“Hendaklah Kasih Kamu Tulus dan Dibuktikan melalui Perbuatan”
“Pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir, sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.”—1 YOH. 3:18.
1. Apakah jenis kasih yang paling luhur? Mengapa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
YEHUWA ialah Sumber kasih. (1 Yoh. 4:7) Kasih yang paling luhur ialah kasih yang berasaskan prinsip yang benar (a·gaʹpe). Kasih ini bukan sekadar perasaan di hati, tetapi juga akan mendorong seseorang untuk mengetepikan kepentingan diri dan bertindak demi kebaikan orang lain. Itulah ciri utama kasih tersebut. Apabila kita menunjukkan atau merasai kasih sebegini, kita akan bersukacita dan kehidupan kita akan menjadi bermakna.
2, 3. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada umat manusia?
2 Yehuwa menunjukkan kasih kepada manusia bahkan sebelum Dia menciptakan Adam dan Hawa. Dia bukan sahaja menjadikan bumi kediaman kekal manusia, malah menyediakan segala yang kita perlukan untuk menikmati kehidupan. Dia juga mengurniai manusia peluang untuk hidup kekal di Firdaus. Yehuwa melakukan semua itu bukan untuk diri-Nya, tetapi demi kebaikan kita.
3 Selepas Adam dan Hawa memberontak, Yehuwa telah menunjukkan kasih-Nya yang terunggul. Dia yakin bahawa sesetengah daripada keturunan Adam dan Hawa akan membalas kasih-Nya, maka Dia mengaturkan supaya mereka ditebus. (Kej. 3:15; 1 Yoh. 4:10) Sebaik sahaja Yehuwa menjanjikan tebusan itu, Dia menganggap bahawa korban yang diperlukan untuk menyediakan tebusan itu sudah dipersembahkan. Kira-kira 4,000 tahun kemudian, Yehuwa membuat pengorbanan yang amat besar. Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal demi umat manusia. (Yoh. 3:16) Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa menunjukkan kasih sebegini?
4. Apakah yang menunjukkan bahawa manusia yang tidak sempurna dapat memperlihatkan kasih?
4 Kita dapat menunjukkan kasih kerana kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. Dosa menyebabkan kita susah untuk mencerminkan kasih itu, namun kita masih mampu berbuat demikian. Habel menunjukkan kasih kepada Tuhan dengan mempersembahkan harta miliknya yang terbaik. (Kej. 4:3, 4) Nuh menunjukkan kasih kepada orang lain dengan memberitakan mesej Tuhan selama puluhan tahun walaupun disambut dingin. (2 Ptr. 2:5) Abraham menunjukkan kasih yang sangat mendalam kepada Tuhan ketika disuruh mengorbankan anak kesayangannya Ishak. (Yak. 2:21) Seperti mereka, kita ingin menunjukkan kasih biarpun hal itu tidak mudah.
APAKAH ITU KASIH SEJATI?
5. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih yang sejati?
5 Bible menjelaskan bahawa kasih sejati “bukan sekadar ucapan di bibir,” tetapi “tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.” (1 Yoh. 3:18) Adakah hal itu bermaksud kita tidak patut meluahkan kasih kita melalui kata-kata? Tidak! (1 Tes. 4:18) Maksudnya, kasih kita tidak patut terhad kepada kata-kata sahaja. Kasih harus mendorong kita untuk bertindak. Contohnya, apabila seorang rakan Kristian kekurangan barang keperluan asas, sekadar mengucapkan kata-kata galakan tidak cukup. (Yak. 2:15, 16) Begitu juga, jika kita mengasihi Yehuwa dan orang lain, kita akan lebih giat menginjil, dan bukan hanya berdoa untuk meminta Tuhan “menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.”—Mat. 9:38.
6, 7. (a) Apakah maksud menunjukkan “kasih yang ikhlas”? (b) Sebutkan beberapa contoh kasih yang palsu.
6 Rasul Yohanes menulis bahawa kita harus menunjukkan kasih yang “tulus,” atau “kasih yang ikhlas.” (2 Kor. 6:6; Rm. 12:9) Maksudnya, kita tidak patut menjadi seperti musang berbulu ayam, yang berpura-pura menunjukkan kasih. Kasih sebegini ialah kasih palsu yang langsung tidak bernilai.
7 Fikirkan beberapa contoh kasih yang palsu. Di Taman Eden, Syaitan berpura-pura mengutamakan kepentingan Hawa, padahal segala perbuatannya munafik dan mementingkan diri. (Kej. 3:4, 5) Semasa Daud memerintah, Ahitofel menjadi sahabatnya, tetapi Ahitofel kemudiannya mengkhianati Daud demi kepentingan diri. Dia memang sahabat yang palsu. (2 Sam. 15:31) Hari ini, orang yang murtad dan mereka yang ingin memecahbelahkan sidang suka “mengampu dan menggunakan kata-kata yang manis.” (Rm. 16:17, 18) Mereka nampaknya prihatin, tetapi sebenarnya mementingkan diri.
8. Apakah soalan yang patut kita fikirkan?
8 Kasih yang tidak ikhlas ialah sifat yang terkutuk kerana bertujuan menipu orang. Ingatlah, kita mungkin dapat memperdaya manusia, tetapi bukan Yehuwa. Yesus berkata bahawa orang yang bermuka dua akan dijatuhkan “hukuman yang berat sekali.” (Mat. 24:51) Sudah pasti hamba-hamba Yehuwa ingin menjauhi sifat tersebut. Maka, tanyalah diri, “Adakah kasih saya sentiasa ikhlas dan tidak dinodai sifat mementingkan diri atau bermuka dua?” Sekarang, mari kita lihat sembilan cara untuk menunjukkan “kasih yang ikhlas.”
CARA MENUNJUKKAN KASIH YANG “TULUS DAN DIBUKTIKAN MELALUI PERBUATAN”
9. Kasih yang tulus akan mendorong kita untuk melakukan apa?
9 Sudi berkhidmat meskipun tidak dilihat orang. Kita patut rela berbuat baik untuk orang lain meskipun usaha kita “tidak diketahui orang.” (Baca Matius 6:1-4.) Ananias dan Safira gagal berbuat demikian. Semasa menderma, mereka ingin orang lain mengetahui sumbangan mereka dan bahkan berbohong tentangnya. Akhirnya mereka dihukum kerana bersikap bermuka dua. (Kis. 5:1-10) Kasih yang tulus akan mendorong kita untuk membantu rakan seiman dengan sukacita dan bukannya kerana ingin dipuji atau disanjung. Saudara-saudara yang membantu Badan Pimpinan menyediakan makanan rohani menunjukkan sikap sebegini. Mereka tidak menarik perhatian kepada diri sendiri atau memberitahu orang lain tentang projek yang dilakukan mereka.
10. Bagaimanakah kita dapat saling mendahului untuk menunjukkan hormat?
10 Saling mendahului untuk menunjukkan hormat. (Baca Roma 12:10.) Yesus menunjukkan hormat dengan melakukan tugas yang paling rendah. (Yoh. 13:3-5, 12-15) Kita mungkin perlu berusaha keras untuk bersikap rendah hati dan meniru Yesus dalam hal ini. Para rasul juga tidak memahami perbuatan Yesus dengan sepenuhnya sebelum mereka dikurniai kuasa suci Tuhan. (Yoh. 13:7) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan hormat kepada orang lain? Biarpun kita lebih berpendidikan, kaya, atau memikul lebih banyak tugas rohani, janganlah meninggikan diri. (Rm. 12:3) Semasa orang lain dipuji, kita tidak patut iri hati. Sebaliknya, kita akan tumpang gembira, biarpun kita berasa bahawa kita juga berjasa dan patut dipuji.
11. Mengapakah pujian kita mesti ikhlas?
11 Memuji saudara saudari dengan ikhlas. Kita harus peka terhadap peluang untuk berbuat demikian kerana kata-kata pujian “dapat menguatkan orang.” (Ef. 4:29) Namun, kita mesti ikhlas. Kita tidak patut memuji orang hanya kerana ingin mengampu mereka atau kerana ingin mengelakkan tanggungjawab untuk memberikan nasihat yang memang diperlukan. (Ams. 29:5) Jika kita memuji seseorang tetapi memburuk-burukkannya di belakangnya, kita sebenarnya bersikap bermuka dua. Rasul Paulus menjauhi jerat itu. Contohnya, dia memuji orang Kristian di Korintus dengan ikhlas atas usaha mereka. (1 Kor. 11:2) Namun, apabila mereka perlu ditegur, dia menyatakan sebabnya dengan jelas dan baik hati.—1 Kor. 11:20-22.
12. Semasa menyambut orang dengan mesra, bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih yang sejati?
12 Menyambut orang dengan mesra. Yehuwa ingin kita menunjukkan kemurahan hati kepada saudara saudari kita. (Baca 1 Yohanes 3:17.) Semasa berbuat demikian, kita mesti memiliki niat yang betul. Tanyalah diri, “Adakah saya hanya bermurah hati kepada kawan karib, orang yang dapat membalas kebaikan saya, atau mereka yang dianggap penting dalam sidang? Adakah saya juga mencari peluang untuk bermurah hati kepada rakan seiman yang kurang rapat dengan saya atau mereka yang tidak mampu membalas kebaikan saya?” (Luk. 14:12-14) Katakan seorang rakan Kristian tidak bijak merancang lalu memerlukan bantuan atau tidak mengucapkan terima kasih atas kemurahan hati kita, apakah yang patut kita lakukan? Ikutlah nasihat ini: “Hendaklah kamu suka menyambut orang lain dengan ramah tanpa bersungut-sungut.” (1 Ptr. 4:9) Apabila anda memberi dengan niat yang betul, anda pasti akan bersukacita.—Kis. 20:35.
13. (a) Mengapakah kita perlu bersabar semasa membantu orang yang lemah? (b) Bagaimanakah kita boleh membantu mereka?
13 Memberikan sokongan kepada orang yang lemah. Kita memerlukan kasih yang sejati untuk “memberikan sokongan kepada orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua orang.” (1 Tes. 5:14) Ramai orang yang lemah kemudiannya berjaya memupuk iman yang kuat. Namun, ada juga yang perlu dibantu secara berterusan. Itulah sebabnya kita perlu bersabar. Untuk membantu mereka, kita dapat berkongsi ayat-ayat Bible yang menggalakkan dengan mereka, menjemput mereka untuk menginjil bersama kita, atau meluangkan masa untuk mendengar luahan hati mereka. Selain itu, kita tidak harus melabel seseorang sebagai “lemah” atau “kuat,” kerana setiap orang mempunyai kelemahan dan kekuatan sendiri. Bahkan Rasul Paulus pun mengaku bahawa dia mempunyai kelemahan. (2 Kor. 12:9, 10) Ya, kita semua memerlukan sokongan rakan Kristian kita.
14. Apakah yang harus kita sudi lakukan untuk mengekalkan kedamaian dengan saudara saudari?
14 Berdamai. Kita berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan kedamaian dengan saudara saudari meskipun kita berasa bahawa kita dilayan dengan tidak adil atau bahawa orang lain sudah salah faham dengan kita. (Baca Roma 12:17, 18.) Jika kita minta maaf dengan ikhlas, hubungan kita dapat dibaiki. Contohnya, daripada berkata, “Maaflah kalau kamu tersinggung,” akuilah kesalahan diri dengan berkata, “Minta maaf kerana kata-kata saya menyakitimu.” Kedamaian sangat penting terutamanya dalam perkahwinan. Suami isteri tidak patut berpura-pura mengasihi satu sama lain di khalayak ramai tetapi saling menyakiti dengan kata-kata kasar, keganasan, atau bersikap dingin semasa di rumah.
15. Bagaimanakah kita boleh memaafkan orang dengan ikhlas?
15 Rela mengampuni. Kita memaafkan orang yang telah menyakiti kita dan kita tidak menyimpan dendam. Kita perlu ‘bersabar terhadap satu sama lain dan berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh daya aktif Tuhan tetap terpelihara.’ Dengan demikian, kita dapat memaafkan orang yang mungkin tidak sedar bahawa mereka telah menyinggung kita. (Ef. 4:2, 3) Untuk memaafkan orang dengan ikhlas, kita harus mengawal pemikiran kita supaya “tidak menyimpan dendam apabila dilukai.” (1 Kor. 13:4, 5) Jika kita berdendam, kita akan menjejaskan hubungan baik kita dengan saudara saudari dan Yehuwa. (Mat. 6:14, 15) Kita juga dapat memaafkan orang secara ikhlas dengan berdoa bagi orang yang menyakiti kita.—Luk. 6:27, 28.
16. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap tanggungjawab dalam organisasi Yehuwa?
16 Bersikap rela berkorban. Kita harus memandang tanggungjawab dalam organisasi Yehuwa sebagai peluang untuk menunjukkan kasih sejati. Bagaimana? Kita ‘berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukannya bagi diri sendiri.’ (1 Kor. 10:24) Contohnya, para atendan yang dapat memasuki dewan perhimpunan dan konvensyen sebelum hadirin lain tidak akan guna kesempatan itu untuk mendapatkan tempat duduk yang terbaik bagi diri mereka dan ahli keluarga. Sebaliknya, mereka rela memilih tempat duduk yang kurang baik. Pengorbanan mereka menunjukkan bahawa mereka mempunyai kasih dan tidak mementingkan diri. Bagaimanakah anda dapat meniru teladan baik mereka?
17. Kasih sejati akan mendorong seseorang yang melakukan dosa serius untuk membuat apa?
17 Mengakui dan menghentikan dosa yang tersembunyi. Sesetengah orang Kristian yang melakukan dosa serius cuba menyembunyikannya supaya tidak memalukan diri atau mengecewakan orang lain. (Ams. 28:13) Namun, perbuatan sedemikian tidak menunjukkan kasih dan dapat menyakiti diri dan orang lain. Bagaimana? Tuhan mungkin tidak lagi mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas sidang lalu kedamaian sidang akan terancam. (Ef. 4:30) Kasih yang sejati menggerakkan orang Kristian yang melakukan dosa serius untuk memberitahu para penatua agar mereka dapat membantunya.—Yak. 5:14, 15.
18. Mengapakah kasih begitu penting?
18 Kasih ialah sifat yang terpenting. (1 Kor. 13:13) Itulah tanda pengenal kita sebagai pengikut Yesus dan orang yang meniru Yehuwa, Sumber kasih. (Ef. 5:1, 2) Paulus menulis, “Jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.” (1 Kor. 13:2) Semoga kasih kita “bukan sekadar ucapan di bibir,” tetapi “tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.”