh Yusuf. Oleh sebab Tuhan nyata baginya, dia dapat menolak perbuatan yang tidak bermoral dengan tegas dan tidak mahu berdosa terhadap Tuhan. (Kej. 39:9) Jika kita mahu Yehuwa menjadi nyata bagi kita, kita perlu meluangkan masa untuk berdoa dan mengkaji Bible. Dengan itu, hubungan kita dengan Yehuwa akan semakin erat. Seperti Yusuf, apabila kita semakin erat dengan Yehuwa, kita tidak ingin melakukan apa-apa yang akan menyakiti hati-Nya. Orang yang lupa bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup akan semakin menjauhi-Nya. Fikirkan apa yang berlaku kepada orang Israel di padang belantara. Mereka tahu bahawa Yehuwa wujud, tetapi mereka ragu-ragu jika Dia akan menjaga keperluan mereka. (Kel. 17:2, 7) Akibatnya, mereka memberontak terhadap Tuhan. Sudah pasti kita tidak mahu ikut jejak mereka.—Ibr. 3:12. w24.06 24 ¶14-15
Jumaat, 20 November
Mata Yehuwa memperhatikan orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar seruan mereka meminta tolong.—Mzm. 34:15.
Kita sedang hidup pada penghujung hari-hari terakhir. Maka tidak hairanlah jika kita menghadapi semakin banyak cabaran yang membuat kita menangis. Yehuwa mengetahui sebabnya kita menangis, dan Dia mengasihani kita. Ingatlah, air mata anda berharga bagi Yehuwa. Jadi semasa ditimpa kesusahan, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa. Janganlah sekali-kali mengasingkan diri daripada rakan seiman anda. Teruslah membaca Bible untuk mencari kelegaan. Jika kita terus bertabah, Yehuwa pasti memberkati kita. Ingatlah bahawa di dunia baharu nanti, kita tidak akan lagi menangis kerana sedih, dikhianati, atau jatuh sakit. (Why. 21:4) Kita hanya akan menangis kerana terlalu gembira. w24.12 20 ¶3; 25 ¶19
Sabtu, 21 November
Yehuwa berfirman, “Kamu ialah saksi-saksi-Ku.”—Yes. 43:12.
Yehuwa telah memilih kita sebagai Saksi-Nya, dan Dia berjanji untuk bantu kita menjadi berani. (Yes. 43:10, 11) Perhatikan empat cara Yehuwa bantu kita. Pertama, Yesus menyertai kita di mana sahaja kita menginjil. (Mat. 28:18-20) Kedua, Yehuwa mengutus malaikat untuk bantu kita. (Why. 14:6) Ketiga, Yehuwa memberi kita kuasa suci-Nya sebagai penolong untuk bantu kita ingat semula hal yang sudah kita belajar. (Yoh. 14:25, 26) Keempat, Yehuwa memberi kita saudara saudari untuk menemani kita. Dengan bantuan-Nya dan sokongan saudara saudari, kita ada segala yang diperlukan untuk menginjil dengan berani. Tetapi, jika anda tawar hati kerana banyak orang tiada di rumah semasa menginjil, tanyalah diri, “Di mana mereka sekarang?” (Kis. 16:13) “Adakah mereka di tempat kerja atau pergi membeli-belah?” Jika ya, dapatkah anda mencari mereka dengan melakukan kesaksian di tempat awam? w24.04 17 ¶10-11
Ahad, 22 November
Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat menjaga sidang Tuhan?—1 Tim. 3:5.
Jika anda sudah kahwin dan ingin jadi penatua, reputasi keluarga anda sangat penting. Anda perlu ‘mengurus rumah tangga anda dengan baik.’ Maksudnya, anda perlu dikenali sebagai ketua keluarga yang pengasih dan bertanggungjawab. Anda juga perlu atur penyembahan keluarga dan pastikan keluarga anda hadir perjumpaan dan menginjil secara tetap. Jika anda seorang bapa, anak-anak anda yang di bawah umur haruslah “taat dan berkelakuan baik.” (1 Tim. 3:4) Anda perlu mengajar dan melatih mereka dengan pengasih. Sudah tentu, mereka boleh ketawa dan bermain, seperti anak-anak lain. Tetapi, anda harus melatih mereka untuk mendengar cakap, bersikap hormat, dan bersopan santun. Selain itu, cubalah sedaya upaya untuk membantu anak anda memupuk persahabatan dengan Yehuwa, hidup selaras dengan prinsip Bible, dan membuat kemajuan untuk dibaptis. w24.11 22 ¶10-11
Isnin, 23 November
Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.—Yoh. 15:13.
Apabila anda lebih giat menginjil, anda akan lebih merasai sokongan Yehuwa. Hasilnya, keyakinan anda terhadap-Nya akan lebih kukuh. (1 Kor. 3:9) Yehuwa tidak membandingkan usaha anda dengan usaha orang lain. Sebaliknya, Dia melihat hati anda. Apabila anda berusaha buat apa yang terdaya untuk menunjukkan penghargaan atas korban tebusan, Yehuwa pasti gembira! (1 Sam. 16:7; Mrk. 12:41-44) Tanpa tebusan, dosa kita tidak akan diampunkan, kita tidak dapat jadi sahabat Yehuwa, dan kita tiada harapan untuk hidup kekal. Namun, Yehuwa begitu mengasihi kita, jadi Dia membuka jalan agar kita dapat menikmati berkat ini. Maka, teruslah tunjukkan penghargaan kepada Yehuwa atas kasih-Nya. (1 Yoh. 4:19) Tunjukkanlah juga penghargaan kepada Yesus kerana dia begitu mengasihi kita sehingga sanggup korbankan nyawanya! w25.01 31 ¶16-18
Selasa, 24 November
Sehari suntuk, aku berasa susah hati.—Mzm. 73:14.
Renungkanlah perasaan penulis Mazmur 73. Dia melihat orang yang tidak menyembah Yehuwa seolah-olah hidup sihat, makmur, dan bebas daripada masalah. (Mzm. 73:3-5, 12) Akibatnya, dia rasa usahanya untuk menyembah Yehuwa sia-sia sahaja. Dia berkata, “Sehari suntuk, aku berasa susah hati.” (Mzm. 73:13, 14) Bagaimanakah dia mengatasi keraguannya? Penulis mazmur itu pergi ke rumah suci Yehuwa. (Mzm. 73:16-18) Dalam suasana yang damai di sana, dia dapat berfikir dengan baik. Dia sedar bahawa biarpun sesetengah orang nampaknya hidup senang, mereka sebenarnya tiada harapan masa depan. Setelah merenungkan hal ini, fikirannya menjadi tenang, dan dia yakin bahawa mengutamakan hal rohani ialah keputusan yang terbaik. Hasilnya, dia mendapat semangat baharu untuk terus menyembah Yehuwa.—Mzm. 73:23-28. w24.10 26-27 ¶11-12
Rabu, 25 November
Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.—Mzm. 83:18.
Yehuwa berfirman, “Kamu ialah saksi-saksi-Ku.” (Yes. 43:10-12) Beberapa tahun lalu, sepucuk surat daripada Badan Pimpinan menyatakan, “Digelar Saksi-Saksi Yehuwa ialah penghormatan terbesar yang diberikan kepada kita.” Mengapa? Fikirkan contoh ini: Jika anda dituduh di mahkamah dan memerlukan saksi untuk beri keterangan tentang anda, pasti anda pilih orang yang anda percaya dan kenal, dan ada reputasi baik. Memandangkan Yehuwa telah pilih kita sebagai Saksi-Nya, hal ini menunjukkan Dia kenal kita dan yakin kita akan berikan kesaksian bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang benar. Kita berbesar hati menjadi Saksi-Nya dan ingin guna setiap peluang untuk beritahu orang tentang nama-Nya dan menyangkal segala dusta tentang-Nya. Dengan itu, kita menunjukkan kita bangga dipanggil Saksi-Saksi Yehuwa dan mahu hidup selaras dengan nama kita!—Rm. 10:13-15. w24.05 18 ¶13
Khamis, 26 November
Dia menyembuhkan semua orang sakit.—Mat. 8:16.
Yesus meraih sukacita besar kerana sudi berkhidmat kepada orang. Pernah sekali, dia bukan sahaja ajar orang ramai, tetapi juga jaga keperluan fizikal mereka. Dia menyediakan makanan secara mukjizat dan suruh murid-muridnya untuk mengedarkannya. (Mrk. 6:41) Dengan itu, dia ajar muridnya untuk berkhidmat kepada orang lain. Dia juga ajar mereka bahawa bantuan yang praktikal ialah kerja yang amat penting. Bayangkan sukacita yang dinikmati para rasulnya semasa bantu Yesus mengedarkan makanan dan melihat “semua orang makan sampai kenyang”! (Mrk. 6:42) Sudah tentu, Yesus utamakan kepentingan orang bukan pada peristiwa itu sahaja. Sebaliknya, dia berkhidmat untuk orang lain sepanjang masa dia menginjil di bumi. (Mat. 4:23) Yesus gembira dan puas semasa ajar orang dan jaga keperluan mereka. w24.11 16 ¶10-11
Jumaat, 27 November
Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi.—2 Tim. 3:1.
Apabila keadaan hidup pada “hari-hari terakhir” semakin teruk, kita akan ada semakin banyak peluang untuk membantu satu sama lain. Kita juga dapat menyediakan tempat perlindungan dari segi emosi dan rohani. Contohnya, kita dapat mengalu-alukan rakan seiman kita semasa di Dewan Perjumpaan. Jadi semasa mereka datang ke perjumpaan, kita mahu membuat mereka berasa selamat, dikasihi, dan disegarkan. Para penatua dapat menjadi tempat perlindungan bagi saudara saudari yang menghadapi pelbagai cubaan. Apabila bencana alam atau kecemasan perubatan berlaku, para penatua mengambil inisiatif untuk mengaturkan bantuan fizikal dan rohani. Saudara saudari akan lebih sudi menghampiri penatua yang lemah lembut, bersikap empati, dan sudi mendengar luahan mereka. Sifat-sifat sebegitu membantu saudara saudari berasa dikasihi dan memudahkan mereka untuk menerapkan nasihat Bible yang diberikan oleh penatua.—1 Tes. 2:7, 8, 11. w24.06 29 ¶12-13
Sabtu, 28 November
Tuhan tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan.—Rm. 8:32.
Ada orang mungkin fikir, “Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Jadi Dia tiada perasaan.” Hal ini tidak benar kerana kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. Maka jika kita ada perasaan, Yehuwa juga ada perasaan. Bible kata bahawa manusia dapat “mendukakan hati Tuhan” dan “menyakiti hati-Nya.” (Mzm. 78:40, 41) Hati Yehuwa tentu hancur semasa lihat Anak-Nya diseksa oleh orang jahat hingga mati! Korban tebusan ajar kita bahawa kasih Yehuwa terhadap kita jauh lebih besar daripada kasih ahli keluarga atau sahabat kita yang paling rapat. (Rm. 8:32, 38, 39) Sebenarnya, Yehuwa lebih mengasihi kita daripada kita mengasihi diri. Inginkah anda hidup kekal? Yehuwa lagi mahu anda hidup kekal! Adakah anda mahu dosa anda diampunkan? Yehuwa lagi mahu ampunkan dosa anda! Untuk dapat berkat itu, Yehuwa hanya mahu anda hargai tebusan, beriman, dan mentaati-Nya. Ya, korban tebusan ialah cara terbesar Yehuwa tunjukkan kasih-Nya kepada kita.—Pkh. 3:11. w25.01 22 ¶8-9
Ahad, 29 November
Teruslah mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan Tuan kita.—Ef. 5:10.
Ada kalanya kita perlu membuat keputusan berdasarkan apa yang kita lihat, dengar, dan rasa. Namun, jika kita membuat keputusan hanya berdasarkan deria kita, kita mungkin tidak mempedulikan nasihat atau kehendak Tuhan. (Pkh. 11:9; Mat. 24:37-39) Sebaliknya, hidup yang berdasarkan iman akan membawa banyak manfaat. Kita dapat membuat keputusan “yang diperkenankan Tuan kita” dengan lebih mudah. Kita juga akan hidup bahagia, dan hati kita akan tenteram. (Mzm. 16:8, 9; Yes. 48:17, 18) Tambahan lagi, kita berpeluang untuk hidup selama-lamanya. (2 Kor. 4:18) Bagaimanakah kita dapat tahu sama ada kita hidup berdasarkan iman atau tidak? Tanyalah diri, “Semasa membuat keputusan, adakah saya hanya bergantung pada apa yang dapat dilihat? Atau adakah saya bergantung pada nasihat Yehuwa?” w25.03 20-21 ¶3-4
Isnin, 30 November
Teruslah berdamai dengan satu sama lain.—1 Tes. 5:13.
Kita dapat buat sesuatu agar orang tertarik kepada firdaus rohani. Fikirkan teladan Yehuwa. Dia tidak memaksa orang untuk menyertai organisasi-Nya. Sebaliknya, Dia ‘memimpin’ mereka dengan lemah lembut kepada-Nya. (Yoh. 6:44; Yer. 31:3) Apabila orang yang berhati jujur belajar tentang sifat-sifat Yehuwa, mereka terdorong untuk menghampiri-Nya. Begitu juga, jika kita menunjukkan sifat-sifat murni dan berkelakuan baik, orang akan tertarik kepada firdaus rohani. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Satu cara adalah dengan menunjukkan kasih dan kebaikan hati kepada rakan seiman kita. Dengan itu, semasa orang yang berminat menghadiri perjumpaan kita, mereka akan berasa seperti orang baharu di Korintus abad pertama yang berkata, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.” (1 Kor. 14:24, 25; Za. 8:23) Maka, kita mesti mengikut nasihat Bible seperti dalam ayat harian hari ini. w24.04 23-24 ¶16-17